Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Industri buku di bawah PM 'paling banyak membaca'

KOLUM | Yang mencabar untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-40 ini, ialah selain cuaca panas yang begitu membahang, adalah tren yang rosak antara Masjid Jamek ke Bandaraya, selain situasi ekonomi yang mengalami resesi.

Cuaca panas begitu membakar saat ini. Menteri Kesihatan melaporkan ada 15 kes berkaitan cuaca panas yang melampau akhir-akhir ini. Empat kes adalah strok haba, lima kes kelesuan dan enam kekejangan dengan satu kes kematian yang melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Walaupun Jabatan Metereologi mengatakan hanya empat negeri sudah mencapai kepanasan tahap satu iaitu Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak, kepanasan itu tetap juga dirasakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Panasnya tetap menggigit baik di waktu malam, juga di waktu pagi, sekitar jam 8 ke atas.

Sementara itu masalah kerosakan tren di Kuala Lumpur sudah hampir tidak terbendung lagi. Kerajaan harus menyiasat siapa gerangan empunya masalah kerosakan tren semenjak sekian lama. Paling terbaru tren antara Masjid Jamek ke Bandaraya mengalami masalah – sehingga ke hari ini.

Dan masalah tren rosak ini bukan masalah baru. Bagaimana kerajaan mahu menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam jika tren sering sahaja rosak? Justeru itu, masalah ini sekaligus akan mencacatkan atau memberi kesan kepada penganjuran PBAKL sedikit sebanyak.

Dan akhir sekali ialah masalah resesi. Jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus menerus melakukan penjimatan (austerity), maka bolehkah dia bertahan sehingga ke habis penggal atau melepasi nemesis nombor satunya, iaitu 22 bulan?

Anwar harus meniru Najib

Ini tidak boleh dinafikan lagi. Sama ada Anwar mahu membebaskan Najib Razak atau tidak, itu satu persoalan lain. Tetapi adalah satu ironi, jika Najib yang tidaklah terkenal sebagai intelektual atau memetik jargon itu dan ini atau berkawan dengan Qardhawi dan Erdogan, tetapi pada eranya, industri buku di Malaysia lebih makmur dan meriah berbanding era Anwar yang dikatakan sebagai perdana menteri paling banyak membaca buku.

Meskipun Najib tidak ada kemahiran untuk bermain kata-kata, atau memaniskan muluk kata dengan terma-terma seperti Anwar, galakan membaca bukan hanya melalui air liur, tetapi pemberian material supaya rakyat mampu membeli buku.

Pada rakyat diberikan Baucar Buku, untuk membeli buku. Pada penerbit diberikan bantuan My Creative untuk mereka yang memohon. Jadi polisi era Najib tidak tinggal polisi yang tidak diterjemahkan. Ia tidak berbentuk retorik seperti; “hari ini saya menang, esok turun segala-galanya”.

Polisi Baucar Buku itu diberikan seawal 2012 sehingga ke akhir pemerintahan Najib pada 2018, iaitu selama tujuh tahun. Di sini membuktikan Najib tidak berkira atau melaksanakan dasar penjimatan untuk kepentingan rakyat.

Jika Anwar mengatakan apa yang Najib buat itu seperti apa yang Mahathir Mohamad katakan kepada Najib, iaitu Najib memberikan kepada rakyat, cash is king, iaitu seperti BR1M, kenapa polisi BR1M sebegitu masih diteruskan sehingga kini? Bahkan ditukar namanya sahaja, dan juga dikurangkan amaunnya sedikit demi sedikit. Jika rasuah, kenapa teruskan?

Apatah lagi bantuan atau penggalakan terhadap pembacaan, ia mestilah tidak hanya diterjemahkan dengan kata-kata canggih, indah, bombastik di podium, tetapi juga diterjemahkan ke dalam bentuk nyata.

Jika pengikut-pengikut Anwar mengatakan Najib tidak pandai menguruskan ekonomi, kenapa MyCreative yang juga diwujudkan pada 2012 itu masih diteruskan hingga kini, dan sudah melewati empat perdana menteri?

Bukankah ia patut dibatalkan serta merta apabila Mahathir naik sekali lagi menjadi perdana menteri, atau ketika Anwar menjadi perdana menteri? Ini menunjukkan ada dasar dari Najib yang bagus.

Alkisah Baucar Buku

Pada era PN/MN memerintah, Baucar Buku masih ada. Tetapi kewujudannya itu masih sangat malu untuk disebut sebagai ada, kerana itu kalangan yang memerintah pada masa itu tidak begitu mewar-warkan sangat tentang kewujudannya, iaitu baucar yang perlu ditebus, yang bernilai RM10.

Ia seperti RM30 yang diberi oleh Lim Guan Eng ketika menjadi menteri kewangan dalam PH. Persoalannya, buku apa yang boleh dibeli dengan harga RM10 pada hari ini? Sedangkan pada 2014, pada era Najib, Baucar Buku untuk setiap pelajar ialah sebanyak RM250. Beza 250 kali ganda dengan apa yang diberikan oleh rejim selepas Najib.

Jika ada pihak yang menyokong Anwar berhujah mengatakan bahawa penamatan Baucar Buku kerana telah ada laporan pelajar-pelajar menyalahgunakan Baucar Buku tersebut, dengan menukarnya menjadi duit ringgit, maka ambillah tindakan yang wajar.

Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Anwar adalah lepasan Sastera Melayu. Dia lebih faham sangat pepatah ini. Jika ada pihak yang menyalahgunakan Baucar tersebut, siasat dan ambil tindakan dan beri hukuman yang berat. Kerana itu bersifat khianat kepada wang rakyat.

Mungkin pelajar-pelajar itu susah, maka harus disiasat terlebih dahulu apa puncanya mereka menukar Baucar tersebut. Jika tiada alasan yang munasabah, hanya sekadar hendak menunjuk-nunjuk dengan membeli telefon mewah, tindakan dan hukuman keras harus dikenakan. Begitu juga terhadap pihak yang bertanggungjawab membenarkan Baucar itu ditukar, mereka juga harus dikenakan hukuman berat kerana bersubahat.

Ia seperti pondok telefon awam juga jalan raya. Jika pondok telefon awam itu diputuskan atau dirosakkan, dan jalan raya di kampung-kampung digunakan oleh mat-mat rempit untuk berlumba, adakah kerajaan tidak perlu lagi mendirikan pondok telefon awam dan jalan raya?

Sedangkan kegunaan dan kesannya begitu banyak pada masyarakat ramai. Kerana bukan semua orang -terutama yang tua- ada dan pandai menggunakan telefon canggih. Begitu juga ramai dapat memanfaatkan jalan raya. Hukuman keras diberikan kepada yang salah guna.

Berharap kepada pembangkang?

Ataupun katalah berharap kepada Anwar ini begitu susah sama sekali. Seperti mengharapkan kucing bertanduk, atau seperti mencurah air di daun keladi, yang membawa maksud tidak bererti sama sekali, maka adakah kita harus berharap kepada pembangkang supaya membawa atau memperjuangkan isu Baucar Buku ini?

Selain Anwar yang gemar berjargon-jargon, dan mempunyai retorika intelektual atau dilihat menaruh minat pada buku, di blok pembangkang pula, adanya Saifuddin Abdullah yang dari tradisi PKPIM dan juga Wan Ahmad Fahysal yang dilihat sangat menyanjungi dan mengakrabi wacana Al-Attas yang pernah menjadi guru Anwar.

Mungkin dua sosok ini - yang pastinya dicela oleh musuh-musuh politiknya sentiasa - boleh memikirkan sesuatu tentang bagaimana merancakkan industri buku. Antara lain ialah mengembalikan kembali Baucar Buku.

Kita tidak dapat berharap kepada Wan Saiful Wan Jan dalam hal ini, meskipun dia gemar menunjukkan dirinya sebagai seorang intelektual, kerana selain dia pro pada pasaran bebas, dia sangat obsesif pada pelajar harus membayar PTPTN ketika dia di dalam kerajaan satu masa dahulu. Kita tidak dapat berharap pada orang sebegini untuk mengembalikan Baucar Buku.

Pembangkang harus berhenti memainkan isu-isu sentimen yang bersifat sektarian dan hal-hal yang tidak berfaedah. Selain patut memikirkan urusan air bersih di Kelantan yang belum selesai-selesai, memikirkan tentang industri buku di Malaysia patut jadi topik yang segar dan bugar di Malaysia. Barulah menampakkan barisan pembangkang kita ialah sekumpulan orang yang masih waras dan cerdik, mempunyai wawasan dan masa depan.

James Freeman Clarke pernah berkata, “A politician thinks of the next election; a statesman thinks of the next generation.”


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.