Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Ketika DAP tak lagi komunis dan Umno tak lagi rasis

KOLUM | Politik Malaysia kian ‘absurd’ jika mahu meminjam terma Albert Camus, pemikir atau novelis eksistensialis terkenal itu.

Politik Malaysia yang tidaklah begitu kental prinsip dan ideologinya menampakkan ciri yang absurd apabila Mahathir mengumumkan Deklarasi Rakyat pada 2016, dan seterusnya disertai musuh-musuh bebuyutannya selama ini.

Baik tokoh politik parti, NGO mahupun NGI. Dan kesemua mereka berhujah, berdebat, berdalil, dan berdalih dalam memberikan 1,001 alasan kenapa perlu menyokong Mahathir. Kemuncaknya ialah pada hari isnin, 5 Sept 2016 apabila Mahathir bertemu dengan Anwar dan berjabat tangan.

Kata isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pemimpin itu selepas 18 tahun tiga hari semenjak 3 September 1998.

Kemudian selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang tidak terjangkakan - termasuk oleh Najib Razak yang memiliki di bawahnya seluruh jentera berkuasa - Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi dan diapit oleh musuh-musuh politiknya sebelum ini, yang ketika itu dilantik menjadi pelbagai jawatan menteri kanan.

Peleraiannya dalam bab ke-’absurd’-an Mahathir ini, apabila Mahathir meletakkan jawatan, maka gerhanalah politik Malaysia pada awal tahun 2020 sebelum kemunculan Covid-19.

Sekali lagi absurd dalam politik Malaysia apabila Anwar menjadi perdana menteri yang ke-10 sementara timbalannya pula ialah Ahmad Zahid Hamidi dari Umno. Umno ketika dalam ceramah-ceramah politik menjelang PRU ke-15, dibahan begitu teruk oleh jentera PH. Begitu juga sebaliknya.

Bahkan Khairy Jamaluddin sendiri ketika berkempen di Sungai Buloh, tidak mahu lagi Zahid menjadi presiden Umno. Khairy mahu memisahkan dirinya daripada Zahid yang dianggap bawa petaka kepada Umno selepas Najib.

Akibatnya, selepas pilihan raya, Khairy pula yang dibuang dari Umno. Sementara Zahid yang begitu banyak kes mahkamah, dianggap sebagai hero oleh kebanyakan penyokong PH, dan dibalas sokongan Zahid kepada berdirinya Kerajaan Perpaduan dengan menjadikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri.

Lagu “hoi-hoi-ya-hoi” dendangan Altimet yang pernah dinyanyikan oleh Anwar, terus mati tanpa nesan, hilang tidak dikesan.

Ke-’absurd’-an politik Malaysia masih belum berakhir.

Tak pernah dilihat sejak Merdeka

Pada 14 Mei 2023, telah berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan di ‘rumah’ Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Umno telah membina ‘rumah’ di situ semenjak sekian lama. Dan dalam semenjak sekian lama itulah, rumah itu belum pernah menerima DAP sebagai antara tetamu kehormat mereka.

Tetapi bak kata Presiden Amanah Mohamad Sabu, politik ialah seni serba mungkin. Ayat-ayat pragmatik sebegini, kadangkala menggelikan, kadangkala menjengkelkan.

Walaupun apabila menyaksikan Mohamad Sabu mewakili Amanah berceramah di pentas yang sama dengan Umno di Tioman pada 1 Dis 2022 itu agak aneh dan pelik, ia tidaklah lebih pelik dan aneh apabila menyaksikan DAP dan Umno yang selama ini berpuluh-puluh tahun bermusuhan, kembali mendakap erat antara satu sama lain.

Umno memanggil DAP sebagai komunis, meskipun Umno yang selama ini membuat hubungan politik antara Malaysia dan kerajaan China yang komunis. DAP sekali-kali tidak menyetujui terma atau ejekan ini.

DAP lebih pro-Taiwan berbanding China. DAP itu sendiri lahir dari ‘perut’ PAP (yang sebelum itu masih lagi di Malaysia, sebelum Singapura keluar daripada Malaysia) yang banyak menangkap tokoh-tokoh dan aktivis berhaluan kiri, termasuk Said Zahari.

Umno dan DAP sama-sama anti komunis dan kiri, meskipun ada sahaja orang dan juga idea-idea kiri menyelinap ke dalam pemikiran mereka.

Sementara DAP pula memanggil Umno sebagai rasis sekian lama. Akhirnya kutukan rasis itupun terpadam apabila pemimpin-pemimpin mereka pun tersembam ke dalam rumah Umno.

Ini ialah ke-’absurd’-an politik Malaysia yang tidak pernah terlihat semenjak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957.

Kita tidak pelik mana jika kerjasama DAP itu dengan parti-parti pembangkang lain selama ini. Hal seperti ini sememangnya telah berlaku lama, sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi.

Kerjasama antara pembangkang yang beraliran keras dan radikal baik Melayu dan bukan Melayu pernah berlangsung sebelum ini, seperti Putera dan AMCJA. Seterusnya dalam Barisan Sosialis iaitu antara Parti Buruh (lebih ramai Cina) dan Partai Rakyat Malaya (lebih ramai Melayu) selepas Tanah Melayu merdeka.

Kerjasama ini membuahkan hasil, tetapi belum sampai ke tingkat memegang kekuasaan pusat. Ketika ini kecenderungan ideologi pihak pembangkang masih ketara kekiriannya.

Hanyasanya pada 1990, kerjasama di antara parti pembangkang, sudah melangkahi sempadan ideologi. Kerusi mesti dimenangi, kerana itu ideologi tidak boleh lebih tinggi dari kerusi.

Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menjadi pemimpin pembangkang, tatkala Anwar menjadi ayam tambatan dan anak emas kesayangan Dr Mahathir Mohamad. Ku Li membentuk Semangat 46, dan berkolaborasi dengan PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), sementara DAP yang tidak menyukai PAS, hanya bergabung dengan Ku Li dan Semangat 46 dalam Gagasan Rakyat, yang turut dianggotai oleh PRM.

APU berjaya di Kelantan dengan menobatkan PAS sebagai pemenang sehingga ke hari ini, tetapi Gagasan Rakyat gagal.

Pada 1999, akibat isu Anwar Ibrahim yang dimalukan dan diaibkan oleh Mahathir yang sebelumnya sangat menyayangi Anwar, hasil inisiatif Fadhil Noor, maka PAS dan DAP kemudian bekerjasama dalam Barisan Alternatif. Kedua-dua parti yang berkeras dengan ideologi masing-masing ini akhirnya dapat bekerjasama.

Pada 2004, Barisan Alternatif berpecah, pada 2008 PAS dan DAP kembali bekerjasama dalam Pakatan Rakyat, sebelum berpecah kembali. Tiada siapa yang menyangka pada 2016, selepas PAS dan DAP sama-sama membawa diri, DAP akhirnya bekerjasama dengan Mahathir, sosok yang mereka paling benci selama-lama ini, bahkan dalam Operasi Lalang pernah menangkap pemimpin-pemimpin mereka, antaranya seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh.

DAP dijemput masuk ‘rumah’ Umno

Perkara yang lebih mengejutkan selepas itu ialah pada 2023, Umno membuka pintu gerbangnya kepada ahli dan para pemimpin DAP untuk berkonvensyen bersama-sama mereka, dalam mewujudkan Kerajaan Madani. Ia seolah-olah seperti Penaklukan Kota Mekah.

Adakah ini baik?

Ya. Ini satu persoalan yang lain, bukan persoalan tentang ideologi dan prinsip. Tetapi adakah hal ini baik?

Ya. Nampaknya begitu. Secara permukaan, ia nampak dan sememangnya baik. Sekiranya masing-masing ahli tidak sekadar diberikan jawapan politik ialah “seni serba mungkin”, atau “hari ini kawan, esok lawan”. Retorika sebegini ialah retorika paling tidak ada prinsip, paling tidak senonoh, asal boleh, dan tidak berfaedah sama sekali untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang teguh dan mempunyai pendirian.

Retorika sebegini ialah retorika sementara yang tidak efektif yang telah menggagalkan Barisan Alternatif dan juga Pakatan Rakyat. Bahkan Pakatan Harapan juga kita tidak memastikan ekor dan kepalanya, tatkala yang lebih diwar-warkan pada hari ini ialah Kerajaan Perpaduan dan Madani, yang kedua-dua ini ialah ciptaan Anwar, sementara Pakatan Harapan sebelum ini diasaskan dan diketuai oleh Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

Baik DAP dan Umno, kedua-dua parti ini harus jujur dengan ahli mereka masing-masing. Harus memberikan kesedaran atau kelas politik yang mencerdikkan ahli, bahawa DAP bukan komunis dan Umno bukan rasis.

Memikirkan kepentingan kaum sendiri tidaklah rasis apatah lagi komunis, cumanya sejauh mana fikiran itu dan adakah bererti pengabaian kepada kaum lain? Persoalan-persoalan nasional harus dibincangkan secara saksama.

Jika Anwar dikatakan sangat berkarisma kerana berjaya mendudukkan Umno dan DAP sepertimana dulunya dia mendudukkan PAS dan DAP, ini adalah masa yang baik untuk memikirkan penyatuan dan perpaduan yang selama ini dirosakkan fabriknya oleh entiti-entiti politik yang berkepentingan.

Supaya apabila Umno atau DAP ditendang keluar dari gabungan atau kerajaan selepas ini, masing-masing tidak lagi mengatakan Umno rasis, DAP komunis.

Bak kata Awie, ini semua poyo!


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.