Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Musang king dan politikus manja

KOLUM | "Alahh... awok tade duit, sebab tu awok kata durian kampung sedak," kata seorang sahabat kepada sahabat kami yang lain. Mereka berbual mengenai durian.

Yang seorang mengatakan bahawa musang king adalah 'king' manakala yang seorang lagi mempertahankan durian kampung.

Kami sendiri adalah penyokong musang king. Tiap kali melalui lebuh raya di pantai timur kami akan berusaha untuk singgah makan seulas dua durian tersebut.

Dulu-dulu kami akan singgah di gerai berhadapan stesen minyak Petronas di Bentong ketika menghala ke Kuantan. Ada dua tiga gerai betul-betul mengadap replika raja buah itu.

Katanya replika tersebut adalah replika durian yang terbesar di dunia.

Akhir-akhir ini kami akan singgah di Bukit Tinggi. Gerai tersebut terletak di tepi jalan utama Bukit Tinggi. Ia boleh dimasuki dari kedua-dua arah sama ada untuk ke Kuala Lumpur atau pun ke Pantai Timur.

Harganya sedikit murah berbanding yang dijual di gerai satu lagi itu. Mungkin kerana yang dijual di Bukit Tinggi adalah dari kumpulan gred yang lebih rendah.

Hasil negara sendiri terlalu mahal

Gred musang king ditentukan mengikut saiz. Kami agak kerana yang di Bukit Tinggi lebih kecil jika dibandingkan dengan buah yang dijual di tepi lebuh raya di Bentong.

Raja durian itu kebanyakan dijual oleh peniaga dari bangsa Cina. Jarang kami temui peniaga Melayu menjual musang king di gerai-gerai di sepanjang LPT.

Mungkin ada di tempat lain.

Mitos yang mengatakan bahawa peniaga durian berbangsa Cina tidak memakan musang king kerana banyaknya racun yang digunakan untuk menanamnya terbatal kerana kami menyaksikan sendiri betapa anak Ah Soo akan segera membuka sebiji durian jualannya untuk dimakan sebaik saja ibunya tidak ada di gerai mereka.

Kita hairan juga apabila semua hasil dari negara kita sendiri akan menjadi terlalu mahal.

Musang king dan ikan patin adalah contoh.

Patin sangkar dijual sehingga RM15 sepotong, dan musang king pula kadangkala mencecah RM60 hingga RM70 setiap kilogram.

Bagaimana agaknya keresahan hidup orang Temerloh yang katannya tidak boleh hidup tanpa gulai masamnya itu dengan harga sedemikian rupa?

Hari ini sudah banyak negara yang menanam durian.

Di Costa Rica terdapat sebuah ladang peribadi seorang lelaki yang menanam segala jenis durian. Walaupun ia tidak berskala besar seperti yang berlaku di negara kita, ladang tersebut kini mula menjadi tumpuan penduduk setempat.

Durian dari kumpulan D dijual pada harga antara RM4 hingga RM5 sekilo manakala musang king pula dijual dengan harga sekali ganda lebih tinggi.

Di Maui juga telah ditanam pelbagai jenis durian manakala sebuah ladang durian yang besar sudah berpuluh tahun diusahakan di Australia.

Di Pahang - terutama di daerah Raub - kini sedang giat dibuka ladang-ladang baru untuk menanam musang king sehingga ada beberapa syarikat yang dulunya mengusahakan kelapa sawit telah menukarnya dengan durian.

Pokok manja

Mereka menanam durian dalam skala yang sangat besar hingga beratus-ratus hektar. Itu belum dikira lagi dengan ladang persendirian dan juga ladang haram namun kita masih belum mendapati harga musang king menurun.

Untuk berlaku adil, musang king adalah antara tanaman yang sukar dijaga. Ia agak kuat merajuk, sentiasa mahukan perhatian dengan air dan baja tidak boleh berkurangan.

Pokok musang king memang sangat manja, sama macam kamu dan ahli politik pujaan kamu.

Silap sedikit pokoknya akan mati atau mengugut untuk menukar kerajaan kerana kamu yakin bahawa kerajaan akan datang tentu akan lebih baik dari yang lepas-lepas dan yang ada kini.

Padahal kita ini semuanya telah ditipu sejak sebelum merdeka lagi, sedangkan ahli politik kerjanya hanya berebut kuasa untuk kekal relevan. Bimbang keseorang tidak disokong walaupun di kubur nanti mereka akan tetap sepi sendirian.

Eh! Ke situ pula. Maaf, kami agak emosional. Maklumlah masih dalam suasana hari raya.

Saingan terdekat durian kita semestinya datang dari Thailand. Negara Gajah Putih itu sudah lama terkenal dalam bidang pertanian. Mereka menghasilkan buah-buahan tanpa mengikut musim.

Lihat saja betapa gerai-gerai buah di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan itu yang tidak pernah kekurangan bekalan. Namun begitu satu kekurangan petani Thailand ialah, mereka sangat gemar memeram hasil tanaman sebelum dijual.

Ilmu itu juga dipakai oleh penanam mempelam harumanis di Perlis.

Apa nak dihairankan, Sahidan Kassim pun mereka ikut, inikan pula ilmu pokok dari Siam!

Tewas bab manis

Memakan durian peram tentu saja berbeza nikmatnya dengan durian yang gugur selepas masak. Hal itu diakui sendiri oleh peladang dari Costa Rica yang kami ceritakan awal tadi.

Kami pernah bertanya seorang penduduk Thai mengapa mereka tidak menunggu sehingga buah tersebut gugur sendiri, bukannya dipetik untuk diperam.

Lalu dia menjawab, memang begitulah cara mereka menuai buah-buahan di negara atas sana.

Mungkin kerana itu durian mereka - walaupun berisi tebal - masih tewas dalam bab manis, gas dan pahitnya berbanding durian kita.

Sehingga mereka menemui keenakan durian masak di pokok sebagai hak yang nyata bagi buah tersebut, kita semua boleh berbangga sebagai rakyat sebuah negara yang mengeluarkan durian paling sedap di dunia.

Jika ke Indonesia dan kebetulan musim durian, kami tidak pernah mempunyai keinginan untuk mencuba. Mungkin kerana durian yang dijual di sana biasanya kelihatan agak lanjut usia. Hitam dan tidak 'mengundang'.

Di luar negara, jika kamu gemar membeli-belah di pasara raya kecil milik orang Asia, kamu akan menemui sebiji dua durian yang dijual. Biasanya ia datang dari Thai.

Mereka telah lama mengeksport hasil bumi sendiri walaupun dalam skala yang agak kecil berbanding kita yang baru memulakannya dengan durian sekarang.

China kekal menjadi pengimport terbesar durian dari negara kita, dan kita juga sedang giat berusaha memenuhi selera rakyat negara itu.

Kami hanya tahu durian dan kuini yang bila masak akan gugur. Kerana itu apabila diceritakan bagaimana terdapat satu kaum yang dimusnahkan oleh tuhan kerana ingkar suatu masa dulu, yang tahu bila hasil tanaman mereka akan gugur, bila sedia untuk dituai, lalu mereka tinggal menunggu di bawah pokok untuk mengutip hasil, kami jadi terfikir bahawa mungkin kaum itu juga menanam durian.

Jika kamu bersetuju dengan kebodohan kami itu, maka bolehlah kamu masukkan durian - selain kayu kapal Nabi Nuh yang kamu katakan datang dari hutan belakang rumah kamu itu, dan pedang Nabi SAW yang dikatakan ditempa di Kedah - sebagai tanda hebatnya hubungan Tanah Melayu yang kamu banggakan ini dengan Islam.

Alahh, macam kamu bangga sangat dengan Panglima Awang yang entah betul entah ke tidak itu.


ABDULLLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.