Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Konsep Rahmah: Bukan Mahathir atau Anwar tapi Mujahid

KOLUM | Orang Melayu ada peribahasa: “Lembu punya susu, sapi dapat nama.“

Makna peribahasa itu adalah seseorang mendapat nama hasil usaha orang lain.

Mungkin maksud peribahasa ini lebih tepat untuk dipersembahkan kepada Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim apabila menyatakan bahawa konsep Rahmah adalah cetusan Dr Mahathir Mohamad.

Lalu, cuba dinafikan peranan Anwar Ibrahim terhadap konsep berkenaan.

Saya kira, Anwar Ibrahim tidak pernah mendakwa konsep itu datang daripada beliau.

Mungkin makalah ringkas ini, saya mahu menjelaskan serba sedikit maklumat berkenaan konsep Rahmah berdasarkan maklumat yang saya ada.

Tidak dinafikan bahawa konsep rahmah adalah cetusan dari satu ayat al-Quran; iaitu ayat ke-107 dari surah al-Anbiya:

“Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat sekalian alam.”

Sudah sekian lama diperjelaskan oleh ramai ulama-ulama Islam terhadap pemaknaan ayat ini.

Namun, mengangkat ayat ini sebagai tema utama dalam melawan naratif ekstrimisme dan terorisme, dimulai oleh al-Syaikh Dr Said Ramadan al-Buti menerusi kitab beliau yang bertajuk “al-Jihad fi al-Islam.”

Kitab ini awal diterbitkan pada tahun 1993. Kitab ini ditulis sebagai bantahan pentafsiran ektrimis dan teroris terhadap al-Quran dan hadis.

Ketika kalangan teroris dan eksremis mentafsirkan agama tanpa metode serta kaedah usul yang tepat, Syaikh Dr Said Ramadan al-Buti mengemukakan konsep rahmat sekelian alam sebagai tema utama dalam menolak pentafsiran tersebut.

Konsep ini diangkat ramai ulama-ulama Islam di dunia selepas itu, seperti Syaikh Usama al-Azhari, Habib Ali al-Jufri, Syaikh Ben Bayyah dan ramai lagi. Hal ini kita akan nampak dalam banyak ucapan dan tulisan mereka.

Muslim demokrat

Dalam usaha melawan naratif ekstremis agama, antara polemik besar adalah pemikiran muslim teokrat.

Hal ini ada pengaruh secara langsung dengan pemikiran Wilayatul Faqih yang diperkenalkan sekitar tahun awal tahun 1980 an oleh Ayatollah Khomeini (gambar, bawah) selepas kejatuhan Syah Iran pada tahun 1979.

Ia juga adalah pengaruh secara tidak langsung dengan konsep teodemokrasi yang diperkenalkan oleh Maududi pada awal pembentukan negara Pakistan.

Hal ini boleh dibaca daripada dua karya beliau yang bertajuk “al-Hukumah al-Islamiyah” dan “al-Qanun al-Islami wa Turuq al-Tanfizihi Fi Bakistan.”

Pemikiran Wilayatul Faqih meletakkan asas bahawa penentuan keputusan bernegara semestinya diberi kata putus oleh wakil Tuhan di dunia yang Khomeini membariskan 12 orang ayatollah Iran daripada aliran Usuli sebagai ganti terhadap keghaiban Imam Maksum yang terakhir.

Pemikiran ini dianggap penting dalam wacana Iran kerana rata-rata rakyat Iran bermazhab syiah yang percaya bahawa tidak boleh memerintah negara tanpa kehadiran Imam Maksum.

Justeru, konsep ini diperkenalkan agar negara Iran tidak terlepas daripada tangan penggerak revolusi pada tahun 1979 yang lalu.

Tidak semua ulama-ulama syiah di Iran yang bersetuju. Kalangan ayatollah Iran daripada kalangan konservatif yang dikenali sebagai akbari tidak menerima, sedangkan daripada kalangan usuli pula terbahagi kepada dua kumpulan.

Pertama, kalangan yang prorevolusi, mereka menerimanya. Kedua, kalangan yang antirevolusi pula menolak.

Pengaruh pemikiran Wilayatul Faqih ini mula diperkenalkan di Malaysia dalam sekitar tahun 1982. Makanya di Malaysia mula kedengaran konsep “Kepimpinan Ulama” yang diterjemah dari perkataan “Wilayatul Faqih” Iran.

Hal ini pernah dicoret oleh Allahyarham Asri Muda (gambar, bawah) dalam buku “Memoir Politik Asri” dan buku “Quo Vadis PAS?” Susunan Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah.

Masalah besar terhadap pemikiran ini adalah tidak sedikit penganutnya terjebak dengan pemikiran eksremisme seperti menuduh perlembagaan sesebuah negara tertentu sebagai taghut dan jahiliyyah, bahkan takfir terhadap kalangan yang berbeza dengan idealogi mereka.

Justeru, antitesis terhadap pemikiran Muslim teokrat yang membuka ruangan kepada ekstremisme ini, maka diperkenalkan konsep muslim demokrat.

Saya tidak pasti, siapa yang memperkenalkan terminologi Muslim Demokrat ini; apakah Anwar Ibrahim atau Syaikh Rashid Ghannouchi?

Dalam buku “Anwar Ibrahim: Penampilan Demokrat Muslim,” karya Charles Allers menyebut bahawa Anwar Ibrahim memperkenalkan terminologi itu sebelum tercetusnya Arab Spring, sedangkan Syaikh Rashid Ghannouchi bercakap berkenaan Muslim demokrat selepas parti al-Nahdhah yang beliau dokongi menguasai Tunisia – iaitu selepas Arab Spring.

Dari sudut perkembangan politik Malaysia, terma rahmah ini diperkenalkan oleh parti Amanah.

Pemimpinnya Dr Mujahid Yusof antara yang bertanggungjawab memperkenalkan terma itu pada awal penubuhan parti tersebut.

Ini sehinggalah dijadikan konsep bernegara ketika era beliau menjadi salah seorang menteri dalam kerajaan yang diterajui perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semasa awal penubuhan parti Amanah, Dr Mahathir belum lagi bergabung dengan Pakatan Harapan.

Ketika slogan rahmat sekelian alam diperkenalkan, Dr Mahathir masih lagi sibuk bergaduh dengan Najib dan masih belum menerima Pakatan Harapan sebagai rakan politik.

Apabila terbentuk kerajaan Pakatan Harapan yang mana Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri, tidak mudah juga untuk Mujahid mengangkat konsep Rahmah.

Sebabnya, pada peringkat awal, Mahathir dikatakan kurang selesa dengan konsep tersebut.

Namun, usaha Mujahid daripada parti Amanah berjaya membawa konsep itu sehingga menjadi dasar rasmi negara.

Mengenai ucapan perasmian Tilawah & Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020, Dr Mahathir hanya baca teks yang ditulis oleh pihak Mujahid, bukan secara aslinya daripada perdana menteri

Lebih menarik lagi, tema rahmah ini berjaya diperkenalkan oleh Salahuddin Ayub yang juga daripada parti Amanah bagi menyantuni rakyat yang kurang berkemampuan pada era Kerajaan Perpaduan yang perdana menterinya adalah Anwar Ibrahim.

Lebih menarik, jika konsep madani menjadikan kemanusiaan sebagai tonggak, makanya pendekatan Rahmah pula dilihat sebagai penyempurnanya.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.