Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Kunjungi rumah ibadat bukan Muslim 

Saya tidak tahu, bagaimana kunjungan rumah ibadat bukan Muslim ini menjadi isu di Malaysia. Saya hanya tahu isu ini, apabila saya membaca laporan berita berkenaan komentar Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kemudian laporan berita berkenaan komentar dari Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Apabila saya ganding dan bandingkan semua laporan berita, saya dapati kenyataan Tuanku Sultan Johor dan Tuanku Sultan Selangor ini jauh lebih bertepatan dengan hasrat mewujudkan negara yang aman damai serta mempunyai hubungan harmoni antara warganegara yang pelbagai anutan agama dan bangsa.

Mungkin dalam makalah ringkas ini saya memberi komentar dalam dua hal.

Pengalaman peribadi

Sejak saya masuk PKR, saya berhadapan dengan dilema cara faham Islam saya semasa dalam PAS dahulu. Hal ini kerana, dalam PKR, hubungan kepelbagaian kaum dan anutan agama agak rencam.

Kenalan saya dari warga bukan Muslim semakin bertambah. Saya mula berwacana dan mendengar kupasan dan sudut pandang warga bukan Muslim terhadap Islam.

Sebagai orang yang berpendidikan Islam sejak dari kecil. Perkara utama yang perlu dibezakan adalah dua perkara penting

(1) Hakikat Islam

(2) cara faham terhadap Islam yang dipengaruhi faktor luaran, seperti sentimen kepartian yang melingkungi kehidupan kita sehari-hari.

Saya mula sedar, cara faham Islam saya sebelum masuk PKR banyak dipengaruhi cara fikir PAS yang selalu memaksa agar menganggap kebenaran Islam itu hanya datang dari versi mereka, walaupun kadangkala masih lagi dalam ruangan ijtihad.

Sejak dari itu, saya mula muhasabah cara faham saya terhadap Islam di era saya dalam PAS dengan dibandingkan dengan pentafsiran ulama-ulama muktabar dari karya turath dan karya kontemporari.

Sejak itu, saya mula percaya bahawa kekalutan warganegara Malaysia dalam isu kaum dan agama adalah sikap prejudis kita terhadap kalangan yang berbeza dengan kita. Orang Islam selalu ditanam sikap prejudis dalam melihat penganut agama lain; penganut agama lain juga ditanam dengan sikap yang sama. 

Kita amat kurang dalam usaha hendak memahami antara satu dengan yang lain. Penganut Islam tidak berminat untuk memahami penganut hindu; Penganut hindu terhadap agama Islam; penganut kristian terhadap agama Islam dan begitulah selanjutnya.

Apabila kita tidak saling memahami, makanya kita mula ada sikap prejudis. Prejudis yang berasaskan tidak saling mengenali.

Ekoran itu, dalam sekitar tahun 2019 yang lalu, saya mula mengadakan banyak kunjungan terhadap teman-teman bukan Muslim untuk memperkenalkan Islam yang saya faham kepada mereka. Saya mewujudkan kelas-kelas pengajian Islam berbentuk kursus selama dua hari, sehingga saya pernah adakan kelas pengajian Islam di salah sebuah gereja di negeri Sembilan.

Dalam kelas-kelas yang saya anjurkan itu, saya membuka soal jawab. Dari situ saya dapati, masalah besar prejudis sesama kita adalah akibat kita kurang adakan dialog dan tidak berminat untuk saling mengenali.

Bagi mereka yang suka membaca dan meneliti pandangan Syaikh Abdullah Bayyah, pasti mereka akan berjumpa beberapa wacana beliau yang menyebut berkenaan mencapai keamanan dalam kepelbagaian. Beliau secara konsisten menyebut berkenaan isu dialog dan usaha saling mengenali.

Dengan sebab itu, saya amat bersetuju dengan komentar Tuanku Sultan Johor dan Tuanku Sultan Selangor dalam isu ini.

Hubungan warganegara

Di Malaysia, hubungan sesama warganegara sering dijadikan asas perselisihan. Kadangkala perselisihan itu menjadi pelambat terhadap kemajuan umat Islam di negara ini.

Berdasarkan pengamatan peribadi, saya berpendapat bahawa permainan secara tidak sihat serta tidak bertanggungjawab oleh parti-parti politik tertentu yang menjadikan hubungan kepelbagaian anutan agama dan kaum di Malaysia sering tidak berkesudahan.

Semasa menuntut di Pakistan dahulu, saya masih ingat bagaimana kepelbagaian aliran mazhab menjadikan modal oleh ahli politik untuk menutup kelemahan diri mereka. Di sana tidak ada isu kaum kerana mereka hanya satu bangsa sahaja. Juga tidak ada isu agama, kerana hampir semua rakyatnya menganut agama Islam. Tetapi mereka mempunyai masalah dari sudut hubungan antara penganut mazhab.

Di era saya di sana, ada suatu kejadian bahawa rasuah Nawaz Syarif sudah tersebar di media awam. Beberapa hari kemudian, keluar pula laporan berita berkenaan lapan orang penganut Syiah ditembak di sebuah masjid Syiah di Karachi ketika sedang menunaikan solat Subuh. Dengan kejadian itu, warga Syiah menuduh perilaku itu dari kalangan penganut Sunni. Dari situ, berlaku perbalahan dua penganut mazhab besar di Pakistan sehingga isu skandal rasuah Nawaz Sharif tenggelam dari wacana awam rakyat Pakistan.

Selepas Nawaz Sharif digulingkan oleh Pervez Musharraf, siasatan terhadap kejadian tersebut dilakukan. Hasil siasatan, didapati yang melakukan kejadian itu bukan penganut sunni, tetapi orang upahan Nawaz Sharif.

Politik di Pakistan amat keras. Kita bersyukur kepada Allah, suasana politik sekeras itu tidak berlaku di Malaysia. 

Bagaimanapun, saya dapati bagaimana sentimen mazhab itu dimainkan sedemikian rupa oleh ahli politik di sana. Hal yang hampir sama cuba dilakukan oleh sebilangan ahli politik di Malaysia. Pada saya, ia amat tidak bertanggungjawab pada negara dan agama.

Politik untuk umat

Saya kira, kita perlu kembali kepada asas dan tujuan bagi politik. Allal al-Fasi dalam karya beliau bertajuk Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarimuha ada menyebut bahawa asas bagi politik itu adalah

A. Perlu laksanakan keadilan serta mengakui keadilan pihak lain.

B. Berikan hak kepada yang berhak.

C. Urus tadbir negara dengan baik.

Apabila kita renung politik dalam definisi Allal al-Fasi ini, kita boleh simpulkan bahawa tujuan bagi politik itu adalah mewujudkan kebaikan kepada rakyat. Ia sama seperti yang disebut oleh al-Qaradawi dalam karya beliau yang bertajuk al-Siyasah al-Syariyyah Fi Dhaw al-Nusus al-Syariah Wa Maqasidiha bahawa politik itu adalah “melaksanakan sesuatu perkara demi kemaslahatan rakyat”.

Bagaimana untuk kita mahu mencapai kebaikan dan keamanan dalam negara kita?

Sebarang unsur yang boleh mewujudkan prejudis sesama penganut agama dalam kalangan warganegara ini perlu dikekang, serta setiap warganegara perlu berusaha untuk mewujudkan persefahaman sesama kita. Justeru, apa yang dikomentarkan oleh Tuanku Sultan Johor dan Tuanku Sultan Selangor wajar direnung oleh setiap warganegara ini.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.