KOLUM | Puasa dan ekonomi rakyat bawahan
Seperti kebiasaan di mana-mana negara yang majoritinya ialah rakyat beragama Islam, setiap tahun pastinya akan tiba bulan Ramadan selama sebulan. Di negara-negara yang majoritinya bukan Islam pula, Ramadan disambut oleh mereka yang menganut Islam sahaja, dalam jumlah yang lebih kecil berbanding di negara-negara yang majoritinya rakyat beragama Islam.
Ramadan ialah nama kepada bulan puasa dalam Islam. Dan puasa pula ialah ibadah wajib pada mereka yang beragama Islam sepertimana sembahyang, berzakat dan lain-lain lagi. Kewajiban ini terkandung dalam Rukun Islam. Tetapi ada juga rukhsah (keringanan/kelonggaran) untuk tidak berpuasa kepada orang yang sakit/lemah badan, orang yangbermusafir, orang yang tersangat tua, perempuan yang haid, dan juga perempuan yang sedang mengandung. Selain itu anak-anak yang kecil juga, yang belum baligh (cukup umur) tidak diwajibkan berpuasa.
Dalam negara majmuk seperti Malaysia, hal ini sepatutnya tidak menjadi masalah apabila agama itu dihayati ke dalam diri, bahkan ia mewarna-warnikan lagi Malaysia dengan pelbagai budaya, bangsa, bahasa dan agama, yang sangat berbeza atau jarang ditemui di mana-mana negara majoriti umat Islam.
Tetapi apabila agama itu dipaksakan, yang tadinya unik dan menarik pun jadi jelik. Maka jadilah sesuatu amal perbuatan itu dizahirkan sekadar untuk sebuah pertunjukan. Bila agama itu menjadi suatu paksaan yang dipaksa-paksakan ke atas umat, yang akhirnya menekan perasaan dan melahirkan individu yang berpura-pura dan tidak ikhlas dalam melakukan ibadat.
Ini yang terjadi bila ia bukan sesuatu yang ikhlas dari lubuk hati. Jika negara dan seluruh aparatnya tidak mengawasi sesuatu perbuatan itu, pasti perbuatan itu akan ditinggalkan. Ini kesan bila sesuatu perbuatan itu tidak benar-benar meresap ke dalam hati.
Sekolah kebangsaan dan kantin sekolah
Kerana itu sekolah kebangsaan menjadi sepi dan hambar untuk menerima pelajar-pelajar bukan Melayu dan bukan Islam, apabila amalan puasa diterapkan kepada kanak-kanak, kantin sekolah juga ditutup operasinya. Sedangkan di sana juga, masih ada pelajar-pelajar yang bukan Islam, jadi kenapa kantin harus ditutup? Tidakkah itu menzalimi hak mereka?
Amalan orang Islam, harus kekal menjadi amalan orang Islam. Bukan dipaksakan atau didoktrinkan secara halus untuk mereka yang bukan Islam, jika kita mahu lebih ramai orang bukan Melayu dan bukan Islam memasuki atau menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sekolah-sekolah kebangsaan harus dihentikan serta merta upaya dan usaha untuk mengagamakan sekolah tersebut.
Apatah lagi bila kantin ditutup, persoalan yang paling asas ialah, apa pula nasib mereka yang bekerja di kantin-kantin sekolah? Dalam statistik Kementerian Pendidikan, jumlah Sekolah Rendah Kebangsaan ialah sebanyak 7780 dan jumlah Sekolah Menengah Kebangsaan pula berjumlah 2440. Statistik ini pada 31 Julai 2020. Dicampur kedua jumlah ini, ialah 10,220 Sekolah Kebangsaan yang bererti 10,220 kantin.
Kerana tidak ada sekolah tanpa kantin, melainkan sekolah itu ialah sekolah memandu. Jika ada sekolah, pasti ada kantin sekolah. Kerana ada manusia berjam-jam akan berada di situ. Kantin disediakan di sekolah kerana ada manusia, yang akan berasa lapar. Itu fungsi kantin selama-lama ini. Dan apa pula nasib pada pekerja-pekerja kantin ini?
Jika satu kantin hanya ada maksima dua orang pekerja, apa jadi pada 20,440 pekerja kantin ini? Dan sudah tentulah pekerja-pekerja kantin lebih daripada dua orang pada satu-satu kantin. Adakah pihak berwajib yang hendak menyekat, menutup dan memaksakan para pelajarnya supaya berpuasa dan menutup kantin, memikirkan persoalan ini?
Ini jadinya bila agama muncul dalam bentuk paksaan, tanpa pemikiran dan perasaan, bukan suatu penghayatan. Agama muncul dalam pesta-pestaan, dalam sambutan, dalam kerumunan, bukan penghayatan atau perenungan insan.
Bagaimana pula dengan mereka-mereka yang gastrik, haid dan sebagainya lagi di sekolah-sekolah? Adakah mereka juga dinafikan hak untuk makan dan minum?
Antara tujuan berpuasa, selain ta’abbud (beribadah) kepada Allah ialah juga untuk mengenangkan dan mengingat bahawa ada ramai lagi orang yang lapar di dunia ini. Tetapi ketika kita berpuasa, kita menyekat pula orang yang ada masalah kelaparan seperti gastrik.
Jadi puasa kita itu bukan untuk diri sendiri dan ikhlas kerana Allah, tetapi kerana orang lain, kerana hendak memaksa orang lain juga untuk berpuasa.
Duit dibazirkan
Kita juga banyak membazirkan duit untuk membiayai polis-polis puasa, (kita bukan sahaja ada polis-polis moral dan polis-polis akidah) yang kerjanya menangkap orang yang tidak berpuasa. Pada ketika inilah birokrat-birokrat agama nampak fungsinya, menunjukkan mereka seperti tiada fungsi-fungsi yang lain selain fungsi ini. Walhal puasa kepada Allah ini harusnya lebih ikhlas. Bukan kerana ditakut-takutkan pada ancaman dan tangkapan polis-polis puasa.
Hal yang sama seperti di kantin sekolah tadi juga harus menjadi sesuatu untuk difikirkan pihak berwajib. Kerana bukan semua orang atau peniaga makanan yang berniaga di bazar. Bukan semua orang mendapat tempat atau tapak berniaga di bazar. Bila ekonomi mereka disekat, bukankah itu juga penindasan?
Jika mereka tidak menjual makanan, apa yang mereka hendak jual? Ekonomi tidak datang dengan agama, mereka lebih memaklumi dan memahami hal itu, dari kebanyakan orang agama sendiri. Kerana itu mereka menjual benda yang bukan agama, iaitu makanan. Jadi selama sebulan, apa yang perlu peniaga makanan itu jualkan?
Jika tidak mahu peniaga-peniaga makanan (seperti restoran dan mereka yang tidak mendapat tempat di bazar) ini berniaga makanan, sesuatu harus difikirkan. Kerana selama sebulan mereka tidak berniaga, adakah apa-apa insentif untuk mereka? Atau bebaskan sahaja mereka berniaga, jika tiada apa-apa alternatif munasabah. Jika KFC, MCD dan lain-lain juga tidak disekat daripada beroperasi di siang hari, apa masalahnya untuk peniaga-peniaga makanan yang lain juga untuk berniaga makanan?
Nasib rider
Begitu juga dengan riders (atau penunggang-penunggang motosikal) yang terlibat dalam industri e-hailing (gig-economy). Bagaimana punca pendapatan mereka sepanjang bulan puasa ini? Adakah mereka tidak boleh menghantar pesanan makanan kepada para pembeli? Adakah mereka perlu tidur sehingga waktu berbuka? Adakah hanya sejam atau dua jam sebelum waktu berbuka barulah mereka boleh menghidupkan motosikal mereka dan berduyun-duyun berlumba dengan rakan mereka untuk menghantar makanan? Ini adalah sesuatu yang tidak bijak.
Simpulnya, apa yang disebutkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini dalam satu laporan berita haruslah disokong sepenuhnya. Kenyataannya, bahawa sekolah wajar buka kantin dalam bulan Ramadan, tidak syak lagi ialah kenyataan yang bernas, matang dan tidak populis.
Puasa kita harus lebih ikhlas kepada Allah, bukan kerana takutkan van jenazah atau pemerintah. Ekonomi rakyat kecil jangan diganggu-gugat.
Mungkin ada yang gastrik, yang sakit, yang memerlukan makanan.
Moga puasa kita yang ikhlas akan diterima, dan moga rakyat kecil, rakyat bawahan tidak disakiti dan diganggu-gugat usaha mereka mencari rezeki.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai