Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Mati wacana timbullah replika

Sementara PMX sedang galak beretorik, berjargon dan berwacana, PAS masih terkial-kial dengan kejanggalan yang memilukan. Terbaru di Terengganu, menampilkan PAS dalam himpunan bernama Himpit mempamerkan pemuda-pemuda membawa replika senjata.

Jika ditilik-tilik dengan teliti, PAS nampaknya mengalami kegersangan idea yang ketara, walaupun dalam hal yang paling kurang dititikberatkan ramai iaitu dalam berbusana. Apa yang ditampilkan itu jelas bukan budaya Melayu apatah lagi budaya Arab-Islam. Orang Melayu tidak berperang dengan busana sebegitu, begitu juga dengan orang Arab. Jelas itu adalah dan hanyalah budaya PAS.

Tidak perlu dipertahankan hal ini atas nama cosplay kerana jelas PAS ialah parti politik. Maka apa sahaja tindakannya tidaklah boleh dipisahkan daripada difahami sebagai tindakan politik. Kita harus bayangkan begini, bagaimana jika DAP atau Hindraf keluar ke jalan-jalan dan membawa replika senjata? Adakah kita sedia untuk mengatakan apa yang diperbuat mereka itu ialah sebagai cosplay, atau mengandungi sentimen yang lain?

PAS semenjak memisahkan diri gerombolan Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat kemudian bermetamorfosis menjadi Pakatan Harapan), makin lama makin kehilangan atau ketandusan wacana. Apatah lagi bila ‘golongan Amanah’ keluar PAS dan menubuhkan parti sendiri, PAS makin kemiskinan wacana.

Ada yang bertanya, apakah benar PAS mempunyai wacana?

Jika kita ingin berlaku adil kepada PAS, ternyata PAS selaku parti pembangkang paling lama di Malaysia, adalah parti yang mempunyai wacananya tersendiri. Yang bermula pada pimpinannya Dr Burhanuddin al-Helmy yang juga seorang tokoh Kiri anti-imperialis. Bahkan Kirinya yang anti-imperialis itu tidak membuat beliau kekok berbahas dengan Mokhtaruddin Lasso yang ateis, dan menulis sebuah buku tasawuf. 

Kemudian wacana PAS itu menjadi layu seketika apabila menyertai kerajaan campuran bawah Tun Razak. Jadi wacana yang kritikal terhadap kerajaan pudar ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan. Yang menjadi kritikal pada kerajaan pada ketika itu selain Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), ialah Abim (ketika itu dikepalai oleh Anwar Ibrahim).

PAS kembali menjadi kritikal kepada kerajaan apabila ditendang keluar dari kerajaan, dan berakhirnya era Asri Muda, yang pada waktu bersamaan berlaku Revolusi Iran 1979. Menggempur Pemikiran asabiyah oleh Yusof Rawa (ayah Mujahid Yusof Rawa) menjadi tema penting yang membezakan antara Umno dan PAS. Sebelum itu warna Umno dan PAS sudah tiada beza jika menurut bekas aktivis PAS, iaitu Ishak Surin. Kemelayuan Umno dan keislaman PAS bawah Asri Muda, sudah tiada perbezaan. 

‘Maraghbar Asri’

Munculnya Revolusi Iran dan pergantian kepimpinan dengan teriakan “Maraghbar Asri” yang ditiru daripada slogan di Iran, “Maraghbar Shah” (pergi jahanam Shah) menghadirkan wacana yang keras dan sengit antara PAS dan Umno. Tragedi Memali menambahkan lagi bara kepada wacana PAS untuk menjadi lebih radikal dan keras. Tokoh utama Ikhwanul Muslimin selepas Hassan Al-Banna yang menjadi ideolog utama PAS seperti Syed Qutb, sementara ideolog yang tidak kurang juga keutamaannya, yang menjadi panutan kepada PAS ialah Maududi, tokoh dari India yang mengasaskan Jamaat Islami. 

Buku kedua-dua tokoh ini yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu telah ditelan dan dihadam lumat oleh manusia-manusia yang bernaung bawah PAS. Meskipun PAS tidak pernah menang besar semenjak Mahathir Mohamad memerintah –buat kali pertama– PAS nampaknya tidak jemu dengan wacana penentangan dan perlawanan terhadap rejim Mahathir.

Tahun 1990 menjadi tanda aras baru atau buah yang sudah boleh dipetik hasil wacana penentangan dan perlawanan terhadap rejim Mahathir dan Anwar yang menjadi timbalannya. Pada masa itu Kelantan jatuh kepada PAS dan diperintah oleh seorang tok guru. Ia seperti kejayaan seorang lagi tok guru di tanah Parsi 10 tahun sebelumnya, yang berjaya menumbangkan rejim lama, dan menghalau bekas pemerintahnya lari ke luar negara. 

PAS nampaknya tiada masalah dengan wacana penentangan dan perlawanan. Meskipun Hudud menjadi momokan pemerintah terhadap PAS di Kelantan, ulama PAS menulis berdozen-dozen tajuk buku mengenai hal itu. Apabila disebut perkataan PAS, dalam kepala kita mesti terbayangkan Hudud, atau bila dikatakan Hudud, hanya satu parti yang ada dalam kepala kita, iaitu PAS. 

Jadi wacana Hudud itu secara automatik menjadi wacana PAS semenjak sekian lama, yang membezakan antara Islam versi PAS dan Islam versi Umno. Sementara Umno bertumpu kepada penerapan nilai-nilai Islam (arkitek di belakangnya ialah Anwar dan Mahathir), PAS pula menekankan pada syariat yang menurutnya tidak dilaksanakan rejim Mahathir.

Pada tahun 1999, hasil wacana penentangan dan perlawanannya, diikuti kepintaran Fadhil Noor dalam memimpin, PAS memanfaatkan situasi negara waktu itu–pada 1998 berkocak akibat pertempuran Mahathir dan Anwar–dan menatijahkan kemenangannya di Terengganu. 

Wacana reformasi, keadilan, seterusnya menjadi wacana pada PAS dan memberikan faedah yang bukan sedikit kepada parti itu. Satu lagi negeri berjaya ditawan PAS melalui jalan demokrasi. Dan tidak banyak negara di dunia ini, yang gerakan Islamnya berjaya melalui wadah demokrasi. 

Mat Sabu ketika dalam PAS pernah mengatakan bahawa PAS ialah parti yang menggunakan muwajahah silmiyah, pertentangan aman dengan pemerintah. PAS nampaknya tidak perlu masuk ke hutan atau menyuruh ahlinya mengangkat senjata untuk berkuasa. PAS ketika itu bersama Barisan Alternatif.

Hadi lawan dengan buku

Tahun 2003, Pak Lah naik memerintah menggantikan Mahathir Mohamad. Tahun 2004, Pak Lah menang besar dengan imej Mr Clean, dan pemerintahannya sedikit atau lebih demokratik berbanding pemerintahan Mahathir. Pak Lah mengemukakan Islam Hadhari yang menjadi prinsip dan teras pemerintahannya. PAS kalah besar waktu itu, perpecahan antara PAS dan Barisan Alternatif. Terengganu terlepas. Hanya bertahan satu penggal.

Haji Hadi Awang ketika itu tidak duduk diam. Jika Pak Lah mengemukakan tesisnya Islam Hadhari, Hadi membalas balik dengan bukunya, Hadharah Islamiyah, Bukan Islam Hadhari

Tahun 2008, kerjasama dengan barisan pembangkang menjadi lebih kukuh. Selain buku tersebut, PAS mula kembali mesra dengan DAP, yang akhirnya memunculkan Kerajaan Berkebajikan. Zaman Pakatan Rakyat boleh dikatakan zaman yang agak unik, dua ideologi yang sangat berbeza boleh dirapatkan. Wacana Kerajaan Berkebajikan ini dicemuh kelompok Islam puritan –seperti Hizbut Tahrir–yang melihat PAS semakin lunak dengan demokrasi dan idea-idea sosialis akibat bekerjasama dengan DAP. Pilihan raya tahun itu menjatuhkan Pak Lah daripada persada kekuasaan. 

Tahun 2009, walaupun Najib berkuasa dan Umno masih memerintah, kerjasama pembangkang mengukuh lebih lama berbanding ketika era Barisan Alternatif. Bahkan Pakatan Rakyat menguasai Selangor, negeri paling terkaya di Malaysia. Pakatan Rakyat bertahan melepasi dua pilihan raya umum (2008 dan 2013). Pakatan Rakyat bertahan dari 1 April 2008 – 16 Jun 2015.

Ini adalah kerjasama paling lama dan paling berjaya, mengatasi Barisan Alternatif termasuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46. Bahkan Barisan Sosialis yang diusahakan Ahmad Boestamam juga tidak mampu menyaingi lamanya masa dan kejayaan yang direngkuh Pakatan Rakyat.

Tahun 2015, mungkin kerana mabuk kuasa, atau masing-masing ego, akhirnya berlakulah perpecahan. PH meskipun teraju utamanya masih pemain dalam Pakatan Rakyat seperti PKR dan DAP, dan dipimpin oleh Mahathir, yang pastinya PAS bukan berada dalam PH. 

Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional yang diterajui PAS nampaknya sehingga kini tidak atau belum lagi memunculkan apa-apa wacana yang serius untuk dipertimbangkan. Tidak ada apa-apa buku yang ditulis berkenaan persekongkolan ini. Apatah lagi kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional tidak bertahan lama. Jadi yang ada pada PAS kini hanyalah sekadar keinginan atau kehendak untuk berkuasa.

PAS sudah kematian wacana. Walaupun sepatutnya pembangkanglah yang patut lebih kaya dengan wacana dan kritik, kerana mereka tidak memerintah. Tetapi disebabkan kemiskinan wacana, maka akhirnya yang hanya mampu ditonjolkan ialah replika senjata dan hal-hal yang menggelikan hati.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.