Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Hentikan mesej ekstremis

Pemuda PAS Terengganu buat perarakan dengan menampilkan pakaian ketenteraan di negara yang aman ini.

Imej pakaian ketenteraan boleh memberi mesej bahawa angkat senjata terhadap setiap penentang.

Kalau tentera negara, mesej perarakan adalah untuk menampilkan keamanan negara tidak dapat digugat.

Sesiapa sahaja yang mahu ganggu keamanan negara ini, tentera negara sentiasa bersiap siaga untuk menentang.

Sudah pasti negara ini aman. Hubungan masyarakat muslim dan bukan muslim negara ini baik. Perbezaan parti politik dihadapi dengan pilihanraya.

Perbezaan antara rakyat boleh diatasi dengan dialog, wacana, saling menghormati, saling mengunjungi, berunding dan sebagainya.

Justeru, kenapa pemuda PAS membuat perarakan berimejkan ketenteraan dalam negara yang aman ini?

Iktibar sejarah

Ketika Nabi SAW berdakwah di Mekah, Nabi SAW mendapat tentangan hebat. Setelah berhijrah, beberapa kali pihak musuh mencetuskan peperangan terhadap kerajaan Madinah.

Nabi SAW tidak pernah memulakan serangan. Semua kejadian perang di zaman nabi SAW adalah dimulai dari musuh negara.

Konteks zaman berperang, menjadikan para sahabat berpakaian perang.

Tambahan pula, konteks zaman yang kabilah-kabilah yang berada di luar Madinah sering saling menyerang dengan persenjataan, menjadikan imej perang lebih menonjol.

Keadaan itu berlanjutan sehingga zaman dinasti. Bukan sekadar perang antara penganut agama yang berbeza, bahkan peperangan juga berlaku sesama penganut Islam.

Peperangan bukan kerana perbezaan kepercayaan, tetapi kerana perebutan kuasa.

Kalangan Fatimiyyah diserang oleh Ayubiyyah; kalangan Abbasiyah menyerang Umawiyyah dan banyak lagi.

Era demokrasi

Dalam negara demokrasi, perbezaan tidak dihadapi dengan perang, tetapi dengan hak kebebasan bersuara. Perbezaan dihadapi dengan wacana, debat, demonstrasi dan sebagainya. Itupun, mesti dalam kerangka bertanggungjawab.

Dalam kitab al-Hiwar, Syaikh Ben Bayyah pernah menyebut: “Tidak ada kebebasan dalam maki hamun orang lain. Tidak ada kebebasan dalam menyebarkan kemudaratan kepada masyarakat. Hal ini kerana, kebebasan disertai dengan sikap bertanggungjawab.” (Hiwar 'An Bu'd Huquq al-Insan fi al-Islam, halaman 42)

Apabila sesuatu pihak tidak setuju terhadap pemerintahan satu pihak yang lain, demokrasi menyediakan mekanisme pilihan raya.

Di Malaysia dan beberapa buah negara yang lain, pilihan raya diperkenalkan dengan pendekatan kertas undi.

Negara ini adalah negara demokrasi berperlembagaan. Justeru, perbezaan dalam negara ini tidak melalui perang; tidak mengangkat senjata.

Sudah ada pendekatan damai dalam berhadapan dengan perbezaan yang disahkan oleh undang-undang negara.

Mesej aman

Apabila negara ini sudah menyediakan pendekatan aman, perbezaan bukan dihadapi dengan mewujudkan ketakutan kepada pihak yang berbeza.

Namun, perbezaan hendaklah dihadapi dengan hujah, wacana, perdebatan ilmu, kempen dan sebagainya.

Asas kebijaksanaan perlu digunakan. Menggunakan tindakan keras dalam kerangka kebijaksanaan adalah kebebalan.

Bebal kerana tidak mampu berhujah dan tidak mampu mempengaruhi keputusan awam dengan rasional, maka diwujudkan ketakutan.

Islam agama kasih sayang

Negara ini membuka ruangan untuk berdakwah kepada masyarakat bukan Muslim.

Sebagai muslim, ruangan ini sepatutnya digunakan untuk menampilkan Islam sebagai agama kasih sayang.

Mewujudkan ketakutan awam dengan pakaian perang, ia tidak lebih kecuali menjauhkan manusia kepada Islam.

Soal kemungkaran dan kejahatan daripada musuh negara, negara ini sudah sediakan jalan untuk hadapinya dengan kuasa tentera dan polis.

Negara ini amat keras menolak terorisme seperti ISIS, sudah pasti usaha menolak sebarang imej ekstrem adalah wajar.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.