Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Melihat PH bekerja

Banyak kritikan-kritikan politik yang dibuat dalam bentuk buku tidak sah lagi, jika buku-buku itu diterbitkan sebelum November 2022. Era pemerintahan sebelum ini ialah era BN. Kalau pun nama sebelum itu ialah Perikatan Nasional (PN) ataupun Muafakat Nasional (MN), pemain-pemain utamanya masih sama atau berlatar parti yang sama iaitu United Malay National Organizations. 

Pilihan raya umum 2022 adalah pilihan raya yang sekali lagi Umno-BN kecundang. Sudah dua kali mereka ditolak secara besar-besaran. Dan pada 2018, ketika Umno ditolak oleh rakyat Malaysia, PAS mengutip Umno dan mengangkat semula martabatnya.

Dalam beberapa siri pilihan raya kecil – termasuk pilihan raya negeri Melaka dan Johor – selepas itu menatijahkan keputusan yang memihak kepada Umno. 

Melihatkan hal ini, Zahid Hamidi berpendapat pilihan raya harus disegerakan. Zahid bagaimanapun ketika itu bukan perdana menteri, sebaliknya hanya presiden Umno. Ismail Sabri Yaakob ketika itu menjadi perdana menteri tidak bersetuju dengan pendapat menyegerakan pilihan raya umum. 

Zahid Hamidi dan Ismail Sabri

Bagaimanapun kerana kuatnya desakan Majlis Tertinggi (MT) Umno, maka Ismail Sabri mengisytiharkan pilihan raya umum yang akhirnya membawa kepada kekalahan yang maha hebat untuk Umno. Dan kali ini yang mengangkat Umno selepas kekalahan maha besar mereka ialah Pakatan Harapan (PH). Dan untuk mengetahui keputusan ini tepat ataupun tidak, hanya enam PRN berikutnya akan menentukan nasib kerajaan PH-BN di peringkat pusat.

Menu Rahmah bagus, tapi belum cukup bagus

Walaupun Rafizi Ramli mengatakan kerajaan tidak boleh masuk campur, Salahuddin Ayub dari Amanah tidak mengendahkan hal ini. Beliau tetap masuk campur dan tidak hanya berpada dengan formula terbaru Rafizi iaitu boikot restoran. Menu Rahmah antara lain – walaupun hanya tukar nama dari idea Najib Razak – memperkenalkan menu-menu semurah RM5. Tetapi bagaimanapun hal ini setakat ini hanya mampu dilakukan oleh restoran-restoran atau pasar raya besar seperti Mydin serta restoran Burger King.

Dan bukan semua orang makan di luar atau makan makanan segera sepanjang masa. Dan bukan semua tempat ada restoran-restoran yang disebutkan. Bahkan bukan semua Mydin mempunyai restoran. Dan hanya restoran-restoran besar sahaja yang mampu memurahkan harga sementara restoran-restoran kecil atau warung akan bungkus bila tidak mampu menampung kos bahan mentah. Suka tidak suka, kerajaan mesti campur tangan dalam menangani kenaikan harga bahan mentah. Jika tidak, apa gunanya menjadi kerajaan?

Rafizi Ramli

Kerajaan tidak boleh mengikut idea Rafizi, menteri ekonomi, yang kerajaan tidak boleh campur tangan. Sedangkan peniaga jagung bakat depan KLCC pun boleh dirampas alatan membakar jagungnya sedangkan dia bukan melakukan kesalahan besar, apatah lagi dalam mengawal kenaikan harga barang mentah. Pastilah kerajaan dengan segala jentera yang ada, lebih dari mampu untuk mengawalnya.

Menara baru tidak, pembangunan ya

Perdana menteri kesepuluh mengatakan tidak akan membina menara-menara baru sebagai legasinya. Ya, pasti itu lebih baik. Dan harus disambut dengan tepukan gemuruh. Tetapi bagaimana dengan membina lebih banyak rumah mampu milik?

Jika kerajaan menjadi kedekut dan takut berbelanja, apa yang jurutera dan arkitek hendak kerja dan makan sepanjang penggal pemerintahan PMX ini? Adakah jurutera dan arkitek juga mesti terlibat dalam ekonomi gig (e-hailing) setelah bersusah payah memerah otak selama ini? Kerja e- hailing dan segala jenis ekonomi gig jika mahu diteruskan juga, biarlah diusahakan oleh rakyat bawahan yang lain dan tidak seharusnya direbut oleh jurutera dan arkitek. 

Jurutera dan arkitek juga tidak sepatutnya menganggur atau menjual takaful atau berniaga trak makanan. Bukan kerana pekerjaan itu tidak halal. Tetapi ibaratnya seperti seorang doktor perubatan bekerja sebagai penyanyi. Pastinya ia pembaziran yang nyata, pembaziran sumber tenaga dan kepakaran manusia yang paling ketara. 

Dan pastinya kerajaan tidak boleh tenggelam dan larut dalam retorika dan jargon semata-mata. Retorika dan jargon tidak boleh dimakan atau ditelan. Kerajaan mesti berbelanja, mesti membina lebih banyak projek perumahan dan juga pengangkutan awam. Dan ini pastinya menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan.

Tetapi Anwar Ibrahim telah memutuskan untuk mengurangkan bajet Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Adakah ini keputusan yang bijaksana? Setakat hari ini nampaknya pembangkang lebih berminat dengan hal-hal picisan dan moral seorang Anwar Ibrahim berbanding hal-hal material yang lebih diperlukan negara.

Tapak pembinaan ECRL di Gombak, gambar hiasan

Bandar baru harus dibuka jika Anwar seorang yang bijaksana. Pembukaan bandar baru bukan sahaja dibuat oleh nemesis Anwar iaitu Mahathir Mohamad. Jokowi juga membuka bandar baru yang diberi nama Nusantara. Jika Anwar bukan sekadar jaguh retorika, pasti dia sedar dan insaf bahawa Kuala Lumpur sudah terlalu sesak dan padat. Sementara Putrajaya adalah legasi Mahathir. Pastinya Anwar tidak perlu lagi membangunkan Putrajaya kerana itu sudah sedia terbangun. 

Jika negeri-negeri Melayu bawah PAS tidak mahu dibangunkan kerana itu adalah negeri-negeri bawah musuh politik PH/BN, maka mungkin Perak atau Pahang yang patut dijadikan projek pembangunan PH/BN dalam tempoh lima tahun ini. Jadi jurutera dan arkitek adalah benda untuk dibuat dan dimakan. Kerana sudah sangat pasti, syarahan sahaja tidak mampu mengenyangkan.

 Jadi orang ramai selepas ini, generasi X, Y, Z dan seterusnya tidak akan bertumpu lagi pada Kuala Lumpur dan Selangor semata-mata. Kerana sudah ada Perak atau Pahang atau boleh sahaja Negeri Sembilan sebagai tumpuan ekonomi.

Rasional Perak untuk dibangunkan kerana kali ini Anwar memilih untuk bertanding di Perak. Selangor bawah pentadbiran PKR sudah sedia maju, maka negeri lain pula harus ditumpu. Atau jika tidak pun Perak, maka Pahang harus ditumpukan. Sekurang-kurangnya Agong bila berangkat pulang ke negerinya nanti, baginda dapat berasa bangga melihat lebih banyak pembangunan dan kemiskinan dikurangkan.

Dengan mengadakan sebanyak mungkin pembangunan dan bandar-bandar baru, barulah peluang pekerjaan lebih banyak boleh diwujudkan. Kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin tidak boleh sekadar menunggang retorika rasuah semata-mata (apatah lagi apabila Zahid diangkat menjadi TPM), tetapi harus menyediakan lebih banyak peluang kerja kepada rakyatnya.

Dan kerja yang dimaksudkan itu pastilah bukan kontrak mahupun gig yang sangat tidak menjamin seseorang itu bertahan. Gig hanya menguntungkan dan mengenyangkan perut sektor swasta sahaja sementara akan menjerut nasib pekerja bila sampai masanya.

Kerajaan harus campur tangan

Bangunan-bangunan kosong, terbiar yang menyakitkan mata, hati dan perasaan harus diambil alih oleh kerajaan untuk digunakan, dijadikan taman permainan kanak-kanak bandar yang sudah ketiadaan tanah atau dijadikan bangunan perumahan kos rendah.

Khalid Samad suatu masa dahulu ketika menjadi menteri Wilayah Persekutuan hanya mampu membuat perumahan untuk gelandangan yang sedikit sahaja. Sedangkan di bandar, selain gelandangan kita juga mempunyai masalah miskin kota. Golongan ini berdepan dengan masalah sewa bilik dan sewa rumah yang mahal.

Dalam hal gaji minimum pula, ternyata era sebelum PH/BN, baik era Muafakanan Nasional (MN) atau PN, gaji minimum berjaya dinaikkan sehingga ke RM1,500. Sementara di era PH/BN, jumlah itu sedang ditawar-tawar untuk dikurangkan lagi.

Anwar mengatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan dikeluarkan lagi. Ini sesuatu yang baik. Tetapi apa lagi alternatif yang akan diberikan untuk rakyat jika ekonomi rakyat sekadar cukup-cukup makan atau berada di paras hidung sahaja? Adakah rakyat tidak akan tertekan?

Menuju hari ke-100

PH harus mencari jalan menuju ke 100 dan 200 hari pentadbiran. Apakah yang mampu mereka berikan kepada rakyat yang menaruh harapan dan memberi undi?

Ramai penyokong PH tidak dapat menerima perbandingan pentadbiran dan apa yang dilakukan antara era Najib dan Anwar. Najib dapat membuat banyak projek infrastruktur kerana memerintah sembilan tahun. Dan Anwar baru 80 hari. 

Tetapi pada era Najib, belum ada lagi episod kerajaan tumbang dan bersilih ganti dalam penggal yang sama. Adakah Anwar mampu melepasi tempoh pemerintahan Ismail Sabri (14 bulan), Muhyiddin Yassin (17 bulan) atau Mahathir era PH (22 bulan)? Nyatanya iklim politik Malaysia hari ini tidak sepatutnya membuatkan Anwar berasa tenang dan selesa hingga ke hujung penggal. 

Apatah lagi sokongan kepada rejim Anwar sekarang utamanya datang dari Umno-BN sendiri. Jika mereka tarik sokongan, maka tersungkurlah PH sekali lagi.

Jika tidak mahu kerajaan ini tumbang dalam masa terdekat, maka rakyatlah yang harus menjadi kiblat utama kerajaan hari ini!


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.