Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Hari ke-70 menanti keajaiban Anwar

Tujuh puluh hari telah berlalu sejak Anwar Ibrahim mengangkat sumpah menjadi perdana menteri. Seorang tokoh yang begitu lama berjuang untuk naik ke persada politik akhirnya menjadi perdana menteri setelah 24 tahun semenjak dibuang daripada Umno dan berjuang dalam gelombang Reformasi 1998. 

Tokoh yang bermula daripada gerakan mahasiswa, menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), seterusnya terlibat dalam menubuhkan Yayasan Anda –sebuah sekolah rakyat – akhirnya dilamar oleh Umno. 

Anwar Ibrahim nyatanya bukan tokoh yang sebarang. Jaringannya luas. Namanya disebut-sebut di luar negara. Baik yang paling dekat seperti di Indonesia, mahupun yang jauh seperti dunia Arab dan Amerika. 

Bila Mahathir Mohamad mengambil Anwar Ibrahim untuk membentengi PAS, maka itu menunjukkan dalam bab agama, Anwar Ibrahim bukan calang-calang orangnya. 

Kerana itu apabila Anwar Ibrahim dipecat pada September 1998, gegak gempita bermula. Pemecatan Anwar Ibrahim ialah episod penting dalam sejarah politik di Malaysia. 

Sesiapa pun tidak boleh memungkiri hal ini. Pemecatan itu akhirnya mewujudkan PKR, yang menjadi kerajaan hari ini. 

Dan pemecatan Anwar Ibrahim itu, tidak sama seperti pemecatan Muhyiddin Yassin oleh Najib daripada Umno. Muhyiddin Yassin dipecat, tidak mencetuskan apa-apa gelombang.

Muhyiddin Yassin tidak mempunyai karakter yang kuat dan merakyat seperti Anwar Ibrahim. Justeru pemecatan Muhyiddin Yassin, tidak memberikan impak yang begitu besar kepada negara.

Begitu juga yang paling terbaru iaitu pemecatan Khairy Jamaluddin yang dilihat bintang muda yang bersinar dalam Umno. Pun tidak memberikan satu impak atau gelombang yang begitu besar. 

Tidak ada apa-apa protes atau demonstrasi bila Khairy Jamaluddin dipecat oleh Umno pada ketika Zahid Hamidi menjadi presiden. Tidak ada gerakan daripada Rembau, tempat Khairy begitu lama bertapak mahu mengadakan rapat umum atau protes di WTC. 

Jika dibandingkan dengan tokoh lama Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, nampaknya ada sedikit persamaan.

Ku Li membentuk parti politik baru iaitu Semangat 46 ketika dia berlawan dengan Mahathir. Tetapi ketahanan Ku Li untuk berada di barisan pembangkang, tidak sekental Anwar Ibrahim.

Nampaknya dibandingkan dengan figura-figura Umno ini, maka benarlah kata Badrul Amin satu masa dahulu, Anwar Ibrahim ini seperti Imam Mahdi.

Hari ke-70

Tetapi sudah masuk ke hari yang ke-70, tidaklah begitu nampak pencapaian yang begitu memberangsangkan. Terbaru, ialah pelantikan anak perempuannya, Nurul Izzah menjadi penasihat ekonominya. Selain Nurul Izzah Malaysia juga mempunyai menteri ekonomi, menteri kewangan dan dua lagi timbalan menteri kewangan. 

Tuduhan KKN (Korupsi, Kronisme dan Nepotisme), yang suatu masa dahulu paling diucapkan Anwar menentang musuh-musuh politik nampaknya pada eranya seperti sukar dikikis. 

Beliau nampak seperti tangan terikat di belakang. Zahid Hamidi yang kesnya masih berjalan, dilantik sebagai timbalan perdana menteri. Meskipun ini perlu untuk mengikat Umno-BN supaya menyokong PH dalam kerajaan perpaduan, tuduhan korupsi itu sukar ditanggalkan.

Apatah lagi Zahid adalah orang Anwar pada satu masa dulu. Ini membawa kepada tuduhan kronisme dan nepotisme. 

Dalam hal Zahid Hamidi ini, ternyata Mahathir, Muhyiddin dan Ismail Sabri nampak lebih tegas berbanding Anwar, tidak memberi muka kepada Zahid Hamidi. 

Nepotisme adalah yang terbaru berkesiuran di laman maya apabila Anwar melantik anaknya yang berkuatkuasa –menurut Nurul Izzah sendiri pada 3 Januari – tetapi hanya diketahui ramai pada 29 Januari. 

Yang menjadi persoalan ramai ialah kenapa Nurul Izzah, sedangkan Nurul Izzah kalah pada PRU lalu? Dan kenapa anaknya sedangkan ramai lagi ahli parlimen PH, PKR mahupun Umno dalam kerajaan perpaduan yang boleh dilantik? 

Adakah Anwar tidak mempercayai sesiapapun melainkan keluarganya sendiri? Dan ini membawa kepada persoalan ketiga iaitu jadi apa perlunya menteri ekonomi jika sudah ada penasihat ekonomi?

Beri peluang hingga 100 hari ke 200 hari

Rakyat Malaysia harus memberikan peluang kepada rejim Anwar Ibrahim. Itu tidak harus dinafikan lagi. Berbanding menukar rejim politik setiap tahun, atau menimbulkan keresahan politik sepanjang masa, peluang harus diberikan kepada setiap rejim untuk memperlihatkan keupayaan.

Tetapi Anwar Ibrahim juga tidak harus membiarkan masalah-masalah yang dialami rakyat selama lima tahun lagi. 

Program-program minimum untuk rakyat harus dilakukan. Apa yang rakyat patut dapat dalam tempoh 100 hari ke 200 hari. 

Rakyat tidak kenyang hanya dengan mendengar ceramah atau syarahan tentang Shakespeare atau pelancaran buku atau jargon-jargon. Rakyat tidak boleh makan jargon. Jargon tidak mengenyangkan sama sekali.

Perlantikan Anwar sebagai PM harus menenangkan ramai musuh-musuh politiknya. Pada masa inilah boleh kita semua menilai dan melihat sendiri sejauh manakah kehebatan Anwar Ibrahim yang digembar-gemburkan selama ini? 

Adakah benar seperti yang dikatakan dan dijajakan seluruh dunia sehingga ke ceruk-ceruk kampung? Atau hanya indah khabar dari rupa?

Membandingkan Anwar dengan Najib

Antara Anwar dan Najib pastilah banyak bezanya. Anwar lebih petah berpidato berbanding Najib. Pidato Najib lebih menyedihkan dengan lenggoknya yang tidak teratur. Tidak sedap pidato Najib dibandingkan dengan Anwar. 

Malahan ketokohan Anwar dalam ceramah atau pidato bukan sahaja mengatasi Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, bahkan juga mengatasi Mahathir Mohamad. 

Tetapi alangkah malangnya jika kehebatan Anwar hanyalah sekadar berceramah tanpa teks, tetapi dari sudut praktikaliti politik, jauh tersasar programnya dari program-program Najib. 

Najib meski tidak pandai bercakap dan berjargon seperti Anwar, apatah lagi memetik Qardhawi dan Erdogan, program-program infra Najib jelas kelihatan. 

Najib seperti meniru kembali apa yang dilakukan oleh bapanya, Tun Razak suatu masa dahulu. Pembangunan pengangkutan awam meriah di era Najib. 

Klinik 1 Malaysia, Kedai 1 Malaysia juga UTC antara yang dibuat pada eranya. ECRL juga dimulakan era Najib sebelum ditangguhkan di era PH (Mahathir) sebelum dikurangkan bajetnya pada zaman Anwar. 

Jika Najib tidak merancakkan pembinaan tren begitu banyak (ETS, ERL, MRT dan stesen-stesen LRT baru), pastilah Malaysia akan menghadapi krisis kesesakan lalu lintas yang begitu teruk.

BR1M pula yang dimulakan era Najib telah melewati empat period kerajaan (Mahathir, Muhyiddin, Ismail, dan Anwar), cuma ditukar nama sahaja. Jika ia rasuah, mengapa diteruskan?

Dari sudut buku, Najib bukanlah seorang penulis buku ataupun terkenal sebagai intelektual. Anwar lebih nampak ciri keintelektualannya dibandingkan dengan Najib. Tetapi program Najib dalam membangunkan industri buku negara nampak jelas, dengan diwujudkan Baucar Buku juga pendanaan untuk penerbit seperti My Creative. 

Hal ini nampaknya belum jelas dilakukan oleh Anwar yang gemar memperlihatkan dirinya seorang pembaca buku yang handal. Tanpa sokongan dari pemerintah, industri buku di Malaysia akan terus mengalami kemerosotan.

Meskipun slogan 1 Malaysia Najib tidak berapa menarik dan hambar berbanding Madani–yang akronimnya hanya Anwar Ibrahim sahaja yang tahu siapa yang susun– tetapi program Najib jelas lebih merakyat ke bawah. 

Anwar pada hari ini tidak harus terperangkap dengan idea dan retorik seperti era 80-an dan 90-an. 

Nak mengedarkan Al-Quran sebanyak satu juta naskhah ke seluruh dunia boleh dikatakan satu tindakan populis. 

Apatah lagi Al-Quraan hari ini boleh sahaja dimuat turun atau dibaca di Internet secara percuma. 

Dunia hari ini, era telefon pintar, internet dan terbaru Chatgpt (AI) begitu cepat berubah. Orang tidak inginkan hanya sekadar retorik, jargon dan slogan. 

Kerana itu sangat tidak mengenyangkan dan menyelesaikan sama sekali. Biarlah jargon, slogan dan retorik itu nampak bodoh sekalipun, tetapi perlaksanaannya dirasakan. 


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.