KOLUM | Menyuluh dengan jalan madani
KOLUM | Selepas solat Subuh, kami bertolak dari Teluk Intan ke Putrajaya untuk menjadi saksi hidup majlis amanat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beberapa minggu sebelum itu, saya ke pejabat Institut Darul Ehsan (IDE) di Shah Alam dan bertemu rakan-rakan di situ. IDE diberikan tanggungjawab mengurus perjalanan majlis tersebut.
Ketika di pejabat IDE, saya diberikan senaskhah buku bertajuk Membangun Negara Madani - Visi dan Kerangka Dasar Reformasi karya Anwar.
Pada hari majlis amanat tersebut, semua peserta diberikan buku yang sama tetapi cetakan baru yang lebih menarik, cantik serta percuma.
Rasanya sudah segunung pujian dan selautan penghargaan diberikan terhadap buku dan penulisnya. Lebih-lebih lagi daripada mereka yang masih baru mahu belajar menjadi pengagum perdana menteri ke-10 itu.
Sayangnya, penghuraian dalam buku itu terikat dengan akronim yang dibuat-buat hingga terasa begitu menjengkelkan. Biarpun ia hanya beberapa bahagian kecil sahaja tetapi ia tetap mengganggu fokus bacaan.
Entahlah, mungkin itu cara terbaru membuat buku. Dan barangkali saya yang ketinggalan zaman.
Buku itu agak teknikal, hambar dan membosankan jika dibandingkan dengan buku Gelombang Kebangkitan Asia yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1997. Gelombang Kebangkitan Asia adalah inti pati pemikiran Anwar yang harus dibaca terlebih awal.
Ia sarat dengan falsafah, mempunyai nilai kesusasteraan tinggi dan mengenyangkan fikiran pembaca. Dari penjuru Barat yang gelap hingga ke Timur yang meyakinkan, Anwar menggarap kekuatan daripada kepelbagaian tamadun dunia di dalam bukunya itu.
Ia harus dibaca oleh pak menteri, para pegawai dan kakitangan kerajaan, pensyarah, mahasiswa dan tidak terkecuali kepada para pembodek dan pembenci Anwar.
Kini idea masyarakat madani tetap dianggap baru walaupun sebenarnya sudah berdekad ia berlangsung. Ia masih tetap asing dalam fikiran masyarakat. Sama juga dengan konsep Islam Hadhari, wasatiah dan segala slogan politik segera ciptaan penguasa.
Berbeza dengan tulisan Dr Mahathir Mohammad, seteru politik Anwar. Dalam buku The Malay Dilemma, Mahathir mengkritik keras orang Melayu hingga rapat ke dinding. Biarpun Mahathir mempunyai hujah, pendekatan itu melukakan ramai orang Melayu yang jiwanya terlalu sensitif.
Justeru The Malay Dilemma diharamkan oleh Tunku Abdul Rahman sewaktu dia menjadi perdana menteri.
Perlu ada pendekatan rahmah dalam membawa idea perubahan dalam masyarakat. Ini juga persoalan manhaj dakwah atau fiqh ad-dakwah.
Mendengar pidato Anwar memang mengasyikkan. Pemilihan patah kata, intonasi, petikan kata, bahasa badan, renungan mata dan auranya memang menangkap jiwa.
Kali pertama saya mendengar Anwar berucap ialah sewaktu dia datang ke Yayasan Anda Akademi (YAA) di Lembah Pantai pada 1984 dan saya berada di tingkatan enam atas.
Anwar ialah Menteri Pertanian ketika itu tetapi kami tetap menganggap dia sebagai pengasas YAA, bukan ahli politik atau menteri.
Fikiran saya ketika itu hanya menadah curahan kata-kata daripada seorang pendidik yang percaya bahawa ilmu dan pendidikan adalah wahana kepada pencerahan.
Wacana masyarakat madani di Malaysia bermula pada 1990-an sebagai alternatif kepada konsep civil society mengikut acuan barat.
Pada masa sama, pesaing perjuangan Islam di Malaysia ialah PAS yang membawa gagasan ‘negara Islam’. Kedua-dua parti utama Melayu - Umno dan PAS - berusaha menjuarai gagasan politik Islam pada kaca mata orang Melayu.
Ketika itu, saya memilih untuk berada dalam jalur pemikiran PAS yang keras lagi tegas. Semangat membara dari sekam Revolusi Islam 1978 dan kebangkitan Islam mendominasi gerakan ‘anti-establishment’ ketika itu.
PAS dan pimpinannya banyak mewujudkan darul (perkampungan) Islam dalam membentuk masyarakat yang terpisah daripada kelompok sekular. Mereka mempunyai madrasah dan sistem tarbiah tersendiri, bermula dari peringkat tadika hingga ke pusat pengajian tinggi.
Persaingan dan pertembungan fikrah kadang kala melangkaui adab dan disiplin ilmu. Kerap juga tersasar dari landasan intelektual. Namun proses yang panjang telah mendewasakan masyarakat dalam memahami idea masyarakat madani.
Posisi Anwar di dalam kerajaan memudahkan idea ‘madani’ menjalar dalam kerangka kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir melalui pendekatan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dan Islamisasi.
Anwar mengangkat idea-idea besar para cendekiawan Islamis termasuklah sarjana serantau seperti Syed Naquib al-Attas, Pak Natsir, Hamka, Syed Hussein al-Attas, Amien Rais dan sebagainya.
Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa merancakkan lagi proses menyemai benih idea masyarakat madani. Pada peringkat awal, pertembungan intelektual berlaku dalam mencari jalur-jalur yang sesuai dengan persekitaran sosiobudaya setempat.
Sejarahnya, sarjana terawal yang mengemukakan idea konsep madani ialah Al-Farabi melalui karyanya al-Madinah al-Fadhilah. Idea itu mempengaruhi sarjana-sarjana Barat terutamanya pada zaman pencerahan ataupun lebih dikenali sebagai renaissance.
Zaman itulah kemuncak pensekularan dalam tradisi Kristian yang menyingkirkan kuasa paderi konservatif.
Idea civil society seterusnya dibawa oleh Thomas Paine, John Locke, Rousseau, Montesquieu dan berkembang pada era komunisme, sosialisme dan antiimperialisme melalui Karl Marx, Antonio Gramsci, Frantz Fanon dan sebagainya.
Pemimpin dan pemikir Islam cuba keluar dari kerangka pemikiran Barat dengan membawa gagasan tersendiri. Pada peringkat awal, mereka masih menggunakan kekuatan idea Barat dan menggabungjalinkan ia dengan idea tempatan.
Al-Maududi pula cuba mengemukakan idea teodemokrasi sebagai alternatif kepada sistem demokrasi. Bahkan pendekatan Syed Qutb lebih keras dalam berhadapan dengan penguasa yang dianggap taghut dalam usahanya 'membangunkan Islam' di bawah runtuhan jahiliah.
Al-Maududi terpengaruh dengan pemikiran al-Ghazali yang mengatakan bahawa ketua negara atau sultan adalah bayangan Tuhan di muka bumi, justeru dia wajib ditaati. Pemikiran-pemikiran itu dibahas secara kritis oleh ramai sarjana seperti Fazlur Rahman, Zainuddin Sardar, Kalim Siddique dan sebagainya.
Seperti kata Anwar dalam amanatnya di PICC, gagasan masyarakat madani boleh menjadi sekadar slogan kosong tanpa dukungan dan sokongan daripada pelbagai pihak.
Ini persoalan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar juga. Sedangkan ahli politik tidak pernah duduk diam meski sudah ditanam dalam perkuburan zaman.
Jika pada akhir buku Membangun Negara Madani - Visi dan Kerangka Dasar Reformasi itu Anwar mengutip kata-kata Jose Rizal yang jauh melangkau zaman, pada perenggan akhir Gelombang Kebangkitan Asia pula dia memilih kata-kata penyair Rabindranath Tagore yang berbunyi:
Malam sudah berakhir
Padamkah lampu di sudut sempitmu yang dikotori jelaga
pagi yang agung untuk semu terbit di Timur
Biar cahayanya menerangi jalan kita yang bermakna.
Semua itu adalah persoalan tentang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar, masa hadapan dan tugas kita sebagai sebahagian anggota masyarakat.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan pemimpin Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai