Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Menjadi pembangkang yang bijak

Dalam amalan politik demokrasi moden, yang wujud bukanlah hanya pemerintah atau kerajaan. Tetapi yang wujud dalam politik demokrasi moden, isi ruang parlimen diisikan dengan kerajaan atau pemerintah, bersama dengan pembangkang. 

Tidak ada hanya angguk dan yes man dalam demokrasi. Hal ini menyebabkan demokrasi menjadi mati atau macet. 

Kewujudan begitu banyak parti di Malaysia, menunjukkan iklim demokrasi Malaysia semakin subur dan matang, sepatutnya. Di Malaysia, bahkan kita nampaknya lebih demokrasi berbanding negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi. 

Di Amerika sendiri selaku penyebar demokrasi di dunia, tidak mempunyai parti-parti sebanyak kita, atau blok-blok politik seperti di Malaysia. Di Amerika ada Republik dan Demokrat. 

Sementara di Malaysia, blok politik bukan sahaja ada dua yang utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), bahkan adanya Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menjadi pemerintah hampir 60 tahun lama. 

Mahathir Mohamad juga dalam PRU ke-15, mewujudkan satu blok baru yang dinamakan sebagai Gerakan Tanah Air (GTA). Dari blok Kiri juga pernah mengusahkan satu blok berbeza dengan blok arus perdana yang ketara ciri liberal versus konservatifnya. Blok Kiri yang anggota terasnya ialah PSM pernah mengusahakan Gabungan Kiri. Malangnya orang Malaysia belum nampak ke arah itu. Kerana itu buat masa ini, blok Kiri masih tersadai atau terbengkalai buat sementara waktu, atau entah untuk berapa lama.

Di Indonesia, yang dikatakan sangat demokrasi itu juga tidak semeriah demokrasi di Malaysia. Di Indonesia tidak ada pilihan raya kecil seperti di Malaysia. Di Malaysia, pantang sahaja ada ahli parlimen atau Adun yang mati, maka akan berlakulah pesta demokrasi atau pilihan raya lagi. Menunjukkan kita lebih meriah dalam semangat mengundi.

Politik, demokrasi tak sempit 

Tetapi pilihan raya dan demokrasi itu bukanlah sesempit dengan hanya mengundi dan berada di parlimen sahaja.

PSM jarang sekali memperoleh kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan di Malaysia. Kemenangan yang mereka pernah diperoleh itu pun kerana mereka memakai logo PKR. Jalan untuk kemenangan PSM masih jauh berliku dan beribu batu. 

Tetapi adakah itu telah menguburkan mereka atau kepimpinan mereka meletakkan jawatan? Tidak, mereka tetap meneruskan perjuangan politik mereka. Dan tahun ini ialah tahun ke-24 mereka. Kalah, tetapi masih belum mengalah.

PKR sendiri pernah pada tahun 2004, hanya mempunyai satu kerusi di Permatang Pauh oleh Wan Azizah Ismail. Tetapi mereka tidak hanya berharap pada parlimen dan pilihan raya semata. Mereka menjadi pembangkang dengan mengadakan forum-forum dan siri-siri demonstrasi baik isu yang melibatkan kepimpinan de facto mereka iaitu Anwar Ibrahim, juga isu-isu rakyat.

Begitu juga dengan PAS dan DAP yang dari segi ideologi politik sangat bertentangan, tetapi dari sudut liku dan tribulasi, mereka telah menempuh berpuluh-puluh tahun sewaktu Umno-BN sedang mereguk kuasa dan mabuk kemenangan. 

Kekalahan di peti undi, tidak sekali-kali membuat mereka berundur atau mengalah, sebaliknya membuat mereka makin tabah dan istiqamah dengan perjuangan politik dalam wadah demokrasi. 

Pemimpin-pemimpin mereka ditangkap dan ada yang dibunuh sekalipun, tidak sekalipun membuat mereka serik dari terus memperjuangkan apa yang mereka percaya. Kekalahan hanya membuatkan mereka kuat.

Pejuang yang bukan pejuang

Kalau takut dilambung ombak,

Jangan berumah di tepi pantai,

Kalau takut menjadi pembangkang,

Tak usahlah sembang nak jadi pejuang.

Akhirnya seorang demi seorang pimpinan parti Pejuang meletakkan jawatan. Dari Abu Hafiz Salleh Nordin, Dr Mahathir Mohamad selaku pengasas, sehinggalah Khairuddin Abu Hassan.

Untuk menjadi pembangkang ini, suka tidak suka, mereka yang pernah menjadi kerajaan harus belajar dari mereka-mereka yang pernah bertahan dan sabar menjadi pembangkang selama ini. 

Ketahanan mereka wajar dipuji, ketika di dalam parlimen mereka diperlekeh kerana menjadi minoriti dan pihak kerajaan mempunyai suara atau kerusi dua pertiga.

Tempoh Mahathir menjadi pembangkang sangat sekejap jika dibandingkan dengan nemesisnya Anwar Ibrahim termasuk PAS, DAP dan PSM. Ku Li sendiri dan geng Semangat 46 seperti Rais Yatim sendiri tidak tahan menjadi pembangkang. Akhirnya setelah penat membangkang beberapa tahun, dua sosok asal ini pun berbalik masuk ke dalam perut Umno semula. 

Maka bukanlah senang seseorang atau sesebuah parti atau gerakan itu untuk menjadi pembangkang. Apatah lagi dengan dana peruntukan kawasan itu dikerat. Menjadi pembangkang nyatanya mempunyai mentaliti menentang. Dan tidak semua orang atau parti yang mampu memikul beban selama lima tahun menjadi pembangkang, yang di dalam parlimen selalunya tidak diendahkan.

Apatah lagi dengan menjadi pembangkang tanpa kerusi di parlimen. Ia adalah kerja yang tak masuk akal hendak dibuat oleh Mahathir atau anaknya Mukhriz Mahathir. Ini bukanlah tradisi mereka zaman berzaman. Mereka hanya muncul di pentas-pentas elitis ketika hendak membelasah kerajaan yang mereka tidak suka, seperti rejim Pak Lah dan rejim Najib Razak suatu masa dulu. 

Untuk menampung perjuangan Pejuang selama lima tahun bersamaan 1,825 hari, bukanlah satu gaya perjuangan mereka. Apatah lagi budaya derma mahupun ideologi bukanlah suatu yang cekal dan tekal dalam perjuangan mereka. 

Kerana itu dalam bab sepenting atau seasasi ini dalam parti politik, Pejuang tak akan mampu menuruti jejak langkah PAS, DAP dan PSM yang sangat biasa dengan cara seperti ini. Kerana mereka sudah biasa menjadi pembangkang.

Akhirnya PAS juga yang jadi pembangkang

Walaupun Larut (Hamzah Zainuddin) yang menjadi ketua pembangkang, kekuatan utama pada PN, ialah PAS. Tanpa PAS, Bersatu akan melingkup. Kerana PAS lebih massa dan akar umbi berbanding dengan Bersatu –yang sebenarnya lebih banyak menumpang PAS berbanding PAS yang menumpang Bersatu.

Tetapi isu-isu yang ditimbulkan oleh PN pada sebelum parlimen untuk rejim Anwar Ibrahim bermula sehinggalah dia mengangkat sumpah dan undi percaya, sangatlah remeh-temeh dan tidak menguntungkan rakyat sama sekali. 

Hamzah Zainuddin dengan entah memetik laporan blog luar negara yang tidak dikenali langsung membangkitkan persoalan kes liwat Anwar yang mendapat pengampunan Agong. Walhal lebih banyak isu mendesak yang harus difikirkan dan dibahaskan atau dibangkitkan oleh ketua pembangkang.

Ini yang jadi apabila ketua pembangkang yang sebelum ini memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri, yang tidak pernah ada rekod dalam membela rakyat, hendak bercakap isu-isu rakyat. Dalam keadaan banjir yang sedang mengganas rakyat Pantai Timur –yang telah memenangkan PAS – isu yang telah lapuk juga yang hendak dibangkitkan, yang jelas isu itu tidak ada faedah pun pada rakyat terbanyak.

Pembangkang harus belajar dari kepimpinan-kepimpinan pembangkang yang lepas iaitu lebih banyak bicara isu-isu rakyat bawahan, iaitu suatu lapisan rakyat yang selalunya dilupakan selepas hari pengundian. Bukan hanya ‘score point’ dengan isu-isu tidak ada faedah untuk rakyat bawahan. 

Jika berterusan sifat dan sikap pembangkang begini, maka Pakatan Harapan jika berterusan mempedulikan rakyat –dan belajar dari kesilapan 2018–  tidak syak lagi, Pakatan Harapan akan menjadi pemenang sekali lagi dalam penggal seterusnya.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.