KOLUM | Yang menyakitkan hati
KOLUM | Kami ini kalau memandu memang jenis perlahan. Selain kerana tidak cekap, kami juga tidak nampak ada sebarang keperluan yang mengharuskan kami untuk memandu laju-laju.
Kerana itu, apabila tersangkut dalam kesesakan lalu-lintas, kami amat bertenang. Kepada kami, keserabutan pada orang lain itu adalah anugerah dalam pemanduan.
Kami cuba menikmati keadaan tersebut.
Namun begitu, ada dua perkara yang membuatkan kami berasa sangat marah apabila sedang berengsot-engsot di jalan sesak.
Pertama, kerana penunggang motosikal yang tidak pasal-pasal membunyikan hon mereka sambil menyelit di celah-celah kenderaan.
Entah apa perlunya mereka berbuat demikian tidaklah diketahui.
Mahu menyelinap, lakukan sajalah. Tidak ada perlunya diumumkan kepada orang lain akan kedatangan kamu itu.
Bukan sekali malah berkali-kali kami berangan-angan mahu membuka pintu kereta dengan mengejut agar dilanggar mereka dek kerana sakit hati atas perbuatan berkenaan.
Sementelah pula kami ini lelaki jenis yang mudah terkejut.
Yang kedua ialah apabila bunyi siren motosikal pengiring orang politik. Dan ini adalah kemarahan makam yang paling tinggi, kerana ia disertakan dengan kebencian dan meluat.
Dalam suasana politik baru pada hari ini, kami berharap semua mereka yang ada hak menggunakan motosikal pengiring merancang perjalanan mereka dengan lebih awal dan pada masa sama menjadi bijak.
Alah, macam kita bijak merancang percutian yakni jika kita ini menteri besar, maka kita tidak akan pergi bercuti di musim tengkujuh mengamuk, misalnya.
Sebut fasal "baru", kami rasa kita semua sudah boleh memulakan sesuatu dalam hal membina negara ini agar menjadi tempat tinggal yang lebih muhibbah.
Kumpulan warlords politik yang selama ini gigih menabur benih perkauman kini sudah dipecah-pecahkan. Maka ini adalah peluang terbaik untuk kita semua memulakan pendekatan baru.
Kalau teringin bermain air
Ini adalah masanya untuk kita mempromosikan segala kebaikan jika mampu hidup saling dengan saling menghormati antara segala kaum.
Mereka dari PN pula misalnya, sudah bolehlah berhenti bercakap mengenai keagungan bangsa. Begitu juga halnya dengan mereka dari DAP.
Sudah-sudahlah mendabik dada mengenai betapa baiknya bangsa kamu.
Melayu tidak istimewa berbanding bangsa lain, dan terdapat ramai lagi bangsa manusia dalam dunia ini yang kulitnya lebih putih berbanding bangsa Cina.
Juga, kepada mereka yang tewas dalam PRU kelmarin, ingatlah: negara kita ini wajib mengadakan pilihan raya, paling lama setiap lima tahun. Bersabarlah.
Berhenti sebentar daripada memukul gendang perang dan tumpukan segala tenaga yang ada untuk membaikkan negara kita ini.
Nanti apabila datang masa mengundi sekali lagi, maka bolehlah kamu bersungguh menghentakkan kaki.
Sebut pula musim tengkujuh, maka kami berharap tidak ada lagi orang politik yang pergi ke pusat pemindahan mangsa banjir hanya untuk tujuan berfoto.
Acah-acah pegang getah paip dan penyapu kononnya sedang gigih membersihkan itu ini.
Tidak perlu juga menepek gambar kamu pada guni beras atau botol minyak masak untuk diagihkan kepada orang ramai.
Kamu ada kuasa yang lebih besar dari itu. Kerahlah semua pihak yang patut untuk membantu. Keluarkan belanja segera untuk keperluan mangsa.
Jika dah teringin sangat bermain air, lakukan sendiri-sendiri tanpa perlu diuar-uarkan kepada pihak media.
Siapapun yang memerintah, banjir tetap akan datang juga. Mungkin kerana kesilapan kita mentadbir bumi ini, atau mungkin juga kerana kejahatan politik yang kita sokong.
Namun untuk duduk bersilang kaki dan menyalahkan partai itu atau partai ini tentu saja tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kita atau kepada mereka yang sedang bergelut ditenggelami air.
ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai