KOLUM | PAS sudah lupakan Hudud?
Dalam pilihan raya umum 1955, ketika PAS menggunakan simbol “Tangan Terbuka,” pemimpin Perikatan (bukan Perikatan Nasional) menyifatkannya sebagai simbol “potong tangan” jika PAS memerintah.
Hal ini kemudian berlanjutan hingga tahun 60-an sehingga menjadi salah satu faktor munculnya isu kafir-mengkafir ketika itu.
Enam puluh tujuh tahun selepas itu, pada pilihan raya umum 2022 (yang ke-15), PAS sudah tidak lagi bercakap soal Hudud. Ini adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Umum yang memerhati politik di Malaysia secara serius akan bersetuju dengan kata-kata Haron Din, bekas mursyidul Am PAS suatu masa dahulu bahawa Hudud ialah nyawa PAS.
Hudud dan PAS tidak boleh dipisahkan. PAS dan Hudud berpisah tiada, bak kata anak-anak muda zaman sekarang.
PAS lebih sanggup berpisah dan bercerai dengan segalanya, dengan sesiapa sahaja jika Hudud itu ditolak. Hudud menjadi sebahagian tubuh PAS atau termasuk dalam pakej PAS.
Terima PAS bermakna terima Hudud. Tolak Hudud bermaksud menolak PAS. Hudud adalah isi, sementara PAS adalah kuku.
Kalau dibaca dalam terminologi Marxist, PAS adalah vanguard kepada Hudud.
PAS tidak boleh hidup tanpa Hudud. Yang hanya boleh memisahkan antara PAS dan Umno ketika itu ialah Hudud.
Bagaimanapun Umno juga parti orang Melayu dan ahli-ahlinya ialah orang Islam. Sementara gelaran sekular itu tidak cukup jelas kerana Umno mendirikan masjid, surau, sekolah agama dan institusi agama.
Hanya satu sahaja yang Umno tidak lakukan–yang PAS kena lakukan supaya boleh membezakan diri mereka dengan Umno–tidak lain dan tidak bukan, ialah Hudud.
Bukan sedikit yang dilawan oleh PAS dalam rangka mempertahankan Hudud. Kemenangan Barisan Alternatif pada tahun 1999 menyebabkan PAS berjaya menawan Terengganu, tetapi akhirnya dikalahkan dalam pilihan raya umum berikutnya tahun 2004.
PAS yang sangat sukar bekerjasama dengan DAP, bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif. Dek ideologi Hudud dan negara Islam, kemudian label ubat tamat tempoh yang kemudian mengeruhkan hubungan dua parti pembangkang paling berideologi di Malaysia.
Kendur taring ideologi
Tahun 2004 adalah tahun yang suram buat pembangkang sebelum masuknya pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan lonjakan kemenangan parti-parti pembangkang dalam misi merangkul kekuasaan.
Satu demi satu kerusi DUN dan parlimen ditawan. PAS ketika itu bawah pimpinan Hadi Awang mula sedikit berganjak ke idea sosialis iaitu kerajaan berkebajikan .
Hudud sudah diletakkan di belakang. Pakatan Rakyat yang menggantikan Barisan Alternatif nampak segak dipimpin oleh PAS, PKR dan DAP.
Kerjasama ini berlanjutan sehingga pilihan raya umum yang berikutnya iaitu pada 2013. Pakatan Rakyat nampak ampuh berbanding Barisan Alternatif, meskipun ideologi masing-masing parti masih berbeza. Cuma nampak agak kendur taring ideologi di situ.
Tetapi lama kelamaan, dari retak mula menuju belah. Pimpinan PAS ada dilihat kecenderungan pada DAP dan seterusnya membuatkan PAS terpecah.
Pecahan PAS itu akhirnya menjadi Amanah. Sementara PAS yang masih lagi di era Hadi makin merapati Umno.
Pakatan Rakyat mula terbengkalai. Pakatan Harapan kemudian mula terbentuk, tetapi tanpa penyertaan PAS, yang boleh dikatakan sebagai suatu parti massa yang berkeahlian lebih ramai dari Amanah.
PAS kemudian makin merapati Umno hingga akhirnya mewujudkan Muafakat Nasional. Satu persenggamaan politik antara PAS dan Umno yang ketika itu sudah tidak lagi di ambang kekuasaan pada era pemerintahan Pakatan Harapan.
Hudud pada ketika ini sudah tidak lagi menjadi agenda PAS. Yang paling tinggi pernah menjadi agenda PAS sehingga PAS mengadakan himpunan besar-besaran ialah RUU 355 iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
Menurut PAS, itu bukan Hudud. Tetapi bertujuan untuk memperkasakan undang-undang syariah.
Pakatan Harapan memerintah tidak lama. Hanya mampu bertahan selama 22 bulan, apabila Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Bersatu menarik diri keluar dari Pakatan Harapan.
PAS melihat peluang ini, kemudian bersama Bersatu dan Umno menubuhkan kerajaan baru – selepas Sheraton Move – iaitu Perikatan Nasional. Ramai pemerhati melihat PAS makan dua kolam.
Di kolam MN (muafakat dengan Umno) pun PAS ada. Di kolam PN (perikatan dengan Bersatu) pun PAS ada. Ku Li lebih ganas menyebut PAS sebagai pelacur.
‘Ada dengar dia cerita potong-potong?’
Seperti ketika bersama dengan MN (Umno), ketika bersama dalam PN (Bersatu), PAS sudah tidak lagi bercakap tentang Hudud.
Menjelang pilihan raya negeri Johor, dalam usaha meredakan kebimbangan pengundi Cina terhadap kerjasama Bersatu dengan PAS, Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional), bertanya kepada hadirin sama ada mereka masih mendengar tentang “potong-potong” yang dibangkitkan PAS, merujuk kepada Hudud.
“Ketika saya jadi perdana menteri, dalam parti saya dulu pun ada PAS. Tiga menteri PAS. Sekarang pun tiga menteri PAS. Ada beberapa timbalan menteri PAS.
“Ada dengar dia cerita ‘potong-potong’? Tak ada lagi cerita. Pasal apabila dia (PAS) sudah jadi kerajaan, dia faham. Dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada Islam, ada Buddha, ada Hindu, dia kena jaga,” kata Muhyiddin di majlis itu.
Presiden Gerakan dalam majlis yang sama juga mengatakan, masyarakat Cina tidak perlu lagi takut terhadap PAS.
“Sudah terbukti… Kita lihat semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan, dia menjemput ahli parlimen PAS menjadi menteri dan jelas mereka tidak pernah membangkitkan apa-apa tentang Hudud.”
Dibandingkan dengan seluruh gerakan Islam yang pernah bertanah air di Malaysia, PAS adalah satu-satunya gerakan Islam yang paling serius dalam bab Hudud.
Tidak ada parti Islam lain –termasuk Amanah – atau mana-mana gerakan Islam lain yang boleh menandingi kesungguhan dan iltizam PAS dalam bab menegakkan Hudud.
Walaupun negara-negara Islam lain gagal dalam cita-cita Hudud mereka, PAS antara yang konsisten dengan Hudud, sehingga sanggup melepaskan sekutu Cina mereka iaitu DAP yang sangat kuat dan berpengaruh berbanding MCA dan Gerakan.
Fadli Ghani, ketua lajnah sejarah dan arkib PAS mencatat tentang kesungguhan PAS dalam bab ini. Haron Din, ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada akhir 1970-an menghasilkan buku Hudud Dalam Perundangan Islam.
Ini diikuti oleh tulisan Harun Taib seperti Kuasa Perundangan Islam (1979) dan Kuasa Pemerintahan Islam (1981), Ke Arah Kefahaman Hudud oleh Atiqullah Yaakub (1992), Mengenal Hukum Hudud, karya Wahbah Zuhaili yang diterjemah oleh Yusof Zaki (1992), Undang-undang Jenayah Hudud oleh Mahfodz Mohamed (1992), Undang-undang Jenayah Islam: Jenayah Hudud oleh Mat Saad Abdul Rahman, Isu Hudud: Abdul Hadi Jawab Mahathir (1994).
PAS sudah melupakan cita-cita Hudud kerana pragmatik hendak berkuasa. Perkara ini sama sekali mengecewakan peminat politik Islam.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai