KOLUM | Tapi, pengundi 18 nak undi siapa?
KOLUM | “Semua gabungan parti politik ini sama sahaja, kita nak undi siapa?”
Memang sekali imbas terlihat bahawa semuanya sama. Malah nyaris-nyaris sama. Akan tetapi gabungan parti-parti bertanding ini masih mempunyai rekod untuk dibandingkan, dan boleh ditimbangtara siapa yang lebih baik jika diberi peluang.
Dengan syarat parti yang menang dengan jumlah cukup tidak diganggu untuk berkhidmat kepada rakyat sehingga akhir penggal. Seperti yang pernah berlaku sebelumnya.
Untuk itu kita perlu membandingkan setiap mereka.
Pertama, terdapat gabungan parti Barisan Nasional yang teraju utamanya adalah Umno. Menurut Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, beliau adalah “reformis Umno”, dan seterusnya mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.
Itu merupakan ciri yang perlu kita jauhi, tambah lagi yang bercakap itu adalah dari parti itu sendiri. Bukan itu sahaja, mengundi beliau mungkin saja sia-sia kerana kita memerlukan bukan seorang yang boleh buat kerja, akan tetapi kita memerlukan satu pasukan yang cekap.
Khairy juga semacam nanar menjadikan PRU15 seperti Pemilihan Agung Umno. Umno juga rata-rata dianggap parti bermasalah memandangkan bekas presidennya sudah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah dan kini berada dalam penjara.
Presiden Umno yang ada sekarang juga sedang berdepan dengan perbicaraan (yang ditangguhkan sehingga selepas PRU15).
Calon perdana menteri dari parti ini Ismail Sabri Yaakob juga sering dipertikaikan statusnya (kerana bukan presiden parti) selain dihujahkan beroleh markah penilaian yang kurang memuaskan.
Pengundi 18 memerlukan pasukan kerja yang baik mengurus Malaysia, masa depan. Makanya mungkin gabungan parti ini yang akan menjadi pilihan mereka kelak.
Faktor keharmonian negara
Kedua, pengundi 18 boleh pula melihat gabungan parti Perikatan Nasional (PN). Saya berpendapat gabungan parti ini terdiri daripada kelompok yang mungkin dapat dihujahkan sebagai ekstremis agama.
Ini dapat dilihat misalnya pada kempen politik Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam video tular berdurasi 28 saat yang mana Shahiful memberikan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi PH dan BN.
Beliau kemudian membuat permohonan maaf melalui satu video yang disiarkan di Facebook Pemuda PAS Sik. Selain Shahiful terdapat juga kandungan kempen lain yang berisiko dinilai sebagai ekstrim dan tidak baik untuk keharmonian negara kita yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Tuduhan parti lain tidak bermoral misalnya menunjukkan calon-calon parti ini jika menang berdiri di atas pelbagai fitnah. Ini misalnya terlihat pada calon Menteri Besar Perak, gabungan PN ini iaitu Razman Zakaria yang telah memfitnah presiden PKR yang juga calon PH parlimen Tambun sebagai akan mempromosikan LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis.
Mungkin anak muda di pedalaman Bagan Serai, khusus Semanggol akan memilih calon Islam yang lebih rahmatan lil alamin iaitu Sheikh Khuzaifah.
Salah seorang pemimpin PN, Abdul Hadi Awang juga memanggil calon PRU15 yang mengisytihar harta sebagai bodoh. Saya berpandangan ini sangat mencerca penjawat awam yang memang mengisytihar harta setiap lima tahun sekali.
Harus diingat terdapat dalam kalangan ibu bapa pengundi 18 ini adalah penjawat awam itu sendiri. Abdul Hadi Awang juga yang merupakan seorang ahli Dewan Rakyat, dalam istilah anak muda hari ini telah ‘kantoi’ tidak datang bertugas di Dewan Rakyat. Ini bahkan diakui beliau sendiri dengan pelbagai alasan.
Ia menjadi lebih menikam jiwa pengundi muda iaitu seawal 18 tahun apabila beliau menghujahkan kedatangan beliau ke Parlimen bukanlah seperti keperluan hadir anak sekolah.
PN juga terdiri daripada parti Bersatu dan bekas ahli PKR yang telah mengkhianati mandat rakyat dalam tahun 2018. Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat manakala seorang lagi pemimpin gabungan itu Mohamed Azmin Ali mempunyai agendanya tersendiri.
Oleh kerana nafsu serakah menjadi pemimpin tersebut gabungan itu meletakkan negara dalam kucar-kacir dan seperti kata Mahathir, ‘bersedia untuk menerima sesiapa sahaja daripada Umno termasuk pemimpin yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta pemimpin yang masih berdepan kes perbicaraan di mahkamah.’
Bukti dan sejarah pengkhianatan ini sedang dibaca oleh anak-anak muda pengundi 18 di media sosial, khususnya di TikTok. Terdapat banyak bukti video dan audio yang menjalar keluar dan boleh menembusi genggaman telefon bimbit mereka.
Pencapaian negeri yang ditadbir
Gabungan seterusnya ialah parti-parti politik yang berhimpun dengan nama Pakatan Harapan (PH). Pengundi 18 boleh menilai prestasi mereka dengan menggugel pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan. Negeri-negeri ini ditadbir oleh PH.
Selangor misalnya menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, atau satu per empat dari pendapatan, yakni hasil dalam negara ini datangnya dari Selangor yang dijaga PH.
Di negeri Pulau Pinang pula pelaburan pembuatan di Pulau Pinang mencapai paras tertinggi sebanyak RM76.2 bilion pada tahun lalu meskipun getir berdepan dengan cabaran kesan dari pandemik Covid-19.
Negeri Sembilan ikut ditadbir PH dan ikut maju jaya seiring dengan Selangor dan Pulau Pinang. Hal ini pernah saya tulis di kolum ini. Negeri Sembilan berjaya mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM7.93 bilion pada tahun 2020 dan RM5.8 bilion pada tahun 2021.
Pengundi muda boleh membuat perbandingan dengan negeri yang dijaga PN iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Rasa iri hati terhadap negeri tadbiran PH ini mungkin mendorong fitnah kelakar seperti tidak ada azan di Pulau Pinang dan lain-lain yang dapat dihujahkan merepek.
Ketiga-tiga pemimpin negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ikut bertanding dalam PRU15 ini di peringkat parlimen menunjukkan mereka sedia berkongsi rahsia kekuatan dan kecekapan mereka kepada rakyat Malaysia.
Mereka adalah Aminuddin Harun di Port Dickson (PH), Amirudin Shari di Gombak (PH), dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Batu Kawan, Pulau Pinang (PH). Gabungan PH ini dipimpin oleh bekas menteri kewangan terbaik Malaysia, Anwar Ibrahim dengan gagasan ekonomi manusiawi beliau.
Pengundi 18 yang ditemui rata-rata memberikan isyarat mereka mahu kedudukan ekonomi yang yang baik demi masa depan mereka. Ini kerana kos sara hidup, inflasi dan keadaan ekonomi negara memburuk. Di bawah kerajaan persekutuan hari ini, negara malah berdepan dengan masalah bekalan telur.
Demikian pilihan yang ada untuk pengundi muda. Abaikan percekcokan dan pantakan politik ibu bapa dan generasi terdahulu anda, fikirkan masa depan kalian sendiri berdasarkan rekod di atas.
Anak muda boleh!
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai