KOLUM | Bila artis masuk politik
Dalam kelesuan PRU di Malaysia untuk kali yang ke-15, ada ura-ura di sosial media akan keluar sebuah lagi filem biopik orang politik di Malaysia, iaitu Anwar Ibrahim. Watak Anwar akan dilakonkan oleh Farid Kamil. Ini adalah sesuatu yang menarik.
Artis masuk ke arena politik bukanlah sesuatu yang baru. Artis atau lebih tepat, selebriti hiburan (nyanyian dan lakonan) menyertai politik sudah lama. Tetapi pada mulanya artis-artis yang berkecenderungan politik kebanyakannya ialah prokerajaan.
Siti Nurhaliza yang merupakan figura besar dalam dunia nyanyian di Malaysia adalah alat politik kerajaan selama ini. Tetapi anak kelahiran Pahang ini juga pernah menyanyikan lagu tentang Nik Aziz, tokoh pembangkang dari PAS.
Pada era reformasi 1998 yang bertujuan hendak menggulingkan rejim Mahathir, artis (di sini istilah pula lebih tepat ialah seniman) seperti Ito (Blues Gang), Dinsman (penyajak dan ahli teater) dan Nasir Jani (pembikin filem) antara yang berkolaborasi menentang rejim Mahathir itu. Dinsman kemudiannya menubuhkan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pada era Pakatan Rakyat.
PAS menerima gerombolan artis yang bukan sedikit pada era itu. Bob Lokman, Hairi Othman dan Abby Abadi antara yang menyertai PAS. Bob Lokman (penulis lirik dan juri) di dalam PAS sehingga ke akhir hayatnya. Beliau meninggalkan karier artisnya itu dalam satu program Raja Lawak, ketika awal kemunculan Zizan dan Johan (Jozan).
Mereka ini menyertai gerombolan PAS ketika parti itu masih menjadi pembangkang, bukan ketika menjadi kerajaan. Anak Nik Aziz iaitu Nik Abduh ketika itu memimpin usrah artis. Kebanyakan artis yang berhijrah mula pergi ke arah politik PAS.
Mana fiqh kesenian?
Sebelum itu, ayah Nik Abduh ketika awal kemunculan program realiti TV di Malaysia mengundang Mawi, anak kelahiran Felda yang menjadi bintang rebutan ramai waktu itu, untuk membuat konsert Islami di Kelantan. Haris Zalkapli dalam bukunya, Politik Pop ada menyebutkan persoalan ini, iaitu hal ini berlaku ketika era televisyen. Mawi menjadi fenomena ramai kerana ketika itu ialah era televisyen. Bayangkan Akademi Fantasia berlangsung di radio?
Selain PAS, artis-artis pastinya banyak bergelumang dengan Umno. Apatah lagi ketika Umno berkuasa dan mewah. Tetapi ketika Umno kalah besar dalam PRU14, antara artis yang aktif membela Najib ialah Ellie Suriaty – yang ditikam penjajah lewat filem Mat Kilau.
PAS dan Umno antara menjadi lubuk perhatian atau persinggahan artis-artis. Mungkin juga kurangnya artis menyertai PAS kerana PAS mempunyai pemahaman hiburan yang dangkal dan sempit. Di Malaysia yang begitu banyak hiburan sehingga ke hari ini, tidak ada lagi fiqh kesenian. Yang ada hanyalah fiqh aulawiyat yang dipinjam – atau diciplak dari Yusuf al-Qaradawi dari Timur Tengah – menyebabkan artis-artis yang masih beragama walaupun berpenampilan rock, tidak mampu nak menyokong atau tampil di pentas-pentas PAS.
Amy Search boleh dikategorikan antara artis rock yang pro-PAS tetapi tidak mampu hadir ke pentas-pentas parti itu. PAS pernah berpandangan suara wanita itu aurat, perempuan cantik tidak boleh tampil ke hadapan, gitar itu haram dan lain-lain lagi. Mahfuz Omar ketika masih di dalam PAS pernah mengatakan K-Pop itu agenda Mossad. Abby Abadi pernah mengatakan tidak akan berlakon lagi. Bagaimana anak muda dan artis akan tertarik dengan parti politik sebegini?
Untuk parti-parti kiri atau berideologi seperti PSM, PRM mahupun PSRM pada sebelumnya, nampaknya parti-parti ini belum mampu menarik minat para artis untuk menyertai mereka. Atau artis-artis kita sendiri yang nampaknya hanya tahu PAS dan Umno, dan hanya itu sahaja yang mereka tahu. Tetapi PRN Johor pada Mac lalu menyaksikan R Arangkannal atau Ara, seorang pembikin filem kaum India ditampilkan menjadi calon PSM. Nampaknya artis dan seni mulai bertaut dengan parti kiri.
Selain parti-parti tradisi seperti Umno dan PAS serta parti-parti kiri, parti yang menerima artis-artis besar ialah PKR. Antaranya Afdlin Shauqi, Hans Isaac dan Altimet.
Altimet yang telah menjadi Ketua PKR Ampang beberapa bulan sebelum ini membuat lagu Aduh Malaysia. Sebelum Altimet, Yasin (Juara AJL juga bekas penasyid Brothers) juga telah menyertai PKR dan membuat lagu Reformasi. Ini menunjukkan dua penyanyi terkenal ini serius dalam agenda perubahan mereka, bukan sekadar menjadi ahli lelap.
PRU15: Artis yang aktivis
PRU15 kali ini menyaksikan bukan sedikit artis yang menyertai parti dan menjadi calon. Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai Pejuang paling banyak menampilkan mereka, seperti Ahmad Idham, Eizlan Yusof dan Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando. Ahmad Idham akan bertanding di Parlimen Port Dickson, Eizlan Yusof akan bertanding di Parlimen Sabak Bernam, sementara Lando akan bertanding di Parlimen Tanjung Karang.
Yang menarik tentang Lando, dia lebih banyak berlakon sebagai watak jahat atau watak sampingan yang kurang diberi perhatian. Dalam dunia aktivisme, dia lebih menyerlah dengan kumpulan Brotherhoodnya. Dia telah melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan oleh kementerian sebelum ini yang banyak membiarkan jalan-jalan berlubang di merata tempat.
Lando tidak perlu berpura-pura turun ke masyarakat seperti yang dilakukan oleh ramai orang politik seperti menteri kewangan sementara Tengku Zafrul Abdul Aziz. Ini kerana Lando telah banyak membantu menurap jalan tanpa mengharapkan sesen pun sumbangan sesiapa. Meskipun bahasa Lando agak langsi, tetapi orang seperti ini diperlukan di dalam parlimen. Jika Lando menan, dia ada harapan untuk menjadi menteri pengangkutan.
Impak dalam pilihan raya
Pembabitan pertama artis pada pilihan raya adalah menerusi Abu Bakar Ellah, yang bertanding di kerusi DUN Kuamut Sabah sebagai calon bebas dalam saingan lima penjuru pada PRU11. Tetapi sehingga ke PRU14, belum pernah lagi artis-artis menjadi wakil rakyat di parlimen. Pada PRU13, Herman Tino bertanding atas tiket bebas di Parlimen Tanjung Karang, Dayangku Intan (PKR) di Parlimen Penggerang dan Aishah (PAS) di Parlimen Jempol. Semuanya kalah.
Nampaknya penyertaan artis dalam pilihan raya ke saat ini masih bersifat sekadar propa dan belum mendapat kemenangan. Hanya Dira Abu Zahar dari Umno yang mencipta sejarah sebagai artis pertama yang dipilih sebagai wakil rakyat apabila memenangi DUN Rim ketika PRN Melaka 2021.
Persaingan antara orang politik tradisi dengan orang seni harus ada. Tetapi rakyat juga bijak memilih, tidak sekadar terpesona dengan pesona artis dan selebriti. Mungkin di PRU15 ini, jika lebih banyak artis atau orang seni menang, ia akan memungkinkan filem atau drama bersiri politik, atau drama serius yang lebih terbuka dan tidak hanya akur pada parti tertentu?
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai