KOLUM | Biarkan yu kelaparan
KOLUM | Cerita hangat-hangat tahi ayam tentang kerusi DUN Changkat Jong - yang terlepas dari Amanah ke tangan DAP - tenggelam dengan berita sensasi menjelang hari penamaan calon.
Misalnya mengenai ada calon yang berpindah parti demi kelangsungan politik, menghentak meja, ajakan bertumbuk dan memboikot. Ia adalah sendal-sendal drama politik yang ada.
Begitu juga dalam PH. Bukan saja nama saya hilang dari senarai calon tetapi kerusi Changkat Jong pun tidak lagi tertera sebagai agenda mesyuarat pimpinan parti pada 30 Okt lalu.
Hujah yang diberikan atas keghaiban itu ialah ia merupakan langkah strategik parti untuk mendapatkan kemenangan yang lebih besar. Changkat Jong bertukar milik demi membolehkan Amanah memperoleh kerusi lain yang lebih menjanjikan.
Maknanya, Changkat Jong dan kerusi lain yang terlibat adalah harga perjuangan untuk menguasai Putrajaya.
Seperti dinyatakan Setiausaha Agung DAP, ia merupakan keputusan top three dalam PH. Saya pernah cuba mempersoalkan justifikasi tindakan tersebut dalam mesyuarat tetapi keputusan muktamad sudah dibuat.
Pilihan yang ada hanyalah menerima dengan lapang dada.
Sebagai orang parti, sifat walak yang ditanam daripada tarbiah PAS nampaknya masih berbaki. Akur tetapi tetap mencari jalan. Orang politik tidak pernah hilang punca. Sentiasa mencari laluan, alasan dan angan.
Sampaikan pesanan, semangat
Ada rakan-rakan pimpinan meminta untuk saya bertanding di tempat lain. Memang ada beberapa kerusi masih kekosongan calon, malah ada calon sanggup memberikan laluan.
Namun itu bukanlah keutamaan saya. Tambahan pula, Anwar Ibrahim juga menyuarakan hal sama dalam perbincangannya dengan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.
Menjelang penamaan calon, fokus utama PH ialah menawarkan barisan kepimpinan yang mampu menggalas amanah. Saya dijemput hadir ke majlis pengistiharan calon PH di Parit Buntar dan juga Lumut.
Segala titik bengik yang menjadi kemuncup perjuangan harus diabaikan. Asmuni selaku 'jeneral perang' kami di Perak menyampaikan pesan dan kata-kata semangat.
Pada hari penamaan calon saya menjadi pencadang kepada Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz di kawasaln parlimen Pasir Salak. Nik Omar adalah rakan saya dalam mesyuarat Pimpinan Amanah Nasional sebelum ditawarkan bertanding atas kouta PKR.
Walaupun kini dinamakan oleh parti yang berbeza, dia kekal sebagai kawan saya.
Di dewan penamaan calon, saya bertemu dengan rakan-rakan lain dalam PAS dan BN. Misalnya calon BN, Khairul Azwan Harun, yang bertanding menentang Nik Omar di parlimen Pasir Salak. Kami berbual mengenai drama Changkat Jong dan masa hadapan Pasir Salak.
Bukan saya tinggalkan Changkat Jong. Ia adalah tempat tinggal saya hampir tiga dekad. Changkat Jong yang terletak di daerah Hilir Perak merupakan subjek antropologi politik saya.
Episod drama politik Changkat Jong menambahkan lagi khazanah kutub khanah peribadi.
Changkat Jong - selain Kerian - adalah mukim yang dibangunkan oleh kolonial untuk aktiviti pertanian terutama selepas terbinanya landasan kereta api di antara Tapah Road ke Warf Teluk Anson.
Lambat bawa keuntungan
Pada tahun-tahun 1900, penjajah membuka kawasan baru untuk dimajukan dengan aktiviti pertanian termasuklah Changkat Jong. Beberapa kawasan telah diperuntukkan kepada peladang Eropah dan saudagar Cina.
Ciri-ciri demografi Changkat Jong adalah sebahagian daripada kesan pensejarahan ekonomi penjajah dan diteruskan oleh regim sedia ada.
Perladangan komersial era British bukan bersifat monocultivation yang tertumpu pada satu jenis tanaman sahaja. Di Changkat Jong, penjajah memilih tanaman getah sebagai keutamaan para kapitalis.
Mereka tidak berminat untuk memajukan tanaman padi yang diusahakan oleh petani Melayu. Mungkin kerana ia lambat untuk memberi keuntungan, seperti diisyaratkan pantun ini:
Puas sudah menanam padi,
Nanas juga dimakan orang;
Puas sudah menabur budi,
Emas juga dipandang orang.
Politik hari ini sangat kompleks keadaannya. Ia bukan sekadar politik yang polos. Ia berkait rapat dengan gelagat ekonomi, sosiol, budaya, hubungan antarabangsa dan sebagainya.
Politik PRU bukan sekadar pelaksanaan demokrasi. Dari sisi jernih, PRU adalah pembuktian kesetiaan, pengorbanan, perjuangan, keikhlasan dan keberanian.
Namun PRU juga adalah tentang pilihan regu, perniagaan, warna perkauman, jalur pemikiran, pelaburan dan juga peperangan. Semua sarat dengan fitnah, pembohongan, manupulasi dan pengkhianatan.
Pengerusi Amanah Kedah, Pharolrazi Zawawi, sudah memakai 'baju besi' dan berikrar untuk tidak akan menanggalkan kelengkapan itu sehingga perang habis.
Belumpun perang bermula secara rasmi, dia terpecat.
Changkat Jong tidak boleh pecah. Bahtera atau jong yang menjadi kenderaan ke dunia harapan tidak boleh tenggelam. Ombak sebesar mana pun, jong mesti tempuh.
Rasa sakit kerana kuat mendayung, menarik layar, mengawal kemudi, ditahankan. Jong mesti gagah menuju ke destinasi.
Jangan kesakitan yang ditanggung itu dilampiaskan secera semberono kerana natijahnya nanti, rakyat dan tanah air ini yang menanggung derita nan panjang.
Ingat, kalau jong pecah, yu yang kenyang!
MUHAIMIN SULAM ialah naib pengerusi Amanah Perak dan ahli Majlis PH Perak.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai