KOLUM | Mahathir: Ejen porak-peranda
pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad berkira-kira hendak bergabung ketumbukan dengan Anwar Ibrahim. Bagaimana bencinya kita pada dua sosok ini sekalipun, politik Malaysia adalah politik rundingan, bukan politik perang.
Seni politik Malaysia ialah politik bawa bincang, bukan politik perang, apatah lagi revolusi. Sama ada kita membenci revolusi atau mencintai revolusi, revolusi tidak akan hadir ke sini. Kerana iklim Malaysia lebih kenyang, senang dan tenang.
Mahathir tanpa segan silu mahu bersatu kembali dengan PH. Ia seharusnya mengingatkan kita kepada gelagat Muawiyah satu masa dulu ketika mereka sedang mengalami kekalahan dalam berhadapan dengan serangan pasukan tentera Ali di Perang Siffin.
Ini adalah perang saudara yang kedua dalam sejarah Islam selepas Perang Jamal (Perang Unta) antara pasukan Aisyah dan Ali.
Penasihat Muawiyah ketika itu, Amru Al-As mencadangkan kepada Muawiyah agar meletakkan lembaran Quran di hujung pedang. Muawiyah tanpa ragu dan tanpa malu, selepas terkorbannya begitu ramai tentera kaum Muslimin, sanggup melakukan hal itu.
Walhal peperangan itu dia sendiri yang mulai kerana tidak mengiktiraf kekhalifahan Ali, dan menuntut darah Uthman, seorang lagi khalifah Islam yang mati dibunuh rakyatnya sendiri.
Disebabkan Ali tidak mahu menunaikan tuntutan tersebut kerana masa belum mengizinkan, peperangan antara Muawiyah dan Ali tidak dapat dielakkan. Maka gugurlah begitu ramai manusia akibat perang saudara atas kehendak untuk berkuasa itu.
Sementara dari kem Ali apabila melihat Quran mula diletakkan di hujung pedang, tanda menyeru kepada perdamaian, sudah mula terbahagi dua. Kata para sarjana yang mengkaji, di sinilah terbitnya dua kumpulan yang akan mewarnai sejarah Islam, iaitu Syiah dan Khawarij.
Syiah akan menjadi penyokong setia dan mazhab Ali. Sementara Khawarij menjadi bukan saja penentang Ali, bahkan penentang kepada tradisi Sunni, dan dianggap lebih keras, literal berbanding mazhab-mazhab dalam Islam yang lain.
Dipendekkan cerita, kem Ali yang hampir menang dalam Perang Siffin itu akhirnya tumpas. Muawiyah yang hampir tumbang dalam perang itu, muncul sebagai pemenang.
Kembali ke asal
Ramai yang sudah mengingatkan kepada PH atau kumpulan pembangkang arus perdana –jika tidak dimasukkan Bersatu dan Mahathir– bahaya dan malapetaka akan menimpa. Telah berlaku bersiri-siri forum bahkan debat antara pihak yang menyokong kem Mahathir dan pihak anti-Mahathir.
Jadi bukan semua rakyat menerima begitu sahaja kemasukan Mahathir ke dalam blok pembangkang sejak era Najib Razak lagi.
Atas terdesaknya untuk berkuasa, ketika undi dan populariti Umno dan BN makin merosot, akhirnya muncullah PH selepas robohnya Pakatan Rakyat (PR). Dan seperti dijangkakan penyokong kemasukan kem Mahathir ke blok pembangkang, maka menang besarlah PH. Anwar kemudian dibebaskan. Anwar menang kemudiannya di Port Dickson. Dan diarak bagaikan esok hendak menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun Mahathir seperti ular yang menyusur akar, masih tidak hilang bisanya.
Meskipun secara rasminya sudah berada di luar keranjang kekuasaan begitu lama, kira-kira 15 tahun, pengaruhnya masih ada dan masih berbisa. Anwar akhirnya mengenggam erat tangan Mahathir.
Dia sekali lagi dijatuhkan oleh Mahathir apabila Mahathir melepaskan jawatan, sekali gus terbubarnya kerajaan PH.
Nama PH menjadi kotor, busuk dan berbau selepas itu. Mahathir nyatanya berjaya memecahbelahkan blok pembangkang yang asalnya kuat dan erat, dengan menaikkan menteri-menteri dari Amanah dan DAP ke posisi kanan, sementara PKR, parti PH paling banyak kerusi parlimen, hanya ditugaskan menjaga harga bawang.
Dan Bersatu yang paling kecil dan sedikit kerusinya menjadi perdana menteri dan menteri pendidikan– Maszlee Malik. Liciknya dan mahadewanya seorang Mahathir, selaku politikus yang paling handal dalam menggempur dan memecahbelahkan musuh-musuhnya.
Dari zaman Tunku Abdul Rahman, melintasi Ku Li, sampai ke Anwar, baik di tahun 1998 mahupun di 2018, dia cemerlang mengatasi mereka semua.
Tetapi tidaklah balik ke square one (asal) sepenuhnya.
Cinta-benci Umno dan PAS
Umno dan PAS hanya boleh bertahan ketika musuh mereka satu dan mereka di pihak yang sama. Itu pun kita tidak pasti berapa kali mereka, baik pimpinan dan pengikut, boleh bertahan dan tidak pening dengan tindak tanduk politik pimpinan pusat mereka, yang sekejap bersatu, sekejap beradu.
Ketika awal PH memerintah selama 22 bulan, nampak Umno dan PAS semakin kuat dan erat hubungan dalam Muafakat Nasional. PH yang dalam euphoria kemenangan mulai angkuh dan takbur, dan menjangka akan bertahan lama, melepasi penggal pertama pemerintahan.
Tetapi kemudian tahun 2020 meranapkan cita-cita politik mereka. PAS dan Umno bersama kekasih baru mereka, mulai bercinta dan sampai ke pelamin kekuasaan. Malangnya di sinilah yang mulai menentukan kesetiaan.
Retorik-retorik yang selama ini dijaja ketika masing-masing kalah atau ketika menjadi pembangkang, sedap didengari.
PAS sudah lama kalah, jadi apa salahnya hendak terus tinggal di singgahsana kekuasaan. Sementara Umno sudah lama menang, jadi nafsu atau keberahian mereka pada kekuasaan tidak setinggi benci mereka pada Bersatu. Jadi PAS tidak ada masalah berkongsi kekuasaan dengan Bersatu (serpihan Umno, juga parti baru) asal sahaja mereka berada di tampuk kuasa.
Kerana itu mereka tidak setuju apa yang Umno lakukan–mendesak Muhyiddin Yassin untuk turun dari jawatan. Sementara Umno pula benci pada pengkhianat, lebih benci dari PAS. Jadi akhirnya dari retak menuju belah.
Jadi kekuatan Umno dan PAS sebelum ini yang begitu tekal sehingga berjaya merobek PH sedikit sebanyak dengan pelbagai isu yang dimainkan, akhirnya mulai pudar.
Keadaan pada hari ini dalam situasi tidak menentu. Tidak boleh dikatakan siapa pun yang akan tampil sebagai pemenang atau majoriti. Politik Malaysia adalah politik persekutuan, politik gabungan. Tidak ada mana-mana parti secara solo boleh memerintah Malaysia.
PKR nampak sedikit lebih baik apabila golongan pengkhianat (Azmin dan juak-juaknya) keluar. Umno dan PAS mulai bersinggungan dan saling tersinggung antara pemimpin dan pengikut mulai bingung. Jadi kemenangan tidak semestinya akan dimenangi oleh kem konservatif seperti yang diramalkan ketika PH berkuasa sebelum ini.
Mahathir pula–selepas keluar dari Bersatu, menghidupkan Pejuang dan kemudian GTA– melihat hal ini. Politikus yang sepak terjangnya dalam politik sudah 60 tahun ini, sudah menghidu kekuatan Anwar dan PKR yang masih ada.
Justeru itu dia tanpa malu mengatakan, tidak kisah dikatakan jilat ludahnya semula. Dia tahu Anwar dan PKR perlukan sokongannya untuk memerintah Malaysia. Dia tahu PH tidak akan menang semua. Mahathir tahu dia masih ada pengaruh.
Jika Anwar bersetuju, atau sekurang-kurangnya PH tidak bertembung di kawasan Pejuang dan GTA, atau di tempat Mahathir bertanding, pastinya orang ramai termasuk pengikut PH terpaksa memberikan undi mereka kepada Mahathir, atas dalil, lesser evil (lebih kurang mudarat).
Persoalan akhirnya, adakah Anwar sekali lagi akan dipatuk ular yang sama, lebih dari dua kali?
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai