KOLUM | Apa masalah rejim Islam Iran?
Ada dua versi sekurang-kurangnya tentang kematian Mahsa Amini, warga perempuan Kurdis-Iran yang hanya dapat hidup sehingga umur 22 tahun. Versi pemerintah dan propemerintah mengatakan Mahsa Amini mati kerana sakit jantung.
Sementara versi kedua ialah versi penyokong Mahsa Amini dan antipemerintah yang mengatakan dia dipukul semasa penahanan oleh polis moral Iran dan kemudian mati di hospital.
VICE News di Youtube melaporkan ribuan manusia yang membanjiri jalan-jalan di Iran sekarang ialah protes terbesar yang dipimpin oleh kaum perempuan. Jeritan yang berkumandang dalam unjuk rasa kali ini ialah, death to the dictator.
Dan ia bukan sahaja disertai oleh kaum perempuan, malahan yang jantan juga turut menyokong kebangkitan rakyat yang lama ditekan. Kata pengarah Pertubuhan Hak Asasi Iran (IHR), Mahmood Amiry-Moghaddam, sekurang-kurangnya 92 orang terbunuh dalam rusuhan yang telah berlaku selama dua minggu ini.
Hal ini tidak akan berlaku jika rejim Islam itu menumpukan lebih perhatian terhadap pembaikan ekonomi dan kebajikan rakyatnya. Jika mereka lebih berfikiran sekular berbanding dogmatik agama, apa yang berlaku terhadap Mahsa Amini mungkin tidak terjadi.
Kita tidak boleh menafikan bahawa represifnya rejim Islam Iran terhadap rakyatnya sendiri. Bukan sedikit warga Iran melarikan diri keluar dari negara itu. Ketika Revolusi Iran 1979, ahli falsafah Iran yang terkenal seluruh dunia Seyyed Hossein Nasr sendiri membawa keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat.
Sementara itu dari sudut politik, gerakan Marxist seperti dari Parti Tudeh yang terlibat bersama menumbangkan Shah Iran, turut dihabiskan oleh kaum fundamentalis yang berada di tampuk kuasa.
Kumpulan Kiri Islam seperti Mujahidin Khalq pula menerima perit yang bukan sedikit apabila terpaksa keluar negeri. Kumpulan ini, yang menerima pengaruh Ali Syari'ati dan Karl Marx, juga tidak dapat hidup di Iran selepas revolusi. Dikatakan oleh ramai penilai, jika Ali Syari’ati masih hidup belum tentu dia boleh bertahan di Iran.
Kedua-dua pihak baik pemerintah mahupun pro-Mahsa Amini boleh sahaja bergasak tentang kebenaran versi masing-masing. Tetapi jika obsesif tentang pakaian perempuan, rambut dan tudung itu tidak wujud di Iran, pasti kematian Mahsa Amini ini tiga hari selepas penahanannya pada 13 september tidak akan berlaku, dan meributkan sehingga mengorbankan puluhan demonstran pula.
Mahsa Amini boleh sahaja mati disebabkan sebab-sebab lain, seperti Covid-19 atau dipatuk ular misalnya. Mahsa Amini pasti mati. Semua yang hidup pasti mati, tanpa kecuali.
Tetapi disebabkan obsesif terhadap hal rambut dan tudung ini, dan kebetulan Mahsa Amini menjadi aktor atau figura yang mati selepas penahanannya, maka rejim Islam Iran tidak boleh berdolak-dalik lagi.
Rejim Islam Iran harus bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya mencontohi menteri-menteri di negara kafir, iaitu meletakkan jawatan.
Negara Islam tak ikut al-Quran
Jika itu pun tak mampu dibuat, maka benarlah seperti kajian badan yang diusahakan oleh professor kelahiran Iran dalam Islamicity Index, bahawa negara-negara yang mengikut al-Quran itu bukanlah negara-negara Islam termasuk Iran sekalipun, tetapi negara-negara kafir.
Jika protes ini hanya berkaitan Mahsa Amini sahaja, bagaimana mungkin ia berlanjutan sehingga kini? Ini menunjukkan ada kebenaran bahawa orang ramai terutama generasi muda dan kaum perempuan sudah mula muak dengan dogma-dogma agama yang dicandukan selama ini.
Protes dengan pembakaran tudung itu menunjukkan kaum perempuan di Iran sudah menandakan muak yang sudah mencapai takat didih. Pastinya isu-isu berkaitan ekonomi juga tidak dapat ditolak sebagai asbab yang mencucuh pada kebangkitan ini. Jika orang cukup makan dan ada pekerjaan, pastinya orang tidak ada masa untuk turun ke jalan.
Protes ini bukan sekadar protest biasa seperti di mana-mana negara demokrasi. Protes ini sudah melibatkan api dan pembakaran, termasuk ada yang naik ke bangunan-bangunan dan mengoyak gambar mullah.
Dengan beraninya kaum perempuan mula membuang tudung dan menggunting rambut mereka, tanda solidariti pada Mahsa Amini dan penentangan terhadap tirani.
Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Mahsa Amini itu ternyata sangat kecil. Dia bukan tidak memakai tudung langsung, atau berbogel di khalayak awam, tetapi tidak memakai dengan betul.
Ternyata rejim Islam Iran, tidaklah progresif mana atau layak dikatakan lebih baik berbanding rejim-rejim Islam yang lain. Akibat penggunaan agama sebagai instrumen untuk menekan, kini lebih ramai perempuan Iran di jalan membuang dan memijak tudung mereka.
Jika agama tidak dijadikan sebagai instrumen untuk menekan, pastinya hal ini dapat dielakkan. Tekanan dari agama membuatkan pihak yang ditekan bangkit untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin agama yang menekan termasuk simbol-simbol yang dianggap opresif.
Bagaimana pula dengan Malaysia?
Dalam hal ini, nampaknya Malaysia nampaknya lebih ‘toleran’ dalam bab tudung dibandingkan dengan negara yang kuat Wahabinya seperti Saudi, atau yang kuat Syiahnya seperti Iran. Roh sekular di Malaysia masih berjaya menangkis dan menepis aura rigid pemahaman Islam yang sempit.
Aura rigid syariah yang terlalu memfokuskan kepada perempuan itu hanya kuat di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS seperti Kelantan dan Terengganu. Tetapi di negeri-negeri lain, buat masa ini hal itu belum menjadi masalah seperti di Iran. Sekurang-kurangnya di Malaysia, Siti Nurhaliza masih boleh menyanyi.
Musuh Iran pastinya mengambil kesempatan akan hal ini. Tetapi kesempatan ini sendiri diberikan oleh rejim Islam Iran yang terlalu obsesif pada pakaian dan aurat perempuan termasuk rambut.
Apa yang berlaku di Iran boleh sahaja berlaku di mana sahaja rejim Islam yang memerintah. Ia harus dijadikan iktibar. Mana-mana yang terlalu kalut dalam nak mengawal moral rakyatnya pasti akan menghadapi masalah ini.
Kalau di Malaysia kita mempunyai PAS dan pelbagai lagi kumpulan Islam yang begitu obsesif dengan kawalan moral dan akidah orang lain. Di Pakistan juga tidak terkecuali dengan Jamaat Islami menjadi pelopor dalam pengawalan moral dan keimanan orang lain. Termasuk di Afghanistan, sekalipun mereka kembali memerintah, dek kerana obsesif untuk mengawal moral dan keimanan orang, pemerintahan mereka masih diragui ramai.
Jika dulu gambar Ali Syari'ati dan Khomeini adalah kibaran sepanduk kaum demonstran dalam menumbangkan regim Shah Iran, kali ini giliran Mahsa Amini menjadi simbol menumbangkan regim Islam.
Jika dulu kaum mullah dan ayatollah serta intelektual dan Kiri yang menjadi tunjang revolusi, kali ini giliran kaum perempuan di Iran untuk turun ke jalan dan mengobarkan api pemberontakan!
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai