Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Benarkah Melayu malas?

Kita sering digambarkan bahawa kegagalan orang Melayu dalam bidang ekonomi adalah disebabkan mereka malas, tidak mahu kerja susah, dan sebagainya. Kenyataan ini dilontarkan bukan oleh orang biasa tetapi oleh pemimpin Melayu sendiri. Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan ini dilahirkan sebagai satu bentuk provokasi atau memang dari perasaan kekecewaan. Persoalannya, apakah benar orang Melayu ini malas?

Saya ingin memetik satu kajian yang dibuat oleh seorang panganalisis politik di mana dalam tulisan beliau dinyatakan seperti berikut:

“When undertaking research on the Malay peasantry…..the tens of thousands of files that I examined from the records of the colonial administration in Malaysia and London from the period from 1874 to 1940 provided a different picture relating to the underdevelopment of the Malay peasantry than other scholar had provided. The reports and minutes…provide uncontestable evidence of a hard working, enterprising and often risk taking native population. What held back the local population were the feudal rulers who extracted rents and appropriated the fruits of the peasantry’s work during the pre-colonial period; and the successor British colonial administration which implemented discriminatory policies against the peasantry and local smallholders in favour of plantation capitalist.”

Kajian ini menolak stigma yang melabelkan orang Melayu sebagai kaum yang malas dan tidak boleh berdikari. Tidak dinafikan mungkin ada orang Melayu yang memang malas berusaha cuma mengharapkan bantuan pihak tertentu terutama kerajaan, tetapi untuk mengandaikan ke semua orang Melayu malas adalah satu kenyataan yang terpesong. Kalaulah kita nak lihat kelemahan, semua kaum ada kelemahan tersendiri. Ada kaum yang suka berjudi, kaki mabuk, kaki perempuan dan sebagainya tetapi kenapa Melayu juga yang sentiasa dihina.

Saya sendiri melihat bagaimana di kampung-kampung dahulu seusai sahaja solat subuh orang Melayu kampung, sudah pergi ke kebun getah untuk menoreh. Sesudah habis menoreh mereka akan memperoses getah tersebut menjadi getah keping sehingga tengah Hari. Sekitar pukul tiga petang kita akan melihat pula mereka pergi ke sawah untuk mengerjakan tanaman padi sehingga lewat petang. Bagi yang ada ternakan, mereka akan menguruskan ternakan mereka. Begitulah kehidupan orang Melayu seharian mencari rezeki secara berdikari. Mereka tidak pernah meminta bantuan dari sesiapa. Kita kena ingat pada sekitar tahun 70-an Malaysia adalah negara pengeluar getah asli terbesar di dunia dan 80% pengusahanya adalah orang Melayu. Apakah boleh lagi kita kata Melayu itu malas?

Secara umumnya, kegagalan orang Melayu untuk bersaing dengan kaum lain dalam bidang ekonomi bukanlah disebabkan mereka malas tetapi disebabkan oleh beberapa faktor:

  1. Dari segi sejarah, sikap penjajah yang menghalang orang Melayu untuk untuk maju dan berdikari kerana mereka mahu negara ini sentiasa tunduk dengan kehendak mereka dan orang Melayu sentiasa terpaksa merujuk kepada mereka. Apa tidaknya, penjajah secara sengaja menyekat orang Melayu dari mendapat pelajaran lebih tinggi, tidak membenarkan orang Melayu untuk duduk di bandar, tidak menggalakkan orang Melayu berniaga, juga menyukarkan orang Melayu mendapatkan bantuan dana dari bank bagi mengembangkan perusahaan mereka menyebabkan mereka kekal sebagai pengusaha kecil. Pada masa yang sama, kaum lain diberikan ruang seluas-luasnya untuk maju dengan diberi pelbagai kemudahan dan bantuan. Akhirnya mereka berkembang luas dan mampu menawarkan harga tinggi untuk membeli tanah-tanah dan kebun usaha orang Melayu. 

Ini semua saya nyatakan bukan mahu bernostalgia kisah sejarah tetapi mahu rakyat sedar bahawa apa yang berlaku pada orang Melayu hari ini bukan secara tiba-tiba tetapi satu perencanaan dan sistem yang dibina oleh pihak penjajah untuk menekan Pribumi. Apabila negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu mula cuba untuk bangun tetapi ketika itu jurang antara mereka dengan kaum lain sudah jauh terlebar.

  1. Tekanan dari sistem politik feudal apabila pemerintahan negara dikuasai oleh “warlords” yang menekan usahawan Melayu dengan mengaut keuntungan secara tidak sah. Mereka mencabuli segala polisi yang dibuat untuk membantu usahawan Melayu dengan mengenakan pelbagai syarat yang sukar untuk dipenuhi. Mereka melantik proksi untuk diberikan pelbagai kontrak padahal hakikatnya adalah untuk mereka sendiri. Rasuah yang dipungut dari tauke-tauke besar dan salah guna kuasa menjadi amalan menekan usahawan Melayu. Walaupun ada dasar yang membantu orang Melayu, tetapi telah dimanupulasi oleh segelintir golongan elit.

  1. Sekatan oleh kartel yang mengawal semua barangan perniagaan dari pengeluar sehingga ke peruncit. Oleh kerana mereka mempunyai dana yang besar, mereka mampu menentukan harga dan memaksa usahawan kecil yang majoritinya orang Melayu untuk mengikut kehendak mereka. Mereka boleh memaksa kerajaan membuat sesuatu polisi yang memihak kepada mereka. Ini menyebabkan usahawan Melayu tidak mampu berkembang dan dengan kapasiti yang terbatas ini amat sukar pengusaha Melayu untuk bangun dan bersaing dengan bangsa lain.

Saya yakin ada faktor-faktor lain yang menyekat perkembangan ekonomi Melayu yang boleh dihurai dengan lebih panjang lebar. Saya juga bukan mahu menuding jari kepada orang lain bagi menutup kelemahan orang Melayu. Tujuan saya adalah untuk menyedarkan pihak tertentu dan pihak kerajaan supaya jangan sewenang-wenangnya menuduh orang Melayu itu dan ini tetapi membiarkan sistem negara di perkotak-katikkan oleh mereka yang tamak haloba. Saya juga mahu menyedarkan orang Melayu bahawa mereka boleh bangun dan berjaya seperti bangsa lain kerana itu asal jati diri mereka. Apa yang perlu orang Melayu lalukan ialah mengubah minda mereka dan melihat masa hadapan dengan penuh keazaman, menguatkan kesatuan dan Kerjasama. Yang paling penting MEMILIH pemimpin yang benar-benar amanah dan berintegriti.


AMINUDDIN YAHAYA merupakan Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.