Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Membangun bersama Kelantan

KOLUM | Jika kamu suka membaca Malaysiakini, kamu akan dapati bahawa berita-berita jenayah sensasi pasti dan pasti ditulis oleh N Faizal Ghazali. Beliau merupakan pemberita bergaji dengan portal ini. N Faizal juga menjadikan Kelantan sebagai pusat penulisannya.

Ini tidak menghairankan kerana beliau memang berasal dari negeri tersebut.

Cinta kasih sayang yang beliau tumpahkan pada tanah sekebun bunga itu tidak lebih dan tidak kurang daripada apa yang ditumpahkan oleh siapa saja yang berasal dari negeri Serambi Mekah tersebut.

Kita semua sedia maklum bagaimana sayangnya orang Kelantan kepada negeri itu. Sebagai contoh, pelukis terkenal - Rafiee Ghani - hanya menggunakan kayu yang diimport terus dari Kelantan untuk menghasilkan arca yang sangat ditunggu pamerannya itu.

Beberapa kali sebulan akan ada lori sederhana besar memunggah beberapa pohon kayu ke rumah Rafiee.

Kepada beliau, hanya pohon kayu dari Kelantan tersebut mempunyai seni yang khas.

Gambar hiasan

Pelukis, Khairuddin Zainuddin, pula bersumpah bahawa cili kering yang terbaik adalah yang datang dari negeri Cik Siti Wan Kembang kebanggaan beliau.

Kami syak cili kering tersebut buatan Siam namun jika kita mahu berlaku adil, selatan Siam itu memang asalnya milik kerajaan Kelantan.

Kemudian dari itu, di tempat kami di Nilai ini terdapat sebuah gerai yang menjual sarapan dan segala macam nasi kerabu, nasi berlauk, nasi impit sambal ikan serta kuih muih datang terus dari Kelantan.

Budak yang berniaga di gerai tersebut memberitahu, setiap malam akan ada kereta menghantar makanan tersebut ke Kajang. Dia akan ke Kajang sebelum subuh untuk mengambil makanan tersebut sebelum dijual di kawasan perumahan kami.

Pelanggan gerai itu datang dari banyak negeri namun majoritinya tentu saja sek-sek kito.

Badan boleh menggeletar

Kami pernah diberitahu tidak lama dulu bahawa kereta yang menghantar makanan tersebut dibayar RM80 untuk satu perjalanan. Khabarnya ada pemandu yang kuat sehingga boleh melakukan dua perjalanan dalam satu malam.

Upah yang kami sebut diatas adalah nilai bertahun-tahun yang lepas. Mungkin kini nilainya lebih tinggi.

Dan siapa yang boleh menafikan betapa nasi air dingin yang katanya dihantar dengan kapal terbang setiap hari demi memenuhi hajat orang Kelantan yang merantau.

Di samping itu, seorang kenalan kami akan bersarapan selang seminggu di Kota Bahru. Beliau tinggal berhampiran dengan rumah kami.

Setiap dua minggu beliau bersama dua atau tiga rakan yang lain akan memandu ke Kota Bahru hanya untuk bersarapan dan kemudian segera pulang ke Nilai.

"Menggeletar tubuh kalau lama tak sarapan di Kota Bahru," kata beliau kepada kami.

Gambar hiasan

Dalam dunia lukisan pula, jika pelukis Kelantan mengadakan sebarang pameran di Kuala Lumpur, maka mereka akan diraikan oleh rakan senegeri yang sudah menetap di sekitar ibu kota.

Pameran kumpulan pelukis dari Kelantan sentiasa menjadi bahan cemburu pelukis dari negeri-negeri lain, baik dari segi sambutan mahu pun jualan.

Semangat setia kawan dan juga cinta sejati kepada rakan dan negeri asal mereka adalah suatu legenda.

Hanya orang Kelantan juga yang tidak berasa malu-malu meninggalkan rakan dari negeri lain yang dikenal sejak berpuluh tahun dulu sebaik saja mereka menemui orang dari negeri sendiri walaupun saling tidak mengenali.

"Tidak apa," kata mereka, "janji budu."

Marah orang berhijrah

Oleh kerana itulah kami yang pernah berlama-lama di Kampung Makam Di Raja, Langgar, Kota Bahru berasa agak gempar apabila membaca tulisan terbaru N Faizal di portal ini beberapa hari yang lalu.

Kami hairan dan tidak boleh mempercayai bahawa apa yang ditulis itu adalah hasil air tangan anak Kelantan sejati.

(Sebagai perbandingan, Mohd Dahri Zakaria - seorang penulis dan kolektor buku-buku langka - juga amat kuat kasihnya kepada Kelantan dan khabarnya menyesal dilahirkan di Besut.)

Mana mungkin seorang rakyat Kelantan, dan tinggal di Kelantan pula, boleh marah kepada negeri tersebut. Ini - pada kami yang masih mempunyai ramai saudara mara di Gua Musang - adalah cemar dan durhaka.

Dalam tulisannya N Faizal merungut mengenai air di taman perumahan mewah tempat rakannya tinggal.

Gambar hiasan

(Untuk pengetahuan kamu, semua orang yang terlibat dengan Malaysiakini adalah kaya disebabkan mereka diberi 'wang yang banyak oleh DAP' untuk menghentam ketidakadilan siapa saja, dan N Faizal tidak terkecuali.)

Habis semua beliau tempelak akibat daripada kemarahan tidak dapat mandi air bersih selama beberapa hari.

Daripada penduduk setempat ke majlis daerah, ke kerajaan negeri. Malah beliau jadi sampai hati marah kepada rakan senegerinya yang berhijrah ke negeri lain.

N Faizal marah kerana mereka yang merantau itu - menurut beliau - hanya pulang untuk mengundi dan memastikan negeri tersebut kekal bersama pemerintahan 'Islam' sedangkan beliau yang menetap di sana terpaksa berhadapan dengan banjir, gangguan bekalan air dan juga silauan kereta baru wakil rakyat setempat.

Kami yang masih dikunjungi saban minggu oleh keturunan ahli keluarga mereka yang membuka Tanah Merah beranggapan N Faizal sudah melampaui batas. Beliau jadi sampai hati menghentam negeri sendiri.

Dalam tulisan yang sama Faizal juga merungut mengenai banjir.

Biasa agihkan ghanimah

Apabila air tak ada, beliau marah. Apabila banyak air, beliau mengamuk. Apa yang beliau mahu sebenarnya?

Kelantan adalah Baghdad pada zaman gemilangnya. Jika Baghdad berjaya menarik orang luar untuk bercakap mengenainya, maka Kelantan juga tidak kurang hebat.

Kelantan tidak pernah berhenti daripada diperkatakan oleh orang sejak lama dulu. Baik kerana manisnya masakan mereka atau kerana tegapnya mereka mempertahankan pemerintahan yang didakwa mengikut kata tuhan.

Lihat betapa majunya perniagaan seludup beras dan minyak masak di negeri tersebut. Lihat pula bagaimana negeri tersebut melahirkan ramai orang pandai hal agama berbanding negeri lain.

Kerana itu, adalah menjadi hak untuk siapa pun yang mempunyai jalan untuk menggunakan apa pun kemudahan dalam kerajaan bagi meraikan majlis pernikahan anak mereka, misalnya.

Semua jentera kerajaan negeri mesti digerakkan bagi menjayakan acara laga pusat anak pemimpin mereka kerana itu juga adalah hak.

Gambar hiasan

Setelah lama berjuang - dan setelah menang - apa saja milik negeri adalah ghanimah yang mesti dibahagi-bahagikan sesama pemimpin dan penyokongnya.

Sebagai perbandingan, amalan berbahagi keuntungan setelah menang pilihan raya adalah amalan biasa semua partai. Maka apa yang dilakukan oleh pemimpin Kelantan, misalnya, adalah sesuatu yang bukan sangat memeranjatkan.

Kita terperanjat kerana kita bodoh.

Mereka yang di luar Kelantan tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan apa-apa tindakan pemimpin negeri tersebut kerana Kelantan adalah hak orang Kelantan.

Orang luar sila diam, sehinggalah kamu boleh menawan kembali negeri itu. Dan seperti Baghdad, hanya tentera Mongol sajalah yang boleh menang dalam perang menentang kerajaan Kelantan.

Kami juga berharap N Faizal dilucutkan daripada menjadi rakyat Kelantan kerana nampak benar beliau menulis sedemikian rupa dengan tujuan propaganda bagi memenangkan DAP dalam pilihan raya akan datang.

Kami memandang beliau dengan sangat huduh.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang berasal dari Kuantan, bukan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.