KOLUM | Hikmah Najib ke penjara
KOLUM | Pada Selasa 23 Ogos 2022 Najib Razak yang merupakan bekas presiden parti United Malays National Organisation (Umno) merangkap bekas perdana menteri Malaysia dimasukkan ke dalam Penjara Kajang.
Najib dipenjara selama 12 tahun dan didenda RM210 juta. Ini setelah dia didakwa, dibicara dan didapati bersalah. Najib dibuktikan kesalahannya mengubah wang haram. Atau lebih popular kes ini dikenali sebagai kes SRC Internasional.
Ketika tulisan ini digarap, Najib telah lebih sebulan ‘menginap’ dalam penjara. Najib masih lagi menjadi tajuk berita dan kadang kala induk berita untuk media dalam dan luar negara.
Kes Najib juga membuka mata warga Malaysia tentang pelbagai sudut perundangan yang biasanya tidak diambil peduli. Pemahaman tentang kewujudan beberapa tahap mahkamah, tentang peranan pendakwa, cara hukuman ditulis dan cara peguam menjalankan tugas.
Secara positif kes SRC Najib membawa pencerahan terhadap lembaga kehakiman.
Najib tokoh politik yang bukan kecik anak. Pernah menjadi menteri besar Pahang, memimpin dan menjadi ketua Pemuda Umno dan kemudian menjawat presiden parti. Seterusnya dia menjadi menteri belia dan sukan, menteri pertahanan sebelum menjadi perdana menteri pada 3 Mei 2009 .
Pada Julai 2011, Najib juga pernah menjadi tamu Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, London. Baginda Elizabeth sengaja memakai baju kuning untuk memberi ingatan kepada Najib bahawa kuning ialah waran NGO Bersih.. opps... silap warna kuning ialah warna diraja.
Najib juga ada darah kerbat DiRaja Pahang.
Rekod dunia
Ketika menjadi perdana menteri, Najib adalah rakan golf Presiden Obama dari Amerika. Pada tahun 2015 Najib pernah dilihat bercanda-canda main golf di Hawaii dengan Obama.
Najib memang hebat. Malah ketika bertemu Presiden Trump pada bulan September 2017 Najib telah berjanji kepada Presiden Trump untuk menyelamatkan ekonomi Amerika.
Najib berkata kepada Trump yang dia akan mengarahkan Sistem Penerbangan Malaysia MAS untuk membeli kapal terbang Boeing buatan Amerika.
Malah jumlah duit yang hilang dalam kes 1MDB – kes yang sedang berjalan – adalah satu rekod dalam dunia rompakan. Rekod dunia ini hingga ke hari ini masih dipegang oleh Najib.
Sah lagi terbukti sosok yang bernama Najib ini bukan sosok kecik anak. Amin.
Kini Najib diberitakan sakit. Saya amat yakin sakit ini bukan teater. Sakit ini bukan sandiwara. Pandangan saya ini adalah dari pengalaman saya yang telah memasuki berbelas-belas penjara dan lokap dalam dan luar negara.
Untuk yang belum pernah memasuki penjara biar saya paparkan rutin penjara itu. Ini pencerahan dari Hishamuddin Rais yang juga bekas banduan. Pencerahan ini hasil pengalaman yang telah saya lalui.
Pengalaman penjara
Pertama: Pada petang Selasa 23 Ogos 2022 Najib di bawa dalam kereta polis – biasanya dalam Paddy Wagon atau Black Maria. Najib agak istimewa. Dia naik kereta polis dari kompleks mahkamah di Putrajaya ke Penjara Kajang.
Untuk banduan yang baru masuk ke penjara, ini rutinnya : Sang Banduan akan diambil gambar. Wajah muka depan, sebelah kiri dan kanan akan dirakam. Ketinggian dan berat badan dan umur, jantan atau betina akan dicatat.
Sepuluh cap jari akan diambil.
Sang banduan akan dibogelkan untuk dicari kesan parut luka atau ada tanda badan atau ada tatu. Semua ini direkodkan.
Ketika bogel Sang Banduan juga diminta menonggeng dan lubang jubur diperiksa jika ada percubaan untuk menyeludup dadah atau apa saja.
Kemudian Sang Banduan akan mandi. Pakaian penjara akan diberi mengikut status penjara. Sang Banduan akan dibawa ke dalam sel yang telah disediakan.
Banduan akan diberi nombor. Nombor saya di Kamunting ialah 2504. Nombor inilah yang menjadi pengganti nama.
Esoknya Sang Banduan akan di bawa ke klinik penjara untuk dirakam butir kesihatan dan apa-apa keperluan perubatan. Apa penyakit yang dihadapi dan apa ubat yang perlukan semua akan diambil tahu oleh ‘Tabib Penjara’.
Ini rutin yang saya alami di Penjara Air Molek Johor Bahru, di Bilik Sulit Tahanan Rahsia ISA, di Kem Kamunting, di Penjara Taiping. Di Melbourne, Australia dan di Bombay, India. Semua sama.
Semua negara bekas tanah jajahan Baginda Queen Elizabeth memakai sistem yang sama. Ini susun cara peraturan dalam penjara antarabangsa.
Slanga penjara
Saya tidak tahu apakah Najib dalam bilik persendirian atau berkongsi dengan banduan lain. Jika berkongsi dalam bilik seluas dua bilik darjah pasti ada tandas dan bilik mandi. Semua dikongsi.
Katil bertilam nipis. Kain selimut dan bantal disediakan. Lampu dalam bilik sel sentiasa cerah.
Kalau dalam sel kecil untuk tiga orang tidak ada tandas. Diberi calung – tin kosong – untuk kencing. Jika nak terberak - sakit perut tengah malam - maka wajib memanggil wadar (pegawai yang mengawal orang tahanan di penjara). Jika tidak ada wadar maka terberak dalam calung.
Ketika saya menulis ini, jika Najib telah bercampur gaul dengan banduan lain pasti Najib telah tahu beberapa lingo slanga penjara.
Dalam penjara wadar dipanggil Cik Gu. ‘Payung’ ertinya ada yang membantu. Kalau dipayungi Cik Gu ertinya ada wadar yang baik membantu. ‘Submarine’ ertinya menyeludup melalui lubang jubur.
Saya yakin Najib tidak selesa tidur dalam penjara. Ini pengalaman pertama Najib masuk penjara maka Najib pasti gelabah.
Najib bekas anak perdana menteri. Hidup Najib dari kecil amat lumayan. Hidup yang semua disediakan. Najib dilahir dan dibesar dalam alam mewah.
Najib dari kecil lagi dikelilingi oleh pembantu. Bila mencampuri politik Najib menjadi pemimpin. Najib bukan pemasang poster, bukan pengatur kerusi, bukan memasang khemah atau memikul alat pembesar suara.
Najib sentiasa didukung, ditatang dan dimuliakan.
Najib tidak pernah ke pasar, tidak pernah memanjat kelapa, tidak pernah beratur di pasar raya dan tidak pernah berjumpa Mat Bangla tukang pam minyak di stesen Petronas.
Makanan Najib sentiasa terhidang. Tepuk dada tanya selera. Babu dan Tukang Masak akan mengurus. Jika selera Perancis datang maka Cef Perancis akan dilanggan.
Di meja makan semua makanan terhidang dalam pinggan mangkuk tembikar buatan terbaik dari England. Sudu garpu dari perak. Di Penjara Kajang makanan sampai dalam tray plastik dan makan dengan tangan.
Malam pertama
Dalam sel di malam pertama ketika terlentang keseorangan Najib akan mengelamun. Semua babak yang membawa dirinya ke Kajang akan melintas satu demi satu.
Wajah isteri pertama, wajah Rosmah, wajah Altantuya akan muncul. Najib akan terkenang pelukan isteri barunya.
Wajah Sirul dan Azilah juga akan muncul. Apabila wajah Azilah muncul Najib akan membuka mata kerana Azilah juga sama berada dalam Penjara Kanjang.
Secara jujur babak-babak ini akan bermain dalam kepala Najib. Paling dramatik ialah babak sumpah laknat di Masjid Kampung Baru. Macam filem ia akan berputar dalam ingatan.
Ini yang dialami oleh semua banduan dalam penjara.
Adalah menjadi fakta – dari pengalaman - bahawa paling ramai orang “tidak bersalah” telah saya sendiri temui dalam penjara. Najib juga yakin dia tidak bersalah.
Di sebalik Najib masuk penjara ada satu perkara yang wajib saya rakamkan. Yang ingin saya rakamkan ini bukan kegembiraan atau tepuk tangan kerana Najib masuk penjara. Bukan. Bukan. Bukan.
Ada satu perkara yang lebih penting yang wajib kita pelajari dari pemenjaraan Najib.
Perkara ini ialah hikmah runtuhnya 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Hikmah Ismail Sabri jadi PM
Awalnya saya merasa kecewa juga apabila kerajaan PH runtuh. Tapi semenjak Najib masuk penjara pandangan saya berubah. Rupa-rupanya ada hikmah di sebalik jatuhnya Mahathir. Ada hikmah apabila kerajaan Muhyiddin menjadi kerajaan gagal. Ada hikmah apabila Ismail Sabri menjadi perdana menteri.
Bayangkan jika Mahathir masih lagi Perdana Menteri pada Selasa 23 Ogos 2022 yang lalu. Gambarkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada hari Selasa itu.
Saya yakin jika Mahathir atau Muhyiddin perdana menteri ketika hakim memenjarakan Najib, negara ini akan menjadi kacau bilau.
Pada petang Selasa 23 Ogos 2022 Malaysia tenang dan teratur. Tidak ada huru hara walau pun yang masuk ke penjara bekas Perdana Menteri dan bekas anak Perdana Menteri.
Kita wajib berterima kasih kepada Ismail Sabri. Tahniah Ismail Sabri. Tanpa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri saya tidak yakin pemenjaraan Najib akan berjalan dengan tuntas. Salut kepada Ismail Sabri.
Najib Razak bekas Ppresiden United Malays National Organisation dimasukkan ke dalam Penjara Kajang oleh Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden United Malays National Organisation.
Inilah dia hikmah. Perdana Menteri dari parti United Malays National Organisation memenjarakan bekas Presiden partinya sendiri.
Jika Mahathir menghantar Najib ke penjara pasti rakyat akan keluar berdemo sama seperti kes liwat Anwar Ibrahim. Mahathir akan sekali lagi menjadi Mahafiraun dan Mahazalim.
Mahathir akan dituduh sekali lagi sebagai kepala konspirasi.
Malah hari ini sesudah Najib di penjara masih ada penyokong Najib yang percaya lagi yakin bahawa semua ini adalah kerja Mahathir.
Masih ada yang percaya di belakang pemenjaraan Najib ini dikatakan kerja gelap Mahathir.
Bayangkan jika Muhyiddin menghantar Najib ke penjara dan rakyat keluar berdemo, dengan sekelip mata kerajaan Muhyiddin akan patah terbarai.
Jangan lupa kes arwah Adib. Lihat bagaimana huru hara telah diolah untuk mengganggu gugat kerajaan PH.
Jika Mahathir atau Muhyiddin menghantar Najib ke Kajang huru-hara ini pasti beratus kali berlipat ganda dari demo kematian Adib.
Tidak mustahil kacau bilau ini akan menjurus ke tahap tragedi 13 Mei.
Justeru hikmahnya ialah Ismail Sabri mengambil tanggung jawab sebagai Perdana Menteri menghantar Najib Razak ke Penjara Kajang. Tahniah Ismail Sabri.
Tahniah juga wajib diberikan kepada Mahathir. Sosok yang licik berpolitik ini memiliki pembacaan politik yang tepat. Mahathir juga bijak membaca watak. Mungkin tidak sebijak membaca sekilas ikan di air sudah kenal jantan betinanya.
Ketika menjadi perdana menteri, Mahathir ditugaskan untuk memilih beberapa nama untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Ini kebijaksanaan Mahathir - dia telah memilih Tengku Maimun. Sejarah membuktikan ini satu pilihan yang tepat.
Tahniah juga kepada Muhyiddin. Dia melantik peguam negara yang baru. Langkah Muhyiddin yang tepat dan bijak ialah dia tidak menggantikan pendakwa raya dalam kes SRC Internasional yang sedang berjalan.
Kejayaan rakyat
Ketua pendakwa Sri Ram dilihat oleh Najib dan Rosmah sebagai pendakwa yang tidak lut dengan tembakan peluru emas. Sri Ram wajib dinyah.
Tetapi tugasan Sri Ram diteruskan oleh Muhyiddin dan tidak disingkir. Muhyiddin meneruskan semua pasukan yang menjalankan pendakwaan terhadap Najib.
Kenyataan Muhyiddin yang dia tidak mencampuri urusan kes Najib dan juga kes Zahid adalah benar belaka.
Muhyiddin membocorkan bagaimana satu minggu sesudah menjadi perdana menteri, Zahid telah datang berjumpa. Zahid dengan fail kes di tangan telah meminta Muhyiddin campur tangan.
Muhyiddin tidak berganjak. Muhyiddin mencadangkan kepada Zahid – jika tidak bersalah – maka pasti ini akan dibuktikan oleh mahkamah. Salut untuk Muhyiddin.
Tahniah yang paling besar ialah kepada semua pengundi yang telah mengundi PH dalam PRU14.
Tanpa undi Mak Cik , Pak Cik, Amat dan Dollah, Ah Soo, Ah Beng, Mutu dan Aci – Najib Razak masih lagi perdana menteri Malaysia. Pencuri masih berkuasa.
Sejarah akan merakamkan kejayaan terbesar PH berkuasa selama 22 bulan ialah memasukkan Najib ke Penjara Kajang.
Kejayaan besar rakyat Malaysia ialah mengheret bengolan-bengolan kaki rasuah, kaki salah guna kuasa dan pencuri harta rakyat ke mahkamah.
Di sebalik keruntuhan PH ada hikmahnya. Salut untuk PH. Salut untuk rakyat yang mengundi PH.
HISHAMMUDDIN RAIS merupakan seniman, penulis, aktivis dan bekas tahanan ISA.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai