Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Mentaliti penyembah penjajah

Abdullah Hassan, memetik Ibn Khaldun dalam magnum opusnya, Muqaddimah, menyebutkan bahawa bangsa yang pernah ditakluk oleh kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. 

Oleh sebab itu mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluk mereka. Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka ialah bangsa yang agung. 

Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh aktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu kita tidak berasa hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. 

Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris. 

Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya.

Bila Queen Elizabeth mati

Jika Mat Kilau masih hidup, pasti pejuang ini berasa sedih dan malu bila bendera Pahang dikibar separuh tiang selama tiga hari, berikutan kematian Ratu Elizabeth II. Kibaran bendera separuh tiang ini bukan sahaja di negeri Mat Kilau itu, bahkan sampai ke Perak sampai ke Selangor selama beberapa hari. 

Nyatanya perjuangan Mat Kilau baik untuk membebaskan negeri mahupun bangsanya sendiri nampaknya hambar dan tidak dihargai oleh pemerintah tanah air selepas pemergiannya itu.

Babak dalam filem Mat Kilau

Biarpun filem Mat Kilau berjaya direalisasikan dan mendapat pulangan hampir RM100 juta, dan filemnya menonjolkan British sebagai penjajah, nampaknya pemerintahnya masih buat bodoh dengan bermentaliti penyembah penjajah. 

Kematian Mat Kilau yang belum sampai 100 tahun pun, telah mula dilupakan anak bangsanya, di tanah airnya sendiri.

Ada yang bergembira terhadap kematian Ratu Elizabeth. Islamis pula seperti kebiasaan mereka, tidak membenarkan diucapkan “rest in peace”. Ada pula yang bersedih hati dan berkabung terhadap Ratu Elizabeth.

Ada juga pembaca berita stesen TV perdana yang mengatakan jika pemergian Tunku Abdul Rahman ke London dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan ditolak Ratu Elizabeth, adakah kita boleh hidup bebas ke hari ini?

Pembaca berita tersebut turut meminta masyarakat mengenang jasa Ratu Elizabeth mengurniakan kemerdekaan untuk negara kita. Menurutnya lagi, boleh saja jika Ratu Elizabeth menolak untuk mengurniakan kemerdekaan, tetapi kerana Ratu Elizabeth merasakan Malaya sudah boleh mengurus negaranya sendiri, Ratu Elizabeth sanggup melepaskan satu daripada tanah jajahannya. 

Kejahilan yang menjengkelkan

Pembaca berita ini berupaya menonjolkan kejahilan dalam kenyataan yang dituliskannya itu. Sedangkan dia sendiri menyebut Malaya itu adalah satu daripada tanah jajahan Ratu Elizabeth.

Dia sendiri mengakui Malaya pernah dijajah oleh Ratu Elizabeth. Adakah pembaca berita arus perdana ini begitu bebal untuk memahami maksud tanah jajahan? 

Sama ada kita perlu bergembira terhadap kematian Ratu Elizabeth adalah satu persoalan lain. Tetapi untuk bersedih, berkabung bahkan sampai menurunkan bendera berikutan kematian sosok yang pernah menjajah kita, adalah suatu yang menjengkelkan. 

Sedangkan buku-buku teks sejarah, meskipun telah dikurangkan elemen-elemen radikal yang pernah bertanah air dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, masih tidak mampu memadamkan kobaran-kobaran api yang pernah ditiupkan para pejuang kemerdekaan, baik sebelum era ideologi mahupun ketika era ideologi bermunculan. 

Tok Janggut (Kelantan), Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Mat Kilau, Tok Gajah, Datuk Bahaman (Pahang), Dol Said (Melaka), Datuk Maharajalela (Perak), Mat Salleh, Aki Antanom (Sabah) adalah pejuang-pejuang yang menentang penjajah era praideologi, sebelum kemunculan ideologi dan kemodenan di Tanah Melayu dan Borneo. 

Meskipun apa sahaja sebab yang melatari penentangan mereka, pejuang-pejuang tersebut telah tercatat sebagai penentang kepada British/Inggeris yang pernah menjajah kita.

Shamsiah Fakeh (Awas), Ahmad Boestamam (API), Burhanuddin al-Helmy (PKMM), Chin Peng (PKM), Rashid Maidin (PKM), Ibrahim Yaacob (KMM), Abu Bakar Baqir (Hizbul Muslimin) adalah pejuang-pejuang era ideologi dan tidak berfokuskan kepada kenegerian, tetapi keseluruhan watan, pembebasan anak bangsa seluruhnya, serta cuba menjalin hubungan dengan tenaga-tenaga antiimperialism di luar Tanah Melayu. 

Shamsiah Fakeh

Jika diselidik dan diamati, kuasa feudal selalunya akan bersama penjajah. Ini adalah fakta yang tak dapat ternafi. Bahkan dalam filem fiksyen sejarah Mat Kilau sendiri sudah menunjukkan tiada langsung peranan mereka dalam menghalau penjajahan. Bukti persekongkolan yang jelas antara penjajah dan kuasa feudal. 

Tanpa perlawanan, tiada kemerdekaan

Kemerdekaan yang ada pada hari ini, bukanlah sewenang-wenangnya turun dari langit atau kurniaan Ratu Elizabeth. Ombak antiimperialism mulai mengganas pada ketika itu. Perang Dunia Kedua baru sahaja berlalu. Kesatuan Soviet baru sahaja muncul. Teriakan-teriakan antiimperialism mula berkumandang di mana-mana belahan dunia. 

Di Indonesia, gerakan-gerakan pembebasan mulai bergerak, berarak dan berontak. Percikan api revolusi di tanah yang dijajah oleh Belanda juga turut sampai ke Malaya. Lambat laun tanah-tanah jajahan terpaksa juga dilepaskan. 

Sebenci-benci kita pada komunis, kita tidak dapat menafikan peranan penting mereka melawan penjajahan. Bahkan PKM –yang lebih ramai Cina– pada kedatangan Jepun, mereka pernah bekerjasama dengan British dalam menentang Jepun.  Ini adalah fakta sejarah. API, sayap pemuda PKMM, yang lama kelamaan kian radikal, bahkan lebih ditakuti penjajah British berbanding PKM. API diharamkan lebih awal sebelum PKM. 

Anggota-anggota API dan PKMM

British sememangnya membina laluan kereta api untuk tanah jajahan. Tetapi itu bukan percuma. Laluan kereta api dibuat bukan untuk anak jajahan menggunakan untuk bersiar-siar, tetapi untuk mengaut hasil mahsul dan menjarah untuk dibawa balik ke negerinya. 

Bukanlah tiada satu pun faedah dari penjajahan British, tetapi kita tidak boleh menafikan keburukan penjajahan dan kekayaan British hari ini adalah hasil mahsul penjajahannya selama ini. Dunia Barat hari ini hidup kaya raya adalah hasil penjajahan dan penjarahan terhadap dunia dan hasil bumi anak jajahan, baik di Asia Tenggara mahupun di benua-benua lainnya.

Kesan penjajahan

Kita tidak dapat juga menafikan ada juga kesan baik atau positif dari penjajahan, iaitu urus tadbir yang lebih baik dan efektif berbanding ketika era monarki mutlak yang boleh melakukan sesuka hati tanpa kawalan. Tetapi juga kita tidak boleh menafikan kesan penjajahan terhadap anak jajahan.

British membawa begitu banyak buruh asing ke Tanah Melayu kerana orang Melayu enggan bekerja di lombong dan estet. Orang Melayu lebih gemar dengan bertani. Menolak untuk diperintah, dengan menjadi petani. 

Tetapi kemasukan buruh asing dari luar secara besar-besaran mencetuskan masalah lain pula kepada anak jajahan. Sepulangnya British ke tanah air mereka, meninggalkan anak jajahan terkapai-kapai membangunkan semula negeri mereka yang baru merdeka. 

Masalah ini membawalah sampai ke peristiwa 13 Mei, juga masalah yang sehingga ke hari ini tidak boleh diselesaikan dengan mudah iaitu, satu negara yang mempunyai tiga sekolah berbeza. 

Ini adalah masalah yang pada asalnya dibawakan oleh British selaku penjajah untuk mengaut dan meraup keuntungan hasil bumi anak jajahan. Dan masalah ini tidak diselesaikan mereka. 

Masalah mentaliti penyembah penjajah ini bahkan bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat kita, bahkan pemikir filsuf Algeria revolusioner, Frantz Fanon juga pernah menuliskan tentang persoalan kebebalan ini dalam bukunya Black Skin, White Masks

Malcolm X juga pernah membahaskan persoalan ini dengan mengemukakan konsep House Negro dan Field Negro.

Kassim Ahmad

Kata Kassim Ahmad dalam bukunya Autobiografi Sang Pemberontak:

Apa juga faktor-faktor yang menyebabkan penjajahan ini, dosa-dosa penjajahan terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga tidak terkira besarnya. Setahu aku, tiada siapa pun telah menghitung kerugian mangsa penjajahan dari segi kehilangan nyawa dan harta benda. Berbilion-bilion ringgit! Kalau kita tuntut pampasan dari negara-negara penjajah, tentu tidak terbayar!

“Oleh itu aku cadangkan supaya semua kuasa penjajah dari dulu hingga sekarang meminta ampun secara terbuka kepada negara-negara yang mereka jajah dulu serta membayar pampasan simbolik.”


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.