Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Menghargai tokoh Kiri setiap negeri

Shaharom TM Sulaiman mencatat dalam bukunya:

“Allahyarham Tun Dr Ismail Abd Rahman semasa menjadi timbalan perdana menteri sebelum beberapa minggu beliau menghembuskan nafas yang terakhir berterus terang memberi pandangan mengakui bahawa pejuang-pejuang ‘kiri’ generasi lama sebagai pelopor perjuangan kemerdekaan tetapi ‘ironinya’, kata beliau, ‘kemerdekaan yang kemudiannya lahir tidak diserahkan ke tangan mereka melainkan ke tangan kami pula.’” (Buku & Pendidikan: Ke Arah Penghayatan Membaca).

Mohamad Sabu, ahli parlimen, bekas menteri pertahanan dan juga ahli politik Amanah pernah mengatakan dalam siri-siri ceramah politiknya bahawa tokoh-tokoh kemerdekaan Malaysia yang sering diangkat ialah tokoh-tokoh Kanan, antaranya seperti Tunku Abdul Rahman dan Onn Jaafar. 

Sementara tokoh-tokoh Kiri langsung tidak mendapat tempat atau dipinggirkan sama sekali dari persada sejarah. Jadi bagaimana rakyat Malaysia yang berbangsa India dan Cina hendak bersama-sama merasa patriotik dalam perayaan kemerdekaan jika tokoh-tokoh mereka tiada, atau dari aliran berbeza mahu merayakan kemerdekaan jika tokoh mereka tiada diangkat sejarah?

Mohamad Sabu atau biasa lebih popular sebagai Mat Sabu juga pernah mempertanyakan tentang filem-filem sejarah dan patriotik Malaysia selalunya pasti Sarjan Hassan dan Bukit Kepong yang antagonis utamanya pasti selain British, iaitu Jepun dan Komunis. 

British yang menjajah dan menjarah lebih lama pula, jarang sekali dipersepsikan sebagai penjajah, melainkan baru-baru ini dalam filem terbaru Syamsul Yusof, Mat Kilau.

Misalnya bila kali terakhir TV rasmi kepunyaan pemerintah dan propemerintah pernah mengadakan dokumentari atau forum tentang Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam atau Shamsiah Fakeh? 

Ketiga-tiganya mewakili ideologi parti yang berbeza sesama mereka dan berbeza dengan fahaman politik pemerintah selaku pemenang. 

Burhanuddin al-Helmy meski sama dengan Ahmad Boestamam dan Shamsiah Fakeh dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) akhirnya masuk ke dalam PAS, parti berhaluan agama.

Sementara Ahmad Boestamam yang juga dari PKMM dan lebih keras dari Burhanuddin al-Helmy sampai mewujudkan Angkatan Pemuda Insaf (API), juga akhirnya mendarat ke Parti Rakyat yang berkecenderungan nasionalis marhaenis. 

Shamsiah Fakeh yang juga dari PKMM dan menjadi ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas), akhirnya menyeberang-bahkan secara literal–Parti Komunis Malaya sampai berlabuh lama di China dan menjadi juruhebah di sana. 

Kita tidak boleh menafikan sumbangan ketiga elemen tenaga politik ini dalam pembebasan tanah air menuju kemerdekaan. Tenaga antiimperialisme ini diakronimkan oleh Soekarno, menjadi Nasakom (nasionalisme, agama dan komunisme). 

Kerana itu ketiga-tiga sosok ini sangat terpengaruh dengan Soekarno, mahu berhubung, menjalin rapat hubungan politik dengan Soekarno dibumbui naratif Melayu Raya ataupun Nusantara Raya. 

Jadi bilakah kali terakhir stesen-stesen TV utama dan radio-radio arus perdana propemerintah dan kepunyaan pemerintah – yang menggunakan duit cukai rakyat– membuat dokumentari, wacana atau forum tentang mereka? 

Jika tidak ada, maka kerana itu sambutan kemerdekaan setiap tahun adalah perulangan patriotik yang hambar dan sendu–istilah anak-anak zaman sekarang– kerana ia klise dan perulangan basi kemenangan satu pihak. 

Hanya tokoh dari satu bangsa dan dari satu aliran sahaja yang dijulang sementara yang berbeza bangsa dan aliran politik diketepikan.

Dari sudut lain

Tetapi dibandingkan dengan Indonesia yang biasanya diangkat sebagai menjulang pahlawan mereka, kita nampaknya ada sedikit berbeza. Sekurang-kurangnya dalam kes Komunisme, Indonesia ada Tragedi 1965, yang lebih kejam berbanding cara Malaysia menangani persoalan Komunisme. 

Orang Komunis diajak berunding dalam Perjanjian Baling 1955, yang di barisan kerajaan diketuai Tunku Abdul Rahman dan di barisan Komunis diketuai Chin Peng dan Rashid Maidin. 

Kemudian yang menyertai Parti Komunis Malaysia (PKM) dan masuk ke hutan diberi pengampunan. Menarik jika dikaji pendekatan pemerintah Indonesia dan Malaysia dalam menangani persoalan Komunisme. 

Dalam buku Raja Ahmad Aminullah, ada disebutkan tentang persoalan kesetiaan pada idea.

Ketika Indonesia galak dengan semangat Kiri dan gemuruh nasionalisme antiimperialisme, Malaysia berada di ufuk Kanan dan menjadi projek British. 

Tetapi apabila Malaysia menjadi 'sedikit Kiri' dan mula mendekati China, Indonesia pula berubah arah menjadi sangat Kanan dan menekan bawah regim Orba Soeharto. 

Tun Razak yang pro-Kiri dan Negara Berkecuali berbeza dengan Soeharto yang pro-Amerika dan cenderung kepada pihak swasta.

Merdeka bukan sekadar perarakan

Yang menjadi suatu kehebohan baru-baru ini dalam menyambut kemerdekaan ialah tentang abang bomba sado. Ia agak menjengkelkan buat mereka yang berfikir ke arah mana bangsa Malaysia selepas ini. 

Yang diheboh-hebohkan dan digembar-gemburkan adalah tentang itu dan hanya itu. Yang selain itu tidak dibincangkan, tidak diforumkan dan tidak diwacanakan. Jadi tentang sambutan kemerdekaan selama ini, hanya riuh rendah di atas, tetapi hambar dan kosong di bawah. 

Sedangkan tanpa sumbangan dan pengorbanan yang disumbangkan dan dikorbankan oleh pejuang-pejuang beraliran Kiri, pastilah kemerdekaan sukar didapatkan. 

Perjuangan memerdekaan tanah air bukan semata-mata melibatkan askar atau perajurit, tetapi juga tokoh-tokoh. Tokoh-tokoh ini berjumpa, bertemu, berbincang, berkomplot dan berbuku – termasuk menulis buku dan gagasan. 

Dan tokoh bukan hanya dari satu aliran, tetapi rencam. 

Jadi kalau di India, bukan sahaja ada Mahatma Gandhi, tetapi juga Bhagat Singh. Di Indonesia, selain Soekarno dan Hatta, ada juga Musso, Semaoen, Tjokroaminoto dan Tan Malaka. 

Sementara di Malaysia, adakah hanya ada tentera, tanpa tokoh? Dan adakah hanya ada satu tokoh dan hanya satu aliran? Ini yang patut dibincangkan.

Antara cara menghargai

Banyak cara boleh dilakukan untuk menghargai tokoh-tokoh ini. Majoriti rakyat Malaysia yang ramainya Muslim ini pasti boleh mengadakan bacaan Yasin dan tahlil untuk tokoh-tokoh perjuangan beragama Islam yang telah pergi. 

Pastinya ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah tiada masalah, melainkan dia Wahabi.

Jika kita perhatikan secara saksama juga, kita tidak dapat nafikan cara penghargaan Malaysia atau sikap kerajaan Malaysia dengan kelompok Kiri agak lunak dan adakalanya nampak lebih baik, bahkan dibandingkan dengan Indonesia sekalipun. 

Dalam menguruskan soal Komunisme dan PKM, di Malaysia tidak berlaku seperti cara rejim Indonesia era Orba menguruskan Komunisme dan PKI. 

Bahkan Tunku Abdul Rahman pergi berunding dengan Chin Peng di Baling. Dan seterusnya ada Perjanjian Damai 1989 yang membawa kepada Perkampungan Sukhirin. 

Mungkin di sini ada beza antara cara bentuk penjajahan, iaitu British menjajah Malaya sementara Belanda menjajah Indonesia. 

Dan ini perlu dikaji lebih lanjut, adakah perbezaan corak penjajahan ini yang membawa kedua negara ini berbeza kaedah dalam menangani permasalahan politik.

Kerana itu di Malaysia, sekolah kerajaan ada yang dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby (Sarawak), Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam (Perak), Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir (Perak), Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin (Perak), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Yaacob (Kuala Lumpur). 

Jadi walaupun ini adalah tokoh-tokoh Kiri, bahkan yang sampai terhumban ke luar negara hingga hujung nyawa, nama mereka masih dibenarkan diabadikan menjadi nama sekolah.

PAS sendiri –sebelum menjadi kerajaan dalam PN– mengambil inisiatif dengan menamakan tokoh mereka Zulkifli Muhammad menjadi nama institusi pendidikan iaitu Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Menamakan nama tokoh menjadi nama sekolah dan institusi pendidikan, menjadikan kita tidak lupa pada perjuangan dan pengorbanan mereka. 

Jalan dan taman

Selain sekolah dan universiti, taman dan jalan juga boleh dinamakan semula. Taman Tun Dr Ismail misalnya juga wujud. Generasi yang lahir selepas beliau boleh mengkaji tentang tokoh yang dinamakan untuk sebuah taman ini. 

Jadi taman-taman yang begitu banyak di Malaysia ini, boleh difikirkan begitu, termasuklah tentang nama jalan. 

Berbanding meletakkan jalan-jalan dengan nama umum yang telah diketahui ramai, kerajaan jika mahu menunjukkan ia progresif dan terbuka boleh sahaja menamakan jalan-jalan dengan nama tokoh perjuangan kemerdekaan.

Rejim Ismail Sabri yang sangat pro kepada Bahasa Melayu sampai hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai antara Bahasa Asean, boleh sahaja memulakannya terlebih dulu di jalan-jalan di Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk di Cyberjaya. 

Nama-nama presint yang sangat berkonotasi penjajah, haruslah ditukar sesegera yang mungkin. Supaya warga-warga kota mengingati tokoh-tokoh yang pernah berjuang sampai Tanah Melayu merdeka, sampai menjadi Malaysia dan mempunyai wilayah-wilayah yang canggih. 

Di Bangsar misalnya, nama-nama yang merepek dan merapu juga perlu ditukar, supaya generasi masa hadapan tidak cacat fikiran mereka.

Jalan Pak Sako (Pahang), Jalan Ahmad Boestamam (Perak), Jalan Burhanuddin Helmi (TTDI) antara yang boleh dijadikan contoh, sebagai tempat atau jalan yang masih meraikan, menghargai dan tidak melupakan mereka. 

Jalan Shamsiah Fakeh juga harus difikirkan, kerana pejuang kemerdekaan dari barisan perempuan tidak begitu ramai. Dan menjadikan Shamsiah Fakeh sebagai nama jalan ialah simbolik kita menghargai tokoh kemerdekaan yang perempuan, dan representatif bahawa nama jalan bukan sahaja milik kaum lelaki. 


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.