Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Para politikus jahat

KOLUM | Semoga dengan berakhirnya kes perbicaraan berprofil tinggi itu beberapa hari lalu, bolehlah kita semua hidup dengan membuka lembaran baru.

Kita tinggalkan sebak di dada dan juga runsing fikir yang sudah lama menjadi beban kepada kita itu. Mahkamah telah membuat keputusan dan kita pun patut menghormatinya.

Tidak perlulah kita membentak-bentak kerana kita adalah penyokong  yang memang enggan menjadi nampak akan kesalahan pemimpin yang kita sanjung.

Tidak juga kita perlu gembira sangat jika kita ini memang sudah jelak dengan kejahatan politikus.

Tenang-tenang saja, kerana masih ramai lagi politikus yang korup. Ada yang sudah dituduh dan masih ramai lagi sedang mendabik dada ke hulu ke hilir seolah-olah mereka adalah sang penyelamat yang ditunggu dunia.

Yang telah dituduh itu pula datang dari kedua-dua belah pihak, yakni kerajaan dan pembangkang. Kita semua mesti setuju bahawa siapa pun yang korup wajib dibuktikan korup oleh mahkamah.

Setelah itu nasib mereka mestilah kita serahkan kepada para hakim yang bijaksana.

Buat diam-diam saja

Kalau Lim Guan Eng atau Ahmad Zahid Hamidi nanti juga didapati bersalah, maka biarlah mereka meringkuk dan mendekam di dalam penjara selama tempoh yang ditentukan hakim.

Kita tidak harus peduli siapa politikus itu. Jika mereka korup setelah diberi amanah, maka selayaknya mereka menghabiskan masa di dalam jel.

Sebut pasal penjara atau jel, jika kami diberikan hak untuk menghukum para polistikus yang korup itu, memang akan kami pasungkan kaki dan tangan mereka selama ditahan. Jangan diberikan hak apa sekalipun hatta untuk ke tandas.

Biar mereka bergelumang dalam najis sendiri. Barulah padan dengan perbuatan mereka.

Bersumpah dengan nama tuhan bukan tidak boleh, malah jika benar terasa dianiaya, ia adalah jalan yang paling sempurna untuk dilewati. Namun elok sekali jika ia kita lakukan semua itu secara diam-diam.

Bangun di tengah malam atau di awal pagi lalu menangislah di hadapan tuhan. Mohon dan rayu. Mengaju lemah dan alirkan air mata sehingga basah sejadah.

Malah jika mahu air mata kamu membanjiri seluruh rumah pun tidak mengapa. Mana tahu, entah-entah dibalas-Nya segera segala kejahatan yang kita dakwa sebagai perbuatan khianat orang itu.

Jangan sumpah dijadikan pesta untuk mencari simpati orang. Lagi pun, simpati, kasih sayang dan cinta birahi orang ramai kepada kita tidak ada apa-apa kuasa untuk mengubah keputusan mahkamah.

Jeritlah "Tidak malu tidak apa" hingga pecah anak tekak sekalipun, namun para hakim mahkamah tetap saja membuat keputusan berpandukan bukti-bukti yang dibentangkan di hadapan mereka.

Amalan agama tidak perlu dimurahkan hanya kerana kamu sudah terdesak.

Tak pernah rasa salah

Paling penting tentu sekali ialah, kita semua mesti bersetuju bahawa mana-mana politikus yang korup wajib ditangkap, kerana kita semua sudah bosan dengan lentok liuk seperti ular mereka itu.

Melompat dari partai ke partai untuk kelangsungan politik, berlagak sebagai dewa suci di hadapan orang banyak, berjalan tidak memijak bumi seolah lembu suci, dan mengumpul kekayaan seolah-olah tidak pernah akan mati.

Mungkin ada orang yang bangga mempunyai politikus yang kaya-raya untuk disokong. Mungkin mereka menyangka ia adalah lambang kejayaan bangsa yang mereka wakili.

Namun percayalah apabila kami katakan bahawa kami sudah bosan lagi jelak melihat segala macam kesombongan yang dipamerkan oleh para politikus terbabit.

Dengan rumah bak istana, dan kemewahan yang dipamerkan seperti jam tangan mahal, kemeja dan kot berjenama serta memiliki berpuluh kenderaan mewah, mereka masih berasakan bahawa mereka tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.

Malah tanpa sedikit pun rasa malu, mereka berasa sangat berhak untuk dihormati hanya kerana hal tersebut.

Memang tidak elok jika kami libatkan keluarga mereka apabila bercakap mengenai kejahatan politikus, tetapi siapa yang boleh menafikan hakikat kesenangan hidup kalangan yang berlingkar di samping para politikus?

Anak-anak mereka - yang entah apa kerjanya - hidup mewah mengalahkan orang yang bekerja keras. Isteri-isteri mereka tidak pernah malu untuk menayang kekayaan yang entah dari mana datangnya itu.

Tak selesai sampai kiamat

Seperti para politikus jahat tersebut, keluarga mereka juga berasa berhak untuk menikmati segala kekayaan yang ada di atas muka bumi tanpa ada rasa mahu tahu dari mana datang harta benda tersebut.

Kita sudah sampai kepada pengakhiran jalan. Korupsi sudah terlalu meluas di negara ini dan kita kini segala jalan untuk membanteras korupsi seolah-olah akan sentiasa dikalahkan.

Setiap hari ada saja berita mengenai pegawai itu dan pegawai ini yang dituduh di mahkamah kerana rasuah.

Segala usaha ke arah membasmi korupsi selalunya dihalang oleh tidak percayanya kita kepada sistem kehakiman negara.

Ini adalah sesuatu yang amat malang.

Kita menuduh badan kehakim tidak adil apabila pujaan kita dibuktikan bersalah, dan kemudian bersorak gembira sambil memuji badan tersebut apabila dewa bangsa kita dibebaskan.

Nampaknya apa yang kita mahu ialah mahkamah menurut telunjuk kita, tetapi pada masa yang sama kita mahukan mahukan sebuah badan yang adil dan saksama.

Mana maunya.

Jika kita masih kuat berpegang dengan sentimen, dengan kecenderungan politik, maka sampai kiamat sekali pun negara ini tidak akan bebas daripada kejahatan yang satu itu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.