Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Isyarat politik Changkat Jong

KOLUM | Asal nama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong ialah Batak Rabit. Nama berkenaan ditukar selaras dengan persempadanan semula yang dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Nama DUN Changkat Jong kekal hinggalah pada hari ini.

Batak Rabit adalah antara petempatan Melayu awal dan pernah menjadi ibu negeri kerajaan Perak.

DUN Changkat Jong terletak di bawah kawasan parlimen Teluk Intan (sebelum ini dikenali Telok Anson). Parlimen itu kini diwakili Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Data pilihan raya setakat 2018 menunjukkan DUN Changkat Jong mempunyai 35,048 pengundi dengan komposisi Melayu 63 peratus, Cina 12 peratus dan India 22.9 peratus.

Satu lagi DUN di bawah parlimen Teluk Intan ialah Pasir Berdamar. Kawasan itu dikuasai DAP seawak 1974 lagi.

Walaupun secara umum DUN Changkat Jong adalah kawasan Perikatan/BN, namun pembangkang pernah menang di situ. Pada 1969 DAP berjaya menawannya, dan PAS pula menguasainya pada 2008. Pada PRU lalu, BN menguasai Changkat Jong tetapi dengan hanya kelebihan 67 undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH).

Wanita jadi calon

Berdasarkan sejarah, keputusan undi Changkat Jong adalah salah satu indikator kepada perubahan politik kerajaan Perak. PRU 1969 menyaksikan Perikatan di Perak hampir-hampir terlepas kerajaan apabila pembangkang memenangi lebih banyak kerusi.

Perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein menyelamatkan keadaan dengan membentuk pakatan politik baru yang menggabungkan PPP dan PAS untuk menyertai BN yang asalnya Perikatan.

Kali kedua DUN Changkat Jong dimenangi parti pembangkang (PAS) ialah pada 2008 dan membantu Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru di negeri itu. BN Perak tumbang untuk pertama kali.

Berikut adalah sejarah secara sepintas lalu politik di Changkat Jong.

Wakil rakyat pertama untuk DUN Batak Rabit (1959) ialah Som Abdullah. Dia ialah ketua Wanita Umno Teluk Anson. Som merupakan isteri pengurus Lower Perak, iaitu syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan awam di bandar tersebut.

Dalam PRU berikutnya (1964), Som menjadi pertaruhan Perikatan sekali lagi dan dia dicabar oleh calon PPP dan Front Socialist. Som berjaya mempertahankan kerusi Batak Rabit dengan jumlah undi yang selesa.

Pada 1969, Som bertanding lagi mewakili Perikatan namun dia kalah kepada calon DAP, Felix Anthony yang menang dengan majoriti 619 undi. Selain Batak Rabit, pembangkang juga menawan DUN lain seperti Kampung Gajah, Tapah Road, Matang, Taiping, Lekir dan Lumut.

PRU sesudah itu (1974), BN menggabungkan Umno dan PAS dalam satu lambang.  PAS memberi laluan kepada Umno untuk kerusi DUN Changkat Jong. Seorang pesara home guard (pasukan pengawal setempat) berpangkat inspektor, Darus Mohd Said, diberi tanggungjawab mewakili 'dacing' untuk pertama kali di Teluk Anson.

Darus Mohd Said

Darus ialah Ketua Umno Telok Anson yang mempunyai keluarga di Sungai Sumun dan juga di Sungai Manik. Selepas bersara daripada home guard, dia menetap di Padang Tembak, sebuah perkampungan Melayu di pinggir pekan Telok Anson.

Dia menggalas tanggungjawab sebagai calon BN sekali lagi pada PRU 1978.  Kekuatan BN masih kukuh walaupun ketika itu PAS sudah keluar dari BN. Pembangkang yang kuat ketika itu ialah DAP.

PAS pula terpaksa belajar menapak semula setelah disingkirkan BN.

Pada PRU 1978 DAP mempertaruhkan Abdullah Abdul Aziz sebagai calonnya, manakala Ibrahim Yaacob mewakili PAS.

Seterusnya pada PRU 1982, Darus memberi laluan kepada Mohd Arshad Abdullah yang juga timbalannya di Umno Telok Anson. Ketika itu Mohd Arshad ialah setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Perak ketika itu, Wan Muhamed Wan Teh. Asalnya Mohd Arshad adalah seorang guru.

Tokoh korporat jadi pilihan

Dia berasal dari mukim Chikus di Sungai Manik. Chikus itu ramai didiami etnik Kampar, Mandailing dan Rawa.  Mohd Arshad tinggal di Sungai Tungku yang bersempadan dengan DUN Sungai Manik.

Karier politiknya bertambah baik semasa era kepimpinan Ramli Ngah Talib menjadi Menteri Besar Perak. Dia menjadi Adun Changkat Jong selama empat penggal (1982 hingga 1995). Sepanjang tempoh itu, Mohd Arshad pernah menjadi exco kanan dan speaker DUN Perak.

Awal 1990-an hingga pertengahan dekad itu menyaksikan kemaraan generasi baru dalam Umno dari Team Wawasan.  Ia diketuai salah seorang ahli jawatankuasa Umno Teluk Intan, Onn Hamzah, yang juga tokoh korporat di ibu kota.

Dalam pemilihan parti pada 1995, Onn mengetepikan Mohd Arshad selaku ketua bahagian.

Pada PRU 1999, Oon bertanding di DUN Changkat Jong dan berhadapan dengan calon Parti Keadilan Nasional, Hamdan Taha. Oon menang dan dia mengekalkan kedudukannya sehingga 2004 walaupun PAS cuba menguasai kerusi tersebut melalui Fakharuddin Ghazali.

Fakharuddin Yang Dipertua PAS Teluk Intan.

Sejak 1990-an, Umno mula meletakkan tokoh korporat, pemodal dan peniaga sebagai calon pertaruhan parti itu dalam PRU. Kekuatan modal banyak melicinkan gerakan dan kempen parti dan ia perlahan-lahan mengambil alih fungsi semangat, kesedaran dan tekad perjuangan politik.

Hal tersebut juga berlaku dalam parti-parti pembangkang.

Pada 2008, PAS mencalonkan Mohd Anuar Sudin iaitu bekas pengurus bank dan bendahari PAS Teluk Intan. Dia berjaya mengalahkan calon Umno, Idris Hashim, yang juga ketua Umno Teluk Intan.

Itulah kali pertama PAS menang di DUN tersebut. Namun pencapaian itu gagal dipertahankan PAS pada 2013. Mohd Azhar Jamaluddin yang berasal dari Malim Nawar dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Teluk Intan merampas Changkat Jong dari pembangkang.  

Pada PRU lalu, dia memenangi kerusi tersebut walaupun dengan hanya 67 undi.

Menjelang PRU ke-15, pertarungan menguasai DUN Changkat Jong dijangka lebih menarik. PH, BN, Perikatan Nasional dan Pejuang (bersama Gerakan Tanah Air) pasti mencuba peluang untuk memenanginya.

Hal itu kerana Changkat Jong adalah salah satu kerusi kunci untuk pembentukan kerajaan di Perak. Ini bukan teori untuk menang tetapi pembuktian untuk kerja lebih kuat dan smart.


MUHAIMIN SULAM ialah Naib Pengerusi Amanah Perak dan Ahli Pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.