Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Sebuah rumah di pergelangan tangan

"Fuhhhh, dah wangi!" kata Ajis si pelukis yang terkenal dengan catan dalam laut itu kepada kami. "Ni dah mesti betul-betul kaya," tambah Ajis lagi sambil ketawa berderai.

Lama dulu, apabila mendengar ada ustaz berkata yang nabi kita gemarkan wangi-wangian, kami pun berusaha untuk mengemarinya.

Lalu apabila ada kesempatan saja, kami akan cari wangian yang baik sebagai pakaian.

Yang paling kami gemar adalah dari jenis gaharu atau oud. Kami juga tidak akan malu-malu untuk bertanya kepada sesiapa pun yang berbau harum ketika berselisih dengan kami.

Kami akan tebalkan muka untuk bertanya hanya kerana mahu tahu apa jenama wangian yang menangkap deria bau kami itu.

"Dah lama kaya," balas kami kepada gurauan Ajis tadi.

"Memang betullah tu, tapi ni bila dah wangi, mesti lagi kaya," kata Ajis sambil menyambung ketawanya.

Mungkin hari itu kami terlebih bersemangat semasa menyembur maka bau yang terbit segera menguasai suasana, dan kami jadi lebih malu.

Memang seganlah kerana kami dapati diri kami seolah-olah sedang menunjuk-nunjuk.

Sejak dari hari itu kami lebih berpada-pada dalam menggunakan pewangi. Cukup sekadar satu semburan di belakang telinga dan satu lagi di leher. Dua semburan itu pun hanya untuk hiburan diri sendiri dan bukan untuk dikongsi dengan orang lain.

Hampir semua wangian yang kami miliki adalah hadiah. Dan itu mengingatkan kami kepada hadiah-hadiah yang diterima oleh pembesar-pembesar kita.

Hanya mahu kekal berkuasa

Mereka dengan tanpa rasa berdosa mempamerkan hadiah-hadiah yang mereka terima sebagai pakaian harian.

Ketua segala menteri di negara kita selang sehari menukar kemeja Burberry yang - jika kita mahu percaya - adalah barang hadiah.  Awak-awak beliau juga sedemikian juga.

Itu belum jam tangan orang tertentu yang seharga sebuah rumah golongan M40 atau selipar atau kasut yang seharga gaji setahun sesetengah daripada kita. Hadiah juga - kata mereka untuk meyakinkan kita.

Semua mereka ini adalah pejuang, pembela dan pembawa selesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Dengan tanpa ada rasa malu walaupun sedikit, mereka mempamerkan kemewahan yang mereka miliki sambil berteriak seolah-olah mereka adalah Jebat yang sedang mengamuk membasmi kepayahan orang banyak.

Mengapa agaknya mereka berasa berhak untuk berbuat demikian?

Jawabnya, kerana mereka menyangka kita semua terhutang budi kepada mereka atas keamanan dan sedikit kesejahteraan yang sedang kita nikmati sekarang ini.

Telah tidak timbul rasa tanggungjawab pada bahu mereka akan perlunya berkerja dengan amanah. Tidak ada lagi keinginan di hati mereka untuk berkhidmat semata-mata kerana mahu melihat negara ini lebih ke hadapan.

Yang tinggal di dada kebanyakan pembesar kita hanyalah keinginan untuk kekal berkuasa. Dan - tidak kurang pentingnya - juga mengumpul sebanyak mungkin hadiah yang boleh.

Tak peduli apa lagi

Rasa berhak itu jugalah yang kemudian membawa kepada perasaan besar diri dan besar kepala. Kepala mereka menjadi 'bengkak' kerana sering dipuja dan dipuji.

Kerana itu kita lihat bagaimana seorang pegawai besar kerajaan khabarnya boleh memaki hamun orang bawahan di khalayak ramai hanya kerana terpaksa menunggu sedikit lama di lapangan terbang.

Kumpulan manusia sebegitu tidak duduk di alam realiti. Mereka berada di awang-awangan dek kerana segala kemewahan yang dihadiahkan kepada mereka.

Ironinya, mereka berasa apa saja hadiah yang sampai ke telapak tangan mereka adalah sesuatu yang hak lagi wajar.

Mereka tidak lagi kenal yang mana benar dan yang mana curi. Apa yang mereka yakini ialah apa saja yang lalu di depan mata mereka adalah rezeki. Tidak mereka peduli lagi dari mana 'rezeki' itu datang.

Yang penting kocek mereka sentiasa tebal, dan hidung pula sentiasa tinggi.

Tidak juga timbul rasa malu pada mereka apabila wang berbilion ringgit lesap bersama janji membeli kapal perang untuk menjaga keselamatan seluruh negara.

Semua itu dilakukan dalam keadaan tenang. Tidak pernah datang kepada mereka itu rasa kesal menyalahgunakan kuasa yang telah diamanahkan oleh rakyat dan negara.

Jika ada segala macam banjir dan kemusnahan alam yang mereka komplotkan terlondeh, akan sentiasa ada si barua yang gigih menegakkan benang yang ditenggelam air itu.

Mereka datang dengan seribu satu alasan, dan segalanya akan segera dilupakan apabila saja ada pihak yang terbatuk atau berdehem mahukan pilihan raya.

Pilihan raya adalah hari raya mereka yang serakah itu. Pada masa sama, ia juga hari untuk mereka memberi hadiah kepada rakyat yang bodoh dan diyakini akan menjulang mereka ke langit.

Dan memang bodoh pun sesiapa saja yang pergi memilih manusia jahat itu sebagai wakil. Berulang-ulang kali, tergadai begitu saja nasib penduduk negara ini.

Perjuangan? Pergi mampus sama itu perjuangan.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang mahu mencuba untuk menjadi kontraktor pembina kapal perang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.