Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Melayu yang bermaruah, merdeka

KOLUM | Setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan, orang Melayu akan disibuk dengan laungan merdeka. Penayangan filem ‘Mat Kilau’ menjelang 'demam' hari merdeka adalah kesibukan yang terancang dan cerita yang menghiburkan.

Sama juga dengan penayangan filem lain seperti Sarjan Hasan, Leftenan Adnan, Bukit Kepong dan seumpamanya.

Pada detik-detik begitulah berlakunya proses dendangan wira palsu yang menenggelamkan wira sebenar dalam sejarah. Atau detik wira palsu yang tumpang semangkok pada legasi wira sebenar. Lalu naratif sejarah banyak dibaluti dogma dan sentimen emosi yang membakar api permusuhan.

Untuk lebih kelihatan beragama, laungan merdeka disertai takbir yang diselang-seli dengan laungan merdeka. Dulu pun, sebelum Tunku Abdul Rahman melaungan merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, ia terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan doa.

Mengikut sejarah, orang terawal melaungkan merdeka sebagai slogan perjuangan ialah Ahmad Boestamam yang memimpin Angkatan Pemuda Insaf (API). Dia mendapat inspirasi daripada semangat kemerdekaan di Indonesia.

Sebelum Ahmad Boestamam melaungkan slogan keramat itu ada catatan awal mengenainya dikesan namun istilah tersebut masih berada dalam ruang lingkup yang sempit.

Abdullah Munsyi dalam Hikayat Abdulah (yang diterbitkan pada 1848) ada menyebut istilah ‘merdeka’ dengan ejaan merdeheka.

Mahu elak Inggeris terasa

Merdeka juga disebutkan dengan beberapa cara dalam karya-karya Melayu klasik. Ada yang menyebutnya sebagai merdeheka, merdeka dan merdehika.

Dalam tulisan Ketua Wanita Umno yang pertama, Khatijah Sidek, pada peringkat awal perjuangan kemerdekaan, ramai (dia merujuk dalam Umno) takut menyebut istilah tersebut.

Maka oleh sebab itu ungkapan berkenaan dilunakkan dengan menyebut “merde - heka” supaya Inggeris tidak tersentuh rasa sensitifnya.

Ketika itu elit Melayu dalam Umno masih berada di persimpangan antara menjaga kepentingan peribadi dengan kepentingan tanah air.

Mereka hendak merdeka tetapi enggan menentang penjajah secara terang-terangan.

Seperti kebanyakan istilah bahasa Melayu yang berasal daripada penyesuaian bahasa Sanskrit, istilah ‘merdeka’ juga dikatakan datangnya dari sumber yang sama.

Gambar hiasan

Guru Sastera saya pernah menyebut dulu, untuk mengenal pasti istilah yang berasal dari bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu, kebanyakannya berakhir dengan sebutan ‘a’ seperti pahala, dosa, neraka, syurga, beta, negara dan sebagainya.

Namun kebanyakan istilah merdeka merujuk kepada sistem sosial semasa yang mengamalkan perhambaan. Oleh itu, istilah ‘merdeka’ adalah soal status seseorang.

Dalam Sulalatus Salatin hanya mencatatkan sekali saja istilah merdeka. Ini dicatatkan tentang kisah Badang yang dibebaskan daripada status hamba kepada rang yang merdeka.

Maksud yang masih terhad

Begitu juga di dalam Hikayat Amir Hamzah, Taj us-Salatin dan Hikayat Raja-raja Pasai. Tiada sepatah kata merdeka tercatat dalam kitab Hikayat Hang Tuah. Agaknya istilah tersebut pantang kepada orang Melayu.

Tidak seperti istilah ‘derhaka’ yang disebut kerap dalam Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin, Hikayat Pahang dan sebagainya. Ada sebanyak 73 kali kata ‘derhaka’ diulang dalam Hikayat Hang Tuah.

Ia merupakan karya yang paling banyak sekali mencatatkan istilah derhaka. Tentu sekali kerana adanya Hang Jebat yang wujud dalam hikayat tersebut.

Akar kata ‘merdeka’ berasal daripada perkataan ‘derhaka’ yang dari segi bahasanya bermaksud menentang. Evolusi kata itu tidak dapat dikesan. Tetapi jika ada masa, mungkin jejaknya akan dapat dipastikan.

Entah sejak bila istilah ‘merdeka’ digunakan untuk merujuk kepada usaha membebaskan tanah air daripada sebarang cengkaman penjajah.

Seawal yang dapat dikesan adalah dari majalah Imam (1906-1908) yang menggunakan istilah tersebut.

Begitu juga dengan majalah Saudara (1928-1941) dan Majlis (1932-1941).

Bagaimanapun penggunaan istilah merdeka pada masa itu tidak ditujukan dalam aspek politik tetapi lebih merujuk kepada soal ekonomi dan pendidikan.

Umno pula hanya mula menggunakan istilah merdeka secara rasmi dalam ucapan Onn Jaafar semasa persidangan setengah  tahun parti itu yang diadakan di Kuala Lumpur pada 29 Mac 1952. 

Sebelum itu, Umno menggunakan slogan Hidup Melayu dalam acara-acara yang dianjurkan oleh parti itu.

Teguh berakhlak mulia

Konsep derhaka sangat bertentangan dengan nilai kesetiaan yang wujud dalam masyarakat Melayu. Bahkan orang Melayu lebih menekankan soal kesetiaan serta kestabilan berbanding nilai lain yang lebih bermakna seperti keadilan, kesaksamaan dan integriti.

Bahkan dalam soal-soal kemanusiaan yang paling dasar pun, nilai itu masih jauh untuk digapai. Apatah lagi soal alam sekitar seperti perubahan iklim.

Menuntut kemerdekaan tanah air adalah soal maruah. Juga soal sistem dan nilai diri masyarakat bernegara. Oleh kerana itu, sewaktu awal perjuangan kemerdekaan tanah air, ramai yang tidak faham keperluannya.

Hal itu kerana pada masa tersebut golongan elit Melayu terus berada di atas takhta ketika khazanah tanah air habis dijarah oleh penjajah yang menunggang kelompok berkenaan.

Kita perlu menilai kembali sosok wira Melayu merdeka yang bermaruah khususnya dalam kamus politik masa kini.

Merdeka yang dituntut pada masa ini ialah membebaskan diri daripada belenggu sisa penjajahan yang masih berbekas dalam sistem nilai hidup bernegara.  

Wira Melayu yang bermaruah adalah watak yang kuat berpegang pada akhlak mulia seperti digariskan Islam, bukan menjadikan agama sebagai topengan atau tempelan. 

Melayu yang merdeka adalah Melayu yang menguasai ilmu, kompeten dan berintegriti. Yang maju ekonominya dan membina jaringan untuk membangunkan anak bangsa yang tertinggal.

Bukan perasuah yang bergantung hidup kepada politik naungan, subsidi dan gelaran kenamaan.

Wira Melayu yang merdeka sentiasa mengambil berat kerukunan keluarga, masyarakat, kaum dan alam sekitar. Juga memiliki nilai rahmah, berhemah dan berhikmah.

Pada akhirnya Melayu yang merdeka memiliki kekuatan memimpin tidak sahaja melalui sistem demokrasi tetapi juga dari segi nilai budaya Islam sendiri.

Wira Melayu bermaruah perlu bangkit menyelamatkan rakyat daripada sifat kebebalan, naif, kesombongan dan rasa berpuak yang melampau.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.