KOLUM | Benarkah gambaran tentera Sikh dalam Mat Kilau?
Oleh sebab kita sedang memasuki bulan kemerdekaan, terdapat keperluan untuk kita membakar semula semangat rakyat ini agar mencintai negara.
Salah satu kaedah menyalakan kasih sayang kita kepada tanah air adalah menerusi seni filem. Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) yang pada permulaan tayangan menyatakan bahawa filem ini adalah fiksyen semata-mata menarik untuk dianalisis.
Oleh sebab filem Mat Kilau ini digambarkan seperti bersandarkan fakta, dan kelihatannya diterima umum sebagai sebuah filem epik sejarah, maka terdapat keperluan untuk kita memeriksa ‘fiksyen’ yang ditampilkan ini.
Kita akan memeriksa watak-watak yang disensasikan dan berpotensi untuk menjadi risiko jenayah kebencian. Jika tidak berhati-hati filem ini akan terbalik dari maksud yang diinginkan - patriotisme - sebaliknya membawa kepada perpecahan kaum dan etnik yang terdapat di tanah air tercinta ini.
Salah satu kehebohan yang timbul ialah ekoran gambaran kekejaman tentera Sikh di Pahang dalam filem Mat Kilau ini. Antara watak tambahan yang menonjol ialah Ghuram Singh (atau Ram) lakonan Ravi Pattel.
Sebelum kita meninjau dan mengupas penonjolan watak-watak askar Sikh dalam Mat Kilau, ada baiknya kita memahami konteks keadaan di Pahang antara tahun-tahun 1880-an dan 1890-an.
Pertamanya, perlu difahami yang pembesar-pembesar Pahang yang dikatakan berjuang menentang penjajah tersebut sebetulnya melawan atas agenda peribadi.Menurut Buyong Adil dalam Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan: Abad 15-19 (1983), sekitar tahun 1891, Datuk Bahaman (dalam Mat Kilau dilakonkan oleh Shaharuddin Thamby) menolak untuk mematuhi undang-undang Inggeris kerana kehilangan hak memungut cukai. Ekoran dari itu juga, beliau telah menentang Sultan Ahmad:
“Datuk Bahaman telah berterus terang menyatakan kepada seorang majistret Inggeris di Temerloh bernama JF Owen bahawa ia tidak mahu mengikut undang-undang British, dan orang-orangnya di Semantan juga telah dilarang mengikut undang-undang British, kecuali apabila beliau diberi gaji sebanyak $6,000/- setahun sebagai mengganti kehilangan haknya memungut cukai di Semantan. Datuk Bahaman tidak melarang orang-orangnya mengeluarkan hasil dari hutan Semantan dan menjualkan hasil itu, beliau hanya melarang sesiapa yang bekerjasama dengan Inggeris untuk menjalankan kerja membanci penduduk di Semantan.”
Keduanya, kedegilan Datuk Bahaman untuk menuntut cukai dan kehendaknya dibayar gaji enam ribu, serta ‘penderhakaannya’ itu membawa kepada pelucutan gelar Orang Kaya Pahlawan Semantan dalam tahun 1891. Baginda Sultan Ahmad dan kadang kala anakandanya malah mengisytiharkan beliau penderhaka, dan memimpin sendiri gerombolan perang baginda untuk melawan Datuk Bahaman dan pengikutnya.
Taat setia pada sultan
Buyong Adil menambah lagi:
“Pada masa itulah, oleh sebab tersangat murka kepada Bahaman, Sultan Ahmad pun mengeluarkan perisytiharan yang mengatakan Bahaman yang menentang pihak British di negeri Pahang itu adalah seorang ‘penderhaka’. Orang Besar Pahang hendaklah menangkap dan membunuh Bahaman; barang siapa rakyat Pahang yang mengikut Bahaman, jika dapat ditangkap akan dihukum. Setelah itu Sultan Ahmad pun memberitahu Gabenor di Singapura bahawa baginda akan bekerjasama dengan British dan baginda meminta supaya Gabenor memberikan kepadanya bantuan senapang. Tiada lama selepas itu, baginda pun menerima kiriman daripada Gabenor di Singapura sebanyak 100 pucuk senapang, 10,000 butir peluru, dan sepucuk meriam untuk melawan pihak Bahaman.”
Pihak British membekalkan bantuan senjata kepada baginda, dan tentulah askar upahan yang terdiri dari kalangan orang Sikh. Dalam erti kata lain, tentera Sikh yang dibawa oleh Inggeris berkhidmat dan taat setia dengan baginda Sultan Pahang ketika itu.
Naratif untuk kaum Sikh boleh sahaja diketengahkan sebagai kaum yang menjulang rukun kedua dari Rukun Negara, tetapi apa yang berlaku sebaliknya pula. Jika dalam filem Mat Kilau kita diberi gambaran askar Sikh begitu zalim, bagaimanapun dalam rekod sejarah ternyata yang berlaku adalah sebaliknya.
Pada 15 Disember 1891, beberapa tentera Sikh upahan British dan setia kepada Sultan Ahmad ini diculik di Temerloh dari rombongan C.E.M Desborough lantas dicincang hidup-hidup oleh Datuk Bahaman dan pengikut.
Malah untuk menunjukkan kekuatan, Bahaman dan pengikutnya dikatakan membuat kekacauan di Temerloh, menakut-nakutkan peniaga dan merompak hasil jualan mereka. Rekod sejarah menunjukkan tentera Sikh mendapat arahan untuk menenangkan keadaan, bukan mengebom atau menembak peniaga (seperti disarankan dalam filem Mat Kilau). Saya petik tulisan Buyong Adil di sini:
“Tiada lama selepas itu Bahaman telah membawa orang-orangnya pergi menyerang Temerloh. Mereka telah menyerang balai polis di situ. Desborough dan mata-mata yang ada di balai polis itu telah lari dan 40 pucuk senapang di balai polis itu telah diambil oleh orang Bahaman. Setelah itu orang-orang Bahaman telah merampas barang-barang di kedai-kedai dalam pekan Temerloh dan pekedai yang melawan telah dibunuh. Semenjak itu daerah Sungai Semantan hingga ke Temerloh telah dikuasai oleh Bahaman. Setelah mendengarkan serangan yang dilakukan oleh Bahaman itu, dalam bulan Disember 1891 itu juga, JP Rodger dengan Inspektor Syers dari Selangor membawa 25 orang mata-mata Sikh telah datang ke negeri Pahang. Di Raub, mereka telah berjumpa dengan Clifford, EA. Wise dan Inspektor Fleming serta 25 orang mata-mata Sikh yang ada di situ. Pada masa itu pihak Inggeris telah menambahkan lagi kekuatan pasukan polis di Kuala Lipis dan di Kuala Tembeling. Pada masa itu pegawai-pegawai Inggeris mula mengaturkan kekuatan hendak menentang orang-orang Bahaman. Mata-mata yang dibawa oleh Rodger dan Syers itu telah ditempatkan di balai polis Bentong, Teras, Raub, Kuala Lipis dan Kuala Tembeling. Rodger telah pergi menemui Sultan Ahmad, meminta bantuan dan kerjasama dari baginda. Pada 22 hari bulan Disember 1891, Hugh Clifford yang membawa 60 orang mata-mata Sikh diketuai oleh Inspektor Summer, bersama dengan Tengku Mahmud (Regent) yang membawa pasukannya seramai 200 orang askar Melayu, telah datang ke Semantan hendak menyerang pihak Bahaman. Clifford dan Tengku Mahmud telah menjumpai sebuah kubu orang-orang Bahaman, tetapi kubu itu telah ditinggalkan kosong. Kemudian mereka sampai pula di Kampung Kelubi, kubu kedua pihak Bahaman. Di situ telah berlaku pertempuran di antara pasukan Clifford dan Tengku Mahmud dengan pihak Bahaman.”
Perang di Lubuk Trua
Dokumen sejarah oleh W Linehan, A History of Pahang (1936), menyatakan pihak Inggeris dan Sultan Ahmad menghentikan pertempuran dengan penderhaka dalam kalangan pembesar Pahang ini beberapa kali, dan salah satu masa; perang di Lubuk Trua turut digencat demi menghormati bulan Ramadan yang jatuh pada 24 Mac 1892. Ini bermakna perang dari pihak British dapat dikatakan sivil. Tok Gajah malah ditawarkan pengampunan dan pemukiman semuka di kota suci Mekah.
Jika kita membaca banyak bahan sejarah, kita akan mendapati tentera Sikh sebagai askar atau polis upahan ditugaskan untuk mengawal keamanan dan bukannya memulaikan serangan seperti disarankan dalam filem Mat Kilau. Dalam filem Mat Kilau ditampilkan watak Ghuram Singh bertempur dengan pahlawan-pahlawan Melayu (bergaduh ala KL Gangster).
Sebenarnya dalam dokumen sejarah, Ram Singh yang diserang di kubu polis Ulu Tembeling pada Jun 1894, di mana dari sebelas polis Sikh yang berkawal, lima telah dicincang (laporan sejarah menggunakan kata Inggeris ‘mutilated’). Ram Singh yang ditikam sebanyak 30 kali, cedera parah dan menghanyutkan diri dalam sungai sebelum diselamatkan di Pulau Tawar, dan mendapat rawatan di Singapura.
Terdapat juga banyak laporan seperti termuat dalam kajian Aruna Gopinath, Pahang 1880-1933: A Political History bahawa Sultan Ahmad turut merundingi ‘pemberontak’ ini khusus; Tok Gajah, yang dilihat oleh British sebagai tindakan talam dua muka. Untuk mengatasi sikap ini, Inggeris meminta bantuan Sultan Johor untuk melunakkan pihak Pahang.
Apa yang jelas adalah jika kita tidak berhati-hati, sebuah filem fiksyen yang disuguhkan sebagai ‘sejarah’ boleh membangkitkan semangat, tetapi dapat juga menyemai kebencian mendalam terhadap etnik dan bangsa lain dalam negara ini. Apatah lagi sejarah yang kononnya lurus dan penuh objektif Melayu-Islam itu sebenarnya tidaklah lurus pun malah ada bengkang-bengkoknya.
Sesebuah karya seni dapat menjadi patuh syariah tanpa perlu berbohong. Sesuatu yang diteraskan kebohongan bukanlah mematuhi syariat.
Filem Mat Kilau ternyata memilih untuk meletakkan watak-watak kaum minoriti seperti Sikh hari ini dalam keadaan yang serba-salah. Malah pemesongan fakta sejarah atas nama fiksyen ini boleh membawa kepada risiko perpecahan yang luar biasa dalam kalangan masyarakat kita yang telah pun sedia retak menanti belah.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai