Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Siapa Goh Hui dalam filem Mat Kilau?

Pada permulaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) terdapat satu penyataan bahawa filem ini adalah fiksyen semata-mata. Akan tetapi oleh kerana ia digambarkan seperti bersandarkan fakta, dan kelihatannya diterima umum sebagai sebuah filem epik sejarah maka terdapat keperluan untuk kita memeriksa ‘fiksyen’ yang ditampilkan ini. 

Kita akan memeriksa watak-watak yang disensasikan dan berpotensi untuk menjadi risiko jenayah kebencian. Jika tidak berhati-hati filem ini akan terbalik dari maksud yang diinginkan - patriotisme - sebaliknya membawa kepada perpecahan kaum dan etnik yang terdapat di tanah air tercinta ini. 

Misalnya, watak Goh Hoi lakonan Farid Amirul, satu-satunya karektor Cina yang diketengahkan dalam filem ini. Goh Hui dilukiskan sebagai seorang saudagar yang tamak, berpihak dan bekerja dengan British untuk menzalimi orang Melayu, dan di akhir naratif, beliau dibunuh. Untuk rekod, terdapat aduan bahawa segelintir penonton ikut bersorak gembira dan tidak kurang pula yang bertakbir di pawagam ketika watak ini akhirnya dialahkan, lantas disembelih.

Akan tetapi siapakah Goh Hui di dalam dokumen sejarah yang benar? Adakah beliau betul bersekongkol dengan British, dan hidup menindas orang Melayu?

Pemeriksaan fakta sejarah akan menunjukkan Goh Hui, pedagang dan hartawan Cina yang dikatakan memiliki lokap untuk menahan dan menyiksa orang Melayu ketika ‘kebangkitan Mat Kilau’ seperti terlihat dalam filem ‘Mat Kilau’ sebenarnya - telah pun meninggal dunia - jauh sebelum kekacauan ditimbulkan oleh pembesar Melayu di Pahang pada tahun 1890-an. Dalam erti kata lain, apa yang ditampilkan dalam Mat Kilau adalah fiksi yang keterlaluan. Pun tidak dapat dipastikan apakah pengarah dan pengarang lakon layar filem ini memiliki agenda tertentu, kita berharap tidak. Untuk rekod, protagonis utama ‘Mat Kilau’ dilakonkan oleh seorang aktivis parti politik kanan tertentu.

Dalam rekod sejarah, baik yang dikemukakan oleh sejarawan tempatan, mahupun sejarawan luar; Goh Hui dibunuh secara misterius di Pekan, Pahang pada tahun 1888. Terdapat keterangan bahawa pembunuhan itu amat mencurigakan kerana isterinya dikenali sebagai Ah Chu menjadi objek nafsu pemerintah Pahang ketika itu, Sultan Ahmad. Aset Goh Hui dikatakan dirampas untuk membayar atau menebuskan hutang piutangnya dengan baginda. 

Menurut Buyong Adil dalam Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19 (1983), Goh Hui ditikam di perkarangan istana dan meninggal dunia antara bulan Februari dan mac tahun 1888. Untuk itu saya memetik tulisan Buyong Adil:

“Dalam bulan Februari 1888, seorang Cina bernama Go Hui yang tinggal di Pekan, dikatakan rakyat British, telah ditikam oleh orang yang tidak dikenali berhampiran dengan istana Sultan Pahang, dan dalam bulan Mac 1888 Go Hui pun mati. Walaupun orang yang bertanggungjawab menikam Go Hui itu tidak diketahui dan tidak dapat ditangkap, tetapi pihak Inggeris telah membabitkan Sultan Ahmad dalam peristiwa itu, kerana pada masa Go Hui mash hidup lagi, Sultan Ahmad dikatakan telah jatuh berahi kepada isteri Go Hui itu yang bernama Ah Chu. Perkara sebenar yang diketahui orang masa itu ialah Go Hui ada berhutang wang dari Sultan Ahmad lebih kurang sebanyak seribu ringgit, dan wang serta harta peninggalan Go Hui yang ada pada Ah Chu itu dikehendaki oleh Sultan Ahmad bagi menyelesaikan hutang suaminya yang telah meninggal itu…”

Kajian W Linehan A History of Pahang pada tahun 1936 mencadangkan ada pihak dalam istana mendalangi pembunuhan Goh Hui tersebut kerana ada dakwaan bahawa ia dilakukan oleh Tuan Muda (ketua pengawal istana). Selain itu senjata keris melela digunakan untuk menikam mulut Goh Hui, yang mana keris tersebut hanya digunakan di Pekan, Pahang mengisyaratkan ia milik golongan bangsawan:

In February 1888 Go Hui, a Chinese British subject who carried on the business of a shop-keeper in Pekan, was stabbed in the mouth, near the palace, at night. Clifford requested the Sultan to offer a reward for the capture of the aggressor, pointing out that, if the Chinese were intimidated from settling in Pahang, the country would never be developed. The Bendahara, the chief judge, attributed the deed to devils! Clifford retorted that no one had seen devils, but many had seen the creese-stab. Rumour had it that Tuan Muda, commander of the royal body-guard, had stabbed Go Hui on the orders of his master, who coveted the wounded man's wife. No one, without the Sultan's instructions, would have dared to attempt a murderous assault in the vicinity of the palace, or to lay hands on a Pekan Chinese, a member of a community that had always enjoyed the special protection of the Raja. It appeared that the weapon employed was a kèris melela which, in Pahang, was used only by Pékan Malays.

Pembunuhan Goh Hui, seorang Cina yang sebetulnya berdagang di Pekan, dan mempunyai hubungan baik dengan Sultan ini dijadikan sebagai salah satu alasan oleh British untuk ‘membetulkan keadaan’ di Pahang. Apatah lagi kerana Ah Chu balu Go Hui yang ketakutan telah memohon bantuan British. 

Dalam kajian Aruna Gopinath, ‘Pahang 1880-1933: A Political History’ (1991) dinyatakan keadaan Pahang yang ‘kacau’ dan pentadbiran yang lemah membuka jalan kemasukan dan campur tangan British. Pembunuhan orang biasa dalam kalangan rakyat dan pelabur luar, antara lain Syed Salim dan Su Kim (seorang lagi pedagang Cina yang diracun) yang tidak bersalah; semuanya atas sebab-sebab remeh memberi peluang untuk British mewajarkan campur tangan mereka:

In February 1888, Go Hui, a British subject, was murdered now, there was a legitimate opportunity for the imposition of British administration. For Sultan Ahmad, this was the end of his independence, even though he continued to resist British control. Go Hui, who was stabbed on 4 February, died on 3 March. The British government demanded redress because he was apparently a British subject. Sultan Ahmad promised to help the British Government in tracing the murderers, although he denied knowledge of them. The British Government, on the other hand, accused Sultan Ahmad of causing the death of Go Hui, since he had revealed a strong desire for Go Hui's wife, Ah Chu, it was said that: ..it is not by reason of her beauty that the desire of the King is so hot for her. There be many others as good to look upon as her, but a madness is kindled within him because she alone of all the people in this land dares to deny herself to him. Sultan Ahmad denied this accusation and defended his honour by stating that he could have possessed her if he wished. He was trying to avoid the label of maladministration which the British had used as an excuse to interfere in the other Malay states.”

Untuk rekod, Hikayat Pahang menyatakan Goh Hui bukanlah warga British. 

Sudah tentu kita tidak dapat mengadili nasib Ah Chu, dan keadilan tidak dapat diberikan kepada mendiang Goh Hui yang mati dibunuh secara mencurigakan itu. 

Menurut Buyong Adil peristiwa pembunuhan rahsia Goh Hui dan penahanan isterinya tersebut membawa kepada pujukan Sultan Johor (yang baik dengan Sultan Pahang) agar menerima sahaja penjajah British. Ini juga kerana demi mengelakkan kesungguhan Inggeris untuk membongkar kejadian tersebut sehingga ke lubang cacing:

“Oleh sebab pengaruh Sultan Johor dan juga putera Sultan Ahmad yang bernama Tengku Mahmud yang memang suka berbaik dengan Inggeris, maka pada 24 hari bulan Ogos 1888, Sultan Ahmad telah menulis surat kepada Gabenor di Singapura mengatakan. baginda sanggup bertanggungjawab di atas kematian Go Hui rakyat British yang ditikam di Pekan itu tetapi perkara itu janganlah diperkatakan lagi, dan bolehlah kerajaan Inggeris menghantar seorang pegawai British datang ke Pahang bagi menolong baginda menjalankan pemerintahan di negeri Pahang. Surat itu telah dijawab oleh Gabenor mengatakan ia akan menghantar seorang Residen British ke negeri Pahang. Semenjak itu (1888) mulalah negeri Pahang masuk bernaung di bawah perintah kerajaan Inggeris. Seorang pegawai pentadbir kerajaan Inggeris di Negeri-negeri Selat bernama J.P Rodger telah dilantik menjadi Residen British yang pertama bagi negeri Pahang.”

Begitiulah puncanya negeri Pahang dijajah Inggeris yang kelak membawa kepada teriakan takbir oleh watak lakonan Ellie Suriati di awal filem Mat Kilau. 

Kisah benar Goh Hui akan kekal menjadi rahsia sehingga terbongkarlah di hari akhirat kelak, di mana pada waktu itu filem yang betul dari sisi Goh Hui akan diputarkan untuk ditonton kita semua oleh Tuhan Maha Berkuasa. Apa yang betul kita semua tidak tahu, apa yang pasti para manusia yang dizalimi tidak kira apa bangsa dan kepercayaan pun akan mengambil giliran bertakbir di padang masyhar kelak setelah diadili oleh Yang Maha Adil. 

Selain pemesongan fakta yang diubah menjadi fiksyen seperti menimpa pada watak Goh Hui di atas, terdapat juga pemesongan fakta serius yang dilakukan terhadap watak-watak tambahan lain. Poin ini akan saya ulas dalam tulisan akan datang.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.