Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Bersama menuju Arafah

KOLUM | Nekadnya Nabi Ibrahim mahu menurut wahyu yang melibatkan anak kesayangannya, Nabi Ismail, adalah lambang pengorbanan terbesar seorang pemimpin.

Ia kemudian dikenang berzaman-zaman lamanya, terutama ketika musim haji dan sambutan Aidiladha sehingga ia mencetuskan pelbagai dapatan serta pengajaran baru.

Pemimpin Malaysia tanpa mengira parti, pertubuhan atau kelompok wajib menghayati sejarah besar itu berbanding gigih bersaing semata-mata mahu mendapatkan kuasa di Putrajaya.

Ia bukan tentang soal siapa yang perlu dikorbankan, tetapi siapa yang sanggup berkorban.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda - antara lain - bermaksud: haji itu ialah berada di Arafah. Kerana itu seseorang yang meninggalkan Arafah pada hari wukuf adalah mengetepikan ibadah haji sepenuhnya.

Pada hari Arafah, semua jemaah haji tidak boleh tidak, mesti berhimpun di Arafah. Pedulikanlah sama ada sihat atau sakit; mahu atau enggan.

Setelah berniat untuk mengerjakan haji di miqat yang ditentukan, ibadah itu harus diteruskan.

Yang capik datang bertongkat,
yang buta meraba-raba,
yang tuli leka bertanya,
yang kecil terambin lintang,
yang jarak tolak-tolakan,
yang pendek tertinjau-tinjau.

Semua harus bergerak. Semua jemaah haji meninggalkan tanah air, bendera, marga, mazhab, kelas, parti, waima Madinah dan Kaabah - juga Putrajaya - demi berada di Arafah.

Kita tidak mengendahkan apa saja sempadan atau batu yang menjadi pemisah. Malah batasan-batasan itu hanyalah ciptaan imaginasi kita semata-mata.

Tinggalkan keangkuhan, kesombongan

Jemaah haji menyarungkan tubuh masing-masing dengan 'bendera' putih, mengibarkan panji-panji putih di bawah khemah putih. Ia bukan pengorbanan yang dimaksudkan, tetapi titik mula perjalanan untuk melakukan korban yang besar.  

Mekah, Madinah atau apa jua kota lain di luar Arafah bukanlah tempat ibadah haji.

Putih adalah lambang penyerahan kepada kekuasaan Allah SWT. Putih adalah lambang kasih sayang. Adalah lambang kebersihan. Kita bawa mesej itu di tengah-tengah padang Arafah yang melaut manusianya.

Kerana di Arafah kita menghampiri zat Allah SWT dari Baitullah yang didirikan Nabi Ibrahim dengan batu-batu bukit. Arafah lebih dekat dengan Maha Pencipta alam dan Maha Penyayang. Bersama menuju ke Arafah bermakna kita meninggalkan segala kesombongan dan keangkuhan. Meninggalkan Putrajaya dan segala kota material dan kuasa.

Kita berhimpun di Arafah hanya seketika. Kita tidak boleh statik di Arafah. Kita dalam perjalanan dan perjuangan yang masih belum selesai. Arafah bukan matlamat, sama seperti Kaabah. Kewujudan manusia adalah kemanusiaan yang bergerak. Manusia yang statik adalah manusia yang mati.

Samalah juga dengan Putrajaya, ia bukan matlamat kita.

Berhimpun di Arafah adalah satu peringkat kepada perjalanan bani Adam di dunia ini. Berkumpul di Arafah bukan penamat seperti di berada di kemuncak Jabal Rahmah. Itu merupakan kemuncak pertemuan kembali Adam dengan cintanya, Hawa, setelah mereka diarah keluar dari syurga angkara iblis terlaknat.

Arafah ini adalah kesedaran buat semua manusia. Ia merupakan pengalaman dan pengetahuan tentang kehidupan. Bahkan Arafah adalah sains kehidupan manusia yang mentabdir bumi ini.

Gambar hiasan

Pengajaran daripada Adam ialah iblis itu ialah musuh yang nyata. Iblis makhluk yang berbangga dengan bangsa, marga, parti, mazhab dan keturunannya.

Bisikan menghasut oleh iblis melembutkan kebijaksanaan dan ketegasan Adam terhadap larangan Allah. Adam tewas dengan bujukan, justeru melanggar larangan itu membawa mereka berdua ke dunia, iaitu alam sebenar.

Di dunia sekarang, tanah air kita ini sebuah negara berbilang kaum yang menuntut akan adanya mulut dan lidah yang merapatkan jurang perbezaan, bukan menyimbah minyak pada api yang membakar.

Siapa membisikkan hasutan iblis di telinga kita pada saat ini?

Terpisah jauh dari rahmat Tuhan adalah bala yang tidak tertanggung oleh makhluk beriman. Bertahun menderita kerana terpisah dan hidup sendiri di dunia yang sangat asing, Adam dan Hawa akhirnya di bawah khemah kasih sayang di puncak Jabal Rahmah.

Kini peringkat Adam dan Hawa hidup sebagai manusia sejati yang memiliki keluarga dan anak cucu yang meneruskan kelangsungan manusia di muka bumi sebagai khalifah.

Bukan retorik kosong makna

Seterusnya Adam dan Hawa meninggalkan Arafah, juga Jabal Rahmah yang menjadi lambang cinta. Mereka dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Itulah amanah Tuhan kepada semua keturunan Adam dan Hawa. Kita dikehendaki memakmurkan dunia dengan ayat-ayat Tuhan, membasahi tanah dengan kedinginan bait-bait suci.

Justeru kita mesti meninggalkan Arafah untuk satu destinasi lagi dalam melengkapkan kehidupan sebagai manusia yang beriman. Bukan Arafah tidak penting. Ia sangat penting, cuma kepentingannya terhad pada waktu yang ditentukan Tuhan.  

Arafah adalah permulaan hidup Adam sebagai manusia yang insaf, lebih bertanggungjawab dan menggunakan bahasa aqidah, syariat, ilmu, kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dalam menjalani hidup sebagai pemimpin.

Hawa pula pengikut dan teman setianya. Lidah dan mulut Hawa berbahasa sebagaimana bahasa Adam. Bahasa manusia di muka bumi. Bahasa yang dapat difahami, bukan retorik bersalut ayat-ayat suci tetapi kosong makna.

Perbezaan di antara Adam dengan Hawa ialah titik mula membentuk asas kehidupan sosial yang lebih besar dan meluas. Kegagalan memahami perbezaan antara anggota masyarakat akan membawa manusia ke lembah pertelingkahan yang tidak sudah-sudah.

Pertelingahan siapa perdana menteri, siapa pemenang, siapa berkuasa hanya membunuh kedamaian hidup. Arafah adalah pintu kepada kesedaran hidup bernegara seperti di tanah air kita.

Kerana itu, Hawa adalah percikan pertama kepada Adam tentang perbezaan antara dirinya dengan pasangannya. Kefahaman dari percikan ilmu, kesedaran, kebebasan dan kasih sayang itulah yang patut diperolehi seseorang yang berada di Arafah.

Gambar hiasan

Wuquf di Arafah bermula dari mentari mula bersinar hingga terbenam ia di ufuk barat. Wuquf bermakna berhenti seketika, bukan berlama-laman. Seperti yang dinyatakan tadi, manusia yang hidup ialah manusia yang terus bergerak menuju Tuhan.

Semoga Allah memakbulkan doa semua rakyat Malaysia yang terpisah dari kampung halaman, keluarga, dan sebagainya pada hari penuh berkat di Arafah ini.   


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.