KOLUM | Sebuah rumah di atas durian di Inas, Baling
Kejadian banjir berlumpur yang dahsyat di Baling baru-baru ini boleh dilihat dari sudut hak asasi manusia. Dalam kejadian banjir yang kononnya berpunca oleh kepala air tersebut, terdapat 12 buah kampung yang terdiri daripada 627 penduduk yang rumah mereka telah rosak teruk atau hilang sama sekali.
Terdapat juga laporan mengatakan yang kebanyakan rumah di pinggir Sungai Iboi yang hanyut dalam tragedi kepala air itu didirikan atas tanah rizab yang tiada hak milik. Dalam satu laporan media, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan itu menimbulkan ‘sedikit masalah’ kerana kerajaan hanya boleh membantu membina semula rumah di kawasan tanah bergeran.
‘Sedikit masalah’ inilah yang merupakan satu permasalahan kajian yang menarik untuk dilihat dari sudut akademiknya.
Sebenarnya ‘sedikit masalah’ untuk kerajaan Kedah tersebut adalah ‘besar masalah’ untuk rakyat biasa yang hanya dapat campur tangan menurun atau membuang pemimpin politik angkuh lima tahun sekali. Tambah pula ‘besar masalah’ orang kampung kerana kehilangan tempat kediaman itu mungkin berpunca daripada kerakusan pemimpin berselingkuh dan berkendak dengan pengusaha ladang durian. Bahkan sudah pernah ada bantahan dan memorandum yang ditandatangani oleh 900 penduduk berkait hal ini. Penduduk juga dilaporkan sudah acap kali melakukan demonstrasi.
Akan tetapi sekarang sudah ada kemalangan jiwa. Selain dari kematian tragis di Baling, atau ketika setiap kali banjir, selalunya bahagian paling menyakitkan dari kesan sesebuah bencana ialah urusan penempatan dan kediaman semula atau baru bagi mangsa.
Mangsa banjir atau bah selalunya menempuh empat tahap kediaman pasca bencana. Bahagian paling getir dari empat tahap kediaman tersebut adalah tahap ketiga dan keempat.
Empat tahap yang dimaksudkan adalah, pertama ialah kediaman di pusat kecemasan iaitu sebaik sahaja mereka berjaya diselamatkan dari malapetaka yang terjadi. Kedua, ialah pusat perlindungan sementara di mana bekalan makanan, bermalam dan keperluan asas akan diberikan. Perlindungan sementara ini termasuklah bantuan penginapan yang diberikan oleh sanak saudara, jiran tetangga atau ahli komuniti yang melibatkan derma orang ramai dan sebagainya.
Tahap ketiga ialah mangsa akan membina semula penempatan atau kediaman sama ada di tempat asal atau di lokasi baru yang kurang mereka sukai dan tidak selesa, ini termasuklah struktur kediaman yang tidak lagi mereka kenali. Seterusnya tahap keempat ialah kediaman tetap yang mana mereka mulai berusaha menerima hakikat kehidupan di lokasi baru yang tidak mereka pilih dan putuskan sebelumnya.
Pada tahap ketiga dan keempat ini emosi dan psikologi mangsa telah terjejas teruk dan kesihatan mental perlu diberi perhatian. Hakikatnya ahli masyarakat yang memiliki pendapatan rendah akan mengalami kesulitan untuk membangunkan semula penempatan mereka dan biasanya akan menderita sepanjang proses tahap ketiga dan keempat tersebut.
Dalam kerangka hak asasi manusia, kerajaan yang memerintah wajib memberi bantuan penuh untuk golongan ini demi membangunkan semula kediaman mereka supaya masalah lain seperti warga tanpa kediaman (gelandangan), masalah pelarian dan jangkaan negatif sosial tidak berlaku.
Artikel 25 Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) menyatakan setiap manusia berhak dan diberi jaminan untuk kediaman yang standard; ‘Everyone has the right to a standard of living adequate for the health and well-being of himself and of his family, including food, clothing, housing and medical care and necessary social services, and the right to security in the event of unemployment, sickness, disability, widowhood, old age or other lack of livelihood in circumstances beyond his control’.
Dalam erti kata lain, penempatan sesudah bencana menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berwajib.
Tidak cukup dan tidak memadai sekiranya kerajaan - hanya - mahu menanggung sewa rumah penduduk yang terjejas selama enam bulan. Tambahan kalau kejadian bencana tersebut dapat dihujahkan berpunca dari kedegilan pihak berkuasa menarah kawasan hutan sehingga ekologi alam sekitar musnah dan menyebabkan bencana itu berlaku. Pihak berkuasa justeru mesti mengambil tanggungjawab.
Harus diingatkan tidak terkira banyaknya kajian akademik menjelaskan yang banjir di negara ini berlaku kerana penggunaan semula tanah, pembalakan dan juga kerana kesumbatan sistem saliran. Kejadian di Baling baru-baru ini turut mengingatkan kita tragedi yang sama di sekitar Gunung Jerai pada Ogos 2021.
Selepas tragedi di kaki Jerai tersebut, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah menggesa siasatan awam dan bebas untuk mengenal pasti kelemahan yang ada serta langkah pencegahan dan pemulihan yang boleh diambil. Kedua-dua NGO tersebut menegaskan bahawa kejadian tersebut, bukan mungkin kerana pembalakan tetapi ‘yang pasti ialah penebangan pokok dan pembersihan hutan.’
Dalam kejadian 18 Ogos 2021 itu, antara kawasan terjejas ialah Kampung Perigi, Kampung Teroi Bukit, Kampung Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi. Tidak pasti berapa banyak secara tepatnya jumlah penduduk yang kehilangan tempat kediaman.
Bencana kepala air dan banjir kilat itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk terjejas dan turut mengorbankan nyawa enam penduduk yang tidak sempat menyelamatkan diri ketika arus deras menghentam kawasan kaki Gunung Jerai.
Sekarang, sudah beberapa bulan berlalu; apakah kediaman penduduk yang terlibat akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur yang melanda kawasan sekitar kaki Gunung Jerai, khususnya di Kampung Titi Hayun, telah diganti?
Memang sangat mengecewakan apabila Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan hanya boleh membantu membina semula rumah di kawasan tanah bergeran. Jika pun kebanyakan rumah di pinggir Sungai Kupang yang hanyut dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur itu didirikan di atas tanah rizab yang tiada hak milik, kerajaan sebagai pihak berwajib masih wajib menyediakan hak kediaman dan perlindungan untuk rakyat.
Pemimpin atau pemerintah mestilah berfikir keras untuk memenangkan rakyat dan bukan bersikap lepas tangan selepas mengecap untung dengan pemaju, pengusaha ladang atau taukeh balak. Banjir tidak berlaku jika kerajaan boleh berfikir dari awal.
Isyarat yang diberikan oleh beliau ialah keadaan sungai di Baling itu sudah semakin cetek hingga air melimpah dan mengundang bahaya sekiranya rumah baru dibina di kawasan sama. Yang pihak berkuasa lupa atau sengaja tidak mahu tahu adalah punca kecetekan sungai sehingga air melimpah itu berlaku kerana tangan mereka sendiri. Padahal kerajaan sudah berkali-kali diingatkan.
Untuk rakyat, mereka hendaklah keluar mengundi beramai-ramai ketika Pilihan Raya Umum ke-15 kelak. Untuk mereka yang di bandar, tuntutan Marhaen Urban Settlers Network bahawa isu perumahan di Malaysia harus dilihat sebagai hak asasi manusia dan bukannya komoditi, hendaklah dijadikan pertimbangan. Hak untuk berlindung dan berkediaman harus menjadi bahagian dari manifesto pilihan raya kelak.
Enam tuntutan penting yang dibuat oleh Marhaen Urban Settlers Network antara lain ialah membina rumah mampu milik di bawah RM100,000, membina lebih banyak rumah sewa PPR, menghentikan pengusiran paksa, menghentikan lelongan rumah golongan marhaen, menyediakan dana pembinaan rumah B40/M40 dan meminta majlis perbandaran mengambil alih penyelenggaraan flat kos rendah.
Mana kala untuk rakyat di luar bandar, khusus yang terkesan oleh kegelojohan pembalakan dan penanaman durian secara komersil; mereka juga hendaklah diberi hak berlindung dan memiliki tanah.
Hak asasi manusia bukanlah satu gagasan Barat yang perlu dicurigai seperti mana yang dihebahkan oleh golongan kanan dan dilaungkan secara negatif di mimbar masjid. Hak asasi manusia boleh menjadi jalan keluar pra atau pasca bencana. Malah setiap individu manusia berhak secara asasinya untuk memiliki tempat berlindung.
Makanya, kita para patik perlu meneliti manifesto PRU-15, iaitu parti manakah yang berani berjanji untuk membina rumah secara percuma di atas tapak semaian durian, iaitu raja segala buah.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai