Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Sepagi di Makam Baqi'

KOLUM | Ketika pintu pagar utama perkuburan Baqi' dibuka untuk lawatan para pengunjung bumi nabi, kami memasuki kawasan berkenaan. Kami hanya dibenarkan menziarahi kawasan tersebut dalam lingkungan 100 meter dari pintu pagar utama.

Ada pasukan keselamatan yang berkawal menjaganya.

Di situ tiada tumbuh-tumbuhan, tiada binaan. Hanya batu-batuan yang melata. Batu-batu yang bersaiz besar dijadikan nisan tanpa nama. Semua kubur sama.

Pagar batu yang dibina tinggi memang menyukarkan orang ramai melihat lebih dekat kawasan perkuburan yang menempatkan tubuh-tubuh mulia itu. Peluang untuk lebih mendekati tanah itu tidak dilepaskan apabila ia terbuka.

Menurut sejarah, ada lebih 10,000 jasad para sahabat bersemadi di situ.

Meski sudah lebih 1,400 tahun Baqi' menjadi tanah perkuburan, ia masih terus terbuka untuk menampung jenazah baru termasuk dalam kalangan tetamu Allah yang meninggal dunia di Madinah.

Banyak kelebihan mati di negeri nabi itu dan dikebumi di Baqi'. Nabi pernah memohon keampunan untuk penghuni Baqi'.

Baqi' terletak tidak jauh dari makam Rasullullah SAW yang asalnya merupakan rumah baginda sendiri. Oleh sebab itu, semasa hayatnya baginda sering menziarahi Baqi'.

Papan tanda di pintu masuk mengingatkan para pengunjung agar tidak membuat perkara-perkara yang dilarang. Antaranya membaca surah al-Fatihah di kawasan tersebut.

Hal itu kerana tiada asas amalan itu dalam Islam dan dianggap bidaah.

Pembangunan berjalan pesat

Amalan itu memang merupakan kebiasaan di tanah air dan rantau Nusantara. Pengunjung makam Wali Songo, misalnya, sama ada di Surabaya, Gresik dan sebagainya sentiasa dikunjungi orang tanpa mengira waktu, hatta pada malam hari.

Mereka bukan saja membaca al-Fatihah tetapi surah-surah lain, berzikir serta bertahlil beramai-ramai di situ.

Kehadiran ramai pengunjung menjadikan tempat tersebut sebagai antara pusat tarikan pelancong yang penting di Surabaya. Bahkan sesetengahnya menganggap hadir di situ sebagai keperluan beragama.

Pada zaman pemerintahan dinasti Saud, banyak amalan dan binaan di Baqi' dimusnahkan, manakala segala tanda batu nisan dilenyapkan.

Tidak jauh dari kawasan tersebut, kelihatan kren-kren binaan berdiri setia. Pembangunan di sekitar kawasan Masjid Nabawi memang sangat pesat.

Hanya beberapa binaan lama yang tidak dimusnahkan, seperti Masjid Ali, Masjid Abu Bakar dan Masjid Usman atau Ghamimah.

Kesemua masjid tersebut dikunci dan mungkin tidak digunakan lagi. Meskipun begitu, tetap ramai pengunjung pergi melawatnya. Burung merpati berterbangan di sekitar masjid yang terletak tidak jauh di antara satu sama lain.

Mungkin ada pihak yang mempertahankan masjid lama itu daripada ditelan pembangunan. Atau ada perubahan polisi dan kesedaran baru dalam kalangan penggubal polisi kerajaan.

Kedudukan masjid-masjid lama berkenaan dengan nama-nama pintu di Masjid Nabawi mempunyai kaitan dengan kedudukan rumah para sahabat. Dengan mengekalkan binaan lama, setidak-tidaknya kita dapat membayangkan suasana petempatan Madinah pada zaman Nabi Muhamad masih hidup.

Kenangan pimpin Pemuda

Ia juga dapat mengelakkan sebarang dakwaan yang tidak berasas mengenai tempat-tempat bersejarah terutamanya berkaitan dengan sejarah awal pembentukan kerajaan Islam Madinah.

Pagi itu saya sampaikan salam dan pesanan daripada kawan-kawan kepada Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah RA, Fatimah az-Zahrah, Hasan al-Mujtaba Ali, Ali Zainal Abidin Hussain, Muhammad al-Baqir Ali Zainal Abidin, Ja'afar as-Sadiq Muhammad al-Baqir, dan ahli keluarga nabi serta para sahabat yang lain.

Puteri kesayangan Rasullullah, Fatimah, wafat semasa Ramadan. Dia menyusul enam bulan selepas kewafatan ayahandanya, nabi akhir zaman itu.

Fatimah berwasiat kepada suaminya, Sayidina Ali, agar dia dikebumikan tanpa apa-apa upacara dan dilakukan secara rahsia.

Hanya anak-anak mereka menemani Ali menguruskan pengebumian itu.

Di kawasan perkuburan ini juga, sahabat saya, Allahyarham Nur Azli Musa - atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Taliban - bersemadi. Dia meninggal dunia sewaktu mengerjakan umrah.

Kami pernah bersama dalam Dewan Pemuda PAS Perak semasa saya mengetuai badan tersebut. Arwah menjadi timbalan saya.

Perkuburan Baqi' menyimpan 1,001 sejarah perkembangan Islam hingga menjadi agama yang dianuti di seluruh dunia. Madinah kekal menjadi ibu negeri kerajaan Islam sejak Nabi Muhamad memimpin umat Islam.

Selain menjadi perkuburan keluarga baginda dan para sahabat, Baqi' juga menjadi tempat perkuburan mangsa peristiwa al-Harrah yang mengorbankan ribuan jiwa sewaktu awal zaman dinasti Umayyah.

Pelantikan Yazid Muawiyah sebagai khalifah mengubah kaedah kepemimpinan yang sebelumnya, menyebabkan berlaku pertentangan. Bantahan dihentikan dengan pertumpahan darah sesama saudara seagama.

Peristiwa itu berlaku dua tahun selepas tragedi Karbala berlaku. Darah syuhada Karbala masih basah ketika itu. Tragedi Karbala merupakan satu lagi peristiwa yang kekal mengocak sentimen politik umat berlaku hingga kini.

Madinah ialah kota yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran kerajaan Islam sejak zaman Rasullullah. Ia kemudiannya diteruskan oleh Khulafa ar-Rashidin. Hanya semasa zaman Ali menjadi khalifah dia memindahkan ibu negeri Madinah ke Kufah atas pertimbangan politik semasa.

Biarpun wilayah kerajaan Islam berkembang luas dalam tempoh empat dekad, perkembangan politik dalaman juga menarik jika dilihat secara objektif.

Ziarah mengingat mati

Hayat tiga daripada empat khalifah berakhir dengan pembunuhan. Umar dibunuh seorang bekas hamba berbangsa Parsi ketika si pemberani Islam itu mengimamkan solat Subuh di Masjid Nabawi.

Usman pula dibunuh beramai-ramai ketika membaca al-Quran di rumahnya. Kejadian itu berlaku dengan seru sehingga pembunuhnya tidak dapat dikesan. Malah suspek beramai-ramai mengaku sebagai pembunuh Usman tanpa rasa bersalah.

Ali pula dibunuh oleh golongan yang berpegang dengam tafsiran al-Quran secara literal iaitu puak Khawarij. Mereka percaya tindakan membunuh Ali itu sebahagian daripada tuntutan al-Quran.

Sedang asyik berjalan-jalan di perkuburan Baqi' seorang pengawal meminta para pelawat meninggalkan kawasan tersebut. Waktu melawat sudah selesai rupa-rupanya, dan pintu pagar bakal ditutup.

Saya pun berjalan perlahan-lahan sambil menitip doa buat mereka yang pernah menjadi saksi kepada perkembangan Islam.

Ziarah ke tanah perkuburan boleh mengingatkan kematian, dan pada masa sama juga boleh menghidupkan sejarah yang terpendam.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.