KOLUM | Tak hormat bahasa kebangsaan
Jemaah Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Awang Sariyan berkata individu tidak menghormati Bahasa Kebangsaan pada masa hadapan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.
Kedua-dua hukuman antara yang dicadangkan untuk pindaan akta itu yang kini dalam fasa akhir perbincangan sebelum dijangka dibentang kepada perdana menteri.
"Ia bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak hormati Bahasa Kebangsaan. Usul denda ini bukan untuk menghukum, ia dicadang untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara," katanya.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan akan meminda akta untuk membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu.
Beliau turut mencadangkan agar Akta Bahasa Kebangsaan dipinda seiringan pindaan Akta DBP agar pihaknya dapat menjalankan tugas sebagai penguatkuasa bahasa dengan lebih berkesan.
"Bukan sahaja Akta DBP perlu dipinda tetapi pindaan Akta Bahasa Kerajaan juga perlu dilakukan kerana itu induknya. Kalau akta itu diperluas, bolehlah kerajaan meminta DBP melaksanakan dasar bahasa secara lebih jelas," katanya.
Ia perlu dilaksana secara holistik bukan sekadar bidang kuasa penguatkuasaan tetapi juga harus melihat aspek perantarabangsaan, pentauliahan dan pelesenan bahasa sastera.
Apakah maksudnya tidak menghormati Bahasa Kebangsaan?
Saya rasa perkara itu terlalu banyak berlaku hari ini meliputi semua peringkat masyarakat. Ini termasuk di parlimen, apabila yang dipertua dewan (YDP) memebnarkan ahli parlimen meneruskan ucapan dalam bahasa Inggeris.
Kalau tidak dibenarkan, ahli parlimen tidak boleh berucap walau sepatah pun dalam bahasa Inggeris.
Namun kalau asyik sekejap-sekejap ahli dewan memohon izin untuk menggunakan bahasa Inggeris, apakah maknanya ada hormat?
YDP dewan dan timbalannya sepatutnya mengingatkan semua ahli Dewan agar menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan demi mempertahankan perlembagaan dan martabatnya.
Jika ahli dewan yang mulia pun tidak mematuhi perlembagaan dan menghormati, tiadalah lagi kemuliaan dewan melainkan kehinaan belaka.
Apatah lagi ketika perbahasan di parlimen menjadi tontonan rakyat melalui siaran langsung.
Kedaulatan bahasa
Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan–melalui pembinaan psikologi bangsa Melayu secara keseluruhan–perlu dilaksanakan bagi menunjukkan Malaysia mempunyai jati diri.
Kita perlu mempunyai kekuatan psikologi untuk meyakini bahawa bahasa kebangsaan mempunyai kedaulatannya tersendiri.
Di Jepun, Thailand dan Indonesia, negaranya masih teguh menggunakan bahasa kebangsaan, baik dalam urusan rasmi mahupun kegiatan harian. Kalau ada kekuatan psikologi begitu, barulah rakyat akan patuh. Barulah dikatakan kepimpinan melalui tauladan.
Kekuatan jati diri yang ingin disemai pada rakyat mesti bertitik tolak daripada usaha pemimpin, yakni politikus bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.
Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh tidak dalam hal ehwal industri dan ekonominya sahaja, tetapi juga soal bahasa.
Namun, dalam isu pengukuhan bahasa kebangsaan, terdapat banyak percanggahan antara tindakan dan fungsi DBP.
Objektif pertama DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Mengapa pula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan sebelum ini?
Disebabkan percanggahan ini, amat sukar untuk bahasa kebangsaan mencapai kemajuan dari segi pemantapan dan penggunaannya oleh seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa.
Pusat perancangan bahasa di Perancis, ada undang-undang bagi mengambil tindakan pada orang yang tidak hormat bahasa kebangsaan. Sebuah syarikat di Perancis yang tidak menggunakan bahasa Perancis dalam laman web, dikenakan denda beribu euro.
Perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Kuasa DBP terkekang. Ini yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan.
Adakah institusi parlimen, perundangan dan kehakiman menggunakannya secara menyeluruh sebagai peneraju dalam pelaksanaan dan penilaian bahasa?
Penyampaian pentadbiran dan pendidikan serta bahasa ilmu wajib melihat di manakah maruah bangsa Malaysia kalau bahasa kebangsaan sekadar memenuhi citra-rasa sesetengah pihak? Di manakah maruah bangsa Malaysia jika status bahasa kebangsaan dalam perlembagaan dipinggirkan?
Di manakah maruah bangsa Malaysia jika peminggiran ini berlaku ketika agenda ‘Keluarga Malaysia’ oleh perdana menteri mahu memperkukuhkan kedudukan bahasa rasmi?
Bahasa kebangsaan hendak dijadikan sebagai telapak penyatupaduan, kesepaduan dan perpaduan keluarga Malaysia yang besar.
Tak tentu arah, kucar-kacir
Bahasa Malaysia masih belum mantap. Penggunaannya dan kedudukannya wajib diangkat setelah merdeka lebih 60 tahun. Kerja ini bukan sekadar tanggungjawab nasionalis bahasa tetapi tanggungjawab semua pihak.
Pada masa ini sangat ketara penggunaan bahasa Melayu semakin tidak tentu arah dan kucar-kacir. Terdapat iklan di TV, radio dan akhbar yang tiada langsung perkataan Melayu.
Undang-undang menetapkan supaya setiap nama syarikat, kedai dan bangunan dinamakan dengan bahasa kebangsaan. Bahasa lainnya seperti Mandarin, Tamil atau Inggeris dibolehkan, namun perkataan dalam bahasa kebangsaan perlu lebih terang, besar dan jelas. Perkara ini semakin dilupakan dan dipandang enteng.
Mungkin perkara ini disebankan oleh perubahan yang dibawa oleh arus globalisasi, yang menyebabkan tiada semangat jati diri di kalangan rakyat. Mungkin ia berpunca daripada kegagalan institusi pendidikan dalam menyerapkan semangat cintakan bahasa kebangsaan.
DBP berkuasa tetapi tiada kuasa untuk mengkuatkuasakan undang-undang dan tidak dihormati. Perkara ini boleh disebut sebagai kemandulan. DBP hanya perlu mengemas kini kamus bahasa kebangsaan, yang disebut sebagai Kamus Dewan, dan tidak perlu digubal satu akta khas.
Mungkin apa yang perlu dilakukan oleh DBP untuk lebih giat mencungkil istilah-istilah lama yang mendahului zaman. Perkara ini mungkin boleh menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seperti mana pada suatu masa dahulu ia menjadi franca.
Audit bahasa adalah satu usaha yang semakin perlu disegerakan memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang semakin luntur.
Kaedah atau modus operandi audit bahasa mudah sahaja dilakukan. Setiap jabatan dan kementerian diaudit bahasanya. Mesti ada pasukan seperti Jabatan Audit Negara yang menilai pengurusan kewangan Malaysia.
Audit bahasa ini menilai sudut pencapaian penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kumpulkan minit-minit mesyuarat, terbitan, pekeliling dan sebagainya untuk setiap jabatan.Laporan perlu diserahkan kepada pihak berwibawa, sama ada ketua setiausaha kementerian dan perlu juga sehingga ketua setiausaha negara.
Perlu diadakan pemantauan bersemuka dari waktu ke waktu, juga aspek mutu bahasa yang digunakan. Dari situ peningkatan penggunaan Bahasa Melayu dan mutunya dapat ditingkatkan.
Jika perihal audit bahasa yang berkaitan dengan salah satu dasar negara itu dipandang remeh dan lucu, maka remeh dan luculah Dasar Bahasa Kebangsaan.
Bahasa rojak
Dari segi mutu bahasa pula, keadaannya lebih parah. Masih banyak kesalahan bahasa daripada segi ejaan, penggunaan perkataan, istilah dan struktur ayat. Ada kecenderungan untuk berbahasa rojak.
Sikap sesetengah anggota masyarakat, termasuk orang Melayu sendiri yang masih tidak yakin dengan kemampuan bahasanya, masih berakar tunjang.
Wujud segolongan pemimpin, golongan elit dan menengah, kumpulan eksekutif dan pelaksana dasar yang hati mereka masih mencintai, terpaut dan tertawan oleh kehebatan bahasa Inggeris.
Kononnya hanya bahasa Inggeris yang dapat menjulang tamadun. Perkara ini menjadikan penggunaan Bahasa Melayu semakin luntur dan menjadikan bahasa Inggeris lebih dominan.
Buku Bahasa Melayu tidak cukup tetapi lepas merdeka sampai sekarang, baru lebih setengah abad dan kita sudah ada sejuta istilah, ribuan tenaga akademik dan entiti penerbitan.
Usaha mesti diteruskan, bukan berpatah balik ke belakang hanya kerana masih ada beberapa masalah yang melanda.
Orang Melayu perlu berasa bangga dan lebih mengutamakan Bahasa Melayu apabila berhubung atau berkomunikasi, apa lagi dengan teman bukan Melayu, dalam agenda mendorong gerakan mendaulatkan Bahasa Melayu.
Namun, ada orang Melayu kelas elit dan menengah yang gemar berbahasa Inggeris ketika berbual dengan orang bukan Melayu, seolah-olah mereka–bukan Melayu–itu warganegara asing.
Kalau Melayu boleh dipanggil 'encik' namun kalau orang Cina terus panggil Mr Lee. Ini semakin menjarakkan hubungan dan perasaan penerimaan dengan seolah-olah mereka tidak diterima sebagai rakyat.
Sementara itu, bila bercakap dengan bukan Melayu, timbul kecenderungan berbahasa pelat sama seperti orang yang dilayan bercakap. Perkara ini tidak membantu teman-temannya berbahasa dengan lebih baik. Malah bahasa orang Melayu pula jadi rosak dengan sendirinya.
Sememangnya harus diakui bahawa jati diri bangsa Malaysia masih belum begitu mantap dan hebat terutamanya golongan politikus. Mentaliti bangsa Melayu belum capai tahap kelas pertama sehingga ramai anak-anak tidak boleh berbahasa Melayu.
Ini bukan omongan yang jadi isu dan kemelut yang masih tidak berjaya ditangani oleh kerajaan apalagi kalangan massa rakyatnya.
Puncanya mentaliti masih melihat bahasanya sendiri dari sudut pandang yang serong dan salah. Kita ada kuasa dan masa tetapi tidak dimanfaat sebaik mungkin. Kita masih menganggap bahawa bahasa tidak punya apa-apa erti dan sekadar alat bicara yang tidak perlu dibesar-besarkan.
Penterjemahan
Kerajaan kita berperanan memartabatkan bahasa Melayu seperti di Indonesia, China,
Thailan, Jepun dan Korea. Di Indonesia misalnya, semua filem asing yang ditayangkan mesti dalam bahasa Indonesia atau Inggeris sahaja. Begitu juga di Thailand, rakyatnya lebih suka berbahasa ibunda.
Di Indonesia, penterjemahan buku asing dalam berbagai bidang berkembang dengan amat pesat. Misalnya buku terbaru Profesor Yusuf Qardhawi dalam masa beberapa bulan sahaja boleh didapati di Indonesia, malahan kadang-kadang sampai dua atau tiga penerbitan berbeza menterjemahkan buku yang sama.
Mungkin dengan sikap ‘tak apa’ pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk memperkembangkan bahasa tercinta ini, rakyat Malaysia akan terus ‘hanyut’ dengan penggunaan bahasa asing.
Tidak mustahil jika tidak ada tindakan yang betul-betul kuat dan jitu oleh kerajaan, satu hari nanti Bahasa Melayu tidak lagi dihormati oleh rakyatnya sendiri.
Atau adakah ia telah pun berlaku?
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai