Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | PBAKL dan OKU

Pesa Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 menerima sambutan hangat hingga mencecah 50,000 pengunjung pada hari pertama program di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

PBAKL menampilkan lebih daripada 100 pempamer yang terdiri daripada penerbit, pengedar dan kedai buku dari dalam dan luar negara. Ia boleh dianggap syurga dunia bagi pencinta dan peminat buku. Mungkin ratusan ribu buku tersedia.

PBAKL diadakan kali terakhir secara fizikal pada tahun 2019 dan merekodkan kehadiran pengunjung sebanyak satu juta. Biarpun gagal mencapai sasaran 1.5 juta pengunjung namun nilai jualan buku meningkat. 

PBAKL menjadi acara tahunan yang menjadi tumpuan semenjak awal penganjurannya tetapi penularan Covid-19 memaksa penganjuran PBAKL 2020 ditangguhkan. Pesta buku secara dalam talian pula dijalankan sebagai inisiatif bagi menggantikan pesta buku secara fizikal.  Namun tetap wujud kelompongan yang nyata apabila kemeriahan pesta buku secara fizikal jelas lebih terasa dan meriah.

Tempoh program dari jam 10 pagi hingga 10 malam memberi masa kepada peminat buku untuk berkunjung dan mencari buku dengan selesa. Pelbagai program dan diskaun yang dirancang oleh pihak pempamer turut menarik perhatian pengunjung.

Tiada sebarang bayaran masuk dikenakan. PBAKL amat penting dalam memupuk budaya membaca dengan memberi pengalaman yang eksklusif dan tersendiri kepada pengunjung.

Boleh dikatakan ada keseronokan dan kegembiraan buat pengunjung yang datang. Pengunjung berhubung dan berinteraksi secara langsung dengan penjual malah dengan pengarang. Inilah keistimewaan.

Pengarang dan  penulis boleh berinteraksi dengan peminat buku untuk tujuan promosi dan membina hubungan baik sesama mereka yang boleh diperpanjangkan.

Semua penerbit yang mengambil bahagian dalam PBAKL rancak mempromosi penulis dan buku-buku di media sosial. Bagi pengilustrasi dan pelukis sampul buku, ilustrasi dan zine turut menyumbang dan mencorakkan industri buku.

PBAKL menjadi medan pembugaran industri buku negara yang baik untuk melihat sejauh mana sambutan. Sememangnya buku perlu diperjuangkan kerana membaca buku adalah tanda ketamadunan bangsa.

Sudah dua tahun orang ramai menunggu PBAKL tahun ini dengan harapan ramai akan kembali selepas pandemik.

Kebanyakan pengunjung yang hadir pada hari pertama program adalah rombongan sekolah terdiri daripada pelajar. Cuti tiga hari pasti lebih ramai dari Lembah Kelang.

Orang ramai meliputi keluarga, guru dan pelajar, mengunjungi 709 gerai pempamer yang membabitkan aneka genre penerbitan yang tersedia untuk jualan. 

Biarpun jumlah pengunjung yang ramai tetapi hampir semua dilihat masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka.

Ramai gemar dan teruja menghadiri pesta buku apabila banyak diskaun berbanding jika membelinya di kedai buku.

PBAKL terus diperbaiki dengan baik untuk menggalakkan seksyen mandiri bagi penulis, ilustrator, penerbit buku dan zine. Ini tindakan tepat untuk menambahkan penerbit kecil yang tidak mungkin dapat bersaing dengan gergasi.

Saya sebagai penulis, selain ahli korporat yang menjadi OKU selepas strok tiga tahun lalu, menghasilkan 12 buku baru dan cuba memasarkan di PBAKL pada tahun ini. Saya menyewa reruai. Saya merasakan kehadiran peminat yang sudi bertandang.

Namun ada ketidakpuasan hati rakan-rakan OKU yang berkata seakan PBAKL tiada tempat untuk OKU. 

Saya tidak pasti dan bertanya kepada Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron yang menjelaskan ada bantuan untuk OKU dengan lif untuk bergerak dan bantuan penyambut tetamu.

Mohd Khair menyuruh mereka bertanya. Tetapi datang dan bertanya bukanlah kerja OKU. Begitu juga menelefon atau bermedia sosial untuk bertanya.

Publisiti PBAKL seharusnya yang memberitahu OKU bahawa kemudahan disediakan kerana ramai yang tidak tahu tanpa iklan. Jumlah OKU melebihi 15 peratus penduduk Malaysia dan ramai yang berminat untuk datang ke PBAKL.

Di galeri tiada apa-apa notis atau iklan untuk OKU. Ini termasuk parkir. Saya tidak pasti sama ada ada parkir khas untuk OKU.

Menanti kawan-kawan

Saya menanti kawan-kawan OKU namun tiada yang datang kerana menyangka tiada kemudahan.

Saya bertemu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai senior sekolah dengan meminta bantuan untuk penulis OKU seperti saya. Saya berharap tahun depan akan ada sesuatu untuk OKU.

Penulis OKU seperti  saya perlukan publisti. Tiada dalam terma PBAKL berkaitan diskaun OKU dan kemudahan asas. Alhamdulilah terima kasih PBAKL kerana memberi diskaun yang tidak seberapa.

Berikanlah peluang sama rata dengan penulis dan pengarang hebat OKU yang dipandang sepi. 

Buat masa ini saya boleh mengharap PBAKL tanpa apa-apa objektif kerana saya hanyalah OKU. 


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.