KOLUM | PAS dulu-dulu
KOLUM | Pola kepimpinan PAS Hilir Perak di peringkat awal lebih didominasi oleh golongan agamawan seperti para ustaz yang mengajar agama di kampung-kampung.
Antara tokoh calon dan pemimpin PAS Hilir Perak/Pasir Salak ialah Ustaz Rais Kadri, Ustaz Osman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Tuan Guru Abu Bakar Anjang Wahid, Tuan Guru Haji Ahmad, Ustaz Abdul Aziz Osman, Ustaz Kadir Kahar, Haji Mokhtar Ngah, Ustaz Kamaruddin Omar dan Ustaz Ibrahim Arifin.
Mereka adalah ulama-ulama yang mengajar di pelbagai masjid sekitar kawasan Pasir Salak.
Terdapat perkaitan rapat di antara madrasah atau pondok yang ada di sekitar Hilir Perak dengan PAS. Madrasah al-Ulum as-Syariah di Bagan Datuk dan Ehya as-Syarif Gunung Semanggol yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan idea serta gerakan politik Islam terutamanya di Perak pada peringkat awal.
Lulusan madrasah tersebut kebanyakannya menyambung pelajaran ke Bukit Mertajam dan Kepala Batas, malah ada yang hingga ke Kedah dan Kelantan.
Wujud juga pertalian pimpinan Hilir Perak dengan pengaruh pondok Yasiniah di Sungai Batang, pondok Salihiah di Temoh, Madrasah Yahyawiah di Padang Rengas dan beberapa madrasah lain di Perak.
Begitu juga pengaruh pendidikan di universiti Indonesia seperti Universiti Islam Medan dan Universiti Gadhjamada di Jogjakarta. Terdapat lulusan universiti berkenaan menjadi pemimpin PAS di peringkat awal penubuhan PAS Hilir Perak.
Berkembang ke akar umbi
Pada waktu sebelum merdeka hingga 1970-an, universiti-universiti di Indonesia menjadi salah satu sumber melahirkan pemimpin dan agamawan di Tanah Melayu.
Hubungan Tanah Melayu (Malaya) dengan Indonesia tidak sekadar dalam aspek persamaan rumpun budaya tetapi juga persoalan agama dan politik.
Namun dorongan awal ibu bapa menghantar anak mereka ke tanah seberang itu adalah bagi mendapatkan ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama.
Idea politik seberang seperti polemik kaum tua-muda dan kemerdekaan, isu politik Islam turut mempengaruhi politik tanah air. Idea politik kiri dan kaum muda pada 1940-an hingga 1950-an banyak didominasi oleh mereka yang berada dalam lingkaran pengaruh madrasah-madrasah seperti itu.
Meskipun beberapa madrasah tersebut agak terbuka atau dikuasai oleh kaum tua, secara tidak langsung pola itu berkembang hingga ke akar umbi.
Kegagalan pendekatan kaum muda sejak tahun-tahun 1940-an hatta hingga kini bertitik tolak dengan pendekatan progresif yang gagal mengimbangi pendekatan konservatif/tradisionalis yang dibawa Umno.
Pendekatan tersebut lebih sesuai dengan sosiobudaya orang kampung yang pentingkan kestabilan dan status quo.
Akar umbi PAS yang berpegang dengan pendekatan kaum muda terpaksa melarutkan pendekatan mereka di khalayak umum. Pun begitu tidak semudah itu untuk diterima oleh masyarakat kampung yang menghidu pendekatan itu sebagai tidak sesuai dengan iklim politik tempatan.
Seterusnya pada 1980-an, PAS Hilir Perak (Salak telah) juga mengalami perubahan pendekatan dan fikrah yang lebih bersifat siasah hakimiah iaitu politik perundangan.
Idea politik perundangan itu dikembangkan tidak lagi melalui madrasah-madrasah tetapi sistem tarbiyah yang dibangunkan oleh PAS dalam organisasinya. Itu juga satu lagi pendekatan menongkah arus dalam masyarakat kampung.
Penyertaan ramai pemimpin masyarakat yang berkelulusan universiti tempatan dan Timur Tengah ke dalam PAS banyak membantu perubahan pendekatan politik di pelbagai peringkat.
Hal itu kerana merekalah antara penggerak utama idea-idea politik di kampung. Biarpun mereka tidak begitu menonjol dari segi kepimpinan, namun kehadiran dalam parti sangat penting untuk membina kerangka pemahaman Islam politik yang dibawa oleh PAS.
Idea seperti negara Islam, hudud, isu batas iman dan kufur serta seumpamanya ditanam di markas PAS melalui program seperti usrah, liqa, tamrin dan ceramah. Ia juga dijadikan sebagai agenda mesyuarat.
Keadaan bertambah keras
Ia sangat berpengaruh pada tempoh tersebut kerana program-program tarbiyah atau indoktrinisasi parti mewujudkan kumpulan yang sangat dominan untuk membentuk fikrah ahli.
Kumpulan tersebut - yang dikenali sebagai kepimpinan ulama - membina perspektif bahawa golongan agamawan perlu menerajui kepimpinan organisasi, dan seterusnya negara.
Pada awal 1980-an, golongan agamawan PAS membawa pendekatan radikal dalam memperjuangkan agenda politik. Pendekatan itu dapat dikesan bermula dengan program dalaman seperti liqa, usrah-usrah yang dibimbing oleh mereka yang mempunyai pemikiran keras.
Misalnya dalam kalangan tokoh yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau dihukum buang daerah.
Di Pantai Timur pula pendekatannya berbeza menyebabkan wujudnya pertentangan di antara kelompok pemikiran yang berbeza dalam masyarakat. Keadaan itu bertambah keras apabila kerajaan Umno-BN terus memberi tekanan kuat ke atas PAS.
Sementara itu kewujudan ulama-ulama kampung yang tidak terlibat dalam politik kepartian tetapi menyokong PAS telah mendapat tempat dalam dalam parti walaupun tidak memiliki kualiti sebagai pemimpin.
Kelompok ulama terbabit akan menjadi mangsa kepada permainan politik ahli politik dalaman PAS sendiri, atau peranan mereka sekadar statik dan dijadikan simbol kepimpinan ulama saja.
Umumnya ulama dalam PAS Hilir Perak dikenali sebagai tokoh agama yang hidup sederhana. Mereka tidak begitu dilihat sebagai ahli politik walaupun sesetengahnya tetap aktif.
Sesetengahnya pula tidak begitu aktif tetapi mempunyai pendirian yang sama dengan pandangan PAS terutama dalam dasar-dasar yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Pemilihan mereka sebagai calon dan pemimpin parti lebih dipengaruhi oleh faktor dikenali dan dihormati oleh masyarakat setempat, bukannya kerana kualiti yang dimiliki.
Kehidupan mereka yang sederhana dan berperanan memenuhi keperluan agama masyarakat setempat juga menjadikan kelompoj terbabit ke hadapan.
Ia termasuk mengetuai majlis tahlil, marhaban, kenduri kahwin dan terlibat dalam menyelesaikan masalah masyarakat setempat.
Kebanyakan pemimpin PAS juga mempunyai penampilan sederhana seperti sering berkain pelikat, berserban, berkopiah, berjubah atau berbaju Melayu. Penampilan tipikal itu adalah pengaruh persekitaran yang dilalui mereka di pondok atau madrasah.
Sesetengahnya malah tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak dan sekadar menumpang kenderaan orang lain.
Selepas 1990, PAS Pasir Salak mula mengorak langkah memilih calon pilihan raya dalam kalangan bukan agamawan. Pemilihan Kapten (B) Rosli Shamsudin dan Haji Ali Daud iaitu seorang bekas tentera yang menjadi kontraktor binaan menggambarkan PAS Pasir Salak mulai keluar dari lingkaran kebiasaan.
Ia ada kaitan rapat dengan keperluan PAS meluaskan pengaruh dan keluar dari kepompong sedia ada demi meraih kuasa politik.
(Catatan ini adalah petikan daripada sebahagian tulisan mengenai antropologi politik kampung yang menjadikan PAS Hilir Perak - kemudiannya dikenali PAS Pasir Salak - sebagai bahan kajian. Foto yang mengiringi menunjukkan perarakan calon Barisan Alternatif Pasir Salak semasa PRU 1999.)
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan aktivis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai