Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Politikus bertaraf tukun

"Pilihan raya akan datang ni," kata sepupu kami, Zairi, "Umno akan menang besar. Lima tahun akan datang, Umno akan buat baik. Perintah negara betul-betul."

Kami terjah Zairi sebaik saja beliau keluar dari kereta ketika berhari raya ke rumah Mok baru-baru ini.

Sebagai ahli keluarga yang paling senior, rumah Mok akan sentiasa dipenuhi pengujung apabila tiba saja hari raya. Sebaik selesai sembahyang sunat pagi raya, tetamu mula datang.

Biasanya - seperti dirancang - mereka datang satu kumpulan selepas satu kumpulan. Setiap kumpulan terdiri tidak kurang daripada 10 atau 15 ahli keluarga.

Penuh rumah Mok hingga ke petang. Jarang tetamu datang pada malam hari. Jika ada pun, mereka adalah daripada kalangan keluarga yang agak jauh.

Indah dan Rose - adik perempuan kami - memang tidak menang tangan melayan tetamu, sedang kami sendiri lebih suka untuk tidur berbanding menghabiskan masa berbual-bual dengan saudara-mara yang datang.

Walaupun begitu, kami akan meluangkan sedikit masa pada sebelah pagi untuk bersama keluarga yang datang. Setelah Zohor, kami tidur.

"Sabor dulu," kata Zairi sebaik menutup pintu keretanya. Kami serang beliau dengan pelbagai pertanyaan politik sebaik saja melihat kelibatnya sampai. Hal itu kerana kami tahu beliau sepupu kami yang paling giat melibatkan diri dalam politik.

Jika dilihat dari luaran, Zairi tidak kelihatan sebagai penyokong partai PAS. Dengan seluar yengki dan tanpa seurat bulu pun pada dagunya, Zairi lebih kelihatan sebagai lelaki liberal.

Namun sejak lama beliau adalah pendukung tegar lagi taat kepada partai tersebut.

Tidak pernah Zair gagal untuk menghadiri ceramah partai berkenaan, dan seperti semua ahli PAS yang lain, apabila ada kesempatan, beliau akan bersembahyang Jumaat di Rusila, 'Kaabah' kedua umat PAS suatu ketika dulu.

"Aku keluor doh. Semua cakap buat sedak. Bila dapat duit, dia sibuk nok pakai kereta lawo," kata Zairi menjawab pertanyaan sama ada beliau masih lagi menyokong partai tersebut atau tidak.

Parti politik yang kelakar

Seperti biasa Mok akan menghidangkan nasi minyak dengan ayam masak merah disertakan dengan sedikit ketupat palas yang dibeli.

Mutakhir ini entah dirasuk hantu entah mana, Indah gemar menyediakan daging dendeng, dan Rose pula entah disambar ilmu dari mana hingga gemar menyediakan lodeh pada pagi raya.

Kedua-dua masakan itu adalah asing bagi kami. Kami tidak mempedulikan dendeng kerana pedasnya, sementara lodeh pula kelihatan seperti masak lemak Negeri Sembilan yang langsung tidak mengiurkan.

Nasi minyak akan disediakan panas-panas untuk setiap tamu. Kerana itu Mok akan memasak seperiuk demi seperiuk mengikut kedatangan tetamu. Tetamu akan dipaksa duduk lama menunggu nasi minyak siap dimasak.

Masa terluang itulah digunakan untuk semua orang saling merapatkan ikatan kekeluargaan. Atau dalam bahasa yang lebih ikhlas: saling umpat mengumpat.

Cuma apa yang boleh kami banggakan ialah, keluarga besar kami - daripada keturunan Tok Rani dan Tok Munah - jarang mahu masuk ke ruang kain sesama kami melainkan untuk saling membantu untuk menjernihkan keadaan.

Siapa kawin (lagi) atau siapa bercerai-berai, kami biarkan mereka uruskan hal itu sendiri.

PAS akan balik jadi partai politik yang kelakar. Cuma bezanya, jika dulu mereka ada Mat Sabu sebagai juara lawak, kini seluruh partai berkenaan terdiri daripada perkumpulan pak lawak.

Apa saja yang mereka kerjakan demi survival politik adalah bahan lawak. Dan kami memang sampai hati mengatakan bahawa ramai antara politikus partai berkenaan adalah punca popularnya ungkapan "penunggang agama".

Bagus sebenarnya jika ada antara mereka yang menimbang-nimbang untuk mengambil bahagian dalam mana-mana acara pertanding melawak yang tidak berfaedah yang digilai ramai di TV dewasa ini.

DAP pula akan kembali menjadi partai jahat seperti mana yang disukai oleh orang ramai. Kaum Cina akan kembali menyokong MCA.

Partai DAP juga dilihat hanya mahir dalam hal memilih perempuan Melayu yang jelita sebagai wakilnya. Setelah itu partai berkenaan dilihat gagal keluar dari dendam sebagaimana yang mereka buktikan semasa memerintah negara tidak lama dahulu.

Tak relevan, membosankan

Berbeza dengan orang utara, kami akan menggoreng ketupat palas sebelum dihidangkan. Kesukaan kami ialah bucu ketupat palas yang garing. Cuma pada hari raya kali ini, Indah dan Rose pula mengoreng ketupat palas dek ramainya tetamu yang datang.

Lalu kami pun hanya melihat tanpa ada nafsu untuk menjamah walau sebiji daripada ketupat berkenaan.

Satu kemalangan yang dikesalkan semenjak beberapa lama ialah apabila syarikat Brahim memperkenalkan ketupat plastik. Kini jarang kita dapat melihat ketupat daun kelapa digantung di dapur. Yang ada hanya nasi himpit yang menyamar sebagai ketupat.

Ada orang mengatakan bahawa jika bukan kerana mahu mengekalkan status quo tentu saja Anwar Ibrahim sudah lama balik kepada Umno demi memenuhi impiannya menjadi perdana menteri.

Dan mungkin telahan itu adalah benar. Namun seperti juga ramai politikus kita hari ini, semua tukun politik kita ini selayaknya bersara.

Ramai antara mereka sudah tidak relevan dan membosankan. Ada baiknya bersiap sedia saja menghadap kematian kerana sebilangan besar daripada mereka terlalu tua untuk membebankan kita dengan kegelojohan politik masing-masing.

Hanya ada satu kebimbangan jika benar nanti Umno dan konco-konconya kembali memerintah. Sombong dan angkuh ahlinya akan ada di mana-mana dan itu adalah antara kelakuan yang mendatangkan kebencian banyak orang.

Lagak ahli Umno itu akan menunjukkan seolah-olah negara ini berhutang dengan mereka, manakala orang banyak adalah bangsat yang selamanya wajib memberikan penghormatan penuh.

Kemudian daripada itu, nanti kita akan lihat lahirnya manusia-manusia seperti orang politik yang popular dengan kegigihannya mencari publisiti tanpa sedikit pun rasa malu suatu ketika dulu.

Tentu saja akan kembali kumpulan pertengahan umur yang berbaju Polo berkolar berdiri mendabik dada di mana-mana.

Biasanya pada pagi hari raya kedua Mok akan menggesa Indah dan Rose agar segera bersiap untuk pergi berziarah ke rumah saudara-mara kami. Namun biasanya juga Mok akan gagal keluar dari rumah kerana seperti hari raya pertama, hari kedua dan ketiga, rumah Mok masih dikerumuni oleh anak cucu beliau yang tidak hadir pada hari-hari sebelumnya.

"Dengan anak cucu" itu kami maksudkan ialah anak saudara Mok dan cucu cicit mereka, kerana setakat hari ini, daripada kami tiga beradik, Mok hanya ada tiga orang cicit.

Selamat hari raya kami ucapkan kepada semua. Kami memohon ampun dan maaf atas semua kasalahan yang kami lakukan dan kami mendoakan segala yang baik untuk semua.

Dan mohon dibacakan al-Fatihah untuk Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan serta empat sahabat beliau yang meninggal dunia dalam kemalangan di Terowong Menora beberapa hari lepas.

Naim adalah anak saudara sepupu kami.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang suka mencatat kelaku orang politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.