Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Anjing-anjing menyerbu hakim

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, mempunyai nilai dan tempat yang sangat istimewa di hati saya. Beliau bersama-sama hakim Ahmadi Asnawi dan Zaleha Yusof adalah mereka yang bertanggungjawab mengangkat pelarangan atau pengharaman 4 buah buku saya dalam satu keputusan di Mahkamah Rayuan pada tahun 2018 (beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14). 

Hari tersebut, 10 Januari 2018, menurut saya sangat bersejarah. Bukan buat diri saya secara peribadi. Akan tetapi ia hari yang sangat penting untuk masyarakat seni-aktivis hak asasi manusia. Malah kami, saya dan peguam Abdullah Abdul Rahman masih meraya dan meraikannya setiap tahun. 

Pada 10 Januari itu, Mahkamah Rayuan mengakaskan keputusan (reversed the decision) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menarik balik pengharaman empat novel Faisal Tehrani. Salah seorang yang membuat keputusan itu adalah Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang tatkala itu masih belum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Ketika cabaran saya mula-mula dibawa ke Mahkamah Tinggi, pada 8 Ogos 2016, Mahkamah Tinggi telah menolak cabaran terhadap pengharaman itu. Hakim ketika itu kelihatannya tidak menyentuh kandungan buku saya dalam penghakiman beliau. Menurut saya, seorang hakim mestilah menilai dengan adil, benar, telus dan teliti. Bukan itu sahaja, ia atau mereka mesti juga dirasai oleh mereka yang terlibat dalam perbicaraan sebagai adil, benar, telus dan teliti. 

Dalam kes saya, para hakim bertiga di Mahkamah Rayuan itu - Tengku Maimun Tuan Mat, Ahmadi Asnawi dan Zaleha Yusof, saya kesani telah membaca keempat-empat buah buku saya itu dengan teliti. Bahkan dalam laporan penghakiman juga saya memang merasakan bahawa mereka meneliti kulit ke kulit sesungguh-sungguhnya buku-buku sastera saya yang didakwa oleh pentadbiran kerajaan BN ketika itu sebagai ‘menggugat kestabilan awam’, dengan persepsi buku-buku saya itu, dan diri saya sendiri menyebarkan ajaran tertentu. Saya tahu mereka membaca, kerana sebagai pensyarah di universiti saya dapat menebak pelajar yang membaca dan yang tidak membaca tugasan diberikan.

Adalah dinyatakan dalam laporan penghakiman yang panel tiga hakim diketuai oleh Tengku Maimun Tuan Mat ini telah membaca buku-buku saya itu dan tidak menjumpai bahagian yang berbahaya kepada awam atau menjejaskan keselamatan – yang menjadi sebab pengharamannya.

Buku-buku saya yang diakas itu adalah Sebongkah Batu di Kuala Berang terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd, Karbala terbitan Abeerden Books World, Tiga Kali Seminggu terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd dan Ingin Jadi Nasrallah terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. Pengharaman itu diwartakan oleh KDN dalam tahun 2013. Ada tiga lagi buku saya ikut diharamkan dalam tahun-tahun berbeza yang, tidak saya cabar di Mahkamah, semata-mata kerana faktor kewangan yang terhad. Justeru, novel saya misalnya Perempuan Nan Bercinta misalnya kekal diharamkan lantaran saya tiada ongkos dan had tarikh mencabar telah luput.  Cukuplah 4 buah buku yang diakas dan laporan penghakiman itu untuk menentukan nilai karya-karya awal saya itu.

Apabila saya mengatakan 10 Januari 2018 itu tarikh penting untuk seniman dan merayakannya, ia adalah kerana Mahkamah Rayuan juga pada tarikh tersebut mendapati Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tatkala itu diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi, telah mencabul kebebasan bersuara saya selaku seorang pengarang.

Penghakiman sebelum PRU14

Hakim Zaleha, yang menulis penghakiman kes saman saya tersebut telah mempersoalkan bahagian mana yang tidak disenangi oleh KDN dalam novel-novel itu. Barang diingat, penghakiman ini dilakukan pada 10 Januari 2018, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Hakim Zaleha dengan teliti, “Dengan hanya berkata responden mengikuti keputusan Jawatankuasa Fatwa, pada pandangan kami, tidak cukup untuk membuktikan sama ada buku-buku itu memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan kerana fatwa tidak merujuk kepada buku-buku itu. Sebagai kesimpulan, kami hendak sekali lagi menegaskan bahawa kami mengambil kira apa yang sah secara undang-undang berdasarkan norma dan prinsip undang-undang. Berdasarkan keadaan dan fakta-fakta kes, kami justeru, mendapati arahan itu tidak dibuat berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan justeru itu tidak sah. Kami juga mendapati arahan itu sebagai sekatan hak perlembagaan dan hak asasi kebebasan bersuara terhadap perayu.”

Hakim Zaleha menghuraikan betapa kebebasan bersuara itu tidak mutlak, tetapi mereka para hakim bersetuju dengan peguam saya, Tuan Abdullah Abdul Rahman bahawa mahkamah harus memberi keutamaan kepada saya.

Minggu lalu, pada 27 April 2022 saya membaca satu ucapan daripada Tengku Maimun Tuan Mat bersempena majlis angkat sumpah perlantikan 17 Hakim Mahkamah Tinggi. Dalam ucapan itu beliau menyatakan yang, tatkala ini “mahkamah berhadapan dengan kes-kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam.” 

Beliau seterusnya menyatakan, “adalah menjadi lumrah bagi kita para hakim untuk menerima kritikan dan tohmahan daripada pihak yang terkilan dengan keputusan-keputusan mahkamah apalagi bagi kes-kes berkepentingan awam”. 

Akan tetapi Ketua Hakim Negara menyatakan dengan tegas bahawa “tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman”, sejak akhir-akhir ini adalah “agak keterlaluan”.

Oleh kerana para hakim bukan nabi, itulah sebabnya pada setiap kes yang diputuskan; mereka akan mengarang laporan penghakiman yang kadang berkajang-kajang dan tebal beratus halaman.  Jika penghakiman itu didapati kurang tepat, maka ia boleh dipanjangkan ke mahkamah yang lebih tinggi untuk diputuskan dengan lebih saksama. Dalam kes buku-buku saya, ia dipanjangkan dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan. 

Meskipun badan kehakiman boleh dikritik, ini tidaklah bermakna para politikus atau pemimpin yang kalian kasihi dan sayangi itu boleh terlepas melakukan apa sahaja, khusus untuk memenuhi agenda politiknya sendiri, kata Tun Tengku Maimun; “However, that does not mean that it is open to citizens including politicians to level unfounded and scurrilous attacks against the Judiciary or a particular judge to further their own end.”

Serbuan-serbuan ganas terhadap badan kehakiman ini mengejutkan sekali.

Sebagai seorang yang mengetuai kehakiman - satu imbangan penting dan lebih besar menurut perlembagaan – atas sistem demokrasi, Tengku Maimun jelas sejelas-jelasnya yang  badan kehakiman adalah benteng terakhir sistem demokrasi ini; “judiciary is the last line of defence in a constitutional democracy and there must never be a suspicion that the Judiciary is captured.”

Komponen terakhir demokrasi 

Atas sebab itu jugalah sebarang kritikan terhadap badan kehakiman mestilah dilakukan dengan tertib dan membina, agar tidak menghakis kepercayaan rakyat terhadapnya. Ia benteng dan kubu demokrasi. Sesiapa yang cuba menabur rasa ragu terhadap badan kehakiman sebetulnya sedang melakukan secara sedar menyerang sistem dan komponen terakhir demokrasi ini; “no one should sow the seeds of doubts among the public concerning the integrity of the Judiciary or judges.

Sememangnya para hakim tidak dapat mengawal serangan terhadap badan kehakiman ini di era media sosial begitu mercup. Oleh sebab itulah beliau, Tengku Maimun menyeru kepada para hakim agar membentengi diri sendiri dengan menghindar dan menepis sebarang usaha campur tangan dalam kes yang sedang mereka tangani; “there can be no interference in the Judiciary if we judges do not allow that to happen.”

Tatkala itulah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun memberikan mutiara kata yang menurut saya sangat penting direnungkan. Ia adalah mutiara kata kerana ia merupakan gagasan keadilan, kerangka pertahanan sistem demokrasi, dan merupakan kemuncak keluhuran undang-undang. Apa kata beliau? Saya terjemahkan secara bebas begini;

“Campur tangan luar tidak akan dapat terjadi, selagi mana sesuatu keputusan atau penghakiman diputuskan tanpa niat buruk dan motif, tanpa tekanan luar dan dalam,  dan tanpa mengira personaliti. Sebarang pandangan awam yang masyhur tidak penting (atau boleh mempengaruhi). Ini kerana kes diputuskan berasaskan bukti di Mahkamah ketika perbicaraan, menerusi prinsip undang-undang. Apa sahaja cabaran dan tohmahan yang para hakim hadapi, kalian para hakim mestilah mempertahankannya dan hanya kerana itulah seseorang itu bernilai selaku seorang hakim.” 

Saya merenung lama ucapan Tun Tengku Maimun, seraya meneliti kembali pengalaman saya berdepan dengan perbicaraan yang panjang berkenaan buku-buku saya itu. Saya baru selesai membaca entah buat kali ke berapa ratus cerpen pengarang terkenal Indonesia, almarhum Kuntowijoyo dengan judul ‘Anjing-Anjing Menyerbu Kuburan’. Saya harus nyatakan saya gerun.

Tatkala ini terdapat usaha atau satu corak seragam untuk menyerang hakim tertentu, dan salah seorang yang kita dapati sedang diserbu ialah Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Konon, atas dakwaan terdapat transaksi mencurigakan melibatkan akaun bank beliau. Hakim Mohd Nazlan, dalam kes SRC, adalah orang yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri  yang sedang menyerbu kembali dalam lapangan politik. Najib bahkan berada di beberapa istana sebagai tetamu istimewa baru-baru ini.

Seperti mana kes saman saya yang mendapat keadilan di Mahkamah Rayuan setelah kalah di Mahkamah Tinggi, penghakiman Hakim Mohd Nazlan boleh saja dicabar oleh sang pesalah. Akan tetapi sayugia disebut - dengan teriak dan seruan yang kuat - bahawa apabila ia dibawa ke Mahkamah Rayuan, tiga orang lagi panel hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera telah mengekalkan keputusan Hakim Mohd Nazlan tersebut. Sang pesalah dikekalkan bersalah.

Astaghfirullah…

Ketika membaca ucapan Tun Tengku Maimun yang saya sentuh panjang lebar di atas, saya baru usai membaca cerpen ‘Anjing-Anjing Menyerbu Kuburan’, kisahnya seorang pengamal sihir yang menggali mayat baru dikebumikan untuk menggigit telinga si mati.  Sedang dia melakukan perbuatan korup tersebut, anjing-anjing liar datang menyerbu untuk membaham mayat itu. Watak dalam cerpen itu berebutkan jenazah tersebut dengan anjing.  Oleh gonggong dan hilai anjing yang nyaring, orang kampung terjaga dan berlarian ke pusara. Sekelompok yang benar dan waras segera tahu ada pencuri di kubur, kerana coraknya dan lojiknya begitulah. Akan tetapi yang lebih celaka dan aneh ialah ada sekumpulan orang kampung lain yang bodoh dan bebal, apakala melihat si pengamal sihir sedang mengusir anjing dari mayat, menyangkakan ia itu penyelamat. Si pencuri telinga mayat yang korup kok dipanggil Imam?

Mereka, orang kampung bodoh beramai-ramai memanggil pencuri itu penyelamat. Astaghfirullah. Kita memanggil pencuri itu penyelamat!


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.