KOLUM | Menunggu 'revolusi' di masjid
KOLUM | Suatu masa dulu, Adeng - sepupu kami yang 'tak guna satu sen' itu - pernah bercadang mahu memulakan perniagaan berkaitan pengurusan jenazah orang Islam.
Ideanya ialah, apabila berlaku sesuatu kematian, syarikat Adeng akan menguruskan semua hal dari awal sehingga sudah dengan bayaran tertentu.
Beliau mendapat ilham untuk memulakan perniagaan itu apabila mendapati perbelanjaan menguruskan mayat orang Cina di tempat kita adalah lumayan.
Kepada Adeng, semuanya adalah berkenaan duit. Tidak timbul masalah kefarduan kepada orang hidup untuk menguruskan mereka yang telah meninggal dunia.
Idea tersebut digelakkan oleh kami dan beberapa ahli keluarga yang hadir pada waktu itu. Adeng dituduh 'tidak beragama' di situ juga.
Memang agak berdosa kami menuduh beliau begitu kerana Adeng jarang ponteng sembahyang (Jumaat).
Namun sesuatu yang harus dipersetujui ialah bahawa Adeng itu mempunyai pandangan yang agak jauh. Walaupun wang adalah matlamat asal Adeng, sekurang-kurangnya beliau masih mahu menjadikan pengurusan jenazah dijalankan dalam suasana yang lebih profesional.
Sediakan makanan untuk waris
Di sebalik pandangan jauh Adeng itu, kami dapat merasakan bahawa jika beliau meneruskan juga peniagaan tersebut, besar kemungkinan akan ada mayat yang tidak dikebumikan pada masa yang ditetapkan.
Beliau juga gemar bercakap dan hanya berhenti apabila beliau tidur.
Kami mengenali Adeng dan beliau telah berjuta kali gagal untuk menguruskan masa. Pertama kerana beliau lebih gemar tidur berbanding berkerja. Jika terpaksa berkerja, beliau mahukan bayaran yang tinggi.
Jika tidak, relalah beliau tidur daripada melakukan apa-apa kerja.
Masjid kami pula telah melakukan apa yang kami anggap revolusi dalam hal menguruskan jenazah.
Siapa saja yang meninggal dunia di kawasan kami, pihak masjid akan mengambil tanggungjawab menguruskan jenazah hingga ke liang lahad tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Bahkan keluarga yang sedang berduka itu akan disediakan sedikit makanan.
Setelah itu masjid juga akan mengadakan tahlil bagi jenazah berkenaan tanpa mengambil kira sama ada jenazah itu adalah Wahabi atau tidak; atau sama ada mayat itu dulunya sujud dengan menurunkan lutut dahulu atau tangan yang dahulu.
Semua perbelanjaan akan ditanggung oleh masjid. Dana itu datang daripada sumbangan orang ramai. Orang ramai tidak lagi perlu mambayar yuran tahunan khairat kematian.
Itu adalah sesuatu yang sangat baik dan seharusnya diikuti oleh semua masjid di negara kita.
Semasa Ramadan ini pula, sejak dua tiga malam yang lalu, mana-mana kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ke bawah - jika mereka hadir dan menghabiskan sembahyang Terawih serta Witir - akan diberikan saguhati RM5 seorang.
Kerana itu kanak-kanak yang hadir lebih berdisplin dan tenang menunggu sehingga habis sembahyang.
Cuma pada suatu malam baru-baru ini, entah mengapa kanak-kanak yang teruja menunggu sedikit hampa kerana tidak sebarang pengumuman sumbangan saguhati untuk mereka.
Perbuatan-perbuatan yang baik oleh pentadbir masjid seharus diberi pujian. Mereka bertungkus-lumus memakmurkan masjid. Daripada memastikan masjid sentiasa bersih sehinggalah kepada pengisian majlis-majlis ilmu untuk penambahan jemaah.
Seni bina tak berkembang
Bukanlah satu kerja mudah untuk memastikan semua ahli jemaah berpuas hati. Mereka - yakni AJK masjid - pula melakukan kerja-kerja berkenaan tanpa sebarang bayaran.
Kalau ada pun mungkin sekadar sepasang jubah daripada jabatan agama negeri pada setiap kali datang hari raya.
Kita sebagai orang luar akan sentiasa mencari salah mereka yang menguruskan masjid. Kita suluh sehingga ke lubang paling gelap, dan setelah terjumpa kesilapan mereka dalam saiz anak kuman kenit sekali pun, kita akan hebahkan kepada umum.
Entah apa untungnya yang akan kita dapat daripada itu kita pun tak tahu. Lapar like gamaknya.
Di sebalik semua itu, masjid kami kini sedang mengumpul dana bagi membina sebuah menara. Masjid kami dibina sebegitu rupa sehingga ianya tidak memerlukan sebarang menara bagi menggambarkan bahawa ianya adalah tempat ibadat orang Islam.
Reka bentuknya juga agak menarik dan yang lebih menyamankan ialah apabila masjid kami tidak bertangga. Tempat mengambil air sembahyang juga rapat dengan pintu masjid.
Tempat letak kereta berhampiran dengan semua pintu masuk di samping beberapa petugas yang diamanahkan untuk menjaga kelancaran lalu-lintas.
Namun kerana sudah tertanam di benak kebanyakan kita bahawa masjid itu mesti ada kubah dan menara, maka kita berasa berdosa apabila ada masjid tanpa terbina tanpa kubah dan menara.
Inilah agaknya mengapa seni binaan kita tidak berkembang sebagaimana selayaknya.
Kita terlupa akan fungsi sebenar kubah dan menara itu. Apabila fungsi mereka sudah diambi alih oleh peralatan yang lebih bagus, sepatutnya kita abaikan saja pembinaan yang merugikan sebegitu.
Tetapi kita jadikan kubah dan menara sebagai sebahagian dari syarat untuk beragama Islam. Lalu bertegang uratlah kita mempertahan sesuatu yang sedikit faedahnya itu.
Wang besar yang diperlukan untuk membina kubah dan menara itu sepatutnya boleh digunakan di tempat lain.
Belanja pengurusan sesebuah masjid atau madrasah adalah besar. Sekurang-kurang RM30,000 ke RM40,000 diperlukan bagi membayar bil utiliti, gaji, sagu hati penceramah, aspek kebersihan dan juga hal-hal yang lain.
Jadilah teladan kepada umum
Dengan wang sumbangan orang ramai berjumlah RM500,000 misalnya, masjid akan dapat kelapangan yang besar apabila datang hal untuk menguruskan apa-apa yang berkaitan.
Mereka yang bertanggungjawab haruslah berhenti berfikir ke arah mencantikkan jasmani bangunan, sebaliknya mula mencari jalan untuk memperindah rohani para jemaah, termasuk yang belum hadir.
Di sekeliling kita masih ramai orang yang bergelut mencari wang untuk meneruskan hidup. Terdapat juga pelajar yang menahan lapar apabila mahu menuntut ilmu.
Kami selalu mencadangkan agar setiap masjid menaja sekurang-kurang seorang pelajar di kawasan mereka.
Masjid-masjid mempunyai kuasa mengumpul wang yang banyak maka jadikan ianya sebagai suatu tempat untuk sesiapa saja boleh datang mengadu akan keperihan rohani dan juga jasmani.
Jangan biar orang mengata kita. Kumpul wang dan gunakan pada jalan yang baik. Jika perlu bina-membina, maka bina satu dua rumah untuk orang yang belum mampu berbuat demikian.
Baru-baru ini kami sempat bersembahyan di sebuah surau yang agak daif. Bangunannya hanyalah sebuah kabin yang diperbuat daripada zink dan karpetnya pula mungkin bekas yang digunakan oleh masjid-masjid lain.
Kami menganggarkan perbelanjaan untuk membina sebuah surau yang lebih sempurna di kawasan itu sekitar RM100,000 atau RM150,000. Alangkah eloknya jika masjid-masjid yang mempunyai lebihan wang berusaha membina kembali surau berkenaan.
Jika kamu AJK masjid yang mempunyai wang untuk tujuan demikian atau jika kamu sendiri mahu membantu membina semula surau berkenaan, hubungi kami.
Kita hebahkan kepada orang ramai bahawa tidak akan miskin sesiapa yang bersedekah, dan kitalah yang sepatutnya pertama-tama membelanjakan wang sumbangan orang ramai kepada orang ramai.
Jika orang ramai yang bersedekah tidak ditakutkan dengan kemiskinan maka masjid yang menpunyai banyak wang pula tentu lebih dulu patut berani untuk membelanjakan wang yang ada pada jalan kebaikan.
Seperti selalu gambar yang mengiringi tulisan kami ini adalah gambar hiasan.
ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan pengembaran.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai