KOLUM | Padan betul muka kita
Sedi sepatutnya masuk sekolah berasrama penuh semasa di tingkatan satu, tapi kerana Pak Cik Yaakob tidak membuat kad pengenalan kepada beliau, Sedi akhirnya hanya bersekolah kebangsaan sehingga tingkatan tiga.
Kami tidak pasti mengapa Sedi berhenti belajar selepas sampai ke tahap itu.
Yang mujurnya, Sedi ini - seperti juga Pak Cik Yaakob - pandai bertukang rumah. Malah lebih daripada itu Sedi juga mewarisi kepandaian bapanya itu dalam bidang membaiki peralatan elektronik dan juga memelihara burung.
Sedi memiliki semua kepandaian tradisional orang Kelantan - kecuali dalam bab bergocoh. Beliau tidak gedebe, namun jika beliau menawarkan untuk berlawan dam aji, kamu jangan sesekali membenarkan diri kamu sudi berbuat demikian.
Malu besar padahnya. Beliau adalah hero dam aji di merata stesen teksi di tempat kami.
Memang antara kami semua, Sedilah yang paling ke hadapan dalam pelajaran. Dari darjah satu beliau terus melompat ke darjah tiga. Dalam peperiksaan penilaian darjah lima beliau mendapat 5A.
Jika kamu tidak tahu, itulah tahap keputusan paling tinggi bagi kanak-kanak sekolah rendah waktu itu.
Burung tak sempat bercakap
Setelah ketiadaan bapanya Sedi pulang ke kampung orang tuanya di Pantai Senak. Di sana beliau dikenali sebagai tukang rumah yang handal. Kami ada bertemu setiap kali beliau datang ke rumah kakaknya, Zaimah, di Sungai Isap.
Abang Harun - yakni suami Zaimah - adalah orang yang baik.
Kerana sudah terlalu jarang bertandang ke rumah Zaimah bertanya tentang Sedi, kami tidak mendapat apa-apa berita lagi mengenai beliau. Entah apa khabar Abang Harun, Zaimah dan Sedi agaknya.
Satu hal yang kami masih keliru hingga ke hari ini ialah, sama ada nama sebenar Sedi adalah Rosdi ataupun Ismail. Atau Pak Cik Yaakob itu sendiri nama sebenarnya ialah Ismail.
Semasa kami masih dalam belasan tahun, Sedi ada memelihara seekor burung gembala kerbau. Burung tersebut sangat jinak dan dibiar saja terbang bebas.
Sehari sebelum lidah burung berkenaan mahu diasah oleh Sedi bagi membolehnya ia meniru suara manusia, burung tersebut telah diterkam oleh seekor kucing.
Matilah burung berkenaan sebelum kami semua sempat terpegun dengan kepandainya dalam berkata-kata.
Mezah pula tinggal betul-betul di sebelah rumah Sedi. Bumbung dapur rumah mereka seolah-olah bersambung. Di sekolah, Mezah ialah murid yang sederhana namun kelebihan Mezah adalah bermain gitar.
Ada suara yang merdu
Mungkin saingan beliau dalam ilmu gitar adalah Iji. Tambahan pula Iji adik kepada Bakar iaitu pemaim gitar utama kumpulan The Breeze yang terkenal suatu masa dulu.
Kumpulan berkenaan pernah masuk bertanding dalam Bakat TV. Cuma kami tidak ingat sama ada mereka sempat memenangi sebarang tempat dalam perlumbaan tersebut atau sebaliknya.
"Kena racun," kata Mok apabila kami tanya sebab Mezah meninggal dunia. Dalam kepala kami jadi tertanya-tanya mengapa sehingga diracun akan si Mezah itu.
Beliau bukan seorang yang nakal. Cakapnya tidak banyak walaupun mempunyai suara yang merdu jika bernyanyi.
Mezah bersekolah Inggeris dan lagu kegemaran beliau semestinya Soldier Of Fortune oleh Deep Purple. Lagu berkenaan juga adalah satu-satunya lagu yang kami hafal seluruh liriknya.
Mungkin berkat selalu mendengar nyanyian Mezah pada masa-masa lalu. Lagu Temple Of The King - juga oleh Deep Purple - adalah antara lagu yang selalu dinyanyikan oleh beliau.
Rupa-rupanya setelah habis sekolah Mezah berkerja dengan majlis perbandaran dan beliau diberi tugas meracun rumput.
Kerana degil tidak menggunakan penutup mulut semasa bekerja, lama-kelamaan racun yang terkumpul dalam badannya menjadi bisa.
Pada suatu Ramadan, Mezah muntah berdarah dan dibawa ke hospital. Di sana beliau meninggal dunia dan doktor mengesahkan bahawa puncanya ialah akibat dari kecuaian Mezah yang enggan menggunakan penutup mulut semasa berkerja.
Al-Fatihah untuk Mezah, Mak Enon yakni ibunya, dan juga Tan - ayahnya.
Maka daripada itu, bernas benarlah unjuran kerajaan untuk mendenda siapa saja yang menggunakan topeng hidung dan mulut yang tidak mendapat kelulusan Sirim itu.
"Menghalang adalah lebih baik dari berubat," kata orang bestari. Lalu bersyukurlah kita semua bahawa ada menantu menteri premier gigih mahu memastikan kita semua wajib menggunakan pelitup mulut yang menepati piawaian keselamatan.
Bukan itu saja, anak perempuan presiden parti Melayu terbesar di dunia itu pula rela merendahkan diri beliau untuk menjadi model yang baik bagi menggalakkan kita semua bersepakat dalam menuju jalan keselamatan.
Tidaklah kita mahu menyalahkan menantu menteri premier tersebut yang nampaknya lincah menukar kerjayanya tidak lama selepas pak mentuanya naik pangkat.
Hal itu kerana jika kemeja-kemeja rekaan beliau yang dipakai bapa mertuanya semasa sibuk keluar televisyen mengumumkan hal-hal Covid-19 suatu masa dulu sebagai ukuran kekreatifan, maka molek benarlah beliau beralih menjadi seorang doktor pelitup muka.
Jadikan kekhilafan Mezah sebagai teladan. Dan marilah kita akur dengan ugutan kerajaan untuk mendenda syarikat-syarikat yang ingkar dalam hal mengeluarkan pelitup muka tanpa cap Sirim itu.
Mungkin dengan itu sihat walafiatlah kita semua hendaknya.
Padan sungguh muka kita.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pernah bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai