KOLUM | Rusia dan Ukraine
KOLUM | Daripada apa yang dunia diberitahu rundingan damai pusingan keenam telah selesai di Istanbul Turki pada penghujung Februari. Tidak ada berita lanjut menyusul hasil dari rundingan ini.
Apa yang jelas, kota-kota Ukraine terus dibedil oleh bala tentera Rusia dari darat, laut dan udara. Perang ini menimbulkan masalah orang pelarian.
Lebih dua juta warga Ukraine telah melarikan diri. Ada yang masuk ke Rusia, ke Belarus, ke Poland, ke Republik Czech dan negara jiran bersebelahan untuk mencari keselamatan.
Presiden Vladimir Putin memanggil perang ini sebagai special operation - operasi khas - dari Rusia. Sementara itu, Presiden Volodymyr Zelenskyy menjerit terpekik terlolong melaung bahawa Ukraine telah diserang oleh Rusia.
Perangai terpekik terlolong Zelenskyy ini tidak menghairankan kerana sosok ini hanyalah seorang pelawak manakala Putin adalah bekas mata-mata gelap perisik KGB pada zaman Soviet Union. Putin juga pemain sukan judo dan pemilik tali pinggang hitam.
Putin ialah bekas perdana menteri Rusia dan menjadi presiden pada tahun 2000. Zelenskyy pula bekas pelawak yang bertukar menjadi pelakon dan kemudian menjadi presiden pada 2019.
Kalau kita membaca dan mengikuti laporan media Barat, Ukraine berjaya mengalahkan Rusia. Berpuluh ribu soldadu Rusia gugur. Ratusan kereta perisai Rusia musnah. Berpuluh jet pejuang Rusia telah ditembak jatuh.
Malah kuasa Putin sedang goyah dan bila-bila masa saja akan berlaku peralihan kuasa di Kremlin. Bacaan politik seperti ini meyakinkan Presiden Joe Biden ketika berucap di Poland telah berkata ‘this man has to go...”. Putin wajib berambus.
Tak dilapor media Barat
Putin digambarkan sebagai Hitler jenis baru. Bekas setiausaha negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice bersuara mengatakan bahawa Putin tidak memiliki kewarasan fikrah lagi sehingga sanggup menghantar bala tentera Rusia untuk ‘mati katak’ di Ukraine.
Dilaporkan oleh media Barat bahawa rancangan ‘perang jahat’ Putin ini telah gagal meleset. Seluruh dunia mengikut laporan media Barat sedang menyekat ekonomi Rusia dan saban hari rakyat dunia mengutuk Putin.
Media seperti stesen CNN, BBC, DW dari Jerman, ABC dari Australia - semua memberi laporan betapa Putin telah membuat silap besar. Putin menyangka rakyat Ukraine akan menyambut soldadu Rusia dengan tangan terbuka.
Tidak cukup dengan ini stesen RT (Russia Today) telah dilarang beroperasi di Amerika Syarikat dan negara Eropah. Internet dan YouTube telah menghalang kemasukan semua berita yang berpunca dari usia.
Justeru kita hanya mendengar satu cerita sahaja. Cerita orang jahat bernama Putin. Cerita lain media Barat tidak lapor. Bayangkan ramai warga dunia tidak sedar bahawa Presiden Zelenskyy ini hanyalah seorang pelawak. Kah kah kah. Amin.
Apa sebenarnya terjadi?
Tulisan ini akan cuba memberi pencerahan tentang perang yang telah berlaku semenjak lapan tahun. Selama lapan tahun berita perang ini ditutup dan tidak dihebohkan daripada diketahui warga dunia.
Tidak seperti yang berlaku sekarang - Perang Ukraine yang dihebohkan - perang ‘senyap’ ini telah mengorbankan lebih 14,000 nyawa.
Lapan tahun? Kenapa lapan tahun? Bukankah Perang Ukraine hanya bermula pada 24 Feb 2022?
Betul. Tarikh 24 Feb 2022 adalah permulaan special operation dari Rusia. Operasi khas ini adalah sambungan perang lapan tahun yang berlanjutan dari wilayah Donbass di timur Ukraine. Perang ini telah bermula pada 2014.
Apa punca perang yang bermula pada tahun 2014?
Perang Donbass ini tidak dilapor dan tidak dihebohkan oleh media Barat. Malah punca Perang Donbass ini juga cuba disorokkan.
Tragedi perang ini bermula pada 2014. Satu rampasan kuasa telah berlaku di Kyiv ibu kota Ukraine. Dengan slogan antirasuah dan menentang oligarch rakyat telah keluar berdemo ke jalan raya. Hasilnya kerajaan Presiden Victor Yunokovych yang dipilih oleh rakyat jatuh. Presiden Yunokovych lari ke Rusia untuk menyelamatkan diri.
Di belakang rampasan kuasa 2014 ini ialah kumpulan Azov. Ini adalah kumpulan Nazi bentuk baru sambungan dari ideologi Hitler peninggalan Perang Dunia Kedua. Batalion Azov tersusun dan bersenjata. Mereka inilah yang mengepung, mengganas dan membunuh di Istana Presiden di Dataran Maidan Kyiv pada 2014.
Permulaan perang 8 tahun lalu
Di belakang rampasan kuasa 2014 ini ialah CIA dan Amerika Syarikat. Amerika memberi sokongan moral dan dana untuk menjatuhkan Yunokovych.
Puan Victoria Nuland diplomat Amerika yang bertugas di Kyiv telah mengaku bahawa Amerika telah membelanjakan AS$5 bilion dolar untuk rancangan menjatuhkan kerajaan Yunokovych. Dana ini disalurkan kepada parti politik dan pelbagai kumpulan NGO.
Peranan CIA dalam babak rampasan kuasa 2014 ini tidak dihebohkan oleh media arus perdana Barat. Hanya portal berita dan blog progresif termasuk Hishamuddin Rais yang menulis dan menghebohkan perkara ini.
Rampasan kuasa 2014 yang ditaja oleh AS ini mengubah politik Ukraine. Dari sebuah negara yang berbaik dengan Rusia menjadi negara yang mahu menjadi sekutu Eropah dan mahu menjadi anggota Nato.
Di wilayah Donbass – sama seperti empat wilayah Selatan Siam berbangsa Melayu – di Donbass berbangsa Rusia. Bila rampasan kuasa 2014 berlaku wilayah warga etnik Rusia di Donbass bangun melawan kerajaan pusat di Kyiv.
Mereka tidak mahu memusuhi Rusia. Tentera Ukraine datang untuk menundukkan pemberontakan dan gerakan pemisah. Masuk batalion Azov – kumpulan neo-Nazi. Inilah permulaan perang lapan tahun dahulu.
Dalam masa yang sama satu pungutan suara telah dijalankan pada Februari 2014 di Crimea. Wilayah Crimea ini juga penduduknya adalah etnik Rusia. Hasil pungutan suara, 97 peatus warga mahu Crimea masuk menjadi Persekutuan Rusia.
Media Barat juga tidak menghebohkan bahawa Crimea ini asal usulnya adalah sebahagian dari Rusia. Pada tahun 1953 untuk menstabilkan politik Ukraine Nikita Khrushchev ( 1894-1971) yang ketika itu memimpin Rusia telah memberikan wilayah Crimea ini kepada Ukraine.
Apa yang media Barat hebohkan hanyalah pungutan suara ini tidak diiktiraf oleh dunia. Sejarah, asal usul Crimea tidak di hebohkan.
Perang di wilayah Donbass berterusan hingga diadakan Perjanjian Minsk. Perjanjian ini meredakan perang, memulang tahanan perang, menghormati sempadan yang sedia wujud dan mengundurkan senjata berat.
Perjanjian Minsk ini ditandatangani oleh Rusia dan Ukraine di Minsk ibu negara Belarus pada 5 September 2014.
Tetapi keganasan batalion Azov di wilayah Donbass berterusan. Bentrokan dan pertempuran sering berlaku walau pun telah ada Perjanjian Minsk yang mengajukan damai.
Tertiba Presiden Zelenskyy yang dipilih pada tahun 2019 menghidupkan kembali niat Ukraine untuk menjadi anggota Nato.
North Atlantic Treaty Organisaton (Nato) ini adalah perjanjian di bawah telunjuk Amerika. Nato – perjanjian politik dan ketenteraan ini ditubuhkan pada tahun 1949.
Sambut dengan tangan terbuka
Tujuan Nato: untuk menentang negara-negara blok Soviet Union yang dipimpin oleh Rusia satelah tamat Perang Dunia Kedua.
Sebagai jawapan kepada Nato – enam tahun kemudian pada tahun 1955, Soviet Union mendirikan Warsaw Pact. Perjanjian Warsaw ini menyatukan negara Blok Soviet dalam hal politik, ekonomi dan kerjasama.
Dua blok – blok Amerika dan blok Soviet menjadi protagonis Perang Dingin. Dari tahun 1947 hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989 dua blok – superpower - ini bertelagah.
Asas Perang Dingin dua blok ini ialah pertempuran dua ideologi. Ideologi sistem ekonomi kapitalis yang dikepalai oleh Amerika dan ideologi sistem ekonomi sosialis yang dipimpin oleh Rusia.
Suasana politik berubah. Pada tahun 1985 Rusia di bawah Mikhail Gorbachev (1931) membawa ‘perestroika‘ dasar baru yang terbuka. Amerika di bawah Ronald Reagan (1911-2004) menyambut dasar Rusia ini dengan tangan terbuka.
Akhirnya, Amerika di bawah Presiden Ronald Reagan dan Soviet Union di bawah Presiden Mikhail Gorbachev berjabat tangan.
Dua bekas musuh ini bertemu di Geneva (1985), di Reykjavik (1986), di Washington DC (1987) dan di Moscow (1988). Permusuhan tamat.
Tembok Berlin runtuh pada tahun 1989. Blok Soviet Union dimansuhkan. Perang Dingin tamat. Perjanjian Warsaw terbatal dengan sendirinya.
Salah satu perkara yang dipersetujui oleh Reagan dan Gorbachev ialah Nato tidak akan menambah ahli dan menular ke Timur hingga ke sempadan Rusia.
Sayangnya persetujuan ini tidak dihitamputihkan antara Reagan dengan Gorbachev.
Dunia mengalu-alukan tamatnya Perang Dingin. Tetapi Nato masih wujud. Nato masih dengan agenda utama menjadikan Rusia sebagai musuh.
Bukan saja Nato tidak dimansuhkan malah Nato terus menerima negara baru sebagai anggota. Negara bekas Perjanjian Warsaw dan Blok Soviet: Hungary, Republik Czech, Albania, Crotia, Estnonia, Latvia, Lithunia, Monte Negro, Romania, Slovakia. Slovania dan Poland kini semua menjadi anggota Nato.
Nato ditubuhkan dengan satu tujuan: Menentang Rusia dan Soviet Union. Kini Soviet Union tidak wujud tetapi niat dan tujuan Nato masih lagi melihat Rusia sebagai musuh.
Bila Ukraine berniat hendak menjadi anggota Nato ertinya Ukraine hendak bermusuh dengan Rusia.
Rusia telah memberi amaran dan memberi ingatan berkali kali. Jangan luaskan anggota Nato hingga sampai ke depan pintu Rusia. Negara-negara bekas Blok Soviet yang menjadi anggota Nato tidak dilihat mengancam keselamatan Rusia. Tapi Ukraine lain.
Ukraine dan Rusia bersempadan – seperti Tanah Semenanjung bersempadan dengan Siam. Justeru jika Ukraine menjadi anggota Nato ini bermakna senjata nuklear Nato boleh dipasang betul-betul di tepi katil Rusia.
Media Barat dan penyokong Nato sentiasa berhujah hak Ukraine untuk membuat perjanjian dengan sesiapa sahaja. Ini kerana Ukraine negara berdaulat.
Betulkah hujah ini?
Untuk memahami hujah ini mari kita kembali ke tahun 1962. Ketika ini Perang Dingin sedang memuncak. Rusia dipimpin oleh Nikita Khrushchev manakala Amerika dipimpin oleh John F Kennedy (1917-1963)
Rusia dengan senyap-senyap telah cuba memasang senjata nuklear di Cuba. Bayangan jarak Cuba dengan Amerika Syarikat hanya 90 batu.
Semua kota Amerika menjadi sasaran senjata Rusia. Bila rancangan Rusia ini diketahui oleh badan perisik Amerika maka terjadi apa yang kini diingati sebagai Cuban Missile Crisis.
Presiden Kennedy membantah. Pertelagahan terjadi. Dunia hampir meledak dengan sejata nuklear. Amerika berkeras menolak rancangan Cuba untuk menempatkan senjata Rusia di negara mereka.
Betul – Cuba negara berdaulat boleh membuat perjanjian dengan sesiapa saja. Ini hak Cuba. Tetapi memasang senjata nuklear di Cuba mengancam keselamatan Amerika Sarekat.
Akhirnya Rusia membatalkan niat untuk memasang missile di Cuba.
Babak ini sama dengan apa yang berlaku di Ukraine sekarang. Tetapi media Barat langsung tidak membuat perbandingan dengan apa yang berlaku pada tahun 1962 dengan apa yang berlaku pada tahun 2022.
Tertiba pada bulan Februari 2022 Presiden Zelenskyy mengoyakkan Perjanjian Minsk. Wilayah Donbass yang majoritinya etnik Rusia kembali dibedil. Kumpulan neo-Nazi Azov kembali mengganas.
Justeru pada 22 Februari 2022 Parlimen Rusia mengiktiraf wilayah Donbass sebagai negara merdeka. Dua hari kemudian Presiden Putin melancarkan apa yang dipanggil ‘special operation – operasi khas‘ ke atas Ukraine.
Dua tujuan asak operasi ini. Pertama ‘denazification’ membebaskan pengaruh Nazi di wilayah Donbass.
Kedua untuk mempertahankan hak etnik Rusia menggunakan bahasa Rusia yang diganyang dan ditindas di Ukraine.
Apakah perang akan berterusan? Krisis orang pelarian kini menghantui Eropah. Apa jawapan Nato dan Amerika kepada ‘special operation’ Putin. Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai