Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM  | Reena, 14 tahun dah kahwin

SATIRA | Aunty, nama saya Reena. Baru 14 tahun tetapi ayah sudah suruh kahwin. Ayah orang kuat Parti Cap Lebai. Ayah beritahu Reena yang Ustaz Deris dah lama perhatikan Reena. Sejak Reena usia 10 tahun lagi Ustaz Deris dah bisik dengan ayah, mengatakan Reena meskipun baru 10 tahun tapi subur macam anak dara umur 20 tahun. Nampak dari belakang, tepi, sisi, atas atau bawah Reena kelihatan matang. Macam seganda dari usia. Ustaz Deris bila datang usrah di rumah Reena, kadang-kala akan terserempak dengan Reena yang sedang main pondok-pondok di pangkin. Sekali Ustaz ada bertanya pada Reena.

Bila Reena cerita kepada emak, cepat-cepat emak maki hamun. Emak pesan Reena suruh belajar pandai-pandai, belajar sampai habis. Reena mesti dapat 17A1 macam Dr Nur Amalina binti Che Bakri dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Emak berpesan agar Reena belajar luar negara, dan terus menetap di sana. Jangan balik. Emak kata negara ini tak ada harapan dah. Semua penjahat dan pencuri pun orang sayang.

Reena tanya siapa yang sayang pencuri dan penjahat?

Emak jawab, orang flat dan orang Felda semua sayang pencuri dan penjahat. Beri saja 200 ringgit, orang flat dan orang Felda akan cakap sayang. Jadi emak suruh Reena belajar pandai-pandai sebagai jalan keluar dari negara yang penuh manusia terkutuk ini. Nanti di Britain atau di Amerika Syarikat, emak suruh Reena belajar sampai lulus cemerlang dan jadi doktor bedah macam Dr Nur Amalina binti Che Bakri.

Bila Reena cari nama Dr Nur Amalina binti Che Bakri di Instagram dan Tiktok, Reena perasan Dr Amalina kahwin dengan mat saleh. Tinggi dan kacak suaminya. Maka Reena pun tanyalah kalau-kalau boleh ikut Nur Amalina, kahwin dengan orang putih.

Emak kata, boleh sangat. Kemudian emak menangis. Kata emak, kalau Reena kahwin lelaki luar negara tentu cucu emak itu tak dapat jadi warganegara, dan susah nak sekolah di sini. Maka susahlah emak nak bertemu dengan Reena dan cucu dia kelak. 

Tetapi emak cepat-cepat kesat air mata, dan menambah lagi. “Tak apa, cari lelaki yang setia dan berguna. Apa bangsa pun tak apa. Asalkan dia sayang Reena dan hargai Reena sampai tua. Reena beranaklah berapa-berapa pun cucu mak, dan sekolahlah di luar negara. Sekolah di luar negara bagus, tak macam penjara. Sekolah di sini pikul beg pun berat, bahkan kemahiran tiada.”

Reena tak faham sangat kenapa emak macam sedih. Akan tetapi Reena memang semat pesan emak agar belajar pandai-pandai dan jadi macam Dr Nur Amalina. Lantas, hari-hari pun Reena tengok status Dr Amalina untuk membakar semangat.

Masa Reena di Tingkatan Satu, emak meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19. Masa itu emak mengandungkan adik Reena yang paling bongsu. Emak tak sempat nak vaksin. Ayah tak beri emak vaksin sebab Ustaz Deris beritahu ayah, yang vaksin itu sebenarnya cip yang dimasukkan dalam badan oleh Rumah Putih; agar kita semua jadi harta milik Donald Trump. 

Reena masih ingat emak dibawa ke hospital naik ambulan. Emak cium ubun-ubun Reena dan sempat sebut dalam mencungap-cungap, “Belajar sampai habis Reena. Belajar dan tinggalkan negeri keparat ini. Negeri yang sayangkan pencuri.”

Reena cuma angguk. Dua minggu lepas emak meninggal dunia, dan tinggalkan untuk kami adik bongsu; ayah berkahwin baru. Ayah beritahu yang ayah perlukan kasih sayang seorang wanita. Ayah kata, Ustaz Deris yang cadangkan dia mengahwini Kak Lah dari Golok.

Selepas ayah kahwin lain, Reena dan tujuh adik-beradik lain tak berapa dijaga, dan terbiar. Reena selalu ingatkan emak, dan selalu sedih. Bila Reena sedih dan berduka lantaran rindukan emak, Reena akan tengok IG Dr Nur Amalina untuk merawat hati. Reena akan menangis sungguh-sungguh hati.

Bila Reena masuk Tingkatan Dua, Ustaz Deris datang bisikkan lagi kepada ayah. Ustaz betul-betul nak kahwin dengan Reena. Kak Lah, yang mendengar ketawa ingkak kuat-kuat, siap terkelir-jelir lidah dia. Kak Lah kata budak perempuan kalau dah boleh kahwin, eloklah dikahwinkan sebab itulah anjuran agama. Jikalau orang baik dah minta, maka eloklah dinikahkan.

Jadi ayah pun beritahu Reena, supaya Reena ‘get ready’ kerana akan dikahwinkan dengan Ustaz Deris. Reena sangat takut. Nak ‘get ready’ macam mana itu? Reena masih ingat pesan emak. Kan emak suruh Reena belajar pandai-pandai, sampai habis sekolah. Arwak emak ingatkan Reena agar belajar di luar negara. Biar jadi doktor bedah.

Jadi Reena memberanikan diri untuk beritahu ayah dan Mak Cik Lah yang Reena tak mahu kahwin. Reena tak mahu kahwin dengan Ustaz Deris, Ustaz Marzuki, Ustaz Khai…ustaz apa pun. Kalau ustaz itu pandai main Bitcoin macam Ustaz Adi pun Reena tak mahu juga. Reena tak mahu kahwin sekarang. Reena nak belajar dan jadi pandai. Reena nak dapat biasiswa di luar negara. Reena nak tinggal di luar negara. 

Kalau ditakdirkan Reena tinggalkan negara ini, negara yang sayangkan pencuri dan penjahat macam orang di flat dan Felda itu, Reena tekad untuk tinggalkan. Negara ini memang dah tak boleh diselamatkan lagi. Arwah emak pun kata negara ini sudah jadi makanan anjing liar. Reena bulat hati. Kalau Reena ditakdirkan kahwin dengan orang putih pun Reena akan ikut takdir itu. Reena tak mahu Pak Lebai, eii geli. Please-lah.

Ayah dan Mak Cik Lah ketawa mengekek-ngekek bila Reena beritahu nak dapat 17 A1 dalam SPM. Kata Mak Cik Lah, “Kau siapa? Cermin sikit. Mak kau yang ajar benda tak Islamik ni ke? Patutlah mati awal, tak ada nak meracun fikiran budak-budak.”

Kata-kata Mak Cik Lah itu sangat menyakitkan hati. Reena sangat sedih dan asyik teringatkan emak. 

Inilah sebabnya Reena tulis emel panjang berjela kepada aunty. Reena harap aunty di kementerian akan faham gelora hati Reena yang tak mahu dikahwinkan di usia muda. Reena tak mahu kahwin bawah umur. Reena tak dapat bayangkan tidur dengan Ustaz Deris. Dah itu bukan sekadar tidur. Ustaz Deris akan buat macam-macam. Eii geli, please-lah. Reena takut sangat.

Itulah sebabnya Reena tulis emel panjang-panjang kepada aunty dengan harapan aunty akan buat sesuatu di kementerian dan cegah sebarang perkahwinan bawah umur. Sebab Reena tak mahu kahwin. Reena nak belajar pandai-pandai dan belajar jadi doktor bedah di luar negara.

Ayah selalu cakap kahwin awal itu tuntutan agama. Reena sedih sebab ayah gunakan agama untuk wajarkan apa dia nak buat. Lebih baik Reena lari duduk di London, belajar di sana, sebab di sana agama apa pun, dan macam mana pun beramal agama tidak dikawal selia. Asalkan tak kacau orang sudah. Lebih baik jadi orang Islam di Cambridge dari jadi orang Islam di Kuala Krai.

Tapi Reena nak buat macam mana? Reena baru usia 14 tahun. Reena hanya berdaya tulis e-mel ini kepada aunty. Supaya aunty buat sesuatu di kementerian. Reena betul-betul tak mahu kahwin dengan Ustaz Deris. Reena takut. Reena geli. Reena asyik ingatkan emak. Reena menangis.

Reena rindukan emak. Janganlah kahwinkan Reena, please. Tolonglah aunty

Janganlah buat begini kepada Reena. Janji Reena janji akan belajar sungguh-sungguh. Tolonglah aunty di Kementerian. Reena tak mahu kahwin bawah umur. 


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.