Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Munafik haraki

Saya pernah terfikir bahawa apa yang kita cakap pada hari ini adalah ujian untuk kita di masa akan datang.

Dahulu, PAS ada beberapa tokoh yang mulut lancang mengkafirkan Umno dalam sebarang ceramah mereka. Kata Ustaz Idris Ahmad, semua mereka sudah masuk Umno.

Pada tahun 1981 ada amanat Haji Hadi yang kandungannya ada unsur mengkafirkan Umno. Sebelum PRU yang lepas, Husam Musa yang ketika itu masih lagi dalam kepimpinan PAS kata, Hadi akan kandar PAS untuk bersama Umno.

Sebelum PRU lepas, pemimpin PAS bertalu-talu menafikan dakwaan PAS akan bekerjasama dengan Umno. Tidak lama selepas PRU, PAS ternyata bersama dengan Umno.

Semasa beberapa orang pemimpin serta ahli-ahli PAS tertentu tidak setuju dengan presiden PAS, Dr. Khairuddin Aman Razali berhujah menggunakan hadis nabi untuk anggap tuduhan Munafiq Haraki adalah mengikut piawaian syariah.

Pada hari ini, bukan sekadar dia tidak setuju dengan presiden PAS, bahkan dia menulis beberapa kenyataan dalam media sosial yang menggambarkan sikap tidak setuju dengan presiden PAS dan terbaru dia isytihar berhenti menjadi ahli PAS secara terbuka.

Semua kejadian ini ada pengajaran berharga untuk kita semua.

Pertama, kita perlu membezakan antara agama dan pandangan politik kepartian. Tidak bersama dengan PAS tidak bermakna kita tidak bersama Islam. Tanpa PAS, kita juga boleh jadi muslim yang baik.

Kedua, perlu bersederhana ketika berkawan dan berlawan. Bimbang suatu masa nanti, kawan menjadi lawan; lawan pula menjadi kawan.

Ketiga, dalam pertembungan apa pun, sayang dan benci perlu beroreantasikan rasional, bukan emosional.


WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.