Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Perubahan berasaskan kosmopolitan Muslim

Dunia hari ini memperlihatkan berlakunya pelbagai kebejatan yang memberi kesan besar kepada masyarakat. 

Penularan wabak Covid-19, melambungnya harga keperluan asas, kegawatan iklim dan bencana alam di luar ritma kebiasaan, ketidakstabilan politik dan pelbagai konflik bersenjata yang berlaku, sudah cukup untuk menggambarkan betapa getirnya kondisi dunia yang melatari persekitaran hidup kita. 

Masakan tidak, cabaran-cabaran seakan menimpa silih berganti dalam kadar yang begitu pantas. 

Belum sempat kita menarik nafas untuk menangani sesuatu isu secara strategik dan tuntas, tiba-tiba muncul sebuah lagi badai baharu yang memburukkan lagi suasana. 

Maka ia menuntut untuk seluruh warga untuk sama-sama terus bangkit dan melangkah sederap ke hadapan. Keadaan ini juga memerlukan kita untuk sentiasa berada dalam keadaan siaga untuk menangani cabaran semasa dan bersedia menghadapi mehnah mendatang yang lebih besar. 

Untuk ini umat Islam perlu bangkit untuk mencetuskan perubahan. Kebangkitan serta perubahan yang ingin dipimpin perlu dibuat berasaskan acuan bersifat inklusif dan dapat memberikan manfaat kepada semua. 

Tatkala kita membicarakan tentang era “Kebangkitan Islam” (Islamic Revivalism), negara ini pernah melalui sebuah gelombang kesedaran Islam yang tercetus pada awal dekad 1970-an. 

Kesedaran ini kemudian menghadirkan sebuah gerakan yang mendapat dukungan massa di akar umbi. Gerakan ini tampil bersertakan matlamat yang jelas untuk merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup lengkap. 

Kesedaran yang dipupuk telah mendorong kepada terbentuknya masyarakat Muslim berasaskan ciri-ciri keperibadian yang murni, berakhlak, serta berwawasan. 

Ini berjaya merungkai persoalan seputar pencarian identiti atau ‘quest for identity’,  apabila masyarakat telah disarung dengan pakaian identiti bangsa yang berkeyakinan, berkualiti serta mujahadah untuk keluar dari sisi gelap lalu.

Dari sisi pengamalan, berlaku antaranya fenomena bertudung yang dikenali ‘mini telekung’, dalam kalangan wanita Muslim secara meluas. Ini merupakan antara manifestasi  jelas identiti bangsa yang dahulunya ditanggapi secara kabur. 

Ini adalah sebahagian daripada gilapan gelombang kebangkitan Islam ini yang bukan sahaja meningkatkan kekuatan kerohanian serta kualiti iman secara dalamannya. Bahkan ia meliputi kepada pembentukan gagasan pemikiran yang memandu pembinaan negara ini. 

Sekian lama bangsa dibungkam dengan mitos karut bawaan penjajah yang melemahkan jati diri warga peribumi menerusi pelbagai label negatif, serta penjarakan nilai-nilai agama daripada kehidupan, gelombang kesedaran Islam pada 1970-an ini telah menghembuskan nafas baharu untuk warga tempatan membangunkan diri, keluarga dan negara serta melangkah keluar meninggalkan kegelapan silam.  

Kerosakan akibat penjajahan

Peristiwa 13 Mei 1969 adalah antara kesan langsung daripada kerosakan yang dicetuskan akibat daripada penjajahan. 

Maka ledakan kesedaran Islam pada ketika itu berlaku pada saat yang tepat untuk tampil sebagai inisiatif dan solusi untuk meletakkan sosio negara di landasan yang seimbang dan stabil. 

Ini telah dijelaskan oleh Prof Mohammad Hashim Kamali dalam Journal of Islamic Civilizational Renewal, terbitan IAIS Malaysia:

“In the context of Malaysia, the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM), that emerged in 1971, drew much of its motivation from a combination of both tajdid and islah, that called for spiritual and moral transformation of individuals and visualised a more equitable and just society”

Detik yang amat fenomenal dalam sejarah pembinaan negara ini ditunjangi dengan agenda pengislahan dan pembaharuan pemikiran masyarakat. Secara khususnya ia menumpukan pada sarwa pandang keserasian Islam dengan urusan kehidupan seharian dan pembinaan peradaban manusia.

Buah-buah transformasi yang ranum ini seharusnya menjadi bekalan untuk kita telaah bersama untuk memperbaiki segala kelemahan untuk mengemukakan gagasan nahdah (kebangkitan) dan islah (perubahan) ini dengan lebih segar. 

Berasaskan realiti semasa dan pada masa akan datang, maka perlunya ada pemetaan agenda perubahan islah berasaskan jalinan interaksi dengan konteks semasa besertakan acuan sejarah, faktor setempat, serta gagasan perubahan lalu. 

ABIM sendiri merupakan sebahagian daripada kesinambungan gerakan pembaharuan yang muncul dalam turun naik sejarah peradaban Islam, yang peranannya harus disoroti menerusi dimensi Ilmu Sosial Profetik yang dikemukakan oleh Kuntowijoyo seperti berikut:

“Dalam kaitan itulah saya pernah mengemukakan bahwa yang kita butuhkan sekarang adalah ilmu-ilmu sosial profetik, yaitu yang tidak hanya menjelaskan dan mengubah fenomena sosial, tapi juga memberi petunjuk ke arah mana transformasi itu dilakukan, untuk apa, dan oleh siapa? Oleh kerana itulah, ilmu sosial profetik tidak sekadar mengubah demi perubahan, tapi mengubah berdasarkan cita-cita etik dan profetik tertentu. Dalam pengertian ini maka ilmu sosial profetik secara sengaja memuat kandungan nilai dari cita-cita perubahan yang diidamkan masyarakatnya” 

Maka, menerusi dimensi ini, sejarah gerakan Islāḥ lalu bukan semata-mata sebagai bahan penceritaan kosong mahupun bahan hiburan penglipur lara. Akan tetapi harus dimanfaatkan sebagai instrumen untuk membina semula ataupun reconstruct pemikiran warga penggerak umat khususnya gerakan ABIM. 

Justeru, kesedaran ini akan mengangkat dan membawa kefahaman bahawa gerakan seperti ABIM tidak bangun mengemudi gerakan pembaharuan dan perubahan dari vakum yang kosong. Hakikatnya, sejarah telah mengabadikan bahawa gerakan pembaharuan yang kita bawa telah mengalami pelbagai proses interaksi dan saling berhubung serta menjambatani di antara satu sama lain, membabitkan warisan setiap gerakan nahdah dan islah.

Simpang siur gerakan Islāḥ lampau

Walaupun wujud simpang siur tertentu dalam gerakan Islāḥ lampau, namun perkara ini bukan penghalang untuk kita berinteraksi dengan sejarahnya disebabkan oleh peristiwa yang sarat dengan pelbagai hikmah dan pengajaran.

Malah, keberadaan ABIM pada hari ini yang konsisten membawa gagasan pembaharuan adalah bersifat penerusan dan ‘acceleration’ kepada perjalanan Islāḥ dalam masyarakat.

Maka, kesedaran ini melorongkan kita untuk menempa idealisme perubahan islah dalam nuansa kosmopolitan. Sarwa Islah menerusi paradigma kosmopolitan ini mendayung kita menuju ke arah satu kefahaman bahawa penempaan idealisme tersebut dapat dilakukan dengan memupuk budaya inklusif dan membentuk acuan keterbukaan dengan merancakkan interaksi untuk saling belajar dan bertukar manfaat merentasi batas wilayah, budaya, ras, agama, dan latar keturunan. 

Hal ini yang diertikan sebagai sarwa pandang kosmos, iaitu menurut Prof Azyumardi Azra sebagai melihat umat manusia di dunia sebagai sebuah komuniti sejagat. Paradigma ini harus dipasakkan dengan sikap kesederhanaan, keterbukaan, dan tasamuh, kerana ini merupakan pra-syarat asas kepada pembugaran agenda perubahan dalam masyarakat.

Prof Dr Syed Khairudin Al-Junied dalam buku Hamka & Islam: Cosmopolitan Reform In The Malay World, turut menonjolkan konsep ‘cosmopolitan reform’ sebagai satu cara fikir dengan melihat dunia sebagai satu kesejagatan. Ini berdasarkan kepada aspirasi perubahan oleh Haji Abdul Malik Bin Abdul Karim Amrullah (Hamka). 

Cosmopolitan reform ini telah diformulasikan sebagai satu gagasan tersendiri dalam pembinaan semula kefahaman agama yang merapati ciri yang lebih adil, inklusif dan meraikan kepelbagaian.

Namun agenda ini mungkin tergendala tatkala wacana kebangkitan Islam itu sendiri kadangkala disalah tanggapi dan disalah fahami sebagai pembinaan nilai-nilai agama yang bersifat eksklusif dan menilai kesejagatan dengan penuh curiga.

Salah faham ini diperbetulkan oleh Prof Emeritus Dr. Osman Bakar yang menyangkal kedangkalan dakwaan para anutan pemikiran Samuel Huntington yang cuba menafikan identiti kesejagatan Islam apabila beliau menulis:

“If many Westerners like those who embrace Huntingtonian perspective fail to see the universalistic face of Islam but highlight instead its particularistic face, then the fault partly lies with the Muslims. For many of them, religious revival means more of asserting and exhibiting Islam’s particularism. There is very little emphasis from them on Islam’s universalism. Furthermore, both through their words and deeds they have often demonstrated an indiscriminate rejection of all that is Western, something that is contrary to Islam’s universal doctrines”.

Dalam masa sama, kelompok Muslim yang menganuti pendirian eksklusif dan particularism ini pada hakikatnya terperangkap dalam kerangka dakwaan Samuel Huntington, yang mengatakan bahawa peradaban Barat Moden adalah pusat kelahiran idea peradaban yang universal dan menghargai nilai-nilai sejagat.

Pemaksaan nilai-nilai barat

Sebaliknya, dakwaan Huntington itu adalah jelmaan kepada doktrin “pretentious universalism” iaitu pemaksaan untuk belahan dunia lain menerima nilai-nilai Barat yang dikaburi atas nama universalisme seperti yang didakwa ramai pengkritik.

The crux of this critique is that Western cultural imperialism is something that is real and it is its goal to impose the particularistic traits of modern Western civilization on the rest of the world in the name of the pursuit of universal values, culture, and civilization or the pursuit of universalism. This pretentious universalism is likely to be, and in fact has been opposed by other non-Western civilizations, whether it pertains to politics, culture, art or social ethos.

Sedangkan dalam sejarah peradaban manusia, Islam yang sebenarnya telah mempelopori identiti kosmos. Singgahan terhadap tulisan Adam Mez dalam buku The Renaissance of Islam memperakui bagaimana peradaban Islam menerima kepelbagaian dan merangkumnya sebagai satu identiti berasaskan universalism berbanding Barat yang masih berada dalam sindrom lamunan gelap dengan dominasi hanya satu tafsiran ideologi keagamaan. Adam Mez menjelaskan:

What distinguished the Muslim Empire from Christian medieval Europe is the fact that within the borders of the former, unlike the latter, lived a large number of peoples of other faiths than Islam”.

Penjernihan yang dibawa Prof Osman Bakar ini seharusnya meluruskan kefahaman kita sebagai penggerak gerakan Islam bahawa kebangkitan Islam dan umat itu perlu beracuan inklusif kerana manfaatnya perlu dirasai seluruh manusia sejagat dan penghuni bumi.

Justeru, asas-asas naḥḍah iaitu pembinaan pemikiran Islāḥ dalam nuansa kosmopolitan harus dilanjutkan dengan berdiri atas visi pencerahan yang tidak statik dalam sarang kebekuan yang jumud. Usaha ini harus diluaskan spektrumnya dengan menghargai kepelbagaian dan keragaman kehidupan bermasyarakat. 

Islāḥ ini memupuk kita untuk bertanggungjawab dalam mengemudinya dengan medium pertengahan bagi mengimbangi perbezaan dan mencari jalan untuk mengembangkan pemikiran masyarakat selaras dengan tuntutan zaman. 

Maka dalam menggalas amanah untuk membawa nahdah kebangkitan, ia harus bersifat inklusif dan memanfaatkan semua pihak. Ia bukan semata eksklusif membawa kebaikan kepada sesuatu kelompok masyarakat.

Mengimbas kembali cabaran-cabaran semasa yang dinyatakan sebelumnya, di mana seluruh warga sejagat menerima tempiasnya, maka ia menuntut untuk kita membumikan agenda kebangkitan Islam berasaskan acuan yang inklusif ini ke dalam aspek pembinaan negara dan bangsa. 

Lantas, ABIM optmistik untuk mengemudinya berasaskan gagasan serta aspirasi Bangsa Malaysia sebagai solusi penyatuan dan acuan pembinaan negara secara bersama. Gagasan Bangsa Malaysia yang dikemudi bukan gagasan yang melarut identiti kepelbagaian etnik dan ras yang wujud sekian lama di Malaysia yang harus dihargai, tetapi ia adalah pembentukan satu identiti rakyat berasaskan nilai-nilai yang disepakati.

Seperti yang dikupas dalam Ucapan Dasar ABIM sempena Muktamar Sanawi ABIM Kali Ke-50, “Wawasan Gerakan Islah dan Kosmopolitan Muslim: Wasilah Merealisasi Aspirasi Nahdah”, gagasan ini berasaskan kepada tiga orientasi kesetiaan Bangsa Malaysia:

Pertama, kesetiaan kepada tanggungjawab memberdaya masyarakat secara bersama. Kedua, kesetiaan untuk mempertahankan maruah dan harga diri seluruh warga serta ketiga, kesetiaan kepada kehidupan yang menjamin kelestarian dan kemampanan generasi mendatang. 

Ketiga-tiga kesetiaan ini adalah terjemahan kepada tiga nilai yang cuba diketengahkan sebagai komitmen ABIM dalam agenda melebarkan amanah islah – kosmopolitan dalam misi pembinaan sebuah negara dan bangsa. 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ berkhidmat sebagai Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.