Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Orang Johor Bahru

KOLUM | Kamu seorang nelayan di Mersing. Setepatnya kamu berasal dari Kampung Mersing Kanan, di pesisir pantai.

Kebanyakan penghuni kampung ini adalah nelayan tradisional atau awak-awak. Kalau kamu jelaskan nelayan tradisional, ia bermaksud kamu tidak memiliki sebarang peralatan pengeluaran.

Sekarang, waktu-waktu begini, kamu dihadiahi jala dan pukat dalam satu majlis yang mana orang JB (Johor Bahru) datang dengan pelbagai ucapan yang temanya untuk meningkatkan status-ekonomi nelayan.

Kamu sudah berusia 56 tahun. Bilangan anak tujuh orang. Kamu belajar sampai takat Darjah Enam. Anak sulung kamu mujur bersekolah sampai SPM. Bukan kamu tidak nampak pendidikan itu sebagai jalan keluar yang penting.

Orang JB ada beritahu anak kamu ialah modal insan negara. Apa benda modal insan itu kamu tak tahu. Kamu dengar saja. Orang JB itu asyik sebut kestabilan itu penting.

Pendapatan bulanan kamu dalam 700 ringgit. Kamu ada buat kerja merumput dan memotong yang mana kamu bolehlah meraih lagi RM61.54. Isteri kamu mengambil upah menjemur ikan masin dan beroleh RM23.08.

Anak yang sudah bekerja di Singapura ada mengirim wang congak-congak dalam RM1,000.

Orang JB ada datang bertanya apa masalah kamu seorang nelayan di Mersing.

Takkanlah kamu nak mengadu yang kamu miskin. Kamu angkat tangan waktu majlis pilihan raya itu dan beritahu masalah kamu ialah zon taman laut. Orang JB tanya apa masalah zon taman laut? Takkanlah orang JB tak tahu apa masalah zon taman laut terhadap nelayan?

Kamu jelaskan kepada orang JB, ia adalah zon yang diwartakan kerajaan dan kamu tidak dibenarkan menangkap ikan di situ. Oleh sebab kamu nelayan tradisional yang tiada kemudahan peralatan menangkap ikan, kamu tidak berani pergi jauh dari zon taman laut itu. Perahu yang kamu punya pun adalah sewaan dari majikan anak kamu. Anak kedua kamu itu bekerja sebagai awak-awak, dan bergantung hidup dengan pemilik modal kaya.

Kebanyakan kawan-kawan dan jiran-jiran kamu pun tak punya perahu. Semua ikut menyewa. Kamu hanya punya jala, pukat, dan pancing yang tidak mendatangkan pulangan lumayan.

Orang JB bertanya, siapa pemilik modal kaya? Kamu pun menyebut sekian-sekian nama. Air muka orang JB berubah. Kamu pun cuak. Adakah kamu salah sebut?

Sebetulnya pemilik modal kaya itu memang kaya. Dia orang JB yang lebih JB dari orang JB. Orang yang JB yang lebih JB dari orang JB itu boleh masuk zon taman laut dengan bot besar dan lajunya. Kadang-kadang, kata orang JB, pemilik modal kaya dan orang JB yang lebih JB dari orang JB itu akan bawa keluarga mereka untuk bercuti atas bot seraya melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan.

Waktu kempen pilihan raya itu orang JB ada datang angkut doktor dan juru rawat. Dalam ucapan orang JB dia ada katakan kesihatan itu penting. Maka eloklah para nelayan membuat ujian saringan untuk mengesan awal penyakit. Harap-harap tak ada Covid, kata orang JB.

Selepas ucapan orang JB, kamu pun pergi menghadap seorang juru rawat yang akan memeriksa tekanan darah. Kata juru rawat tekanan darah kamu 140/90 dan itu tanda hipertensi. Bila kamu tanya apa itu hipertensi, juru rawat mengatakan ia adalah peningkatan tekanan darah sistolik yang berlarutan melebihi 140 mmHg.

Kamu tak mahu nampak bodoh. Jadi kamu tidak bertanya lebih.

Selepas beberapa siri periksa dan periksa ada seorang doktor benggali memberitahu yang fungsi paru-paru kamu berbahaya. Dia bertanya, apakah kamu merokok. Kamu menjawab ya. Sebab, semua nelayan pun merokok.

Kemudian dia bertanya lagi mungkin kamu ada menggunakan racun perosak. Kamu menjawab ya. Sebab itulah kerja sampingan kamu, merumput dan meracun. Kemudian doktor benggali itu beritahu, mungkin sebab kamu sebagai nelayan terdedah kepada embun dan kedinginan.

Doktor juga kata kamu ada pterygium iaitu pertumbuhan lapisan luar mata putih. Doktor beritahu yang itu berlaku kerana para nelayan terdedah kepada cahaya matahari untuk tempoh yang lama, sehingga kini kamu mendapat radiasi solar.

Kamu menganga sahaja dengan penerangan demi penerangan daripada doktor benggali itu? Kamu malas memikirkan, sebab, kamu tahu lambat laun kesihatan manusia memang akan merosot. Dan lama-kelamaan manusia akan mati.

Orang biasa mati habis cerita. Orang ada-ada mangkat cerita masih banyak tak habis.

Lepas usai ceramah politik orang JB itu, ada datang pula kerumunan kempen pilihan raya dari sebuah parti lain. Menurut mereka, mereka bukan datang dari JB, tapi berharap untuk menggantikan orang JB yang datang melawat mereka memberikan hadiah jala dan pukat itu.

Mereka juga kata sanggup lawan orang JB yang lebih JB dari orang JB yang membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan. Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB itu bertanya apakah masalah kamu.

Takkanlah kamu nak mengatakan kamu miskin? Maka kamu menjawab masalah kamu ialah zon taman laut. Sebab memang itu pun masalah kamu. Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB itu minta kamu huraikan masalah kamu itu.

Kamu bilang di bawah Akta Perikanan 1985 ada sepuluh kesalahan dengan aneka denda dikenakan. Semua orang kampung kamu pernah didenda pasukan marin. Memanglah denda itu tidak besar, 100 ringgit, tetapi 100 ringgit itulah buat macam-macam untuk orang miskin macam kamu.

Kamu pernah didenda sekali. Anggota pasukan marin itu beritahu yang kamu didenda kerana kamu berada dalam taman laut tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah. Kamu berada dalam rizab laut itu kerana kamu ingin menangkap ikan.

Bukannya kamu mengalihkan sebarang haiwan akuatik pun. Tak ada pun tumbuhan akuatik mati. Bukannya kamu mengorek pasir dan batu kelikir pun. Tidak ada pun kamu melabuhkan vesel atau menjatuhkan pemberat ke mana-mana karang.

Memang tak ada kamu mencacatkan apa-apa habitat hidupan akuatik. Tak ada. Sumpah tak ada. Tapi kamu marah. Kamu marah dan sanggah. Kamu bantah kerana kamu pernah lihat orang JB yang lebih JB dari orang JB membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan.

Anggota pasukan marin hanya menjawab, ‘Dia tak apa. Taman ini dia punya. Malah kita pun dia punya.’

Kamu berfikir, kerana yang memiliki diri kamu hanyalah Tuhan. Takkanlah orang JB yang lebih JB dari orang JB membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan itu Tuhan?

Kamu malas bertengkar, kamu terpaksa membayar denda. Lain-lain kali kalau kalau kamu nampak atau dengar dari orang perihal rondaan marin, kamu memang tak akan turun ke laut. Memang keringlah hari itu. Susutlah sumber pendapatan kamu.

Hati kamu sakit, dan kamu tidak mahu hati kamu tambah tercedera bila bertembung dengan anggota marin yang akan beritahu bahawa orang JB yang lebih JB dari orang JB itu ada hak membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan dalam kawasan taman laut.

Kamu tak boleh tapi dia boleh.

Kamu beritahu anak-anak kamu. Kalau dah besar sedikit, pergilah ke mana-mana Felda cari kerja. Asalkan jangan ketagih dadah sudah. Kamu juga berpesan agar anak-anak kamu pergilah kerja di Singapura. Asalkan jangan seludup dadah sudah. Kalau tertangkap, nanti digantung, walaupun IQ rendah.

Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB faham masalah kamu. Menurut orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB itu dia tidak tergamak menyogok atau merasuah kamu dengan jala dan pukat. Sebab pukat dan jala bukan penyelesaian masalah.

Nanti lima tahun lagi pukat dan jala sudah rosak, kamu akan dapat lagi dari orang JB lain peralatan menangkap ikan yang sama. Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB beritahu kamu yang mereka ada saranan yang lebih elok bila mereka dapat menawan JB kelak.

Cadangan orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB ialah mereka akan menubuhkan koperasi nelayan kecil pinggir pantai. Harap koperasi ini nanti dapatlah mengatasi masalah berkaitan penzonan kawasan perikanan mengikut batu nautika.

Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB juga berjanji akan berusaha melarang penggunaan pukat tunda di kawasan laluan nelayan kecil. Kamu juga difahamkan yang orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB akan meminda isu reka bentuk Taman Laut agar penduduk setempat dapat dibezakan dengan orang asing.

Kamu menimbulkan kepada orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB tidakkah kelak orang JB yang lebih JB dari orang JB dan ada hak membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan dalam kawasan taman laut, akan meruok marah kerana dia itu lebih tinggi dan lebih kaya daripada orang JB yang berharap menawan JB?

Dia senyum. Dia suruh kamu baca surat. Ini surat untuk kamu. Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB berpesan supaya kamu keluar mengundi.

Kamu angguk. Kelmarin bila Haikal anak kamu yang kerja di McDonald Yishun, Singapura itu menelefon; kamu ada beritahu dia supaya dia pulang mengundi.

Tetapi anak kamu itu beritahu yang dia tidak boleh pulang. Sebab mana ada duit nak pulang? Kamu berpesan kepada Haikal agar mengundi pos. Orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB merayu Haikah supaya mengundi pos.

Anak kamu itu sungguh aneh dengan kamu. ‘Kenapa sekarang ayah beria-ia? Masa dulu tak macam ini pun?’

Kamu hanya membalas bahawa kamu ingin orang bukan dari JB yang berharap dapat menawan JB itu memang kelak berhasil menawan JB, dan kamu harap orang JB yang lebih JB dari orang JB dan ada hak membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan dalam kawasan taman laut akan serba sedikit segan sebab rakyat dan nelayan macam kamu sudah mulai reti.

Kamu tak mahu beri undi kepada orang JB yang bawa doktor dan juru rawat untuk beritahu kamu benda-benda yang kamu tidak faham.

Kamu mahu berubah. Perubahan itu baik. Enjin dan perahu kamu mesti ditukar. Kamu berpesan kepada anak kamu agar pulang membuang undi, atau kalau tidak dapat cuti dan leceh untuk balik, supaya mengundi saja secara pos. Bila mengundi itu baca Bismillah supaya tak ada orang jahat menipukan undi pos itu.

Kamu tahu sudah keperluan untuk kamu membetulkan keadaan. Untuk kamu mengajar orang JB yang lebih JB dari orang JB dan ada hak membawa keluarganya bersiar-siar makan angin atas bot untuk melihat matahari terbenam ciptaan Tuhan dalam kawasan taman laut itu tentang hak kamu pula.

Kamu mahu orang Johor Baharu dan sesiapa yang lebih JB dari orang JB itu tahu akan hak kamu.