Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Amerika punca konflik Ukraine?

KOLUM | Saya melihat naratif yang tidak seimbang dalam penyebaran berita berkaitan konflik di Ukraine pada ketika ini.

Sejak tercetusnya konflik ini, kefahaman masyarakat dunia dipandu ke arah mempercayai barat adalah di pihak yang benar, dan diracuni pula agar meyakini bahawa Rusia adalah salah dan sebuah negara yang jahat.

Propaganda ini telah lama berlegar, hampir kebanyakan filem Hollywood jelas memperlihatkan bahawa Rusia adalah pusat kepada pelbagai aktiviti jenayah melalui mafia dan kegiatan keganasan yang sentiasa mengancam keselamatan dunia.

Melalui pengalaman sendiri, pernah berada di Rusia dan negara kesatuan soviet, saya melihat propaganda jahat barat yang diketuai Amerika.

Memang tiada negara yang sempurna, tetapi sebenarnya Rusia juga adalah negara yang amat toleran terhadap kepelbagaian etnik dan budaya serta mempunyai kadar rasisme yang rendah berbanding Amerika dan Eropah.

Rusia juga mempunyai meraikan kepelbagaian agama dan memiliki tidak kurang 25 juta Muslim serta mempunyai negeri autonomi seperti Chechnya dan Ingushtia yang diiktiraf Rusia.

Pelbagai lagi aspek positif tidak diberitakan kepada dunia tentang Russia selain dari kegagalan Rusia menguasai media utama dunia.

Melihat kepada apa yang terjadi di Ukraine pada ketika ini, masyarakat perlu mengetahui apa dan siapa yang menjadi punca konflik ini serta cara penyelesaiannya.

Punca Masalah:

1. Apabila Amerika dan NATO ingin memasukkan negara-negara bekas Soviet Union (Russia) termasuklah Ukraine ke dalam NATO.

Ini mengakibatkan Russia tidak gembira, pelbagai kepentingan Rusia sejak dari Kesatuan Soviet bakal berpindah tangan kepada Amerika dan NATO. Yang terbesar adalah Servastopol Naval Base di wilayah Krimea. Ia termasuk antara lokasi penting dalam sejarah Rusia yang menempatkan pelbagai aset kelautan termasuklah kapal selama sejak kurun 17 dan pintu utama menguasai Laut Hitam.

Selain itu pelbagai aset ketenteraan strategik sebenarnya sudah dikuasai NATO melalui keahlian yang dilakukan secara agresif sejak 1997 bagi menyekat kemaraan Russia.

2. Ini adalah kelangsungan perang dingin antara blok Barat dan Timur. Sejak berakhirnya perang dunia kedua hingga sekarang, ‘perang’ antara Barat dan Rusia sentiasa wujud dan berterusan termasuklah perang proksi Rusia-Afghanistan 1979-1989.

Kedua-dua puak melihat satu sama lain sebagai musuh dan pelbagai propaganda, misi rahsia dan intipan dilakukan bagi melemahkan satu sama lain.

3. Terjejasnya perancangan ekonomi Rusia terutamanya melalui pembinaan paip Gas dan Minyak di wilayah Balkan dan sekitarnya. Kerjasama Rusia, Turki dan China adalah merupakan ancaman terbesar bagi Amerika pada ketika ini termasuklah penggunaan teknologi terkini dan rangkaian 5G.

Pembinaan laluan gas terbaru Turk Stream 1, Turk Stream 2 dan Blue Stream akan menyebabkan Rusia menguasai pasaran Eropah dan sebahagian besar dunia.

4. Penguasaan Rusia melalui Nord Srream 1 dan Nord Stream 2 yang diselenggara oleh Gazprom ke atas lebih 35 peratus bekalan gas asli ke Eropah melalui Belarus dan Jerman.

Kadar kebergantungan dijangka naik kepada 50 peratus pada 2030. Ini menggusarkan Amerika kerana akhirnya Eropah terpaksa tunduk kepada Russia kerana keperluan mereka kepada gas yang dibekalkan oleh Rusia termasuklah pembinaan laluan terbaru melalui Turki dan Ukraine.

5. Hegemoni Amerika melalui peluasan gabungan NATO. Hingga kini sebanyak 23 negara sudah menjadi ahli gabungan NATO termasuklah wilayah-wilayah bekas kesatuan Rusia.

Amerika melalui NATO amat memerlukan Ukraine untuk melemahkan Rusia. Hanya beberapa negara lagi (bersempadan dengan Rusia) yang masih tinggal antaranya Belarus, Georgia dan Azerbaijan.

Akhirnya akan terlihat bahawa Rusia dikelilingi oleh NATO dan ini adalah merbahaya untuk kedaulatan Rusia. NATO juga akan membina pangkalan tentera dan memindahkan aset-aset ketenteraan di mana sahaja mereka mempunyai jaringan dan ini tidak disenangi Russia.

6. Penggunaan matawang Euro secara besar-besaran dalam transaksi minyak dan gas antara Eropah dan Rusia dilihat akan melemahkan dan memusnahkan ekonomi Amerika dan seterusnya memperkukuh Rubble dan juga Remimbi.

Sejarah membuktikan mana-mana negara yang cuba mengalihkan penggunaan matawang USD dalam transaksi mereka adalah subjek untuk dicerobohi sebagaimana yang berlaku di Iraq, Syria dan Somalia. Seteruk mana pun Korea Utara, selagi masih memerlukan dan menggunakan USD, maka ia akan kekal seadanya.

7. Taktik Amerika bagi mengalih perhatian daripada masalah ekonomi yang sedang dihadapinya. Biden dari parti Demokrat, parti yang dari segi sejarahnya pasti akan mencetuskan peperangan dalam setiap penggal pemerintahannya.

Kelembapan ekonomi akibat Covid juga adalah ancaman buat Amerika ketika ini. Cara atasinya adalah dengan ‘mencipta’ peperangan bagi mengalih tumpuan rakyat Amerika dan penjualan senjata kepada negara sekutu NATO.

Russia mangsa permainan licik Amerika

Russia pada ketika ini adalah mangsa permainan licik Amerika, dalam masa yang sama memperlihatkan kegagalan Rusia menguasai media.

Melalui NATO, Amerika melemahkan Rusia dan menempatkan pelbagai aset ketenteraan dan menguasai teknologi Rusia tinggalan dari Kesatuan Soviet.

Media yang dikuasai Amerika melakukan pelbagai propaganda bagi melihatkan betapa jahatnya Rusia dan penjajahan ke atas Ukraine oleh Rusia sepertinya tidak boleh dielakkan.

Ejen-ejen Amerika melalui pelbagai medium termasuk penyelidikan dan institusi akedemik serta NGO didanai mereka bagi menjalankan propaganda jahat ke atas Russia.

Kemajuan ekonomi Rusia dengan kerjasama Turki dan China perlu dsekat kerana ia adalah ancaman terhadap kelangsungan Amerika dalam menguasai dunia.

Kelembapan ekonomi Amerika perlu dipulihkan dengan cara mencipta peluang penjualan senjata secar besar-besaran melalui peperangan.

Mengalihkan tumpuan rakyat Amerika dari isu-isu politik dalam dan kelembapan ekonomi.

Penyelesaian di tangan Amerika

Butang penyelesaian ada di tangan Amerika, caranya ‘tangguh’ keahlian Ukraine sebagai ahli NATO dan melakukan pengunduran pasukan tentera NATO yang diketuai Amerika daripada mana-mana pengkalan tentera di wilayah bersempadan dengan Rusia.

Rusia tidak akan menjajah Ukraine sebagimana yang dinyatakan oleh Putin. ‘Status-quo’ Rusia ke atas Krimea akan kekal seperti sebelumnya.

Dunia tidak perlu dilibatkan dalam peperangan sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika di Iraq, Syria, Afghanistan, Somalia dan lain-lainnya.


MOHD MIZAN ASLAM ialah pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.