KOLUM | Betapa babinya rasuah
Bergolek jatuhnya kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021. Kita jatuh berguling ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020. Tidak ada yang romantis mengenai jatuh bergulingan ini. Ingat, ini bukan cerita Hindustani. Malaysia jatuh ini ditimpa babi rasuah.
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, Malaysia mencatatkan skor 48 berbanding sebanyak 51 peratus pada tahun 2020. Penskoran ini dibuat dengan mengambil kira senarai jumlah 180 buah negara.
Skor dicatatkan Malaysia ini menjadikan negara kita buat pertama kalinya sejak 2012, dikelompokkan dalam dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100.
Sebagai bandingan, Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja masing-masing naik skor mereka. Tidaklah menghairankan jika pelabur beramai-ramai berhijrah ke sana. Betapa babinya korupsi.
Malaysia yang kini ditadbir kerajaan Melayu Islam hidup bersama-sama negara Islam lain yang ikut jatuh bergolekan skor rasuah mereka iaitu UAE, Oman, Senegal, dan Maldives. Buat malu Islam.
Akan tetapi apakah korupsi? Mengapakah ia babi dan mengapakah negara Islam, lebih-lebih lagi Melayu-Islam harus rasa aib dan malu?
Menurut ICAC, Hong Kong’s Independent Commission Against Corruption sebuah badan yang sering mendapat pujian kerana kerja-kerja pembanterasan rasuah dan korupsinya; korupsi berlaku apabila seseorang individu menyalahgunakan kuasa yang ada dalam tangannya untuk beroleh keuntungan sendiri di atas kos, pembayaran atau pemilikan orang lain, khususnya publik.
Kejatuhan mendadak dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ini berlaku sesudah kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokratik dalam pilihan raya umum 2018 digolekkan seguni pengkhianat hingga membawa kepada dua pentadbiran bersilih ganti iaitu di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan BN.
Kedua-dua pentadbiran kerajaan ini harus diingat tegak atas tawaran habuan. PAS yang terdiri dari alim-ulama ikut bersama dalam kerajaan sekarang, boleh ikut dipersalahkan lantaran babi korupsi ini.
Kejatuhan skor Malaysia ini antara lain berlaku kerana reformasi institusi mengalami kebekuan. Tiada tekad misalnya untuk menjadikan Akta Pendanaan Parti Politik berjaya. Ekoran dari itu politik wang semakin berleluasa, malah menjadi-jadi ketika pilihan raya negeri Melaka, dan korupsi ditegakkan menerusi pelbagai skema. Segala mekanisme semak imbang diabaikan, ini termasuklah usaha untuk memeriksa dan memantau pasukan penguatkuasaan seperti pihak polis.
Tipu daya politik
Selain itu reformasi untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang disarankan pada 2015 terbantut. Kes-kes rasuah yang dilepaskan (acquittal or discharge not amounting to acquittal) untuk individu berprofil tinggi terus berlaku. Ia terjadi tanpa penjelasan tuntas dari pejabat peguam negara.
Transparency International Malaysia (TI-M) turut memetik kes SRC dan 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri masih belum selesai. Setiap tipu daya politik sejak Langkah Sheraton turut disorot. Insiden penggantungan parlimen, perbelanjaan negara tanpa debat dan penilaian menyeluruh ketika darurat juga menjadi sebab Malaysia jatuh ke tangga bawah.
Betapa babinya rasuah. Semua jahanam di atas terjadi ketika negara di bawah Abah.
Untuk pulih, Transparency International Malaysia (TI-M) menyeru agar perlaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) disegerakan. Ahli politik baik kerajaan mahupun pembangkang jangan berdolak-dalik dan harus tekad membentangkan Akta Pembiayaan Dana Politik.
Selain itu wajib ada reformasi yang membawa kepada kebebasan dan ketelusan institusi utama seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara. Selagi Akta Antilompat Parti atau Mengadakan Pilihan Raya Pecat tidak dilaksanakan, selagi itulah negara ini akan terlacurkan oleh rasuah dan korupsi. Perubahan positif ini harus juga mencakupi pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 dan reformasi parlimen.
Korupsi adalah selembah najis babi yang amat berat dan harus dimusuhi. Terdapat lapan akibat bagaimana korupsi boleh menjahanamkan sesebuah negara.
Pertama, korupsi mengakibatkan kualiti perkhidmatan dan barangan awam jatuh. Misalnya, korupsi akan mengakibatkan rumah sakit atau sekolah berada dalam keadaan yang buruk. Korupsi misalnya mungkin meletakkan kerusi meja anak-anak kita di sekolah - ekoran tidak digantikan, atau digantikan dengan mutu rendah - menjadi berbahaya. Hospital yang uzur dan dilanda korupsi mungkin tidak dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
Kedua, korupsi membuka jalan kepada projek-projek yang tidak diperlukan; justeru pembaziran wang awam. Kita misalnya mungkin diberikan Taman al-Quran yang indah siap dengan rehal dan khat berkelok, dibangunkan dengan menggunakan wang rakyat. Ini demi membolehkan orang tertentu beroleh projek ini. Sedangkan jalan berlubang, penduduk Sri Muda terbenam kelemasan, manakala sampah sarap tidak berkutip.
Ketiga, penguatkuasaan tidak lagi berlaku dengan licin malah sesuka hati apabila korupsi menimpa negara. Sebuah kilang makanan yang kotor bertikus misalnya hanya terjadi kerana penguatkuasa perbandaran tidak mengambil tindakan sewajarnya. Ini berlaku kerana ada agihan wang tepi tanpa disangka.
Jatuh ke gaung jahanam
Keempat, korupsi menyebabkan orang miskin bertambah melarat. Maka orang miskin dan papa tidak dapat keluar dari lingkaran yang sama lantas terus jatuh ke dalam gaung jahanam.
Kelima, hasrat negara dari segi ekonomi untuk maju dan membangun tidak akan berjaya lantaran adanya korupsi. Pelabur melarikan diri. Manakala wang rakyat disalurkan dan diketengahkan untuk perkara yang tidak perlu.
Keenam, dalam keadaan tertentu, korupsi mendorong diskriminasi di mana si perasuah akan beroleh layanan yang lebih baik meskipun tiada merit untuk beroleh layanan tersebut.
Ketujuh, akibat rasuah yang dahsyat juga adalah berlakunya bencana alam ekoran tangan manusia. Tanah runtuh, jalan mendap, banjir buruk sebagai contoh bermula dengan rasuah dan korupsi di mana misalnya seseuah kawasan yang rendah dan tidak boleh dijadikan tapak perumahan telah didiamkan oleh habuan, sehinggalah taman kediaman dibina. Sepuluh dua puluh tahun kemudian dek petaka rasuah itu maka dapat dilihat kesan kejiranan mengalami bah, sehingga ada kematian.
Kejadian banjir ekoran pembalakan juga merupakan satu lagi tanda rasuah yang jelas.
Kelapan, korupsi membawa kita kepada pelanggaran hak asasi manusia. Ini kerana korupsi adalah racun kepada demokrasi. Seseorang atau sejabatan penguatkuasa yang mendapat duit suapan daripada pemaju projek misalan akan bertindak menyerbu tapak pembinaan di hujung bulan. Pemaju tidak perlu membayar wang gaji buruh dan kuli, ini setelah titik peluh mereka diperah. Manakala lingkaran penindasan baru akan dicetuskan semula, kuli dan buruh baru diupah kembali; dan kesialan yang sama berulang.
Malaysia akan mengalami kebabian yang sangat teruk jika korupsi dibiarkan. Di bawah kerajaan sedia ada, tidak nampak ada usaha dan nekad untuk membaiki gejala korupsi yang malang ini. Hari ini negara ini jatuh bergolekan.
Esok lusa kita akan melihat Malaysia menjadi negara pariah. Di pilihan raya negeri Melaka, Sarawak (dan Johor) nanti, orang bodoh akan mengheret kebodohan mereka di peti undi. Korupsi akan diundi lagi. Negara akan jatuh bergolek lagi.
Betapa babinya. Betapa!
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai