KOLUM | Milik siapakah balak ini
Kalau tidak kerana media sosial tidak ada siapa yang akan percaya dan yakin bahawa terdapat banjir balak di Pahang, khusus di Telemong, Bentong.
Kalau tidak kerana media sosial tentu sahaja orang awam akan menelan bulat-bulat pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau haram di dalam Hutan Simpan Lentang, Bentong.
Mungkin orang awam akan telan sahaja hujah kejadian itu berpunca daripada kepala air di lokasi terbabit yang dikatakan bermula di Hutan simpan Lentang susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari antara 16 ke 18 Disember tahun lalu.
Akan tetapi mujur ada media sosial. Maka rakyat berani bertanya terang-terangan. Mujur juga ada media sosial maka video banjir balak itu dapat dikongsikan oleh rakyat seluruh negara.
Mujur sungguh ada media sosial maka kita semua dapat melihat bagaimana banjir lumpur telah menghanyutkan sama ribuan batang kayu di pekan Karak, Bentong, Pahang.
Gambar dan video yang dirakam oleh orang awam atau diambil oleh wartawan tular beredaran. Balak yang mengapung dalam banjir lumpur ini mengakibatkan kehancuran ratusan buah rumah di beberapa buah kampung, dan dikatakan meragut 10 nyawa.
Ada kanak-kanak yang terkorban malah. Sungguh menyayat hati melihat beg mainannya ditemukan terbenam dalam lumpur, bersama sisa balak.
Foto oleh Farizul Hafiz Awang untuk NSTP malah patut menjadi foto unggul tahun 2021. Terakam rupa longgokan ribuan kayu-kayan serta aneka serpihan hutan yang menghalang aliran Sungai Telemong dan ikut menjadikan bencana banjir besar pada 18 Disember lepas satu malapetaka menakutkan.
Adun Sabai, Kamache Doray Rajoo dilaporkan menggesa agar ada penerangan bagaimana ribuan serpihan kayu boleh berada di sungai itu.
Pertanyaan beliau; “Soalan saya adalah, dari mana kayu-kayu balak dan serpihan di dalam Sungai Telemong ini datang? Bagaimana boleh ada di sini. Pihak berwajib perlu menyiasat dan menjelaskan kebenaran ini kepada rakyat.”
Aminuddin Yahaya, Pengerusi PEMBELA ikut bertanya; “Persoalannya, dari manakah balak-balak ini datang? Syarikat pembalakan manakah yang terlibat? Nampaknya ini bukan aktiviti balak ‘biasa-biasa’, tetapi pembalakan ‘mega’ yang tidak sengaja terlondeh dek kuasa Allah Yang Maha Kuasa ini.
Yang paling penting, agensi manakah yang bertanggungjawab membiarkan atau lagi teruk, membenarkan kebobrokan ini berlaku?”
Dua orang ahli akademik ada jawapan untuk Aminuddin Yahaya, mungkin beliau tidak akan suka akan jawapannya.
Jadi, rakyat baik apa fahaman politik pun inginkan jawapan. Rakyat yang mujur ada media sosial dan tidak lagi mudah dibohongi telah bertanya; ‘Milik siapakah balak ini?’
Seandainya Sudirman masih hidup, Sudir tentu menyanyikan lagu dengan lirik seperti di atas. Allahyarham Sudir pun orang Pahang.
Saksi dan mangsa banjir balak ini dilaporkan memberitahu kedahsyatan kejadian banjir balak tersebut, misalnya Abdul Ghani Taib menceritakan; "Dari rumah saya yang tidak jauh dari sungai, saya nampak kayu-kayu balak mulai menghempas jalan raya dan rumah-rumah sekitar Telemong.”
Kalau kita menerima bulat-bulat dakwaan bahawa kepala air penyebab banjir besar di Bentong tersebut, kita rakyat yang mujur ada media sosial tak hadam begitu sahaja bahawa balak itu muncul secara kun fa ya kun.
Balak melanda rumah sehingga jahanam ini bukan kisah biasa. Bukan kepala air biasa. Tentu ada pertanyaan yang meleret dikemukakan oleh kita rakyat yang mujur ada media sosial dan tidak lagi senang ditipu senang-senang.
Kepala air satu faktor, tetapi balak itu tidak terbit tanpa semena-mena. Bak kata pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, pembalakanlah penyebab penggondolan hutan yang kemudian menyebabkan pula hakisan tanah tinggi bersifat ekstrem dengan bukit serta tebing sungai mudah mengalami tanah runtuh.
Profesor Ibrahim menyuarakan hal ini pada bulan Januari 2021, banjir balak pula terjadi Disember 2021. Maka kita boleh lihat bagaimana nasihat pakar telah dipersetankan.
Jadi, hujan lebat satu hal; balak satu hal lain. Jangan terpedaya, dan syukurlah kita rakyat ada media sosial untuk tidak mudah dikekcawankan secara begitu sahaja.
Bahkan sejak 2015, Utusan Malaysia pernah membuat sorotan bahawa banjir di Karak, Pahang antara lain disebabkan oleh aktiviti pembalakan. Dalam siasatan media tersebut, sejak tahun 1985 lagi banjir lumpur dan balak telah menimpa rakyat tidak sudah-sudah. Untuk rekod antara tahun tersebut, Pahang diperintah oleh parti Barisan Nasional dengan Umnosebagai teraju utama.
Jadi kita bertanya lagi, milik siapakah balak ini? Pertanyaan Aminuddin Yahaya, Pengerusi PEMBELA ada pada penat lelah kajian dua orang ahli akademik.
Untuk menjawab kemusykilan ini, rakyat yang acah bertanya seperti Aminuddin boleh merujuk kepada perengganan dari buku tulisan Profesor Fadzilah Majid Cooke, dengan tajuk ‘The Challenge Of Sustainable Forests: Forest Resource Policy In Malaysia’ di halaman 98. Beliau menyatakan begini:
“In Pahang, timber licences are useful for rewarding political supporters before and after elections. Before elections, funds are needed for party coffers in order to move the party machine and to mobilise support.’’
Ia tidak berakhir di situ, Profesor Fadzilah ada menjejerkan hujah-hujah lain yang menjolok rasa di halaman 101. Aminuddin boleh baca, jika benar ikhlas mencarikan jawapannya.
Bahkan jika Aminuddin Yahaya orang kuat ISMA tidak berhenti setakat itu dan rajin membaca lagi, dia akan menemukan pula karangan ilmiah Profesor J. Kathirithamby-Wells (bekas pemegang Kursi Sejarah Asia di Universiti Malaya dan mengajar di Cambridge) dalam buku beliau, ‘Nature and Nation: Forests and Development in Peninsular Malaysia’, terbitan tahun 2005 oleh NUS Press; di mana di halaman 375 beliau turut menghuraikan perihal kerumitan isu pembalakan di negara ini.
Di sinilah, menurut Kathirithamby-Wells datangnya Dr Mahathir Mohamad yang pada bulan Januari 1993, “issued a directive to the Ministry of Primary Industries to wage an all-out war against illegal logging and the Prime Minister instructed the Solicitor-General to investigate weaknesses in the laws to logging concessions”.
Namun demikian usaha Dr Mahathir itu ada limitasinya, seperti terlihat pada 18 Disember 2021 lalu, ia jelas tidak membuahkan hasil. Profesor J. Kathirithamby-Wells dalam buku beliau, ‘Nature and Nation: Forests and Development in Peninsular Malaysia’ itu, khusus di halaman 375 menjelaskan serba-sedikit mengapa perjuangan Dr Mahathir Mohamad untuk membanteras pembalakan tersengkang. Aminuddin patut baca.
Untuk pertanyaan yang banyak dikemukakan oleh media dan orang awam, milik siapakah balak ini; dan untuk pertanyaan Aminuddin Yahaya, Pengerusi PEMBELA itu, jelaslah jawapannya ada pada ketekunan dan keilmiahan kajian dua orang ahli akademik yang ikhlas dan jujur.
Jika Aminuddin Yahaya ikut baca dua buku yang saya sebutkan itu dengan hati terbuka, dia barangkali akan pusing menyokong peratifikasian Konvensyen Antarabangsa ICERD. Tapi itulah Aminuddin...itulah dia.
Kedua-duanya bukan profesor kongkang. Kajian dua orang profesor ini sungguh balak dan agam sifatnya jika rapi dibaca.
Ya, mujur ada perpustakaan. Dan mujur ada buku elektronik. Mujur dua buku ini terjual di Amazon. Mujur ada pembaca muda tak kira apa faham politik yang ghairah bertanya. Mujur Dr Mahathir masih hidup untuk kita tanyakan kembali, milik siapakah balak ini dan apakah yang terjadi pada bulan Januari tahun 1993 itu.
Mujur semua itu, jika tidak, pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada secara sah atau haram di dalam Hutan Simpan Lentang, Bentong akan memadamkan kisah-kisah balak menghempas jalan dan kediaman.
Kisah tragis balak melanda keluarga dua orang kanak-kanak yang sedang bercuti. Kisah kematian.
Mujur ada laman web, ada portal berita atas talian, dan ada media sosial. Maka rakyat boleh melakukan kajian sendiri. Mujur betullah ada tiktok, ada facebook, ada twitter, dan ada instagram maka dapatlah video dan foto banjir balak yang demikian menjahanamkan itu dapat dikongsikan oleh rakyat seluruh negara.
Syukur sungguh ada media sosial kita tidak senang-senang dibodohkan.
Rujukan
Suzalina Halid. 2021. Pembalakan secara meluas faktor utama banjir besar. 14 Januari. Berita Harian.
Utusan Malaysia. 2015. Kegiatan Pembalakan Jadi Punca. 13 November. Utusan Malaysia.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai