Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Cerita sebuah NGO Nusantara

Nama NGO kami ialah Persatuan Kebajikan Jalinan Nusantara Malaysia atau untuk lebih ringkas agar mudah dikenali ramai, Jalinan Nusantara Malaysia (Nusantara Malaysia).

Pertubuhan ini ditubuhkan pada hujung 2019 oleh kami di Melaka. Pada 5 Feb 2020, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan Nusantara Malaysia. Awalnya kami merancang penubuhan sebuah yayasan bersifat serantau tetapi tidak kesampaian ekoran jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Menteri Melaka pada masa itu, Adly Zahari, berkongsi idea dengan saya untuk mewujudkan satu mata rantaian kerjasama serantau menggunakan unsur kebudayaan sebagai pemangkin gerak kerja.

Selepas kejatuhan kerajaan PH Melaka dan beberapa negeri lain, kami terhenti seketika ekoran perintah kawalan pergerakan yang dikenakan di seluruh negara.

Sewaktu tempoh kurungan itu, kami menerbitkan puluhan video dokumentari atas nama Melaka 5 Minit yang dapat ditonton di YouTube. Video dokumentari itu memfokuskan perihal pensejarahan, tamadun dan kebudayaan di Nusantara.

Antaranya dokumentari tentang Bukit Melaka, Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani, Kapitan Melayu, Usman Awang, Ghafar Baba, Masjid Kling, Masjid Tengkera dan sebagainya.

Pada masa yang sama, saya menulis mengenai topik-topik yang sama dan sedang diusaha untuk dibukukan atas tajuk Melihat Tanah Air. Rancangannya buku tersebut adalah untuk berkongsi perspektif melihat tanah air dari sudut kebudayaan.

Saya merancang untuk menulis melalui pengalaman dan pengembaraan sebenar di tempat-tempat yang berkaitan.

Cuma kecil dan baru

Menyedari kerja-kerja kebajikan ini adalah sebahagian daripada unsur penting dalam budaya kita bermasyarakat terutamanya di Nusantara, kami percaya usaha kecil itu boleh membentuk satu rangkaian kerja kebajikan yang lebih menyeluruh.

Nilai bermasyarakat itu intinya ialah konsep gotong-royong. Konsep ini dikatakan unik berbanding apa yang ada dalam tamadun lain dunia.

Walaupun ada konsep tolong-menolong, prihatin dan berkasih sayang tetapi konsep gotong-royong masyarakat Nusantara ada kelainannya. Ini bukan kami saja-saja sebut.

Ini pandangan sarjana antropologi Nusantara terkemuka, Prof Dr Koentjoroningrat.

Musibah banjir hujung tahun lalu benar-benar menyentak kita semua. Sesuatu perlu dilakukan oleh rakyat semua. Moto ‘rakyat bantu rakyat’ selepas kegagalan kerajaan mengurus musibah bagai satu hentakan untuk kami agar turut membantu. Sayangnya kami hanya kecil dan baru.

Persatuan kami kecil, ringkas namun terbuka. Azam Mektar, anak muda Johor menjadi pengerusinya manakala Syamsul Alaudin dari Perak sebagai Setiausaha. Muzafar Shah dari Melaka dilantin menjadi bendahari.

Sewaktu kami menubuhkan Nusantara Malaysia, ia tidak dipersiapkan untuk bersaing dengan sesiapa, bahkan menjadi pelengkap kerja kebudayaan serantau. Salah satu teras kepada kelestarian kebudayaan masyarakat Nusantara adalah budi dan bahasa.

Dengan pepatah ‘orang berbudi, kita berbahasa’, kami bergerak dari sudut kebudayaan. Itulah jalan siasah kami. Meramaikan kawan, meraikan lawan. Lalu kami mulakan kerja menggunakan dana sendiri untuk menjana modal bekerja.

Usaha kami yang sedikit kemudian dibantu oleh orang ramai yang turut prihatin dan terkesan musibah yang menimpa.

Nusantara Malaysia mula menghantar sumbangan orang ramai ke Shah Alam, Sepang, Kota Raja dan Puchong. Kami sama-sama berkongsi derita dan menghargai rasa kasih sayang sesama insan.

Namun berat mata memandang, berat lagi memikul. Timbunan sampah di merata-rata tempat, rumah berselaput lumpur, barangan rosak dan segala kemusnahan yang jelas di depan mata adalah suasana yang terpaksa dihadapi.

Itu tidak termasuk lagi rasa ketakutan, kelaparan, ketidaktentuan, keterancaman dan seribu satu persoalan jiwa rakyat ketika itu. Sukar untuk digambarkan dengan ayat.

Tidak terbayang sukarnya jika hanya mereka sendiri mengurus kesan-kesan banjir berkenaan. Terkial-kial bagai biduk dilambung ombak. Berapa hari lagi harus begini?

Jauh dan dekat bersama-sama

Sewaktu kami ke Kampung Kebun Bunga di Shah Alam yang terletak di atas kawasan agak rendah - dengan kawasan berhampiran lebih dibangunkan - ia ditenggelami air sehingga ke bumbung.

Air dari Sungai Damansara yang bersebelahan melimpah dengan pantas. Penduduk hanya sempat menyelamatkan diri dan ahli keluarga. Kebanyakan mereka mula tinggal di situ sejak 1960-an lagi dan merupakan rakyat tempatan.

Hanya ada sedikit orang luar yang menumpang mencari rezeki di situ.

Masjid Hasani yang dibina sejak awal dulu juga ditenggelam air hingga ke bumbung. Rumah Allah adalah tempat umat Nabi Muhamad SAW sujud dan berdoa. Masjid itu diimarahkan oleh insan-insan yang mulia.

Di situlah ayat-ayat Tuhan dibaca dan laungan sambil mengajak orang ramai ke arah kejayaan. Mana mungkin tempat itu menjadi kemurkaan Allah untuk menurunkan bala. Mana mungkin.

Itu sifir akal dangkal dan gemar menghukum orang lain.

Semasa misi bantuan itu, kami bertemu ramai sahabat baru dari pelbagai latar. Ada sisi lain yang wajar kita lihat. Nilai manusiawi yang melangkaui perbezaan parti, mazhab, agama, kaum, usia, kelas, daerah dan lain-lain.

Kita disatukan dalam menghadapi musibah ini. Di situ kami serahkan penanak nasi dan dapur kepada penduduk terlibat.

Usaha-usaha pembersihan rumah dan sekitar kawasan telah dilakukan pelbagai pihak. Ada yang datang dari jauh dan dekat. Kami hanya datang pada hujung minggu sahaja.

Sumbangan orang ramai tiada ibarat untuk diungkapkan. Sangat dihargai.


MUHAIMIN SULAM ialah penasihat Nusantara Malaysia. Maklumat lanjut mengenai misi bantuan mangsa banjir boleh dilihat di sini

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.