Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | 'Biawak hidup' dalam banjir

KOLUM | Dalam kelibang-kelibut orang bergelut dengan masalah banjir, nampaknya ada menteri - dua sebenarnya - yang kalut membuat sidang akhbar. Satu, datang dengan pakaian hari raya yang merah menyala siap besamping songket, sementara yang seorang mengadakannya di hotel yang nampak agak mewah.

Ketika suasana penuh tekanan dan cemas rakyat itu, muncul pula menteri yang datang melawat dengan kasut bertumit tinggi. Maka lengkaplah kesakitan mental mereka.

Ada pula yang lain sibuk memotong dan membahagi-bahagikan kek dan sementara kumpulan yang lain pula sibuk mencari dalih mengenai fungsi tugas mereka sendiri.

Menteri alam dan air pula 'hilang'. Pergi ke alam sebalik mata gamaknya.

Tidak bolehlah kita salahkan mereka kerana begitulah cara hidup yang yang diamalkan sejak bergelar orang politik. Sifir mereka mudah, iaitu kalau ada apa saja yang mereka lakukan, mestilah ia dilihat orang.

Itu KPI yang harus mereka penuhi kerana kelangsungan politik bergantung kepada nampak atau tidaknya kerja mereka di mata rakyat.

Orang politik hidupnya dalam dunia yang jika kita fikir-fikirkan sangat, akan menyebabkan kita menjadi sangat marah. Justeru elok sebenarnya kita mengambil hal ini sebagai satu ketentuan lazim hidup seorang ahli politik.

Kita jadi tenang, dan mereka pun bertambah senang.

Senang untuk bersyukur

Kemudian ada pula satu golongan - bak kata orang Indonesia - 'sok suci'. Itu golongan yang akan menyalahkan sesiapa saja yang ditimpa bencana sebagai pendosa. Dosa tidak rapatkan saf, dosa kerana maksiat berleluasa, kilang arak tidak dirobohkan dan sebagainya.

Kumpulan itu tidak sabar-sabar untuk masuk sorga kerana sorga itu (kononnya) bapak dia yang punya.

Kumpulan sebegini sangat jarang turun membantu kerana mereka tidak mahu bergaul dengan orang lain yang dianggap jijik lagi pendosa ketika mereka sedang ditimpa bala.

Satu kumpulan yang agak istimewa ialah kumpulan yang bersyukur kerana - walaupun orang bersedih kehilangan bermacam perkara termasuk nyawa - bencana yang ada sekurang-kurangnya yang meninggal dunia itu hanya seorang dua.

Kumpulan tersebut membuatkan kita jadi serba salah. Ada betul juga kata mereka, namun kita tahu bahawa mereka mengatakan demikian kerana yang meninggal seorang dua itu bukan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Memang agak senang untuk bersyukur atas masalah yang menimpa orang lain, sebenarnya.

Yang pertama-tama datang membantu ketika banjir baru-baru ini ialah orang awam. Kita sama kita. Mereka itu datang dari seluruh negara dalam kadar yang segera bersama bot dan makanan.

Orang awam yang berhati luhur itu tiba dan menghulurkan bantuan tanpa perlu menunggu mangsa banjir yang tidur di atas bumbung mengisi borang itu borang ini.

Memang tak mahu didendang

Hanya orang yang pernah melalui kesusahan tahu bagaimana keadaannya apabila sesuatu bencana melanda. Mereka turun sama berbasah di dalam air tanpa ada bimbang akan kotornya ia atau penyakit yang dibawa.

Yang penting ialah nyawa perlu diselamatkan.

Ada antara mereka yang belum pernah mengalami bencana pula - atau sememang hidup di alam kayangan - akan melambai-lambai tangan dari dalam kereta sambil membuat tanda cinta dengan ibu jari serta jari telunjuk.

Mereka juga datang apabila bah sudah hampir kebah. Mereka tolong menyapu sedikit lumpur di rumah kita bagi memberi masa kepada jurukamera merakamkan aksi tersebut. Gambar atau video itu memang penting kerana menjadi bahan yang mahal untuk dijaja di segala macam media.

Seperti yang kami nyatakan diatas tadi, kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana memang itulah gaya hidup kumpulan terbabit, yakni hidup hanya untuk bergaya.

Berapa batang pun jari tengah yang dihalakan kepada mereka, keadaannya tetap sama. Maka redalah kita akan wujudnya ramai biawak hidup berkenaan bersama kita.

Hari ini kita mula mendengar cerita bagaimana orang perseorangan dan berkumpulan menjadi hero yang tidak langsung didendang. Malah mereka sebenarnya tidak mahu sama sekali didendang. Mereka hanya mahu datang membantu kerana rasa tanggungjawab sebagai manusia.

Tidak ada antara mereka yang peduli hal bangsa, agama dan juga taraf hidup semasa menghulurkan tangan. Yang penting ialah membantu siapa saja yang dalam kesusahan.

Yang lambat datang ialah ahli politik dan konco-konconya. Mungkin mereka terpaksa berhati-hati kerana sedang menunggu dana yang datang bersama peluang untuk diselewengkan.

Berlaku secara spontan

Sementara itu salah satu kumpulan awam yang segera bertindak ialah sekumpulan seniman yang mengelar diri mereka Komuniti Seni Batu Belah. Ia dibentuk oleh tiga kumpulan seniman iaitu kumpulan Nafas Syahdu, Lakar Layar dan Studio Empati.

Sebaik saja mendapati air mula naik di kawasan mereka di Meru, sekumpulan 20 orang anak muda terbabit menawarkan studio yang mereka sewa di tingkat dua sebuah rumah kedai di kawasan itu sebagai tempat pelindungan kepada penduduk setempat.

Seramai 30 orang dari lima keluarga berjaya mendapatkan pelindungan sementara di studio berkenaan.

Komuniti Seni Batu Belah juga mengumpulkan dana sesama sendiri untuk membeli sedikit makan, lampin pakai buang dan juga ubat-ubatan. Malah mereka sendiri yang memasak makanan untuk mangsa banjir yang berteduh di studio tersebut.

Studio Komuniti Seni Batu Belah menjadi tempat perlindungan sementara 

Setelah khabar mengenai usaha mereka itu tersebar, ada kalangan rakan-rakan di luar kumpulan mereka mula menghulurkan bantuan, sama ada dari segi wang ringgit mahupun tenaga.

Menurut seniman muda, Burhanuddin 'Bo' Bakri yang juga jurucakap kepada Komuniti Batu Belah, ramai peminat seni catan yang menyumbang dan semua itu berlaku secara spontan.

Secara berseloroh Bo berkata, memang menjadi hasrat mereka untuk memperkenalkan Komuniti Seni Batu Belah kepada penduduk tempatan dan merancang untuk melancarkan program hub komuniti itu pada hujung Dis ini.

Namun dengan berlakunya bencana beberapa hari lalu, masyarakat sekeliling telah lebih tahu tentang mereka.

Seniman muda yang terlibat dalam kerja-kerja membantu mangsa banjir

Setakat artikel ini ditulis, masih terdapat keluarga yang berteduh di studio berkenaan.

Selain itu Komuniti Artis Ara Damansara juga turun padang membantu mangsa banjir di sekitar kawasan mereka.

Tahniah kami ucapkan kepada kedua-dua kumpulan seniman muda terbabit. Mereka juga adalah peserta pencarian bakat muda sezaman yang dianjurkan Balai Seni Negara.

Sama-sama ringankan beban

Mungkin sedikit markah tambahan boleh diberikan kepada mereka atas usaha berkenaan, sementelah tema pertandingan kali ini ialah Seni Dilokasi. Apakah yang lebih seni daripada membantu komuniti di lokasi mereka sendiri, kan?

Di mana-mana kawasan pun yang terlibat dengan bah besar ini, kita akan dapati ada cerita-cerita mengenai orang kecil yang melakukan perkara besar.

Rumah ibadat Sikh menyediakan makanan untuk orang ramai. Jeneral tentera mengerahkan anggotanya keluar segera membantu. Bomba dan penyelamat bertungkus lumus menolong.

Ditambah pula dengan orang awam tanpa mengira bangsa yang pantas turun menghulurkan tangan adalah asal cerita bagaimana kita ini dikagumi oleh banyak negara dan orang luar.

Semangat bantu membantu dalam muhibbah adalah kekuatan kita.

Syabas kami ucapkan kepada semua orang yang bersama-sama meringankan beban orang lain.

Atas semua ini, kita harus bersetuju bahawa ramai biawak yang masih belum mahu mati itu ialah politikus yang kerjanya hanya mahu membesarkan tembolok masing-masing.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pemerhati orang politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.